Khamis, 26 Februari 2009

KEPIMPINAN DALAM ISLAM

Kekecohan yang berlaku pada hari ini dikalangan kepimpinan orang Islam di Malaysia amat memalukan kita.Krisis ini mungkin tidak akan berlaku sekiranya kita memilih pemimpin yang betul mengikut kepimpinan baginda Rasulullah SAW.Kebanyakan pemimpin yang kita pilih hari ni banyak bersandarkan kepada unsur-unsur kebendaan dan kehebatan dari sudut luaran sahaja.Realitinya di negara kita ni, nak jadi pemimpin syaratnya mesti mempunyai perniagaan yang besar,kereta yang besar,duit yang berguni-guni dan tabur janji yang palsu dan mimpi yang indah-indah.Jika amalan ini berterusan,maka percayalah akan berlaku kehancuran dalam masyarakat dan negara.



Kebanyakan kita dapat melihat antara punca besar kehancuran kepimpinan hari ini kerana pemimpin orang Islam lebih cenderung menuntut redha manusia daripada redha Allah.Saya suka nak memetik kisah Saidina Mua'wiyah apabila beliau dilantik menjadi khalifah Islam,beliau meminta nasihat daripada Ummu al-Mukminin Saidatina Aisyah r.a. berkenaan dengan kepimpinan.Kisah ini saya petik dari kitab Bahrul Mazi,karangan Syeikh al-Marbawi.Saidatina Aisyah telah mengutus sepucuk surat kapada Muawiyah dengan menyebut sabda Rasulullah SAW iaitu:"من يلتمس رضى الله بسخط الناس كفه الله مؤنة الناس,ومن يلتمس رضى الناس بسخط الله وكله الله الى الناس."Maksudnya:"Barangsiapa yang memerintah dengan menuntut keredhaan Allah walaupun dimurkai manusia,maka Allah akan menahan dia dari keberatan(kesusahan dan kemudharatan) yang akan didatangkan oleh manusia,dan barangsiapa memerintah dengan menuntut redha manusia walaupun dimurkai Allah,maka Allah akan menyerahkan(membiarkan)dia kepada manusia(kesusahan dan kemudharatan dari manusia)."

Justeru,jelas kepada kita kerosakan kepimpinan,keruntuhan aqidah dan akhlak ,jenayah yang tidak berjaya dibendung dan pelbagai masalah yang mendatang adalah berpunca daripada pemimpin yang rakus dan cenderung untuk menuntut semata-mata habuan dunia disamping rela membiarkan hak Allah dipijak dan hak manusia dijunjung hanya bagi memastikan kedudukan dan kekuasaan dapat dikekalkan.

Saya telah berkali-kali menasihati masyarakat disekeliling saya supaya berhati-hati dalam memilih pemimpin.Namun,malangnya masih ramai lagi yang macam jahil atau pura-pura jahil atau memang jahil sebab tak pernah nak hadir majlis-majlis ilmu yang ada.Sekali lagi saya cuba sertakan dalam blog saya ini ciri-ciri kepimpinan yang mesti ada sepertimana yang telah digariskan oleh al-Farabi.Al-Farabi menekan konsep Insan Kamil bagi melantik seseorang sebagai pemimpin atau ketua negara.Di sini terdapat dua belas sifat yang telah diterangkan di bawah tajuk al-Qawl fi Qisal Rais al-Madinah al-Fadhilah ialah:

1.Sempurna anggota tubuh badan dan bertenaga atau berkemampuan supaya dengan itu dia dapat menjalankan tugas dengan mudah.
2.Baik kefahamannya serta dapat menggambarkan setiap sesuatu yang dia lafaz atau ucapkan serta tahu apa yang harus dibuat.
3.Baik hafalan sesuatu yang dia telah faham,lihat,dengar atau dapat.Bukan seorang yang pelupa.
4.Bijaksana dan cerdik apabila mendengar sesuatu walaupun dengan reaksi sahaja.
5.Dapat membuat penjelasan atau huraian yang jelas berhubung dengan sesuatu ibarat.
6.Dia sangat suka atau minat terhadap ilmu pengetahuan.
7.Tidak bersikap buruk iaitu berlebih-lebihan dalam hal makan minum dan juga hubungan kelamin.Menjauhkan diri dari perbuatan yang sia-sia.
8.Memiliki sifat cintakan kebenaran dan bencikan pembohongan.
9.Memiliki jiwa besar dan berhemah tinggi.
10.Tidak berminat tentang pengumpulan wang ringgit dan kekayaan dunia.
11.Bersikap pro keadilan dan anti kezaliman dan penindasan.
12.Dia hendaklah mempunyai keazaman yan kuat dan berani terhadap sesuatu hal yang dirasakan perlu dilakukan dan tidak lemah jiwa dan semangat.

Manakala Islam pula telah menggariskan syarat-syarat yang mesti dipenuhi oleh seseorang untuk menjadi pemimpin atau ketua negara sebagaimana yang telah digariskan oleh para ulamak termasuk Imam al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyah iaitu:

1.Islam.
Ini kerana pemimpin atau ketua negara adalah penjaga dan pelaksana syariat Islam.

2.Baligh
Ini kerana ketua negara memerlukan kepada kematangan pemikiran dalam menyelesaikan masalah.

3.Akal.
Memerlukan kepada ketajaman pemikiran dalam bertindak.

4.Merdeka.
Golongan hamba tidak dibenarkan menjadi pemimpin kerana golongan ini mempunyai tugas dan hak yang mesti dilakukan kepada tuannya.

5.Lelaki.
Bersepakat para ulamak bahawa tidak harus perempuan menjadi ketua negara berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari.

6.Adil.
Maksud adil di sini ialah memilih pemerintah yang sentiasa beriltizam dengan syariat Islam,melakukan amanah,bertaqwa,warak,menjauhi perkara-perkara yang haram,bercakap benar dan menjaga maruah.

7.Kemampuan melaksanakan tugas.
Hendaklah seorang yang mempunyai kemampuan untuk melaksanakan tugas mentadbir,berani,dapat menyelesaikan masalah rakyat dengan mudah,memikir mengenai kepentingan rakyat dan masa depan negara.

8.Berilmu.
Para pemerintah hendaklah cintakan ilmu dan ulamak serta sentiasa menghadiri majlis -majlis ilmu.Faktor faktor ini menjadi pemerintah sentiasa berada di jiwa rakyat.

9.Tidak cacat anggota dan tubuh badan.
Ketua negara hendaklah seseorang yang mempunyai kesempurnaan tubuh badan dan tidak cacat anggota tubuh badan yang boleh menjejaskan pemerintahannya seperti pekak atau buta.

Kesimpulannya marilah kita sama-sama bermula dari anda membaca artikel ini untuk kita mula berfikir melantik dan memilih pemimpin seperti yang digariskan di atas.Negara kita dan rakyatnya amat memerlukan kepimpinan yang berwibawa,berilmu,berakhlak,berwawasan dan berjiwa rakyat serta keazaman untuk memelihara syariat dan agama Allah.

3 ulasan:

  1. ustaz...jika kita sbg peminpin...mcm mana nak wujudkan kerjasama sesama ahli ustaz??

    BalasPadam
  2. Rasulullah SAW dah ajar kita iaitu:
    1.sentiasa musyawarah
    2.prihatin masalah orang yang dipimpin
    3.tunjukkan contoh yang terbaik
    4.berdoa kepada Allah

    BalasPadam