Ahad, 4 Oktober 2009

KEMENANGAN AIDILFITRI

Asslamualaikum wrmt.wbrkth.

Salam aidilitri dan salam kemenangan kepada semua muslimin dan muslimat.Alhamdulillah,segala puji bagi Allah yang telah memberikan kita peluang untuk kembali kepada fitrah.Mudah-mudahan kita telah berjaya membersihkan dan mensucikan jiwa(tazkitun nafs).Begitu juga kita adalah orang yang telah berjaya mendapatkan segulung ijazah taqwa atau lebih dari itu Insyaallah.

Muslimin dan muslimat yang di rahmati Allah.

Aidilfitri ialah hari kemenangan bagi umat Islam. Ini kerana, sepanjang sebulan yang lalu, umat Islam telah berjaya menempuh ujian ketahanan diri menerusi satu proses pendidikan jiwa yang amat kental sekali. Kejayaan kita menahan diri sepanjang Ramadhan lalu adalah gambaran akan kemenangan menyempurnakan salah satu dari perintah Allah s.w.t. Kita semua telah mencapai kemenangan kerana telah memiliki jiwa yang kental, komited dan teguh sebagai persediaan berhadapan dengan apa juga cabaran dalaman dan luaran yang di masa mendatang.


Sesungguhnya, umat atau bangsa yang kuat dan mampu bertahan di pentas sejarah, ialah umat dan bangsa yang memiliki semangat juang bagi mencapai kemenangan dan kecemerlangan dalam segenap bidang dan aspek kehidupannya. Allah berfirman dalam surah al-Mukminun ayat 1-5,

`Sesungguhnya menang, berjaya dan beruntunglah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khuyuk dalam sembahyangnya, orang-orang yang menjauhi dari perkataan yang tidak berguna, orang-orang yang menunaikan zakat dan orang-orang yang menjaga kemaluannya’.


Dorongan mencapai kemenangan ini juga tergambar dalam seruan azan yang sentiasa dikumandangkan : Hayya ala al-Solah (Marilah menuju kemenangan). Selama lima kali sehari, umat Islam diingatkan akan matlamat dan cita-cita kehidupannya iaitu untuk tekun, gigih dan tabah bagi mencapai kejayaan, kecemerlangan dan kemenangan.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah.

Sedikit maklumat yang ingin saya kongsikan bersama ialah pihak masjid sedang berusaha memberikan sesuatu yang terbaik bagi melahirkan generasi yang cemerlang dunia dan akhirat. Bertepatan dengan usaha itu,kami sedang menaiktaraf beberapa kemudahan di masjid ini termasuk sistem audio.Pemulihan kepada sistem ini menelan belanja yang agak tinggi.Oleh itu kami amat mengharapkan sokongan daripada ahli jamaah untuk memberi sumbangan dalam menjayakan usaha ini.Ini memandangkan masjid kita telah dan sentiasa merancang pelbagai aktiviti ilmu dan program-program perdana yang memerlukan sistem audio sentiasa berada dalam keadaan sempurna dan memuaskan.Semoga dengan sumbangan dan keprihatinan ahli jamaah sekalian,akan dapat membantu melahirkan generasi Rabbani yang hebat dan gemilang.

Sekian,wassalam. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan