Selasa, 3 November 2009

Ketaqwaan dalam korban.

Assalamualaikum wrhmt.wbrkth

Firman Allah Taala bermaksud:
“Daging-daging sembelihan korban kamu dan darahnya semata-mata tidak mencapai keredaan Allah tetapi taqwa kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah di atas petunjuk-Nya kepada kamu dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang berbuat baik”. (Surah al-Haj: 37)

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah.

Alhamdulillah kita sedang berada dalam bulan haji.Bermula dari 20 Oktober 2009,jemaah haji kita telah mula bermusafir mengerjakan haji ke Tanah Suci termasuk ibubapa saya.Kita doakan semoga mereka memperolehi haji yang mabrur dan perjalanan mereka mendapat keberkata dan keredhaan Allah.

Selain umat Islam melaksanakan ibadah Haji,terdapat satu ibadah lain yang dituntut kita melaksanakannya iaitu ibadah korban.Berdasarkan ayat di atas,pelaksanaan ibadah korban ini membawa dua ciri utama iaitu:

1.Niat kerana Allah.

Ibadah korban yang ingin dilaksanakan mestilah berpunca daripada niat untuk menuntut keredhaan Allah Taala.Korban yang dilakukan bukan kerana Allah tetapi kerana untuk menunjuk-nunjuk seperti kita ingin memberitahu semua orang bahawa kita memunyai wang yang banyak atau sebagainya adalah ditolak oleh Allah.Begitu juga pengorbanan kita dalam memperjuangkan agama Allah ini,mestilah berpaksikan kepada Allah bukan untuk menuntut kepentingan peribadi atau duniawi.

2.Nilai taqwa dalam berkorban.

Berdasarkan kepada ayat di atas menunjukkan kepada kita bahawa pengorbanan yang dilaksanaka adalah hasil daripada ketaqwaan kita kepada Allah.Samaada pengorbanan kita itu diterima oleh Allah atau sebaliknya adalah bertitiktolak dari sumber ketaqwaan ini.Benih taqwa yang menyubur dan menghijau mampu menghasilkan buah keimanan yang ranum,manis dan berkualiti.Sesungguhnya lipatan sejarah telah membuktikan bahawa korban Habil telah diterima oleh Allah berbanding Qabil kerana korban Habil didasari oleh rasa ketaatan dan ketaqwaan. 

Marilah kita sama-sama menilai perjuangan dan pengorbanan yang kita telah,sedang dan akan lakukan supaya urusan pengorbanan dan perniagaan jasad dan harta kita dengan Allah tidak sia-sia.

Salam Aidil Adha.......

Ahad, 25 Oktober 2009

PANDANGAN UST HASRIZAL DALAM ISU FACEBOOK

Ustaz, do you have any networking account?” tanya Saeb kepada saya.

“You mean, like Friendster and Myspace?” saya meminta kepastian.

“Yes. But in the States we don’t use Friendster. We’re more into Facebook,” jelas Saeb kepada saya.

Beliau adalah anak kepada pensyarah saya, seorang warga Amerika Syarikat.

“Oh yeah. I have registered an account but completely forgot about it because there’s no one there,” saya memberitahu.

“Great. Probably Malaysians are still hanging around Friendster. But anyway you’ll find us there. I’m trying to bring Dad into Facebook, too!” gurau beliau.


PENYERTAAN AWAL KE FACEBOOK

Saya mendaftarkan akaun Facebook pada awal 2007 tetapi hanya mengaktifkan penggunaannya semula kira-kira enam bulan selepas itu bagi menguruskan jaringan sosial antara kami, AJK IYEP dengan peserta yang datang dari seluruh dunia.

Ketika itu, amat kecil bilangan pengguna Malaysia yang berada di dalam jaringan Facebook. Namun, saya berasa selesa menggunakannya berbanding dengan Friendster kerana suasana di dalam Facebook lebih teratur, kemas dan ‘tidak kebudak-budakan’ . Di kala itu, memang sudah menjadi buah mulut orang menganggap pembabitan anak muda di dalam Friendster di negara kita amat mengundang mudarat. Perkongsian gambar-gambar tidak senonoh hingga membabitkan beberapa artis ketika itu, menyebabkan saya langsung tidak terfikir untuk mempertimbangkan soal menyertai Friendster, biar pun untuk tujuan dakwah khususnya pada mendekati golongan remaja.

Berbeza dengan Facebook, rakan-rakan yang lebih ’sekepala’ dan ’seusia’ bertambah dari semasa ke semasa melalui Facebook dan ia sangat berkesan dalam usaha ‘menjejak kasih’ teman-teman lama dari seluruh dunia.

Keadaan ini sedikit demi sedikit berubah apabila semakin ramai pengguna internet Malaysia menyertai Facebook.

Saya tidak pasti apakah yang patut ditunding kesalahan. Apakah kerana kelompok yang membanjiri Facebook kebelakangan ini adalah remaja bermentaliti kebudak-budakan, atau mereka bekas pengguna Friendster, atau mereka mewakili suatu ngomelan tentang budaya kurang sihat di Malaysia yang disebut sebagai ‘First Class Facility with the Third Class Mentality’. Facebook mula comot dengan pelbagai aplikasi seperti kuiz, permainan dan pelbagai fungsi yang menghilangkan hemah Facebook selama ini.

Keadaan menjadi lebih merunsingkan apabila kita memiliki 5000 orang ‘rakan’ di dalam senarai jaringan kita. Apabila beberapa ratus daripada 5000 itu menyebarkan sampah sarap, ia sudah cukup untuk merosakkan fungsi asal Facebook yang menjadi asas tujuan kita memilih jaringan sosial ini.

BOLEH MENJADI HARAM

Keasyikan pengguna-pengguna Facebook melayan kuiz dan permainan, di samping sembang bual yang pada masa ini jumlah warga jaringan Malaysia mencecah lebih 800,000 orang, boleh menghasilkan suatu ketagihan seperti apa yang pernah menimpa pengguna perkhidmatan chatting MiRC suatu ketika dahulu. Tambahan lagi, dengan kemudahan akses Facebook melalui telefon bimbit, tahap ketagihan itu bisa jadi melampau dan merosakkan.

Dalam keadaan seperti ini, keharusan menggunakan Facebook boleh bertukar menjadi HARAM ke atas individu yang menyalahgunakan Facebook hingga berlaku kelalaian di tahap yang ekstrim.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala yang bermaksud:

“Telah nyatalah kejayaan para Mukmin. Iaitu mereka yang di dalam solat mereka, khusyu’ mendirikannya. Dan mereka itu terhadap perkara-perkara yang melalaikan, mereka menghindarkannya” [al-Mu'minun 23: 1-3]

Apa yang menjadi larangan bukanlah Facebook sebagai medium. Tetapi larangan itu terkena ke atas individu yang gagal mengawal dirinya hingga sesuatu yang asalnya begitu bermanfaat berubah menjadi mudarat akibat lemah daya mengawal dan membuat pilihan.

Dalam masa yang sama juga beberapa konsep akhlaq perlu diberikan penjelasan dalam konteks etika melayari internet serta menggunakan aplikasi yang kedapatan, termasuk email dan Facebook.

EMAIL

Saya tidak menyiarkan alamat email di tempat terbuka.

Antara tujuannya ialah untuk melindungi akaun email saya daripada kebanjiran email spam. Justeru untuk kemudahan perhubungan, saya sediakan borang email dan semua mesej yang dihantar di situ akan masuk terus ke akaun Gmail saya.

Akan tetapi, apabila mesej yang dikirim, saya balas dengan memberikan jawapan yang diminta, penerima email itu telah memasukkan email saya ke senarai email yang bakal menerima artikel-artikel yang beliau hantar dalam jumlah yang sangat mengganggu. Entah mengapa, ada sesetengah kita memiliki tabiat mengajukan rantaian-rantaian artikel melalui email dalam bentuk yang tidak terkawal. Tentu sahaja mengambil satu artikel lalu dikongsikan bersama rakan-rakan lain agar tersebar manfaat, adalah suatu perbuatan yang terpuji. Tetapi tatkala menerima satu email, dan kemudian terus menekan butang REPLY atau REPLY TO ALL dengan email yang sudah lima lapis diperlakukan sedemikian rupa, ia menampakkan bahawa email itu dihantar lebih kepada tabiat suka mengajukan email (Email Forwarding) berbanding menghantarnya dalam keadaan sedar akan apakah tujuan ia dilakukan.

Ada yang menyebarkan secara BULK hingga 20 email sehari.

Bagaimanakah anda menguruskan akaun email apabila seorang yang tidak anda kenali, menghantar 20 forwarded email sehari (sebahagiannya adalah artikel anda sendiri yang diajukan kembali kepada anda)?

Kaedah mudahnya ialah tandakan sahaja email itu dan penghantarnya sebagai SPAM.

Tetapi atas dasar menghargai sesama Mukmin yang berutusan email dengan maksud kebaikan, saya menghantar email peribadi kepada si pelaku ini memohon jasa baiknya agar email saya dikeluarkan daripada senarai penerima forwarded article beliau.

Permintaan saya itu telah menyebabkan beliau melenting. Saya ditegur kerana ‘tidak menghargai kebaikan’, ’sudah terlalu baik hingga tidak perlu ditegur oleh artikel-artikel yang baik’ dan macam-macam lagi. Saya cuba untuk terangkan kepada beliau bahawa sebahagian daripada artikel yang beliau hantar kepada saya adalah artikel tulisan saya sendiri. Ini menunjukkan beliau tidak meneliti apa yang dihantar dan kepada siapa ia dihantar. Semuanya dilakukan sebagai tabiat bahawa selepas email dibaca, terus ditekan butang Forward untuk membina rantaian email yang menyemakkan.

Dek tindak balas beliau yang agresif, saya mengambil langkah drastik membuat tapisan (filter) bahawa semua email daripadanya, terus dipadam dan dimasukkan ke tong sampah (bin).

Sehingga kini ada lebih 20 filter yang berada di dalam email saya untuk menangkis kelakuan sebegini.

TAGGING DI DALAM FACEBOOK

Fungsi tagging di dalam Facebook mempunyai manfaat yang banyak.

Disebabkan oleh adanya fungsi ini, saya sudah kurang menggunakan kamera sendiri untuk mengambil foto program yang saya hadiri atau kendali. Lazimnya jurukamera atau peserta yang bergambar akan memuatnaikkan fotonya dan tatkala saya ditanda dengan tagging, maka foto itu secara otomatik masuk ke koleksi foto saya.

Namun, terdapat sejumlah pengguna Facebook yang menggunakan fungsi tagging ini sebahagian daripada apa yang dilakukannya di dalam kuiz dan permainan. Mungkin hal ini lebih menjadi masalah apabila ia berlaku kepada pengguna Facebook yang memiliki 5000 orang ‘rakan’ di dalam senarai jaringannya.

Kemunculan aplikasi seperti PICKUPFRIENDS telah mengundang lambakan ratusan tagging berserta mesej balasan yang mengganggu ketenteraman penerimanya.

Tabiat-tabiat seperti ini tidak seharusnya berlaku. Ia menggambarkan betapa kita tidak menghargai ruang persahabatan yang wujud lantas mengisinya dengan benda-benda yang disangka lucu tetapi hakikatnya menyakiti orang lain. Cukuplah pesanan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang bermaksud:

“Daripada Abdullah bin ‘Umar radhiyallaahu ‘anhuma beliau berkata, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda, “Seorang Muslim itu ialah seorang yang kaum Muslimin lain terselamat daripada (kejahatan) lisan dan tangannya. Seorang muhajir pula ada orang yang berhijrah meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah kepadanya” [muttafaq 'alayh]

FACEBOOK DAN YAHUDI

Dalam sentimen kemarahan kita terhadap apa yang menimpa umat Islam di bumi Palestin, kemahuan untuk melakukan sesuatu yang berbalut emosi sering membuatkan kita keterlaluan dalam tindakan.

Suatu ketika, kempen boikot berlangsung secara aktif. Senarai panjang barangan dan perkhidmatan disebarkan untuk diboikot. Masyarakat terbahagi kepada beberapa kelompok dalam hal ini. Ada yang menolak sepenuhnya tindakan boikot, ada yang bertindak memboikot sepenuhnya apa sahaja yang berkaitan dengan Yahudi dan Amerika Syarikat, dan di celah kedua-dua aliran itu, ada yang bertindak memboikot secara selektif.

Tindakan memboikot secara selektif ini didorong oleh kesedaran bahawa mengharamkan secara mutlak urusniaga yang membabitkan Yahudi atau Nasrani semata-mata kerana dia itu Yahudi atau Nasrani, adalah suatu tindakan yang tidak menepati kehendak Syara’.

Di dalam Majalah al-Islam keluaran September 2009, terdapat sebuah artikel yang tajuknya amat serius berbunyi, “ZUCKERBERG GUNA FACEBOOK UNTUK BUNUH PENDUDUK PALESTIN”.

Apa yang tidak wajar berlaku ialah, makalah tersebut hanya mendedahkan aktiviti biasa pengasas Facebook, Mark Zuckerberg, sebagai seorang Yahudi yang ‘multazim’ (mempraktikkan agama Yahudi dalam kehidupan seharian). Tetapi justifikasi terhadap kebenaran dakwaan bahawa Zuckerberg menggunakan Facebook untuk membunuh penduduk Palestin, hanya ditulis dalam sebuah perenggan ringkas berbunyi:

“… Pun begitu sebelum pengharaman oleh dua buah negara tersebut dibuat, wujud desas-desus yang mengaitkan penglibatan laman web tersebut dalam membiayai peperangan di Gaza”

Itu sahaja kenyataan yang wujud di sepanjang artikel berkenaan dalam mengaitkan Facebook dengan jenayah perang di Palestin. Ada pun isi kandungan lain, kesemuanya menceritakan tentang betapa Yahudinya seorang anak muda bernama Mark Zuckerberg, sesuatu yang tidak pernah diputuskan oleh Islam sebagai sebab untuk produk atau perkhidmatannya diharamkan.

ASAL KEHARUSAN MUAMALAH BERSAMA YAHUDI

Terdapat begitu banyak keterangan daripada Sunnah bahawa berurusniaga dengan kaum Musyrikin dan Yahudi itu adalah harus. Misalnya di dalam sepotong hadith:

“Sesungguhnya Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh dan mencagarkan baju besi baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.” [Hadith riwayat al-Bukhari nombor 2326, 2/841]

Al-Imam al-Bukhari juga memberikan tajuk kepada salah satu bab di dalam Sahih beliau, yang mendatangkan hadith di atas sebagai, “BAB BERJUAL BELI DENGAN KAUM MUSYRIK DAN YAHUDI”.

Dalam mengulas hal ini, al-Imam al-Nawawi membuat kesimpulannya di dalam syarahan beliau kepada Sahih Muslim dengan berkata:

“Telah ijma’ seluruh umat Islam pada keharusan urusan dengan Ahli Zimmah dan lain-lain orang Kafir selagi mana urus niaga itu tidak jatuh di dalam perkara yang haram. Akan tetapi umat Islam tidak boleh ( haram) menjual senjata kepada musuh Islam yang sedang memerangi Islam, dan tidak boleh juga membantu mereka dalam menegakkan agama mereka” [Sharah Sahih Muslim oleh al-Nawawi, 11/40]

Keharusan ini hanya berubah dengan adanya dalil lain yang mengubah keharusan itu, atau berlakunya sesuatu yang mengubah konteks hadith ini. Di dalam kes Facebook, adalah sangat penting untuk didatangkan bukti bahawa Mack Zuckerberg membiayai regim Zionis di Palestin, dan artikel di Majalah al-Islam September 2009 itu gagal mendatangkannya.

Di hujung artikel tersebut, satu lagi dakwaan dibuat pada menyatakan bahawa, “dengan klik sahaja pada Facebook kita juga turut sama menjadi pembunuh orang Palestin di Gaza“

Namun sama juga seperti sebelumnya, tiada sebarang bukti diketengahkan pada menunjukkan bagaimanakah penjanaan keuntungan Facebook disalurkan kepada regim Zionis yang menjajah bumi Palestin”.

Kita tidak mahu wujudnya satu budaya paranoid umat Islam yang melatah dengan mudah tatkala didatangi oleh kenyataan-kenyataan seperti ini. Orang Islam sangat cepat dimanipulasi sebagai agen merosakkan produk dan perkhidmatan melalui penyebaran email yang mendakwa ada benda tidak halal, ada campuran beracun dan lain-lain yang mana sebahagaiannya adalah palsu. Ia hanya membuktikan bahawa orang Islam banyak kerisauan tetapi tidak banyak berusaha untuk menyelidik bagi menghilangkan kerisauan tersebut.

Islam tidak pernah mengharamkan Muslim membeli atau menggunakan apa-apa produk dan perkhidmatan daripada non Muslim termasuk Yahudi. Mengharamkan pembelian atau penggunaan sesuatu produk atau perkhidmatan hanya dengan alasan ia milik Yahudi, boleh mengheret kita terjebak kepada perbuatan MENGHARAMKAN APA YANG HALAL, yang mana perbuatan itu sama buruknya dengan MENGHALALKAN APA YANG HARAM.

Malah perbuatan anti Yahudi secara semberono begitu adalah bersifat perkauman yang dibenci oleh Islam.

Facebook terbuka sebagai satu ruang untuk dimanfaatkan sebagai medium perhubungan dan penyebaran maklumat. Ia boleh berfungsi sebagai alat dakwah serta penyebaran maklumat, sebagaimana ia juga boleh berfungsi sebagai alat pemasaran. Seandainya di Facebook ada kempen yang memburuk-burukkan Islam, maka gunakanlah ruang yang ada untuk kempen memburuk-burukkan Islam itu ditukar kepada suatu bentuk promosi yang menimbulkan rasa ingin tahu manusia kepada Islam, seperti yang banyak berlaku pasca 11 September 2001.

Namun, jika umat Islam menghabiskan masa di Facebook dengan aplikasi yang melalaikan tanpa sebarang tujuan, penggunaan Facebook boleh menjadi haram ke atas golongan seperti ini, sama seperti pembabitannya dalam aktiviti kosong yang lain.

PANDUAN MENGATASI KETAGIHAN

Sedikit nasihat buat mereka yang mengalami ketagihan Facebook, buangkan segala aplikasi third party seperti kuiz, permainan dan yang seumpama dengannya. Gunakan Facebook sebagai alat komunikasi bersama rakan-rakan, isikan ia dengan perbincangan, perbualan yang merapatkan ukhuwwah dan menambah pengetahuan secara berhemah.

Andaikata langkah mudah ini pun gagal mengurangkan tahap ketagihan berkenaan, tamatkan akaun Facebook dan carilah kehidupan yang lebih bermakna di luar sana.

Tepuk dada, tanyalah Iman!

ABU SAIF @ www.saifulislam. com
68000 AMPANG

Ahad, 11 Oktober 2009

TAAJUB SOLAT TARAWIKH DI MESIR






Gambar jamaah sembahyang tarawih di bulan Ramadan di Bandar Iskandariah (sebuah pantai terkenal di Mesir), Mesir. 

Masha Allah. Allahu Akbar 
اللهم زد هذا الجمع وبارك فيه
هذه مصر ... صور أفزعت العالم !!
المــكان : مدينـة الإســكندرية
المسجد : القائد إبراهيم - بمحطة الرمل حي الشاطبي وشاطىء الكورنيش
الشيخ : حاتم .. وهو من قـرّاء مدينة دمنهور إحدى المدن الصغيرة بجوار الإسكندرية
الزمان : صلاة التراويح شهر رمضان
هذه مصــر - أروع صور ممــكن تشوفها عن مصر
مليون مصلي
(الصور التي أفزعت المراكز البحرية الأمريكية)



gambar yang mengejutkan dunia
tempat: iskandariah Mesir
Imam: Imam Hatim
Masjid: masjid al-Qaid Ibrahim hayyu Syatibi mahattah Raml.
Jumlah : 1 juta pesolat
Gambar ini mengejutkan Marine Amerika

Selasa, 6 Oktober 2009

BIODATA RASULULLAH SAW

Nama : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.

· Tarikh lahir : Subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571. Masehi (dikenali sebagai Tahun Gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Kaabah).

· Tempat lahir : Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah.

· Nama bapa : Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.

· Nama ibu : Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf..

· Pengasuh pertama : Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW).

· Ibu susu pertama : Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab).

· Ibu susu kedua : Halimah binti Abu Zuaib As-Saadiah (lebih dikenali Halimah As-Saadiah. Suaminya bernama Abu Kabsyah).

USIA 5 TAHUN

Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalam hatinya.

USIA 6 TAHUN

Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa ' (sebuah kampung yang terletak di antara Makkah dan Madinah). Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muttalib.

USIA 8 TAHUN

Datuknya, Abdul Muttalib pula meninggal dunia. Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).

Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan. Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.

USIA 20 TAHUN

Terlibat dalam peperangan Fijar . Ibnu Hisyam di dalam kitab ' Sirah ', jilid1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja. Menyaksikan ' perjanjian Al-Fudhul ' ; perjanjian damai untuk member pertolongan kepada orang yang dizalimi di Makkah.

USIA 25 TAHUN

Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah. Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah. Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu. Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.

USIA 35 TAHUN

Banjir besar melanda Makkah dan meruntuhkan dinding Kaabah. Pembinaan semula Kaabah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Makkah. Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ' Hajarul-Aswad ' ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.

USIA 40 TAHUN

Menerima wahyu di gua Hira ' sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul

akhir zaman.

USIA 53 TAHUN

Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq. Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M..

USIA 63 TAHUN

Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11Hijrah/ 8 Jun 632 Masihi.

ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW

· Khadijah Binti Khuwailid.

· Saudah Binti Zam'ah.

· Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar).

· Hafsah binti ' Umar (anak Saidina ' Umar bin Al-Khattab).

· Ummi Habibah Binti Abu Sufyan.

· Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah).

· Zainab Binti Jahsy.

· Maimunah Binti Harith.

· Safiyah Binti Huyai bin Akhtab.

· Zainab Binti Khuzaimah (digelar ' Ummu Al-Masakin ' ; Ibu Orang Miskin).

ANAK-ANAK RASULULLAH SAW

1. Qasim

2. Abdullah

3.. Ibrahim

4. Zainab

5. Ruqaiyah

6. Ummi Kalthum

7. Fatimah Al-Zahra '

ANAK TIRI RASULULLAH SAW

Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda)..

SAUDARA SESUSU RASULULLAH SAW

IBU SUSUAN: Thuwaibah

SAUDARA SUSUAN:

1. Hamzah

2. Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad

IBU SUSUAN: Halimah Al-Saidiyyah

SAUDARA SUSUAN:

1. Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib

2. Abdullah bin Harith bin Abdul ' Uzza

3. Syaima ' binti Harith bin Abdul ' Uzza

4. ' Aisyah binti Harith bin abdul ' Uzza

BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH SAW

(ANAK-ANAK KEPADA ABDUL MUTTALIB)

1.. Al-Harith

2. Muqawwam

3. Zubair

4. Hamzah ***

5. Al-Abbas ***

6. Abu Talib

7. Abu Lahab (nama asalnya Abdul Uzza)

8. Abdul Ka ' bah

9. Hijl

10. Dhirar

11. Umaimah

12. Al-Bidha (Ummu Hakim)

13. Atiqah ##

14. Arwa ##

15. Umaimah

16. Barrah

17. Safiyah (ibu kepada Zubair Al-Awwam) ***

*** Sempat masuk Islam.

## Ulama berselisih pendapat tentang Islamnya.

Sabda Rasulullah SAW:

"Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga." (Riwayat Al-Sajary daripada Anas )


NABI MUHAMMAD SAW - MANUSIA AGUNG

KENALI NABI MUHAMMAD S.A.W. SECARA LAHIRIAH. Begitu indahnya sifat fizikal Baginda, sehinggakan seorang ulama Yahudi yang pada pertama kalinya bersua muka dengan Baginda lantas melafazkan keIslaman dan mengaku akan kebenaran apa yang disampaikan oleh Baginda..

Di antara kata-kata apresiasi para sahabat ialah:

· Aku belum pernah melihat lelaki yang sekacak Rasulullah saw..

· Aku melihat cahaya dari lidahnya.

· Seandainya kamu melihat Baginda, seolah-olah kamu melihat matahari terbit.

· Rasulullah jauh lebih cantik dari sinaran bulan.

· Rasulullah umpama matahari yang bersinar.

· Aku belum pernah melihat lelaki setampan Rasulullah.

· Apabila Rasulullah berasa gembira, wajahnya bercahaya spt bulan purnama.

· Kali pertama memandangnya sudah pasti akan terpesona...

· Wajahnya tidak bulat tetapi lebih cenderung kepada bulat.

· Wajahnya seperti bulan purnama.

· Dahi baginda luas, raut kening tebal, terpisah di tengahnya.

· Urat darah kelihatan di antara dua kening dan nampak semakin jelas semasa marah. Mata baginda hitam dengan bulu mata yang panjang..

· Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya, kebiruan asli di bahagian sudut.

· Hidungnya agak mancung, bercahaya penuh misteri, kelihatan luas sekali

· Mulut baginda sederhana luas dan cantik..

· Giginya kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian depan.

· Apabila berkata-kata, cahaya kelihatan memancar dari giginya.

· Janggutnya penuh dan tebal menawan...

· Lehernya kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca. Warna lehernya putih seperti perak, sangat indah.

· Kepalanya besar tapi terlalu elok bentuknya.

· Rambutnya sedikit ikal. Rambutnya tebal kdg-kdg menyentuh pangkal telinga dan kdg-kdg mencecah bahu tapi disisir rapi. Rambutnya terbelah di tengah.

· Di tubuhnya tidak banyak rambut kecuali satu garisan rambut menganjur dari dada ke pusat.

· Dadanya bidang dan selaras dgn perut. Luas bidang antara kedua bahunya lebih drpd biasa.

· Seimbang antara kedua bahunya.

· Pergelangan tangannya lebar, lebar tapak tangannya, jarinya juga besar dan tersusun dgn cantik. Tapak tangannya bagaikan sutera yang lembut.

· Perut betisnya tidak lembut tetapi cantik.

· Kakinya berisi, tapak kakinya terlalu licin sehingga tidak melekat air.

· Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.

· Warna kulitnya tidak putih spt kapur atau coklat tapi campuran coklat dan putih. Warna putihnya lebih banyak.

· Warna kulit baginda putih kemerah-merahan.

· Warna kulitnya putih tapi sihat.

· Kulitnya putih lagi bercahaya.

· Binaan badannya sempurna, tulang-temulangnya besar dan kukuh.

· Badannya tidak gemuk. Badannya tidak tinggi dan tidak pula rendah, kecil tapi berukuran sederhana lagi kacak.

· Perutnya tidak buncit. Badannya cenderung kepada tinggi, semasa berada di kalangan org ramai baginda kelihatan lebih tinggi drpd mereka.

KESIMPULAN :

Nabi Muhammad sa.w adalah manusia agung yang ideal dan sebaik-baik contoh sepanjang zaman.. Baginda adalah semulia-mulia insan di dunia.

Ahad, 4 Oktober 2009

KEMENANGAN AIDILFITRI

Asslamualaikum wrmt.wbrkth.

Salam aidilitri dan salam kemenangan kepada semua muslimin dan muslimat.Alhamdulillah,segala puji bagi Allah yang telah memberikan kita peluang untuk kembali kepada fitrah.Mudah-mudahan kita telah berjaya membersihkan dan mensucikan jiwa(tazkitun nafs).Begitu juga kita adalah orang yang telah berjaya mendapatkan segulung ijazah taqwa atau lebih dari itu Insyaallah.

Muslimin dan muslimat yang di rahmati Allah.

Aidilfitri ialah hari kemenangan bagi umat Islam. Ini kerana, sepanjang sebulan yang lalu, umat Islam telah berjaya menempuh ujian ketahanan diri menerusi satu proses pendidikan jiwa yang amat kental sekali. Kejayaan kita menahan diri sepanjang Ramadhan lalu adalah gambaran akan kemenangan menyempurnakan salah satu dari perintah Allah s.w.t. Kita semua telah mencapai kemenangan kerana telah memiliki jiwa yang kental, komited dan teguh sebagai persediaan berhadapan dengan apa juga cabaran dalaman dan luaran yang di masa mendatang.


Sesungguhnya, umat atau bangsa yang kuat dan mampu bertahan di pentas sejarah, ialah umat dan bangsa yang memiliki semangat juang bagi mencapai kemenangan dan kecemerlangan dalam segenap bidang dan aspek kehidupannya. Allah berfirman dalam surah al-Mukminun ayat 1-5,

`Sesungguhnya menang, berjaya dan beruntunglah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khuyuk dalam sembahyangnya, orang-orang yang menjauhi dari perkataan yang tidak berguna, orang-orang yang menunaikan zakat dan orang-orang yang menjaga kemaluannya’.


Dorongan mencapai kemenangan ini juga tergambar dalam seruan azan yang sentiasa dikumandangkan : Hayya ala al-Solah (Marilah menuju kemenangan). Selama lima kali sehari, umat Islam diingatkan akan matlamat dan cita-cita kehidupannya iaitu untuk tekun, gigih dan tabah bagi mencapai kejayaan, kecemerlangan dan kemenangan.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah.

Sedikit maklumat yang ingin saya kongsikan bersama ialah pihak masjid sedang berusaha memberikan sesuatu yang terbaik bagi melahirkan generasi yang cemerlang dunia dan akhirat. Bertepatan dengan usaha itu,kami sedang menaiktaraf beberapa kemudahan di masjid ini termasuk sistem audio.Pemulihan kepada sistem ini menelan belanja yang agak tinggi.Oleh itu kami amat mengharapkan sokongan daripada ahli jamaah untuk memberi sumbangan dalam menjayakan usaha ini.Ini memandangkan masjid kita telah dan sentiasa merancang pelbagai aktiviti ilmu dan program-program perdana yang memerlukan sistem audio sentiasa berada dalam keadaan sempurna dan memuaskan.Semoga dengan sumbangan dan keprihatinan ahli jamaah sekalian,akan dapat membantu melahirkan generasi Rabbani yang hebat dan gemilang.

Sekian,wassalam. 

Rabu, 2 September 2009

Beza SEBAT ISLAM dengan SEBAT SIVIL





Oleh: tayadihmaysia 

Di bawah hukum Islam, kesalahan meminum arak adalah diletakkan di bawah hukum hudud, iaitu satu hukum yang dinaskan mengikut Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW....

Apa yang paling penting untuk difahami ialah cara sebatan yang dilaksanakan di dalam penjara sekarang adalah sangat berbeza dengan kaedah sebenar hukum Islam, kerana mengikut Islam sebatan ini perlu mengambil kira keadaan dan kesihatan pesalah, selain dari memastikan pesalah dalam keadaan sepenuhnya berpakaian menutup aurat.



INFO UNTUK
ORANG BUKAN ISLAM YANG TIDAK TAHU,
ORANG ISLAM YANG JAHIL @
SENGAJA MENJAHILKAN DIRI!

SEBAT CARA ISLAM







SEBAT CARA SIVIL







Maklumat Ringkas:
SEBAT CARA ISLAM
1. Panjang rotan tidak lebih 1.22 meter , tebal tidak lebih 1.25 sm
2. Jika pesalah hamil, hukuman dilaksanakan selepas 2 bulan melahirkan anak.
3. Sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit.
4. Pesalah lelaki disebat berdiri manakala perempuan dalam keadaan duduk.
5. Sebatan dengan kekuatan sederhana.
6. Tukang sebat tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala.
7. Tidak melukakan kulit pesalah.

SEBAT CARA SIVIL
1. Rotan yang digunakan terdiri daripada berbagai-bagai saiz.
2. Pesalah akan ditanggalkan pakaiannya dan digantikan dengan pakaian cawat.
3. Pakaian cawat hanya menutupi bahagian kemaluan depan sahaja.
4. Bahagian daging punggung akan terdedah untuk disebat.
5. Pesalah akan dibaringkan secara berdiri pada patung yang dikhaskan dan diikat kedua kaki dan tangan.
6. Sesetengah tukang sebat menyebat dengan cara terus.
7. Sesetengah tukang sebat menyebat dengan cara sentapan.
8. Sebatan dengan cara sentapan lebih menyakitkan kerana pesalah dapat merasakan cebisan kulit tersentap keluar.

"YANG MANA ADIL, YANG MANA ZALIM?"


Berkaitan:
Presiden PAS: Hukuman rotan syariah tidak melukakan
...Hukuman yang dirujuk sebagai pelaksanaan hukum Islam di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 enakmen sama (pindaan 1987) sebenarnya masih tidak mengikut prinsip syarat hukum Islam yang sebenar.

Di bawah hukum Islam, kesalahan meminum arak adalah diletakkan di bawah hukum hudud, iaitu satu hukum yang dinaskan mengikut Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW....

Apa yang paling penting untuk difahami ialah cara sebatan yang dilaksanakan di dalam penjara sekarang adalah sangat berbeza dengan kaedah sebenar hukum Islam, kerana mengikut Islam sebatan ini perlu mengambil kira keadaan dan kesihatan pesalah, selain dari memastikan pesalah dalam keadaan sepenuhnya berpakaian menutup aurat.

Alat sebatan dan kaedah merotan hendaklah juga sederhana, antaranya bila sebatan dilaksanakan tangan tidak boleh diangkat sehingga menampakkan ketiak.

Sebatan juga tidak boleh sampai mencederakan, dan sebatan dilakukan di beberapa tempat pada badan dan bukannya pada satu tempat sahaja.

Dalam Islam, hukuman ini bukan bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta mendidik masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan perbuatan itu lagi.... 

 

AKADEMI RAMADHAN

Isnin, 31 Ogos 2009

JOM TINGGALKAN MAKSIAT

Pihak masjid Sultan Hisamuddin BBST telah mengadakan kempen menampal poster "JOM TINGGALKAN MAKSIAT" dibeberapa premis termasuk Seven 11 pada hari Jumaat,28/8/2009,jam 3.30 petang.Pada peringkat awalnya pihak penguatkuasa JAIS PAID Sepang bersetuju untuk turut serta tetapi menarik diri d isaat-saat akhir kerana alasan yang tak munasabah.Saya sendiri dengan beberapa orang ajk telah memantau penjualan arak di seven 11,ternyata seven 11 di sini telah tidak menjual arak walaupun ada kedengaran dari penduduk di sini,terdapat penjualan arak sebelum ini.Kami juga sempat memberi nasihat kepada dua orang pekerja seven 11 berkenaan pengharaman arak dalam Islam.Kami juga cuba menampal beberapa poster yang sama di Hotel Empress tetapi telah dihalang berbuat demikian oleh pihak keselamatan hotel berkenaan.Mungkin semua maksiat yang disebut di dalam poster yang kami bawa iaitu arak,zina dan khalwat  berlaku di dalam hotel tersebut.Namun kami berjaya juga menampal poster di depan kawasan hotel iaitu di barisan kedai berhadapan dengan hotel.Operasi kami berakhir pada jam 4.30 petang. Saya menyeru kepada semua saudara muslimin dan muslimat bertindaklah memerangi kemungkaran yang berlaku di tempat tinggal kita,bukan hanya kita ini pandai memberikan pelbagai cadangan dan kritikan tetapi kosong dalam tindakan.

Isnin, 24 Ogos 2009

RAMADHAN AL-MUBARAK

Seringkali Ramadan dikaitkan dengan Mubarak- Ramadan al-Mubarak. Ia membawa maksud keberkatan. Jika ditinjau makna berkat di dalam al-Quran, ia membawa erti bertambah dan berkembang. 

 

Berkatnya bulan Ramadan apabila kebajikan dilakukan secara berganda-ganda dan pahala pun digandakan oleh Allah.

 

Allah itu berkat. Ayat: تَبَارَكَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ (al-A’raf:54) 

Quran itu berkat. وَهَذَا كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ مُبَارَكٌ فَاتَّبِعُوهُ وَاتَّقُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ (al-An’am:155) 

Malam Lailatul qadar itu berkat. إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ (al-Dukhan: 3) 

 

Ramadan itu berkat kerana ia bulan difardukan puasa, diturunkan al-Quran dan terdapat malam Lailatul Qadar. Bukan lailatul Kamdar. 

Manusia perihatin terhadap rezeki yang halal walau pun tidak semua. Di kalangan mereka yang prihatin terhadap rezeki yang halal, sebahagian sahaja yang prihatin terhadap keberkatan dalam rezeki. 

Rezeki yang berkat (bertambah dan berkembang) maksudnya bertambah amal kebajikan.

Bagaimana memperoleh rezeki yang berkat: 

 

1. Istigfar dan taubat kepada Allah SWT dari segala dosa.

 


Firman Allah SWT tentang Nabi Nuh SAW: 

َفقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا {10} يُرْسِلِ السَّمَآءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا {11} وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا {12} 

Maksudnya: “…Maka aku katakan kepada mereka: "Mohonlah ampun kepada Rabbmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun" nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.” (QS. Nuh: 10-12).

 

2. Berpagi-pagi dalam mencari rezeki: 

 

Sabda Nabi SAW: 

اَللّهُمَّ بَارِكْ ِلأُمَّتِي فِى بُكُوْرِهَا 

Maksudnya: "Ya Allah, berilah berkah untuk umatku di pagi harinya." (HR. Abu Daud dan At-Tirmidzi) .

 

3. Bertaqwa kepada Allah SWT: 

Firman Allah SWT: 

وَمَن يَتَّقِ اللهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا * وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لاَيَحْتَسِبُ 

Maksudnya: “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar. Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. . (QS. Ath-Thalaaq: 2-3). 

 

Firman Allah SWT: 

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى ءَامَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَآءِ وَاْلأَرْضِ وَلَكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ {96} 

Maksudnya: Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.” (QS. Al-A'raaf: 96). 

 

4. Menjauhi semua maksiat: 

Firman Allah SWT: 

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ {41} 

Maksudnya: Telah nampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). (QS. Ar-Ruum: 41). 

 

5. Tawakkal kepada Allah SWT: 

 

Pengertiannya: bergantungnya hati hanya kepada Allah SWT semata-mata. 

Firman Allah SWT: 

وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللهُ لِكُلِّ شَىْءٍ قَدْرًا {3} 

Maksudnya: Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) -Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (QS. Ath-Thalaq: 3). 

 

Dari 'Umar bin Khaththab r.a, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: 

لَوْ أَنَّكُمْ تَوَكَّلْتُمْ عَلَى اللهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقٌ الطَّيْرَ تَغْدُوْ خِمَاصًا وَتَعُوْدُ بِطَانًا. 

Maksudnya: Jika kalian bertawakkal kepada Allah SWT dengan sebenarnya, niscaya Dia SWT akan memberi rizki kepada kalian sebagaimana Dia memberi rizki kepada burung, ia berangkat di pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali dalam kondisi kenyang.” (HR. At-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Ahad, 23 Ogos 2009

MADRASAH RAMADHAN

Assalamualaikum.

Alhamdulillah kita telah berada di dalam bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini.Di dalam bulan yang mulia ini marilah kita sama-sama memperbaiki  kualiti Iman dan taqwa yang terdapat di dalam diri kita.

Sabda Rasulullah saw.:


"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."

 

Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang bertahta di hati kita selama ini. Oleh itu, inilah masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata. Tetapi puasa adalah berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi manusia. Ini adalah jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap umat Islam. 


Nabi Muhammad saw pernah bersabda:

"Berjihadlah kamu dengan lapar dan dahaga kerana pahalanya seperti pahala mujahid di jalan Allah (fi sabilillah) dan sesungguhnya tiada amalan yang lebih diperkenankan oleh Allah selain menahan lapar dan dahaga"


Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Bulan Ramadhan ini adalah anugerah Allah sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hamba Nya. Allah tidak mensia-siakan keletihan umatnya yang berpuasa hinggakan tidur di waktu siang juga diberikan pahala. Begitu besarnya kasih sayang Allah pada kita. Oleh itu marilah bersama-sama kita menilai diri kita. Semoga tahun ini amalan kita akan semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. Insya Allah. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang menganiayai diri sendiri. 

Sabda Rasulullah saw:

"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu."

Justeru marilah kita sama-sama mempertingkat amalan kita pada bulan ini supaya madrasah ramadhan ini mampu mengubah kita menjadi hamba Allah yang lebih bertaqwa.Antara amalan-amalan yang boleh kita perbanyakkan pada bulan tarbiyah ini ialah:

  • Membaca Al-Quran dan memahami isi kandungannya.
  • Bangun malam beribadah kepada Allah dengan berusaha mencari Lailatulqadar iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan.
  • Bersedekah kerana nabi Muhammad SAW adalah orang yang paling banyak bersedekah pada bulan Ramadhan.
  • Beri'tikaf di masjid dengan solat sunat, berzikir,menghadiri tazkirah dan kuliah agama.
  • Memelihara lidah dan pancaindera kita daripada melakukan maksiat dan kemungkaran.
 


Isnin, 17 Ogos 2009

PERSOALAN RAMADHAN-DIJAWAB DR.YUSOF AL-QARDHAWI

Adakah boleh ditetapkan awal Ramadhan melalui kiraan falak?

Dr. Yusof al-Qardhawi menyetujui pandangan Imam Taqiyuddin al-Subki, salah seorang ulama’ mazhab Syafie yang mengatakan bahawa apabila kiraan falak menyatakan kemustahilan dilihat anak bulan dengan pandangan mata, maka persaksian sesiapa yang mendakwa melihat anak bulan akan ditolak.

Beliau mengatakan bahawa ini juga adalah pandangan Syeikh Al-Azhar Muhammad Mustafa al-Maraghi dan pandangan seorang ulama’ hadis, Syeikh Syakir. Selain itu beliau juga membawakan kata-kata Ibnu Sarij yang mentafsirkan hadis: “Jika tidak jelas bagi kamu (cuaca buruk yang menghalang dari melihat anak bulan), maka taqdirkanlah” sebagai ‘jika tidak jelas bagi kamu, maka lakukanlah kiraan turun naik bulan.”

Dr. Yusof al-Qardhawi menyatakan bahawa kiraan falak boleh dijadikan sekurang-kurangnya sebagai hujah untuk menafikan awal Ramadhan. Dengan itu jika ahli falak mengatakan bahawa pada hujung hari ke 29 bulan Sya’ban, anak bulan mustahil akan kelihatan, maka tidaklah perlu dikumpulkan orang ramai dan dikeluarkan kos untuk meneropong anak bulan. Sebaliknya umat Islam hendaklah terus menyempurnakan 30 hari Sya’ban.

Beliau menguatkan hujahnya dengan sabda Rasulullah s.a.w.: “Kami kaum buta huruf yang tidak pandai mengira dan membaca.” Beliau menafsirkan hadis tersebut sebagai keadaan dan sebab kenapa di zaman Rasulullah s.a.w., awal Ramadhan ditentukan dengan melihat anak bulan.

Adapun hadis: “Berpuasalah apabila melihat anak bulan dan berbukalah apabila melihat anak bulan. Jika tidak jelas bagi kamu, sempurnakanlah 30 hari Sya’ban.” Beliau mentafsirkan hadis ini berdasarkan kaedah fiqh bahawa hadis ini menyatakan matlamat yang tetap dan wasilah yang boleh berubah. Matlamat yang tetap adalah penentuan awal Ramadhan. Wasilah yang berubah adalah persaksian anak bulan dengan menggunakan mata. Jika ada cara yang lebih baik dari persaksian mata, maka wasilah itu diterima. Kiraan falak di zaman ini sudah tentunya lebih tepat dan lebih baik dari persaksian mata.



Apakah hikmah puasa diwajibkan berdasarkan pusingan bulan (tahun hijrah) dan bukannya pusingan matahari (tahun Masehi)?

Dr. Yusof al-Qardhawi menerangkan bahawa di antara hikmah puasa tersebut diwajibkan berdasarkan pusingan bulan:

1. Tahun Islam diasaskan di atas pusingan bulan. Begitu juga hukum hakam yang lain seperti haul zakat, ibadah haji, iddah seorang wanita yang diceraikan suami dan sebagainya.

2. Ia lebih tobi’ie dan lebih mudah untuk dikira berdasarkan kemunculan bulan dan saiznya pada waktu malam.

3. Ramadhan kadang-kadang akan berselisih dengan musim panas atau musim sejuk atau musim-musim yang lain. Dengan itu seorang muslim kadang-kadang akan berpuasa pada waktu sejuk dan kadang-kadang pada waktu panas terik. Kadang-kadang di waktu yang siangnya panjang dan kadang-kadang di waktu siang pendek. Ia lebih seimbang dan mengukuhkan ketaatan seorang muslim kepada Tuhan dalam setiap keadaan.

Adakah puasa tetap sah jika seseorang melakukan maksiat ketika dia sedang berpuasa?

Dr. Yusof al-Qardhawi menolak pandangan Ibnu Hazm yang mengatakan bahawa maksiat akan membatalkan puasa seseorang seperti makan dan minum. Walau pun begitu beliau mengatakan bahawa maksiat yang dilakukan oleh seseorang yang berpuasa akan menghilangkan hasil yang diharapkan dari puasa tersebut.

Dengan itu yang terbaik adalah seseorang itu sentiasa berusaha untuk mencontohi puasa salafussoleh yang menjaga diri bukan sahaja dari makan dan minum tetapi sebaliknya dari perkara-perkara haram dan melalaikan.



Adakah wujud sebenarnya ‘waktu imsak’?

Dr. Yusof al-Qardhawi menyokong pandangan al-Hafiz Ibnu Hajar yang berkata: “Di antara bid’ah mungkar adalah apa yang dilakukan pada hari ini; iaitu dilaungkan azan sepertiga jam sebelum azan Subuh di dalam bulan Ramadhan dan dipadamkan api sebagai tanda haramnya makan dan minum bagi orang yang akan berpuasa. Mereka menyangka bahawa itu lebih berhati-hati di dalam ibadah. Tiada yang mengamalkan itu kecuali manusia-manusia awam (ulama’ tidak mengamalkannya). Cara berfikir sebegini juga telah menyebabkan mereka tidak azan kecuali setelah beberapa ketika selepas tenggelam matahari. Mereka melambatkan berbuka dan mengawalkan sahur. Dengan itu mereka melakukan amalan yang bercanggah dengan sunnah (melewatkan sahur dan menyegerakan berbuka).”

Dr. Yusof al-Qardhawi menegaskan bahawa ‘waktu imsak’ tersebut adalah suatu yang tidak perlu kerana ulama’ silam makan dan minum sehingga azan Subuh berkumandang.



Manakah yang lebih afdhal bagi seseorang yang musafir; berpuasa atau tidak berpuasa?

Dr. Yusof al-Qardhawi berpendapat bahawa seorang bermusafir boleh berbuka puasa walau pun perjalanan yang ditempuhi itu tidak memberikan apa-apa masyaqqah (keberatan dan beban) kepadanya. Ini kerana illah (sebab) diharuskan berbuka adalah perjalanan itu sendiri dan bukannya masyaqqah (keberatan dan beban).

Walau pun begitu yang manakah yang lebih afdhal?

Dr. Yusof al-Qardhawi merumuskan bahawa kaedah syara’ menyatakan bahawa mengambil rukhsah (keringanan) lebih afdhal dari tidak mengambilnya. Dengan itu seseorang yang bermusafir itu perlu untuk mengukur di manakah rukhsah (keringanan) bagi dirinya.

1. Jika beliau merasakan bahawa lebih ringan baginya untuk berpuasa bersama-sama orang Islam lain di dalam bulan Ramadhan lalu dia tidak perlu menggantikannya di luar bulan Ramadhan, maka afdhal baginya untuk berpuasa.

2. Jika beliau merasakan bahawa berbuka dan kemudian menggantikan puasa tersebut di luar Ramadhan lebih ringan, maka berbuka puasa lebih afdhal baginya.

Bilakah waktu berbuka bagi seseorang di dalam pesawat?

Dr. Yusof al-Qardhawi menegaskan bahawa waktu berbuka puasa bagi seseorang yang berada di dalam pesawat tidak sama dengan waktu berbuka puasa bagi mereka yang berada di atas daratan. Kesilapan sering dilakukan oleh peramugari dan juruterbang yang mengisytiharkan masuknya waktu Maghrib berdasarkan waktu di daratan.

Beliau mengatakan bahawa sebagaimana waktu Maghrib berbeza dari satu tempat berbanding tempat yang lain disebabkan oleh perbezaan kedudukan tempat tersebut (garis lintang dsb) di atas muka bumi, begitu juga waktu Maghrib berbeza berdasarkan ketinggian. Kemungkinan waktu Maghrib sudah masuk bagi penduduk satu-satu bandar , tetapi bagi penduduk yang tinggal di tempat tinggi di bandar yang sama masih lagi dapat melihat cahaya matahari dengan jelas.

Inilah juga fatwa Ibnu Abidin, salah seorang ulama’ mazhab Hanafi: “Sesiapa yang tinggal di kawasan yang tinggi seperti menara Iskandariah, beliau tidak boleh berbuka selagi tidak tenggelam matahari di tempatnya, manakala bagi penduduk negeri tersebut boleh berbuka jika matahari telah tenggelam di tempat mereka. Begitulah juga halnya dengan terbit matahari bagi sahur dan solat Subuh.”

Bilakah malam Lailatul Qadr?

Dr. Yusof al-Qardhawi mengatakan bahawa tidak ada pendapat yang pasti di dalam menentukan bilakah malam lailatul qadr. Al-Hafiz Ibnu Hajar mengatakan bahawa terdapat 46 pendapat ulama’ di dalam masalah ini.

Apa yang pasti ia adalah pada 10 malam yang terakhir dari bulan Ramadhan. Pendapat yang kuat adalah ia pada salah satu dari malam-malam ganjil dan kemungkinan tidak sama di antara satu tahun ke satu tahun berikutnya.

Jika Ramadhan tahun itu 30 hari, maknanya 10 malam terakhir itu bermula dari malam ke 21. Jika Ramadhan tahun itu 29 hari, maknanya 10 malam terakhir itu bermula dari malam ke 20.



Bolehkah zakat fitrah dikeluarkan di awal bulan Ramadhan (bukan sebelum solat Aidil Fitri seperti yang diamalkan oleh sebahagian umat Islam)?

Dr. Yusof al-Qardhawi mentarjihkan pandangan Imam Syafie di dalam masalah ini. Imam Syafie berkata: “Harus dikeluarkan zakat bermula dari awal bulan Ramadhan kerana illah (sebab) kewajipan zakat adalah puasa dan berbuka.”

Dr. Yusof al-Qardhawi juga menambah bahawa masyarakat pada hari ini jauh lebih luas dan lebih rumit dari masyarakat di zaman Rasulullah s.aw. Ditambah pula jika zakat itu dikutip dan diagihkan oleh badan kerajaan atau mana-mana badan swasta, sudah tentulah ia memerlukan masa untuk menguruskan pengagihannya agar ia betul-betul dapat memenuhi keperluan si penerima zakat di hari Raya nanti.



Bolehkah wang menggantikan beras atau gandum di dalam zakat fitrah?

Imam Ahmad, Imam Malik dan Imam Abu Hanifah tidak membenarkan beras atau gandum tersebut diganti dengan wang tunai. Dr. Yusof al-Qardhawi mentarjihkan pandangan Ibnu al-Munzir yang mengharuskannya.

Di antara hujah yang diberikan oleh Dr. Yusof al-Qardhawi:

1. Rasulullah s.a.w. mewajibkan zakat fitrah dikeluarkan dalam bentuk tanaman kerana itu adalah yang termudah pada masa itu kerana wang pada zaman itu tidak banyak dimiliki oleh orang ramai

2. Wang akan berubah nilainya dari masa ke semasa sedangkan sukatan makanan lebih mudah untuk diukur

Dengan itu Dr. Yusof al-Qardhawi merumuskan bahawa bentuk pengeluaran zakat yang paling afdhal bergantung kepada yang manakah yang mudah dan lebih memenuhi keperluan penerima zakat. Apa yang jelas adalah wang lebih memenuhi keperluan penerima zakat kerana kerana wang bukan sahaja dapat memenuhi keperluannya kepada makanan sahaja sebaliknya boleh digunakan untuk membeli pakaian, keperluan Ramadhan dan keperluan hari raya.

 (Dr. Yusof al-Qardhawi)

Rabu, 29 Julai 2009

IBADAH DALAM ISLAM

Pada hari ini ramai dikalangan orang Islam yang nyata keliru berkenaan konsep ibadah di dalam Islam.Ramai dikalangan kita yang beranggapan ibadah itu hanya berkaitan dengan solat,puasa,zakat dan perkara-perkara yang menyentuh rukun Islam yang lain.Namun begitu hakikatnya konsep ibadah dalam Islam adalah merangkumi seluruh kehidupan kita seharian iaitu bermula dari kita bangun tidur sehinggga kita tidur kembali.Mari kita selusuri tajuk ini iaitu “ Ibadah Dalam Islam.”

Definasi Ibadah 


Dari segi bahasa “ibadah” bererti merendah diri, tunduk, patuh dan taat. Dari segi syara’ “ibadah” diertikan sebagai taat, tunduk patuh dan merendah diri sepenuhnya kepada Allah. Sheikh Ibn. Taimiyah pula menyatakan, “Ibadah asal maknanya kehinaan, tetapi ibadah yang diperintah Allah atau yang disyariatkan ke atas manusia merangkumi makna kehinaan dan kecintaan bersama iaitu kemuncak kehinaan diri seseorang bila berhadapan dengan Allah dan kemuncak kecintaannya kepadanya.

 

Al-Tabari pula, menjelaskan maksud ibadah iaitu khusu’ kepadanya, merendah diri dan tetap hati kepadanya. Sebagai kesimpulan ibadah bermaksud merangkumi segala perkara yang disukai Allah dan diredhaiNya, sama ada keyakinan, sikap, perkataan, amal perbuatan, zahir atau batin. Dalam kata lain ibadah ialah segala aktiviti manusia yang zahir dan batin dalam mengerjakan sesuatu perkara atau meninggalkannya semata-mata dengan niat mencari keredhaan Allah. 


Firman Allah yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman Makanlah rezeki Yang balk Yang Kami berikan kepadamu. Dan bersyukurlah kepada Allah jika kepadaNya kerana beribadah. (Al-Baqarah: 172)1



“katakanlah Akan kuberitakan -kepadamu tentang pembalasan Allah yang lebih buruk dari itu yang dikutuki Allah dan dimurkaiNya, ada yang diadikan-Nya kara, ada yang dijadikan-Nya babi dan menyembah taghut” (Al-Maidah: 60)



Ciri-Ciri ‘Ibadah Dalam Islam



1. ‘Ibadah hanya dikerjakan semata-mata kerana Allah

Al-Quran menitikberatkan bahawa ‘ibadah itu hendaklah dilakukan kerana Allah semata-mata. 

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan Rabmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia

(Al-Isra’ 23.)
“Ia telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia.

(Yusuf 40)

“Barangsiapa mengharapkan perjumpaan dengan Tuhan-Nya maka hendaklah ia mengerjakan ‘amal yang salih dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya.

(Al-Kahfi: 110)


Oleh itu segala tindakan yang dilakukan oleh manusia mestilah diniatkan semata-mata kerana Allah. Untuk mengawal asas dan dasar ini, Islam menegah setiap perbuatan atau tindakan yang boleh mendatangkan maksud penyembahan sesama manusia atau pun membuka jalan untuk mengelirukan pengertian ‘ibadah yang semestinya dikhususkan hanya kepada Allah.


2. Perhubungan langsung di antara hamba dan Penciptanya.


Dalam Islam perhubungan dapat dilakukan oleh seorang hamba dengan Allah secara langsung. ‘Ibadah di dalam Islam tidak berhajat adanya orang tengah sebagaimana yang terdapat pada setengah-setengah agama lain. Begitu juga tidak terdapat dalam Islam tokoh-tokoh tertentu yang menubuhkan satu lapisan tertentu yang dikenali dengan nama tokoh-tokoh agama yang menjadi orang-orang perantaraan antara orang ramai dengan Allah.


Di dalam Islam peranan para ‘ulama’ dan fuqaha’ hanyalah untuk mengkaji dan menyelilidiki hukum-hukum syara’ serta mengajarkannya kepada orang ramai. Peranan mereka bukan untuk mengampuni dosa atau mengkabulkan doa seseorang kepada A11ah sebagaimana yang terdapat pada setengah-setengah agama lain.’


3. Melambangkan khudu’( الخضوع) yang penuh dan keta’atan yang mutlak kepada Allah


‘Ibadah dalam Islam melambangkan khudu’ atau ketundukan seseorang sepenuhnya kepada Allah serta keta’atannya yang mutlak terhadap-Nya. Oleh itu dalam bidang ‘ibadah khusus ianya bersifat taufiqiyyah; iaitu ia dilaksanakan menurut garis-garis yang ditunjukkan oleh Rasululullah (s.a.w.) dan berhenti setakat sempadan yang telah ditentukan oleh syara’ dan sebagaimana yang telah dilakukan sendiri oleh Rasulullah (s.a.w.). Tidak boleh ditambah atau dikurangkan atau membuat sebarang perubahan terhadapnya. Sabda Rasulullah (s.a.w.):




“Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku sembahyang.”

(Bukhari)


“Ambillah kamu daripadaku cara-cara (manasik) ibadat haji kamu.”

(Bukhari)


Ada pun bagi ‘ibadah-’ibadah umum ketundukan dan kepatuhan ini dapat dilaksanakan dengan benar-benar mencontohi Rasulullah (s.a.w) dalam seluruh jalan kehidupan. Ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud:


“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah dan (kedatangan) Hari qiyamah dan dia banyak menyebut Allah

(Al-Ahzab 21)



Kepatuhan mengikut apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah (s.a.w.) bererti seseorang itu telah menundukkan dirinya mematuhi dan menta’ati perintah Allah di dalam ia melakukan segala ‘ibadah di dalam kehidupan


‘Segala perkara atau ‘amal selain dari kumpulan ‘ibadah khusus di atas yang dilakukan semata-mata untuk mencari kkeredaan Allgh. Ini termasuklah seluruh perbuatan manusia dalam kehidupan hariannya.

Ruang lingkup ‘Ibadah yang luas


Ruang lingkup ‘ibadah di dalam Islam amat luas sekali. Ianya merangkumi setiap kegiatan kehidupan manusia. Setiap apa yang dilakukan baik yang bersangkut dengan individu mahupun dengan masyarakat adalah ‘ibadah menurut islam selagi mana ia memenuhi syarat-syarat tertentu.


Syarat–syarat tersebut adalah seperti berikut


i. ‘Amalan yang dikerjakan itu hendaklah diakui islam bersesuaian dengan hukum-hukum syara’ dan tidak bercanggah dengan hukum-hukum tersebut. Adapun ‘amalan-’amalan yang diingkari oleh Islam dan ada hubungan dengan yang haram dan ma’siat, maka tidaklah sekali-kali ia dijadikan ‘amalan ‘ibadah.


ii. ‘Amalan tersebut dilakukan dengan niat yang balk bagi tujuan untuk memelihara kehormatan diri, menyenangkan keluarganya, memberi manfa’at kepada umat seluruhnya dan bagi mema’murkan bumi sebagaimana yang dianjurkan oleh Allah.


iii ‘Amalan tersebut mestilah dibuat dengan seelok-eloknya bagi menepati apa yang ditetapkan oleh Rasulullah (s.a.w.):


“Bahawa Allah suka apabila seseorang dari kamu membuat sesuatu kerana dengan memperelokkan kerjanya. “

(Muslim)


iv. Ketika membuat ‘amalan tersebut hendaklah Sentiasa menurut hukum-hukum syara’ dan ketentuan batasnya, tidak menzalimi orang lain, tidak khianat, tidak menipu dan tidak menincds atau merampas hak orang.


v. Tidak mencuaikan ‘ibadah-’ibadah khusus seperti salat zakat dan sebagainya dalam melaksanakan ‘ibadah-’ibadah umum


Firman Allah

“Wahai orang-orang yang beriman janganlah harta-harta dan anak-anak kamu melalaikan kamu dari mengingati Allah batangsiapa berbuat demikian maka mereka sebenarnya orang-orang yang rugi. “

(Al-Munafiqun 9)




Jadi, bila sahaja seorang mu’min dapat menyempurnakan kelima-lima syarat di atas dalam mengendalikan segala pekerjaan dan urusan hidupnya setiap hari, maka dia akan dikira sentiasa ber’ibadah kepada Allah meskipun dia tidak duduk di dalam masjid ketika membuat kerja-kerja tersebut.


Tidak torkongkong pada sesuatu tempat perlbadatan sahaja.


Di dalam Islam perlaksanaan ‘ibadah tidak tertakluk kepada tempat-tempat tertentu. Seluruh bumi Allah adalah tempat ber’ibadah bagi para mu’min. .


Firman Allah

Dialah Yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezekiNya. Dan hanya kepada-Nyalah kamu (kembali) setelah dibangkitkan. “

(Al-Mulk: 15)



Di dalam Islarn ibadah boleh dilakukan di mana-mana sahaja kerana di mana sahaja seseorang itu berada, perhubungannya adalah terus kepada Allah Islam menganggap seluruh bumi sebagai masjid kecuali tempat-tempat yang najis dan kotor Itulah sebabnya Rasulullah (s.a.w.) salat di mana-mana sahaja baginda berada, sama ada di tengah-tengah padang pasir atau di atas kenderaannya.


 

Pembahagian Ibadah : 

  a.Pembahagian secara khusus dan umum

1. Ibadah Khusus : Ia adalah merupakan sekumpulan perintah yang wajib dilakukan sebagaimana yang terkandung dalam rukum Islam dan juga seumpama seperti sembahyang, puasa, zakat, haji, tilawatul Quran, zikir dan sebagainya.

2.Ibadah Umum : Segala perkara atau pekerjaan selain dari yang tersebut di atas yang dilakukan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah.

  b.Pembahagian secara Badaniah,Maliah dan Qalbiah

1 Ibadah Badaniah: tubuh badan seperti sembahyang, menolong orang dalam kesusahan dan lain-lain.

2 Ibadah Maliyah : harta benda seperti zakat, memberi sedekah, derma dan lain-lain.

3.Ibadah Qalbiyah: hati seperti sangka baik, ikhlas, tidak hasad dengki dan lain-lain.

  c.Pembahagian secara Ijabiyah dan Salbiyah

1 Ibadah Ijabiyah : positif iaitu perintah amal

2.Ibadah Salbiyah : negatif iaitu perintah tinggal

Syarat-Syarat Pekerjaan / Amalan Menjadi Ibadah

 

Sesuatu pekerjaan atau sebarang amalan itu boleh dijadikan sebagai ibadah kepada Allah sekiranya memenuhi syarat-syarat seperti berikut :

 

1. Orang yang melakukan hendaklah beragama Islam.

2. Amalan yang dikerjakan itu hendaklah diakui Islam. Sesuai dengan hukum syariah dan tidak bercanggah dengan hukum-hukum tersebut. Adapun amalan-amalan yang diingkari Islam seperti pekerjaan yang ada hubungannya dengan riba, tari menari, perkara-perkara maksiat dan sebagainya, tidaklah sekali-kali menjadi ibadah. Allah bersifat bersih dan baik, tidak menerima amalan yang kotor kecuali yang baik dan bersih sahaja.

3. Amalan-amalan itu dikerjakan hendaklah dengan niat yang baik. Sama ada untuk memelihara kehormatan diri atau menyenangkan keluarganya atau memberi manfaat kepada umatnya atau untuk memakmurkan bumi Allah sebagaimana yang dianjurkan oleh Allah.

4. Semasa membuat pekerjaan tersebut hendaklah sentiasa menurut hukum-hukum syariat dan batasnya, tidak menzalimi orang, tidak menipu dan tidak menindas atau mencampur hak orang.

5. Segala pekerjaan duniawi itu tidak melalaikan dan mencuaikan dari melaksanakan kewajipan ibadah. Khususnya seperti sembahyang, puasa dan sebagainya sesuai dengan firman Allah :


Maksudnya: 

Wahai orang-orang yang beriman janganlah hendaklah harta-harta kamu dan anak pihak itu melalaikan kamu dari mengingatkan Allah. Sesiapa berbuat demikian maka merekalah sebenarnya orang-orang yang rugi.

 

Jadi, bila sahaja seorang mukmin dapat menyempurnakan syarat-syarat di atas dalam mengendalikan segala pekerjaan dan urusan hidupnya setiap hari dia adalah dikira sentiasa beribadat kepada Allah meskipun dia tidak duduk di Masjid atau di surau ketika membuat kerja-kerja itu.

Penutup.
Sesungguhnya ‘ibadah di dalam Islam tidak hanya terbatas kepada saIat, zakat, puasa, haji. berzikir, berdoa dan beristighfar sebagaimana yang difahami oleh setengah-setengah golongan di kalangan umat Islam. Kebanyakan mereka menyangka bahawa bila mereka telah menunaikan perkara-perkara yang fardhu bererti mereka telah menyernpurnakan segala hak Allah dan kewajipan ‘ubudiyyah terhadap-Nya.


Sebenarnya kewajipan-kewajipan yang besar dan rukun-rukun asasi walau bagaimana tinggi kedudukannya, ia hanyalah sebahagian daripada tuntutan ‘ibadah kepada Allah. Ia tidak merupakan seluruh ‘ibadah yang ditetapkan Allah kepada hamba-hamba-Nya. Kewajipan-kewajipan tersebut adalah tiang-tiang utama bagi mengasaskan dasar-dasar ‘ubudiyyah manusia kepada Allah. Selepas ini adalah dituntut bahawa setiap tindakan yang dilakukan olehnya mestilah selaras dengan dasar-dasar tersebut serta mengukuhkannya.Manusia telah dijadiikan Allah dengan tujuan untuk ber’ibadah kepada Allah. Oleh itu tujuan ini hanya dapat dilaksanakan oleh manusia sekiranya ruang lingkup ‘ibadah dan daerah-daerahnya cukup luas sehingga ia meliputi seluruh urusan kehidupan manusia itu sendiri.

 

  Disusun dan diolah daripada http://www.unitagamakmb.com

AHLAN WASAHLAN RAMADHAN AL-MUBARAK

Firman Allah Taala yang bermaksud:"Wahai orang-orang yang beriman,taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri(orang-orang yang berkuasa)dari kalangan kamu." (Surah an-Nisa':59)

Alhamdulillah kita sedang menuju kepada bulan yang paling mulia disisi umat Islam iaitu Ramadhan al-Mubarak.Sebelum kita berada pada bulan yang penuh dengan rahmat ini,marilah kita sama-sama bermuhasabah demi untuk melihat samaada tarbiyah Ramadhan yang lalu masih utuh atau sudah luput ditelan waktu.

Mari kita menilai  diri kita:

1-Adakah kita seorang yang patuh dan taat kepada perintah Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya?

2-Adakah kita seorang yang menjunjung sunnah Rasulullah SAW dengan menghayati sirahnya dan memperkasakan suruhan dan larangan baginda?

3-Sejauhmanakah usaha kita untuk mempertingkatkan mutu iman yang tersemat di dalam diri kita?

4-Apakah sumbangan kita kepada Islam  dari segi jiwa,harta,ilmu, masa dan sebagainya bermula kita telah memahami dua kalimah syahadah yang diucapkan?

Inilah soalan-soalan yang mungkin boleh kita tanyakan kepada diri saya dan diri tuan-tuan bagi membuat penilaian terhadap tahap pencapaian kita sebagai orang Islam atau mungkin banyak lagi persoalan yang perlu kita jawab.

Para muslimin yang dirahmati Allah.

Kita terlalu suka menilai kelemahan,keburukan dan kecacatan pada diri orang lain sehingga kita sering lupa atau kadang-kadang terlupa untuk menilai diri sendiri.Jadikanlah kata-kata Saidina Umar sebagai panduan iaitu"Nilailah diri kamu sebelum diri kamu dinilai di hari kemudian."Semoga bulan Ramadhan yang bakal menjelma,akan kita sambut dengan persediaan yang mantap dari sudut spritual,mental dan fizikal.Akhir kalam,marilah kita sama-sama semarakkan bulan rahmat  yang bakal tiba ini di masjid Allah dengan menghadiri program yang telah disusun dan beri'tikaf di dalamnya.Wassalam. 

                                                                                   

Ahad, 12 Julai 2009

Masjid Jamek Sultan Hisamuddin BBST

   Alhamdulillah,pada awal bulan Jun yang lalu saya telah mendapat surat pelantikan saya sebagai Nazir Masjid Sultan Hisamuddin Bandar Baru Salak Tinggi.Saya merasakan pelantikan ini adalah amanah yang amat besar kerana amanah untuk menguruskan rumah Allah.Saya amat bimbang jika kepercayaan ini tidak dapat dilaksanakan dengan baik.Saya cuba menanamkan keyakinan dalam diri saya dengan berbekalkan sedikit pengalaman sebagai setiausaha masjid dan ajk masjid  Jameatus Solehah pekan Dengkil untuk memacu kekuatan dan semangat sebagai pemimpin yang baru kepada masji ini.Saya amat bersyukur apabila saya memandang ajk masjid saya pada mesyuarat masjid kali pertama,saya sudah merasakan saya akan dibantu oleh sekumpulan profesional yang kebanyakan mereka pakar dalam bidang masing-masing.Ajk masjid ini terdiri daripada golongan yang keseluruhannya mempunyai sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda dalam bidang akademik dan agama,malah terdapat diantara mereka yang mempunyai sarjana dan sedang dalam proses kedoktoran.

  Sebenarnya,terdetik juga dihati kecil ini,siapalah aku kalau nak dibandingkan dengan mereka untuk menjadi nazir masjid ini.Tetapi saya  teringatkan kisah Rasulullah ketika melantik Usamah bin Zaid sebagai ketua peperangan bagi menghadapi Rom yang baru berusia 18 tahun ketika itu,membuatkan saya rasa yakin dengan pilihan Allah untuk diri saya berada ditempat ini.

Pada ketika ini sudah lebih sebulan saya memimpin masjid ini,alhamdulillah sudah terdapat sedikit perubahan yang sedang dan telah dibuat hasil kerjasama daripada ajk masjid yang ada.Antaranya dari segi dakwah,pendidikan,keceriaan dan pembangunan masjid.Saya amat berazam untuk menjadikan masjid ini seperti masjid di Singapura.Saya mendapati masjid di Singapura lebih terkehadapan daripada masjid-masjid kita di sini hasil daripada maklumat yang saya perolehi daripada wakil singapura yang dijemput khas dalam Konvesyen Masjid peringkat negeri Selangor yang lalu.Mereka telah menjadikan masjid tempat untuk melakukan semua aktiviti dan acara dengan berkonsepkan"rahmatan lil'alamin".Konsep ini telah berjaya mendekatkan semua golongan untuk pergi ke masjid tidak kira kanak-kanak,remaja,belia,wanita,orang kurang upaya dan golongan usia emas sehingga mereka berjaya menarik golongan bukan Islam untuk ke masjid.Berbeza dengan kita di sini yang menjadikan masjid tempat solat lima waktu sahaja atau datang ke masjid untuk solat Jumaat seminggu sekali sambil makan pisang.Begitu juga golongan yang datang ke masjid kita hari ni,ramai dikalangan yang sudah tua seolah olah masjid adalah tempat untuk orang tua sahaja,kemana perginya golongan remaja,pemuda dan belia kita?

Justeru saya telah merancang beberapa aktiviti untuk semua golongan di masjid ini antaranya:

1.Memperkasakan kuliah agama secara harian,mingguan dan bulanan serta seminar dan kursus.

2.Mewujudkan persatuan pemuda masjid untuk menyelaraskan semua aktiviti yang berkaitan dengan pemuda di bawah biro pemuda.

3.Memperbanyakkan program untuk wanita dengan membina kerjasama dengan NGO,Pejabat Agama Islam Daerah dan biro wanita dari persatuan-persatuan taman sekitar masjid ini.

4.Mewujudkan suasana yang selesa untuk kanak-kanak dengan mengadakan taman permainan kanak-kanak,taman asuhan kanak-kanak dan sebagainya.

5.Membina suasana yang menggalakkan pendidikan di masjid dengan mewujudkan perpustakaan dan talian internet secara terbuka kepada semua jemaah masjid.

6.Membangunkan keceriaan di sekitar dan di dalam masjid dengan membina taman-taman keceriaan.

7.Mengadakan tapak-tapak permainan seperti permainan sepak takraw,futsal atau bolatampar untuk menarik golongan muda mendekati masjid.

8.Membina tapak atau bangunan perniagaan untuk memberi peluang kepada golongan peniaga kecil berniaga dengan kadar sewa yang rendah dan berpatutan. 

9.Mewujudkan tabung-tabung kebajikan yang diambil 10% daripada  hasil kutipan hari Jumaat untuk disumbangkan kepada yang memerlukan dan sebagai ransangan pendidikan.

10.Mengemaskini perjalanan Badan khairat kematian masjid dan menyelenggara tanah perkuburan dengan baik.

Begitulah perancangan aktiviti yang sedang dan telah dilaksanakan di masjid ini.Saya juga berazam untuk merancang satu karnival masjid pada tahun depan dengan diisi pelbagai aktiviti yang menarik seperti Malam kesenian Islam,pertandingan sukan ,pameran dan gerai jualan serta kenduri sekampung.Semua ini tidak akan dapat dicapai dan dilaksanakan tanpa sokongan dan kerjasama daripada semua ajk masjid,ajk surau  dan penduduk sekitarnya.Semoga semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan Allah.Amin.....

Khamis, 25 Jun 2009

Peristiwa Israk Mikraj

1. Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu. 

2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah. ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S. menerima wahyu daripada Allah; iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A. S. dilahirkan); 

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

§ Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak. 

§ Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

§ Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang). 

§ Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka. 

§ Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

§ Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.
§ Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

§ Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya. 

§ Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

§ Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

§ Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat. 

§ Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

§ Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat. 

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah). 

. Langit Pertama: Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan. 

i. Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.

ii. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S. iii. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S. 
iv. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

v. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab. 

vi. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH". Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah). 

vii. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

viii. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya. 

ix. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya: 

Allah S. W. T : Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

4. Selesai munajat, Rasulullah S. A. W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A. S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga. 

5. Selepas Mikraj

Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam. 

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id) Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya. 

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka. 

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Mafhum Firman Allah S. W. T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." 
(Surah Al-Israa': Ayat 1). wallahua'lam..

Selasa, 16 Jun 2009

PERGINYA SEORANG PEJUANG

Dr. Fathi Yakan yang merupakan ulama gerakan Islam terkenal telah
pergi lebih dahulu daripada kita untuk bertemu dengan Allah pada hari
Sabtu, 13 Jun 2009, 4.45 petang waktu Lubnan. Beliau telah dimasukkan
ke Hospital Hotel Dieu, Beirut setelah keadaan kesihatannya kritikal.
Jenazahnya akan dibawa ke Tripoli pada hari Ahad untuk dikebumikan di
sana. Beliau dilahirkan di Tripoli, Libya pada tahun 9 Februari 1933
dan meninggal ketika berumur 76 tahun.

Umat Islam telah kehilangan seorang tokoh gerakan Islam yang sukar
dicari ganti, namun buku “Apa ertinya saya menganut Islam?” telah
ditinggalkan sebagai tatapan pencinta Islam. Buku ini merupakan
sumbangan yang besar kepada dakwah khususnya di Malaysia. Usrah tidak
sempurna tanpa ahli tidak dapat menjawab persoalan ini. Karya beliau
ini cuba memahamkan hakikat Islam dan keperluan untuk menjadi seorang
Islam yang betul dari segenap sudut kehidupan.

Ahad, 24 Mei 2009

MENDIDIK ANAK BANGSA,MATI KITA BERSAMA

Mendidik anak bangsaku

Tidak mati di sini

Tika kala mereka alpa ke mana

akan menapak

cita peribadi dan

hasrat ayah bonda

 

Mendidik anak bangsaku

bukan bagai membuai

waktu kecilmu untuk lena

tapi memerlukan ilmu dan

pengalaman penuh sabar

jika tidak, peluh menitis

sedang hasilnya terbang berkelana

 

Mendidik anak zaman ini

tidak mati di sini

tika kala awan hitam dari barat

berarak mengasak

lagu rindu remaja

dengan lipur budaya seberang,

menggerudi dengan kepulan dunhill dan heroin

ragam tempo dan dekadensi moral

 

Kekadang remajamu di persimpangan

kekadang haluanmu tidak kami temui

puas kami menguak belantara onak dan duri

berpulas dengan pendirian berbeza

demi nusa merdeka

terbawa arus globalisasi

lemas dalam maya tiada sempadan

 

Mendidikmu anak bangsaku

tidak mati di sini

biar berkedut kami pikul tugas ini

biar bertegang menghayun tangan dan kata

dipayungi panah segenap penjuru

demi meletakkan kamu pada paksi

tidak kami goyah

tidak kami sangsi

 

ini dunia kami

lantainya beralun ombak

dindingnya keliling berjeriji

lelangit tidak menjanjikan kerlipan bintang

namun mendidik anak bangsa

agar nilai cahaya bersepuh gemerlapan

hidup mati, kami bersama.

 


Ahad, 17 Mei 2009

Selsema Babi dan amaran Allah serta penyelamatnya.

 Hari ini dunia sekali lagi dikejutkan dengan ancaman wabak penyakit yang berbahaya iaitu wabak selsema babi atau dalam bahasa perubatannya dikenali sebagai Flu H1N1. Jika sebelum ini kita dikejutkan dengan pelbagai ancaman wabak penyakit seperti wabak selsema burung, denggi, JE, HIV dan chikungunnya.Hari ini dua orang pelajar di Malaysia yang baru pulang dari Amerika telah disahkan mengidap penyakit berbahaya ini.Penyakit ini amat membimbangkan kita di Malaysia kerana penyakit  ini amat memberhaya dan mudah berjangkit.Saya rasa perlu kita mengetahui Apa itu selsema babi? Begitu juga kita perlu lihat amaran Allah Taala akan binatang yang diharamkan ini.Dr.Danial Zainal Abidin juga  memberitahu dalam tulisannya bahawa babi diharamkan kerana tempat berkumpulnya pelbagai virus yang memberhaya.Saya juga terbaca satu  perkara  di dalam blog saudara Faisal Tehrani berkenaan penyelamat yang bakal Allah turunkan bagi kita di akhir zaman ini untuk berhadapan dengan semua masalah termasuk babi ini. 

Wabak Selsema Babi adalah kombinasi daripada tiga virus iaitu Virus Selsema Burung, Virus Selsema Manusia dan Virus Selsema Babi. Virus ini menyerang sistem pernafasan disebabkan oleh virus selsema jenis A (H1N1) yang mula dikesan sejak 1988. Sehingga kini seramai 159 orang disahkan meninggal dunia dan dianggarkan lebih 1,300 orang sebagai pengidap. Manakala negara-negara yang kini terlibat dengan wabak selsema babi ini ialah Mexico, Amerika Syarikat dan beberapa negara Asia.

Wabak ini dikatakan ia mudah berjangkit melalui sentuhan langsung dengan babi atau pemindahan virus selsema babi kepada manusia dan manusia sesama manusia. Antara kesan yang dapat dikenal pasti apabila seseorang itu terkena wabak ini ialah :
Apabila suhu badan melebihi 37.8 darjah celsius
Sakit badan 
Batuk 
Berhingus
Bersin 
Sesak nafas 
Hilang selera makan 
Muntah, dan cirit birit

Kini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi amaran kepada semua negara agar mengambil langkah tegas mengawal penularan wabak ini. Jika kita perhalusi ancaman ini, adakah ini sebagai peringatan daripada Allah SWT ? Di dalam al-Quran banyak memberi amaran kepada manusia yang mengkufuri dan melakukan maksiat kepada Allah SWT dengan pelbagai ancaman. Antara ancaman tersebut ada yang berbentuk kesengsaraan di dunia dan ada yang berbentuk kesengsaraan di akhirat. Di antara kesengsaraan di dunia ialah seperti bencana alam, peperangan, kemalangan, dan serangan wabak penyakit. Fikir sejenak…

Selain itu juga, di dalam al-Quran juga ada memperingati tentang pengharaman babi yang akan membinasakan kehidupan manusia. Justeru itu, timbul di sini persoalan yang perlu difikir bersama iaitu apakah perkaitan antara pengharaman babi dengan wabak yang dahsyat ini?. Benarkah virus boleh berubah dalam bentuk yang lebih bahaya pada babi?. Menurut pengkaji, kuman-kuman virus daripada babi ini mampu berubah menjadi lebih berbahaya dari semasa ke semasa.

Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah al- maidah : ayat 3 :

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan mati dipukul, dan mati jatuh, dan mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih, dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan) kamu mengundi nasib dengan anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik.”


Berdasarkan ayat tersebut, jelas bahawa Allah SWT mengharamkan sesuatu perkara mempunyai hikmah yang tertentu. Antaranya, bertujuan membuktikan perhambaan diri kepada Allah azza wa jalla dan menyelamatkan manusia daripada kerosakan. Menurut kajian saintis, memakan daging babi menyebabkan seseorang boleh dihinggapi hampir 70 jenis penyakit.


Yakinlah bahawa Islam adalah agama Allah yang benar, memenuhi keperluan fitrah setiap manusia. Oleh itu, pengharaman Islam terhadap babi, arak, zina, rasuah, judi dan sebagainya adalah untuk menjaga maslahah nyawa dan kehidupan manusia seluruhnya. Kalam ini mengharapkan adanya usaha yang terancang pihak kerajaan dalam menguatkuasakan pengharaman ke atas perkara-perkara yang jelas ditegah oleh Allah SWT.
Setakat ini ia menyerang 'yang muda' dan 'yang sihat' sahaja.

Ia juga boleh menyerang sesiapa sahaja meskipun bukan pemakan daging babi.

Lihat orang di sebelah anda, tidakkah anda gerun?

Sudah tiba masanya kita mengenal 'penyelamat' kita. 

Diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud bahawa Rasulullah saw bersabda, “Hari kiamat tidak akan terjadi sampai seorang lelaki daripada Ahlul-Baytku datang, yang namanya sama dengan namaku.”

Lihat Musnad Ahmad hadis nombor 376 dan Sunan Tirmidzi hadis 3231.

Sudahkah kita mengenal baginda penyelamat ini?

Datuk nenek kita sudah lama mengenalnya. Tetapi kita, kita selalu terlupa. Mari kita lihat sebuah kitab yang digunakan di pondok-pondok di Patani. Kitab berjudul Ksyful Ghaibiyah, karangan Syaikh Zainal Abidin Fatani dalam menyatakan silsilah penyelamat ini. Syaikh Zainal Abidin seorang sunni tentunya. Di sebutkan penyelamat ini daripada keturunan Saidina Ali, melalui Saidina Husein.

Sudahkah kita mengenalnya? Sudahkah? Sebelum wabak kejahatan menelan, sudahkah kita mengenal penawarnya?