Isnin, 9 Februari 2009

HAK HAK DIRI

Pada hari sabtu yang lepas saya sempat mengikuti kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Rahman Sohor di masjid Sultan Hisamudin Bandar Baru Salak Tinggi yang menyampaikan kuliah Hadith daripada kitab Bahrulmazi,karangan Sahibul Fadhilah Ustaz Idris al-Marbawi.Tajuk yang dibawa ialah bab "Bersangatan dalam beramal".Dalam bab ini ustaz telah membacakan satu hadith yang berkisar tentang kisah di antara Abu Darda' dan Salman al-Farisi.
Abu Darda' adalah seorang sahabat yang suka beribadah sehingga melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan seorang insan.Beliau berpuasa setiap hari dan melakukan Qiamullail sepanjang malam sehingga tiada masa bersama isterinya.Apabila Salman menziarahi Abu Darda',isteri beliau telah mengadu keadaan Abu Darda' kepada Salman.Maka Salman menegur sikap Abu Darda' ini dengan katanya:

" فانك لنفسك عليك حقاولربك عليك حقاولضيفك عليك حقافانك لأهلك عليك حقافاعطى كل ذي حق حقه"

Maksudnya:"Sesunguhnya bagi diri kamu itu ada hak,bagi Tuhan(Allah) kamu itu ada hak,bagi tetamu kamu itu ada hak dan sesungguhnya bagi ahli keluarga kamu ada hak.Maka berilah setiap yang berhak itu haknya."

Menurut Syeikh al-Marbawi dalam kitabnya Bahrulmazi,maksud hak diri itu ialah seseorang itu boleh berpuasa tetapi hendaklah dia berbuka,seseorang itu juga boleh melakukan Qiamullail dan beribadah kepada Allah tetapi dia juga perlu berehat dan tidur.Itulah dia hak badan.Apabila kita memperkatakan hak Allah,kita bertanggungjawab menjaga dan memelihara amanah kita sebagai hamba dan khalifah di muka bumi ini.Caranya cukup mudah iaitu melakukan setiap yang disuruh oleh Allah dan meninggal setiap yang dilarang olehNya.
Sebagai seorang muslim kita mesti menghormati tetamu kerana Rasullullah SAW adalah orang yang memuliakan tetamu.Sehinggakan sekiranya kita berpuasa sunat ketika itu,sunat kita berbuka puasa bagi meraikan tetamu tersebut.Ini berdasarkan kisah yang berlaku kepada Salman dan Abu Darda'. Ketika Salman menziarahi Abu Darda',Abu Darda' sedang berpuasa dan Salman mengajak beliau makan dan berbuka puasa kerana bagi meraikan kedatangan Salman sebagai tetamu,maka Abu Darda' pun berbuka puasa.Begitu juga kita mempunyai tanggugjawab untuk menunaikan hak ahli keluarga iaitu isteri dan anak-anak.Sebagai suami kita tidak boleh hanya sibuk dengan kerja atau sibuk dengan ibadah sehingga mengabaikan hak-hak isteri dan anak-anak.Kita mesti ada masa untuk bergurau senda,membantu kerja-kerja rumah,membawa isteri dan anak-anak bersiar-siar serta mengambil peduli tentang masalah dan aktiviti yang mereka telah,sedang atau akan lalui.
Di akhir hadith ini,Salman menceritakan bahawa mereka berdua pergi berjumpa dengan Rasullullah SAW dan menceritakan segala yang berlaku di antara mereka berdua,lalu Rasullullah SAW membenarkan apa yang diperkatakan oleh Salman kepada Abu Darda'.Justeru itu,hadith ini memberitahu kepada kita bahawa Islam menggalakkan umatnya supaya melakukan sesuatu kerja itu dengan sederhana,tidak melampau dan berlebih-lebihan samaada dalam urusan duniawi atau ukhrawi.Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:"Sebaik-baik amalan adalah secara bersederhana".Renungkanlah..................

1 ulasan:

  1. PEMBETULAN:NAMA USTAZ TU IALAH USTAZ ABDUL RAHMAN AWANG SOH.MAAF SALAH TULIS

    BalasPadam