Isnin, 20 April 2009

NASYID USRATI

Hari ini saya ingin meluahkan segala penghargaan dan terima kasih saya kepada semua orang yang saya sayang di atas kesetiaan,pengorbanan dan kasih sayang yang diberikan kepada saya melalui lagu.Kadang-kadang sukar untuk kita luahkan ucapan terima kasih atau sayang kepada orang yang sepatutnya kita anugerahkan perkataan tersebut.Satu kepuasan bagi saya apabila memberikan penghargaan ini walaupun mereka tidak mengetahui............

Untuk isteri tercinta yang sangat bertanggungjawab kepadaku dan anak-anakku,pengorbanan dan kesetiaanmu tidak akan aku abaikan kerana redha dan tenang ketika kau menghadapi kerenahku dan anak-anakmu serta semasa kau ditinggalkan ketika aku menyusuri perjalanan dakwah.......

untuk emak yang banyak berkorban dan memberikan kasih sayang,tidak pernah jemu melayan telatah anak-anakmu,sanggup berlapar demi melihat anakmu kekenyangan,sanggup menyekang mata untuk mencari sesuap rezeki ketika anakmu diulit mimpi indah,bersahaja menyarung baju lama demi melihat anak-anak keriangan mencuba baju baru................

untuk abah yang amat bertanggungjawab dan tegas dalam mendidik,sanggup berpanas dan berhujan demi memenuhi keperluan dan kehendak orang yang disayangi,mengharungi dengan penuh kesabaran pelbagai ranjau dan onak dalam membesarkan permata hati.........

untuk anak-anak yang memberikan ketenangan dan keceriaan,merekalah ubat yang paling mujarab ketika keletihan,kedukaan dan kerisauan dengan melihat wajah mereka yang menyejukkan mata dan telatah mereka yang menghiburkan hati dan jiwa.......

Ahad, 19 April 2009

PENDIDIKAN DALAM ISLAM

Sambungan daripada artikel saya yang lepas iaitu kandungan ceramah saya di Hari Terbuka KAFA ar-Raudhah USJ 1 pada 12/4/2009 yang lalu.



Pendidikan bukan hanya memberi latihan dan tunjuk ajar kepada anak-anak tetapi satu proses bagi sebuah keluarga atau negara menanam dan memupuk kesedaran dan keinsafan jiwa seseorang.Pendidikan merupakan latihan akliah,jasmaniah dan rohaniah dengan matlamat utamanya melahirkan insan kamil yang sanggup melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai manusia yang baik dan hamba Allah yang taat.

Di sini saya ingin menyatakan berkenaan matlamat pendidikan dalam Islam agar kita jelas berkenaan tujuan kita dalam pendidikan.Ini kerana terdapat ibubapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah hanya kerana impian dan cita-cita mereka untuk melihat anak mereka mempunyai kerjaya yang hebat,gaji yang besar dan kedudukan yang baik dalam masyarakat.Islam menggariskan beberapa matlamat iaitu:

  • Untuk mencapai Mardhatillah atau keredhaan Allah.

Bagi menjadikan pendidikan satu ibadah maka kita perlu memastikan niat pendidikan itu hanyalah semata-mata kerana Allah Taala.Dengan matlamat utama ini ,perjalanan pendidikan yang dilalui akan mendapat keberkatan dan perlindungan daripada Allah.

  • Menimbulkan kecintaan kepada Islam dan ajaran-ajaran yang dibawa oleh nabi Muhammad SAW.

Kita mesti memastikan setiap pendidikan yang dilalui akan menimbulkan kecintaan kepada Allah dan Islam serta semua ajaran yang dibawa oleh junjungan besar kita nabi Muhammad SAW.Pendidikan yang dimaksudkan bukan sahaja berteraskan pendidikan agama malah semua jenis pendidikan yang dilalui seperti pendidikan sains,astronomi dan lain-lain.Sebab itulah kita lihat proses pendidikan yang bersepadu ini,Islam mampu melahirkan generasi yang menguasai pelbagai cabang ilmu sejak dahulu lagi.Di samping itu juga kita dapat melahirkan bukan sahaja seorang saintis atau seorang doktor perubatan atau seorang arkitek yang hebat tetapi dalam pada masa yang sama berjaya melahirkan seorang yang beriman,bertaqwa dan berakhlak tinggi.

  • Menubuhkan kekuatan dan penyatuan dalam Islam.

Pendidikan mestilah berjaya mengumpulkan kekuatan dan menyatukan umat Islam keseluruhannya.Namun begitu yang berlaku hari ini sebaliknya kerana orang Islam yang hebat dan mempunyai kepakaran tidak menggunakan untuk mengembalikan kekuatan Islam dan umat Islam tetapi hanyalah untuk kepentingan peribadi.Mereka sanggup menjual kepakaran mereka kepada orang kafir untuk mendapat imbuhan dunia semata-mata.Fikirkanlah.......

Isnin, 13 April 2009

KEISTIMEWAAN ISLAM DAN TUJUAN HIDUP DALAM ISLAM

Pada hari Ahad,12/4/2009 yang lalu saya telah dijemput memberi ceramah berkenaan tajuk "Kepentingan pendidikan dalam membentuk keluarga Islam".Ceramah ini saya sampaikan di KAFA Integrasi ar-Raudhah USJ 1 bersempena dengan hari terbuka sekolah tersebut.

Sebelum saya menekankan berkenaan pendidikan Islam dalam keluarga,saya telah menyentuh berkenaan keistimewaan dan matlamat hidup Islam.Samaada kita sedar atau tidak sedar sebenarnya kita amat beruntung berada dalam Islam.Saya akan gariskan di sini beberapa keistimewaan Islam untuk renungan kita iaitu:
1.Memberi petunjuk kepada manusia.
Banyak ayat al-Quran yang memberitahu peranan wahyu Allah dalam membimbing, memberi petunjuk dan mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya.Rasulullah SAW telah mengubah masyarakat jahiliah ketika itu daripada menyembah berhala kepada menyembah Allah yang satu.Daripada mempunyai akhlak yang buruk dan hina kepada akhlak yang terpuji dan mulia.Daripada menjadikan tujuan kehidupan kepada dunia semata-mata kepada mempercayai adanya kehiduan akhirat yang kekal abadi.

2.Membentuk pandangan yang mulia dan kebebasan berfikir yang bermaruah.
Islam diturunkan untuk meletakkan tanggungjawab kepada manusia sebagai makhluk yang sentiasa menggunakan akal untuk mencari kebenaran.Umat Islam digalakkan berfikir dan menyampaikan pandangan untuk menyumbang kepada pembangunan Islam.Umat Islam dijamin akan menjadi umat yang terbaik selagi mereka selalu mengamalkan budaya menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran dalam segenap kehidupan mereka baik dalam pendidikan,pentadbiran atau dalam perniagaan dengan menyalurkannya dalam pelbagai method dan strategi .Begitulah yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW sehingga berjaya melahirkan generasi yang hebat dan kemudiannya menjadi agen perubah kepada kegemilangan Islam.

3.Menghormati da mempertahankan taraf kemanusiaan sebagai makhluk yang mulia di sisi Allah.
Manusia telah dicipta oleh Allah dengan mempunyai kemuliaan dan kelebihan dari makhluk yang lain.Manusia didatangkan dengan dua tujuan hidup iaitu yang pertama sebagai hamba Allah dengan mengabdikan diri kepada Allah Taala dan yang kedua sebagai Khalifah Allah yang bertanggungjawab kepada beberapa amanah iaitu:
  • Mengatur dan mentadbir bumi
  • melaksanakan undang-undang dan peraturan Allah
  • Mendidik dan menghayati urusan dunia mengikut cara Islam.

Setelah saya menjelaskan keistimewaan Islam dan tujuan hidup seorang Islam secara ringkas maka barulah saya akan terangkan cara pendidikan dalam Islam untuk membentuk sebuah generasi Rabbani yang akan menjulang Islam kerana terdidika dengan cara yang betul sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.Penjelasan ini akan saya hidangkan pada perkongsian akan datang ,tunggu.......