Selasa, 9 Oktober 2012

PUJIAN BAGI ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN CELAAN KEPADA ORANG-ORANG KAFIR.



SURAH MUHAMMAD(AYAT 1-3)

Mukaddimah;

Surah ini dinamakan surah Muhammad kerana terdapat di dalam surah ini memperkatakan tentang apa yang telah diturunkan kepada nabi Muhammad SAW.Surah ini juga dinamakan surah al-Qital(peperangan) kerana banyak menyentuh berkaitan peperangan.Surah ini tergolong di dalam surah Madaniyyah kerana surah ini telah diturunkan selepas peperangan Badar dan sebelum peperangan al-Ahzab.Diturunkan surah ini selepas penurunan surah al-Hadid.Al-Basri berpendapat surah ini mengandungi 40 ayat dan al-Kufi pula berpendapat surah ini mengandungi 38 ayat.Terdapat juga pendapat lain yang mengatakan 39 ayat.
Maksud Firman Allah Taala ayat 1-3 dari surah Muhammad yang bermaksud:
1. Orang-orang Yang kafir serta menghalangi (dirinya dan orang lain) dari jalan Allah, Allah sia-siakan Segala amal mereka.

2. Dan (sebaliknya) orang-orang Yang beriman dan mengerjakan amal Yang soleh serta beriman kepada Al-Quran Yang diturunkan kepada Nabi Muhammad (s.a.w) - Yang ialah kebenaran dari Tuhan mereka, - Allah mengampunkan dosa-dosa mereka, dan menjayakan keadaan mereka (di dunia dan di Akhirat).

3. Berlakunya Yang demikian, kerana Sesungguhnya orang-orang Yang kafir menurut perkara Yang salah, dan Sesungguhnya orang-orang Yang beriman menurut perkara Yang benar dari Tuhan mereka. Demikianlah Allah menerangkan kepada umat manusia akan sifat dan akibat bawaan mereka masing-masing.

Surah ini telah dibuka dengan Allah menyebut tentang celaan yang dahsyat kepada orang kafir dan pujian yang hebat kepada orang yang beriman.

 “ وصدوا عن سبيل الله الذين كفروا” Perkataan kafir dalam ayat ini merujuk kepada kafir Quraish yang menentang Islam dan menghasut qabilah lain untuk turut sama menolak Islam seperti Abu Jahal,Abu Lahab,Uthbah bin Rabiah dan pembesar-pembesar Quraish yang lain. Perkataan صدوا  bermakna menghalang iaitu sikap orang kafir Quraish yang sentiasa mencari jalan untuk menghalang dakwah Rasulullah SAW seperti mereka telah menghina,mengancam nyawa dan membunuh  sesiapa sahaja yang ingin beriman dengan Rasulullah SAW .Firmannya أضل أعمالهم  membawa maksud Allah telah menghilangkan atau menghapuskan segala perbuatan baik yang dilakukan oleh orang kafir. Semua perbuatan baik yang dilakukan oleh mereka seperti memuliakan tetamu,berbuat baik kepada ibubapa atau membantu orang lain tidak diterima oleh Allah Taala dan tidak diberi pahala olehNya kerana kekufuran mereka dan sikap mereka yang menghalang – halang orang lain untuk menerima dan mengikut agama Islam yang benar.

Kemudian Allah Taala menjelaskan tentang pahala yang telah disediakan kepada orang-orang yang beriman.Firman Allah Taala “والذين امنوا وعملوا الصالحات” yang membawa maksud mereka yang telah memiliki iman yang benar iaitu beriman dengan lidah,membenarkan dalam hati dan mengamalkannya dengan perbuatan serta melakukan perbuatan baik dengan niat ikhlas kepada Allah  dan mengikut petunjuk Rasulullah SAW.Manakala ulamak tafsir menjelaskan bahawa firman Allah Taala: “وءامنوا بما نزل علئ محمد” adalah menjadi syarat setiap keimanan dan amalan seseorang itu diterima apabila ianya mesti bertepatan dengan segala yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW.Ini juga menjadi isyarat tentang ketinggian kedudukan Rasulullah SAW disisi Allah Taala.Firman Allah Taala: “وهوالحق من ربهم”.Ayat ini telah menyokong ayat yang sebelumnya bahawa semua yang diturunkan kepada Rasulullah SAW adalah daripada Allah Taala semata-mata seperti firman Allah $tBur                                                                                      ß,ÏÜZtƒ Ç`tã #“uqolù;$# ÇÌÈ   ÷bÎ) uqèd žwÎ) ÖÓórur 4ÓyrqムÇÍÈ  

3. Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu Yang berhubung Dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.

4. Segala Yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu Yang diwahyukan kepadaNya.(Surah an-Najm:ayat3-4)

Kemudian Allah Taala menjelaskan ganjaran yang akan diperolehi oleh orang-orang yang beriman dan melakukan perbuatan baik iaitu dengan firmanNya:

 “كفر عنهم سيئاتهم وأصلح بالهم “.Allah akan menghapuskan semua perbuatan jahat  mereka yang telah  dilakukan semasa dalam kekufuran dan kemudian mereka   telah beriman  dan beramal soleh  dan tidak mengazab mereka.Bahkan Allah akan menjanjikan kehidupan yang lebih baik  didunia dan balasan  baik diakhirat sepertimana firman Allah Taala dalam surah al-Bayyinah :

 žcÎ) tûïÏ%©!$# (#qãZtB#uä (#qè=ÏHxåur ÏM»ysÎ=»¢Á9$# y7Í´¯»s9'ré& ö/ãf çŽöy{ Ïp­ƒÎŽy9ø9$# ÇÐÈ   ôMèdät!#t“y_ y‰ZÏã öNÍkÍh5u‘ àM»¨Zy_ 5bô‰t㠓̍øgrB `ÏB $uhÏGøtrB ㍻pk÷XF{$# tûïÏ$Î#»yz !$pkŽÏù #Y‰t/r& ( zÓÅ̧‘ ª!$# öNåk÷]tã (#qàÊu‘ur çm÷Ztã 4 y7Ï9ºsŒ ô`yJÏ9 zÓÅ´yz ¼çm­/u‘ ÇÑÈ  

Maksudnya:

7. Seungguhnya orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk.

8. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal Yang tetap), Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan Merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. balasan Yang demikian itu untuk orang-orang Yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.

Pada ayat yang ketiga  Allah menjelaskan demikianlah Allah telah memberitahu tentang perbezaan adan perbandinagn diantara orang-orang kafir yang mengikut kebatilan serta balasan buruk bagi mereka dengan orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan dibalas dengan kehidupan baik di dunia dan ganjaran yang hebat diakhirat kelak insyaAllah.

 

 

 

 

 

Khamis, 13 September 2012


 

 

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian.

Firman Allah Taala dalam surah at-Taubah ayat 25-26.


Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (wahai orang mukmin) di medan peperangan yang banyak. Dan ingatlah peperangan Hunain iaitu di waktu kamu merasa bangga kerana ramainya jumlahmu. Maka jumlah yang ramai itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikit pun. Dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai. Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada rasulNya dan kepada orang-orang yang beriman. Dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tidak melihatnya dan Allah menimpakan bencana kepada orang-orang kafir. Dan demikianlah pembalasan kepada orang-orang kafir.

Kita masih berada di bulan Syawal yang turut merakamkan banyak peristiwa bersejarah kepada umat Islam untuk dijadikan pengajaran dalam meneruskan perjuangan menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini. Bulan Syawal pernah menyaksikan berlakunya peperangan Uhud, peperangan Ahzab dan peperangan Hunain pada zaman Rasulullah s.a.w di mana peperangan ini meletus bukannya disebabkan Islam menghalalkan keganasan tetapi sebaliknya semua peperangan ini berlaku bagi mempertahankan diri daripada serangan musuh. Kuffar terlebih dahulu merancang untuk menyerang sebelum tentera Islam terpaksa keluar untuk bertahan bagi memastikan agama Allah terus tersebar tanpa sebarang sekatan dan gangguan. Pada hari ini kita cuba mengambil beberapa pengajaran penting daripada peperangan Hunain yang berlaku pada bulan Syawal tahun ke-8 hijrah iaitu selepas Pembukaan Kota Mekah. Peperangan ini merupakan peperangan terakhir antara umat Islam dengan musyrikin arab kerana selepas itu kebanyakan musyrikin Mekah memeluk Islam sehingga api permusuhan selama ini dapat dipadamkan.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Peperangan Hunain berlaku apabila bani Hawazin dan Thaqif pimpinan Malik bin Auf yang tinggal di Taif merancang untuk menyerang umat Islam. Bagi mengetahui secara lanjut tentang persiapan mereka lalu Rasulullah s.a.w menghantar Abdullah bin Abi Hadrad al-Aslamiy ke Taif untuk tinggal di tengah-tengah kaum tersebut bagi mengumpul maklumat. Setelah itu dia pulang ke Mekah dan memberitahu tentang persiapan bani Hawazin dan Thaqif dari segi kelengkapan senjata dan juga dengan bilangan tentera antara 20 hingga 30 ribu orang bagi menyerang umat Islam. Pasukan kuffar ini turut membawa bersama harta benda dan anak isteri mereka agar mereka tidak lari dari medan perang kerana maksud peperangan ialah menjaga diri, harta dan keluarga daripada serangan musuh. Di sini kita dapat lihat bagaimana peperangan memerlukan kepada usaha dan perancangan yang rapi termasuk mencari maklumat lengkap tentang jumlah dan persiapan musuh sehingga memungkinkan kita mengetahui tentang tahap kekuatan dan kelemahan yang ada. Tugas pengintip rahsia walau pun merbahaya tetapi perlu ada bagi mengumpul sebanyak mungkin maklumat pihak lawan sebelum peperangan meletus. Ini berbeza dengan kebanyakan negara umat Islam hari ini di mana mereka lebih banyak mengetahui dan mengintip rahsia daripada pejuang Islam yang berjuang untuk menegakkan Islam dalam negara sehingga melupakan mereka untuk mengetahui rahsia dan perancangan musuh Allah yang sememangnya ingin menghancurkan Islam dan umatnya. Bilakah umat Islam akan diberikan kemenangan jika kita saling bermusuhan sesama kita demi kepentingan harta dan takhta sehingga melupakan kita kepada musuh yang nyata.

Rasulullah s.a.w bersama 12 ribu orang tentera muslimin iaitu 10 ribu dari Madinah dan 2 ribu dari Mekah telah keluar menuju ke lembah Hunain.

 

 Dalam peperangan ini disebabkan kekurangan bekalan senjata maka Rasulullah s.a.w terpaksa meminjam senjata dan seratus baju besi daripada Safwan bin Umaiyah yang belum Islam lagi pada masa itu. Pinjaman yang terpaksa dibuat ini tidak menjatuhkan maruah umat Islam kerana Safwan adalah seorang yang dipercayai dan dia agak lemah serta tidak mampu menguasai umat Islam melalui senjata yang dipinjamkan itu. Ini berbeza dengan kebanyakan negara umat Islam hari ini yang bukan sahaja terpaksa membeli senjata daripada musuh tetapi turut mendapat tekanan kerana kekurangan pakar untuk menggunakan senjata itu sehingga musuh senang menguasai negara melalui senjata yang dibeli daripada mereka. Malah ada negara umat Islam yang terpaksa berlutut kepada musuh dan dipermainkan olehnya apabila senjata yang dibeli tidak diserahkan atas alasan yang tidak munasabah. Senjata yang dibeli juga lebih banyak dihalakan kepada saudara seagama terutama pejuang Islam berbanding penggunaaanya dalam menghentikan kezaliman musuh Islam. Sampai bilakah umat Islam terpaksa menagih simpati daripada kepakaran musuh dalam pembinaan senjata sendiri. Kita bukan mahu menghasilkan senjata untuk melakukan kerosakan di muka bumi sebagaimana kuffar tetapi bertujuan untuk menjaga keamanan dunia yang terus dirosakkan oleh tangan pengganas kuffar. Kita tidak mahu membiarkan tubuh umat Islam terus dimamah oleh bom musuh, kepala mereka dipenggalkan oleh senjata kuffar dan perut mereka diratah oleh lawan. Jangan biarkan senjata utama yang ada pada umat Islam iaitu ilmu dan jihad semakin padam ditambah lagi senjata zahir turut ketinggalan.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Keesokan harinya ketika tentera Islam di barisan hadapan pimpinan Khalid bin Walid sedang bergerak mara, mereka diserbu dari arah kiri dan kanan disamping anak panah yang menghujani mereka dari arah depan dan belakang. Serangan mengejut ini menyebabkan kuda-kuda lari ketakutan begitu juga ramai tentera Islam yang berundur ke belakang terutama dalam peperangan kali ini walau pun jumlah tentera Islam agak ramai berbanding beberapa peperangan sebelum ini tetapi kebanyakan mereka baru memeluk Islam dan tidak begitu tahan dengan ujian. Ini memberi suatu pengajaran yang besar di mana jumlah yang ramai belum tentu dapat mengalahkan musuh jika perjuangan tidak disertakan dengan keikhlasan kepada Allah dan juga tidak tahan dengan ujian yang mendatang. Kebanyakan tentera Islam merasakan mereka akan mendapat kemenangan dengan mudah kerana jumlahnya yang ramai disamping mereka juga begitu terlalu memikirkan harta rampasan yang bakal diperolehi sehingga melalaikan mereka daripada mengingati bahawa peperangan yang disertai itu ialah untuk Islam bukannya untuk meraih harta dunia. Jumlah umat Islam pada hari ini bukan sedikit tetapi kita diuji dengan kekalahan kerana tidak kembali bersatu di bawah payung Islam. Contohnya jumlah yahudi di Palestin hanya beberapa juta sedangkan umat Islam di negara arab sekelilingnya berjumlah ratusan juta tetapi yahudi boleh terus mengganas kerana umat Islam tidak bersatu memerangi mereka.

Ketika suasana bertambah gawat dan cemas lalu Rasulullah s.a.w yang berada di tengah-tengah tentera Islam yang sedang berundur ke belakang di mana Rasulullah s.a.w terus mara ke arah musuh dan cuba menghadapi mereka secara bersendirian tetapi dipegang oleh 2 orang sahabat yang lain kerana bimbang nyawa Rasulullah akan terancam.Bagaimana dengan kita pula pada hari ini dalam membela dan mencintai Rasulullah. Apakah perasaan dan tindakan kita apabila sekali lagi Rasulullah dihina oleh orang Yahudi melalui filem mereka baru-baru ini yang bertajuk “Innocence of Muslims”.Filem ini secara terang menyifatkan nabi Muhammad saw sebagai gila perempuan.Dalam peperangan ini juga musuh turut menyebarkan berita bohong bahawa nabi telah terbunuh di mana serangan saraf ini melemahkan lagi semangat tentera Islam. Inilah bahayanya serangan saraf terutama dalam sesuatu perangan kerana ia boleh mengalihkan tumpuan musuh dan menghancurkan kesatuan sesama mereka. Kita umat Islam hari ini juga tidak terlepas daripada serangan saraf yang dilancarkan oleh musuh dalam melunturkan semangat jihad kita dan menghancurkan perpaduan umat Islam untuk kembali kepada Islam.

 

Sidang Jumaat Jumaat yang dikasihi sekalian,

Akhirnya apabila mendengar jeritan Rasulullah s.a.w dan melihat keberanian baginda meluru ke arah musuh telah menaikkan semangat tentera Islam yang benar-benar mahu berjuang iaitu kira-kira 200 orang di mana kemaraan tentera Islam bagi kali kedua ini telah berjaya menewaskan musuh yang ramai. Selepas itu tentera Islam turut mengepung musuh di Taif dan kemudiannya kembali dengan tidak membunuh musuh yang telah terkepung sebaliknya diiringi doa agar mereka memeluk Islam. Ini menunjukkan bagaimana peperangan dalam Islam bukannya untuk membalas dendam tetapi ia merupakan antara jalan dakwah apabila dilawan dengan kekerasan. Selepas itu ramai puak Hawazin telah memeluk Islam yang membolehkan nabi membebaskan tawanan perang daripada kalangan mereka. Inilah keindahan Islam yang meraikan keadilan tidak sebagaimana yang dituduh oleh musuh yang mengatakan bahawa Islam suatu agama yang menggalakkan keganasan. Kuffar lah yang sebenarnya ganas kerana bertanggungjawab membunuh umat Islam kerana dendam sehingga ramai  umat Islam yang terbunuh seperti di Afghanistan,Iraq,Palestin dan yang terbaru di Rohingya. Firman Allah dalam ayat 41 surah at-Taubah :


Maksudnya : Pergilah kamu samada dalam keadaan ringan atau pun merasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Rabu, 9 Mei 2012

KEPIMPINAN DALAM ISLAM


Alhamdulillah sudah sampai kepenghujungnya peluang diberikan oleh Allah Taala untuk saya dan para sahabat dari kalangan AJK untuk menguruskan masjid ini.Dalam ruangan yang terakhir ini izinkan saya berbicara soal kepimpinan dalam Islam bagi bermuhasabah dan mengingatkan diri saya dan para sahabat Ajk dan pengurusan masjid yang bakal dilantik.

Apabila berbicara mengenai kepimpinan, Islam menentukan bahawa bidangnya amat luas. Lebih tinggi bidang kepimpinannya lebih besar pula tanggungjawabnya. Pemimpin tidak hanya memimpin di dalam sebuah negara, malah pemimpin dalam Islam ialah setiap orang yang diberikan tanggungjawab dan amanah untuk mengendalikan sesuatu urusan. Oleh kerana setiap orang mempunyai tanggungjawab ini maka setiap orang itu mempunyai peranan memimpin. Contohnya seorang bapa diberi tugas memimpin keluarganya, maka  dia adalah pemimpin keluarganya atau seorang nazir yang diberi tugas untuk menguruskan masjid,maka dia adalah pemimpin kepada masyarakat disekelilingnya dan bertanggungjawab menguruskan masjid dengan amanah dan berdedikasi. Begitu juga seorang ketua negara yang diberi tugas memimpin rakyat di negaranya, maka ia adalah pemimpin rakyat di negaranya serta mesti mengurustadbir Negara dengan menegakkan agama danmnguruskan urusan dunia dengan berpandukan agama.



Kepimpinan Menurut Istilah Al-Quran

Dalam Al-Quran terdapat beberapa istilah yang diertikan sebagai pemimpin atau yang secara langsung yang menyentuh hal ehwal kepimpinan, antaranya :

1- Imam/Imamah

Merupakan satu jawatan yang berperanan sebagai penunjuk jalan kepada sesuatu arah atau tempat atau memimpin dengan contoh teladan di mana imam itu sendiri mesti melaksanakannya lebih awal dari orang yang dipimpin. Contohnya dalam konteks kewajipan memimpin sembahyang, imam mengangkat takbir dan makmum turut mengangkat takbir sebagaimana imam bertakbir. Begitulah seterusnya dalam segala perbuatan mengerjakan sembahyang itu dan semua perlakuan imam mestilah dituruti oleh makmum.Oleh itu imam sebagai pemimpin ( leader ) dan makmum sebagai pengikut ( follower ).

2- Khalifah

Merupakan suatu jawatan bagi mengantikan seseorang atau mengambil tempat mengikut atau meneruskan. Dalam sejarah kepimpinan Islam, khalifah merupakan pengganti Rasulullah S.A.W dalam menerus, mengurus dan mentadbir negara Islam.

Khalifah ialah sebagai pentadbir, penguasa, pengatur dan pemakmur yang bertanggugnjawab mengatur kehidupan manusia di bumi dengan berdasarkan kepada wahyu dan syariat Allah supaya kehidupan manusia itu teratur dan mempunyai tujuan-tujuan hidup yang suci murni lagi mulia untuk mencapai keredhaan allah. Manusia sebagai khalifah ( vicegerent ) yang merupakan wakil Allah di bumi adalah berkewajipan mendirikan institusi kepimpinan yang diredhai oleh Allah.

3- Amir Al-Mukminin

Merupakan suatu jawatan atau kedudukan dalam kepimpinan yang bermaksud sebagai memberi arahan, pemberi tugas, pemerintah atau mengamanahkan seseorang dengan tugas. Dalam sejarah pemerintahan islam, Amir Al Mukminin merupakan pemerintah masyarakat atau ketua negara islam.

4-Uli Al-Amri

Merupakan suatu jawatan atau kedudukan dalam kepimpinan yang menjalankan tugas dan amanah untuk mentadbir dan mengendalikan urusan dunia sesuai dengan syariat Allah. Oleh sebab itu adalah menjadi kewajipan kepada rakyat mematuhi apa yang diperintahkan oleh Uli Al Amri sebagaimana firman Allah dalam surah An-Nisa’ ayat 59 yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah S.A.W dan kepada Uli Al-Amri ( orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah ( berselisihan ) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”



Selain daripada itu ada juga istilah yang dipakai bagi maksud yang berkaitan dengan kepimpinan dalam sesuatu kumpulan kerohanian seperti istilah: Mursyid ( penunjuk ), Syeikh ( Ketua ), dan Murabbi ( Pendidik ).

Objektif/Matlamat Kepimpinan

Pada asasnya matlamat kepimpinan adalah :

1-Untuk pengabdian/perhambaan diri kepada Allah. Firman Allah dalam Surah Az-Zariyat ayat 56 yang bermaksud:

“Dan tidak Aku ( Allah ) ciptakan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada aku ( Allah ).

2- Untuk mencapai keredhaan, keberkatan dan rahmat dari Allah serta RasulNya. Firman Allah dalam Surah At-Taubat ayat 62 yang bermaksud:

“….Yang sepatutnya mereka cari ialah keredhaan dari Allah dan RasulNya, sekirannya mereka adalah dari orang yang beriman”

3- Untuk mencapai kesempurnaan akhlak yang mulia. Firman Allah dalam surah Al-Qalam ayat 4 yang bermaksud:

“Sesungguhnya engkau ( Muhammad ) mempunyai budi pekerti ( akhlak ) yang mulia"

Justeru dalam kita memilih pemimpin hendaklah memilih pemimpin  yang memiliki akhlak yang mulia,adil iaitu tidak fasiq.Apakah maksud fasiq?Fasiq itu ialah orang berterusan melakukan dosa kecil dan suka melakukan dosa besar serta cenderung melakukan satu perbuatan atau tindakan yang boleh menjatuhkan maruah.

4-Untuk menyeru berbuat baik dan mencegah kejahatan.

Firman Allah Taala yang bermaksud: “ Iaitu mereka (umat Islam) Yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara Yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan Segala urusan.(surah al-Hajj:41)

5-Untuk mencapai kebahagian, kesenangan, kesejahteraan dan keselamatan manusia sejagat dunia dan akhirat.



Kepimpinan Sejagat

Kepimpinan ( leadership ) nabi Muhammad S.A.W adalah contoh ideal dan praktikal yang semestinya diikuti oleh seluruh umat. Baginda diutuskan untuk membimbing seluruh umat, wilayah kepimpinan baginda meliputi alam sejagat dan tidak dibatasi oleh sempada geografi serta tidak pula dikhususkan oleh sesuatu bangsa, kebangsaan dan negara. Dengan demikian kepimpinan baginda adalah bersifat sejagat. Firman Allah dalam Surah Saba’ ayat 28 yang bermaksud:

“dan tiadalah kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar), akan tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahui hakikat itu”



Kepimpinan Sebagai Tanggungjawab Dan Dugaan Bukan kemuliaan

Menjadi seorang pemimpin, maka bertambah kewajipan seseortang dan makin banyak soalannya dihadapan Allah. Oleh itu, pemimpin di dalam Islam, bukanlah menjadi rebutan. Rasulullah S.A.W telah meletakkan asas-asas supaya pemimpin itu tidak difahami sebagai kemuliaan dan keistimewaan tetapi tanggungjawab. Meskipun semakin besar tanggungjawab,semakin besar pula ganjaran baik yang disediakan Allah di hari akhirat kepada sesiapa yang melaksanakan tanggungjawab itu. Namun jika tanggungjawab itu diabaikan,maka besarlah risiko dan akibatnya di hari akhirat.

Oleh itu Rasulullah S.A.W sangat berhati-hati supaya pemimpin itu berada di tangan orang yang kuat dari segi ketaatan kepada Allah, kekuatan peribadi dan jasmani, kepintaran akal dan dihormati oleh rakyat. Baginda berhati-hati supaya jangan pemimpin itu jatuh ke tangan orang yang lemah syakhsiahnya sehingga ia lemah melawan nafsunya. Jika ia seorang yang lemah melawan nafsunya sendiri, maka ia tidak dapat mematuhi Allah dan tidak terselamat dari faKtor-faktor kehancuran seperti rasuah, maksiat dan lain-lain.

Abu Zar Al-Ghaffari meriwayatkan, saya berkata kepada Rasulullah S.A.W Tidakkah Tuan hendak melantik saya untuk mengetuai sesuatu urusan? Rasulullah S.A.W menepuk bahu saya dan berkata,” wahai Abu Zar, engkau adalah lemah, sedangkan pemimpin itu suatu amanah. Di hari kiamat ia adalah kehinaan dan penyesalan melainkan mereka yang mengambilnya dengan hak dan menunaikan kewajipan yang ditentukan di dalamnya”.

Abu Zar bukanlah seorang yang tidak taat kepada Allah dan dikuasai nafsu tetapi dia adalah seorang manusia yang lemah dalam mengambil tindakan, dia adalah seorang yang lurus hati dan mempunyai kelemahan yang menghalangnya bersikap tegas kepada kawan dan lawan. Itu pun dianggap oleh Rasulullah S.A.W apatah lagi orang yang kalah di hadapan nafsu, jahil dan tidak beramal.

Rasulullah S.A.W juga menetapkan dasar bahawa pemimpin itu tidak diberikan kepada orang tidak berkelayakan yang meminta atau berusaha dengan tipu daya supaya dia dijadikan pemimpin, kerana sikap seperti itu akan menjadikan pemimpin itu satu rebutan dan lahir kegiatan serta pengaruh-mempengaruhi yang menyebabkan pertimbangan yang betul untuk lantikan menjadi kacau bilau dan menyeleweng. Oleh itu lantikan itu hendaklah dijalankan dengan pertimbangan yang objektif dan dengan hasrat yang bersih dan suci.

Justeru dalam kepimpinan sesebuah negara, tegak atau robohnya sesebuah negara, maju atau mundurnya peradaban manusia, timbul atau tenggelamnya sesuatu bangsa adalah bergantung kepada baik atau buruk pentadbiran dan kepimpinan yang dimiliki, Para pemimpin atau ketua yang telah dilantik hendaklah melantik pembantu-pembantu yang jujur dan berkebolehan. Tanda-tanda kejujurannya ialah sentiasa bersikap beriman dan tidak mengampu sehingga membenarkan yang salah dan menyalahkan yang benar. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:


“Apabila Allah S.W.T menghendaki seseorang ketua itu menjadi ketua yang baik, ia akan jadikan pembantunya itu bersikap benar. Jika ia lupa ( lupa kepada Allah dan menyeleweng dari kebenaran ) ia mengingatkannya. Jika ia tidak lupa, ia memberi pertolongan dan bantuan kepada ketuanya itu. Jika Allah menghendaki ketua itu menjadi ketua yang lain daripada itu, dijadikan pembantunya seorang yang jahat, jika ia lupa tidak diingatkanya dan jika ia ingat tidak dibantunya” ( diriwayatkan oleh Abu Daud ).


Oleh kerana tugas pemimpin itu berat dan luas, maka ganjaran baik yang disediakan untuk pemimpin di akhirat yang menjalankan kewajipannya adalah besar. Diantara tujuh orang yang disebut oleh Rasulullah S.A.W yang akan mendapat perlindungan Allah ialah pemerintah yang adil yang diletakkan di senarai yang pertama. Sebaliknya mereka yang menjadi pemimpin sedangkan dia tidak memiliki ciri-ciri kepimpinan yang selayaknya dan tidak menjalankan kewajipannya maka ia akan menerima balasan yang pedih.Seksaan Allah bertambah berat lagi bagi sesiapa yang menjadikan kedudukannya sebagai pemimpin sebagai jalan untuk kepentingan dirinya dan menipu orang-orang yang dipimpinnya.

Oleh kerana tugas pemimpin adalah besar dan tugas itu tidak dapat dijalankan melainkan dari kerjasama orang yang dipimpinnya maka Allah menentukan supaya orang yang dipimpin itu hendaklah mematuhi ketuanya di dalam semua suruhan yang disukai atau tidak kecuali suruhan untuk melakukan maksiat dan melanggar hukum-hukum Allah.
Sesungguhnya setiap orang itu mempunyai tugas-tugas kepimpinan. Sebaik-baik kepimpinan ialah kepimpinan Rasulullah S.A.W kerana kepimpinan baginda sentiasa berpandu kepada wahyu, syariat dan petunjuk Allah dalam kepimpinan sejagat. Sebagai pemimpin sewajarnya bertanggungjawab menyambung risalah baginda ke arah memakmur, memperbaiki, menegakkan keadilan, mententeramkan serta berkesanggupan untuk meningkatkan ketinggian nilai dan martabat seluruh umat manusia. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin itu bertanggungjawab mengenai apa yang dipimpinnya”(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagi pihak pengurusan Masjid Sultan Hisamudin BBST tahun 2008 hingga 2012,saya memohon ampun kepada Allah dan meminta maaf kepada semua muslimin dan muslimat khususnya yang tinggal di kawasan Bandar Baru Salak Tinggi ini di atas segala kekurangan,kelemahan dan kecacatan sepanjang saya menguruskan masjid ini.Jutaan terima kasih saya kalungkan kepada semua ahli jawatankuasa masjid ahli kariah yang sentiasa memberikan sokongan,sumbangan dan kerjasama dalam menjayakan sebarang aktiviti dan program di masjid ini.Semoga Allah membalas segala jasa kalian.Kita berdoa kepada Allah semoga pengurusan masjid yang baru dapat meneruskan dan menambah baik segala aktiviti di masjid ini.Jazakumullahu khairan kathira.


Ahad, 25 Mac 2012

KEBANGKITAN PEMUDA MENDEPANI PILIHANRAYA

Pemuda digambarkan sebagai unsur kekuatan dan menjadi tiang seri kepada pembangunan umat. Pemuda Islam bukan setakat mampu menghadapi gelodak cabaran namun terpikul dipundaknya risalah Islam yang merupakan risalah Nabi Muhammad S.A.W dan risalah Al-Quran .
Firman Allah Taala yang bermaksud :
“Kami ceritakan kisah mereka kepadamu ( Muhammad ) dengan sebenarnya, maka
sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan
kami tambahkan kepada mereka petunjuk.” ( al- Kahfi : 13 )
Justeru,peranan pemuda Islam dalam Parti Islam Se-Malaysia amat ditagih bagi merealisasikan
kemenangan Parti Islam pada Pilihanraya Umum ke-13 ini.Kemenangan Parti Islam dibeberapa buah negara di Timur Tengah seperti di Mesir dan Tunisia adalah berpunca daripada kekuatan pemuda yang mendokong dan menegakkan Islam.Saya ingin gariskan secara ringkas kekuatan-kekuatan yang wajib dimiliki oleh semua pemuda mujahid Islam ini agar ia menjadi pedoman dan panduan dalam mendepani pilihanraya yang semakin mendekati kita.

Wahai sahabatku pemuda.
Antara kekuatan-kekuatan yang saya maksudkan adalah seperti berikut:

Pertama:-Niat yang ikhlas kepada Allah Taala
Pengorbanan yang ikhlas kepada Allah Taala tidak akan mengharapkan imbuhan dan balasan duniawi tetapi akan mengharapkan keredhaan Ilahi.Pengorbanan yang ikhlas tidak mengharapkan keuntungan kebendaan,pangkat dan kedudukan tetapi mengharapkan keuntungan ukhrawi yang dijanjikan oleh Allah Taala iaitu syurga yang abadi.

Firman Allah Taala yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka Dengan (balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada Yang membunuh dan terbunuh. (balasan
syurga Yang demikian ialah) sebagai janji Yang benar Yang ditetapkan oleh Allah di Dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi Yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah Dengan jualan Yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan Yang besar.(at-Taubah:111)

Marilah kita mencontohi keikhlasan para sahabat yang tidak mengharapkan sebarang keuntungan duniawi dalam berjuang.Kisah para sahabat seperti Musab bin Umair, Suhaib ar-Rumi yang ditawarkan samaada ingin memilih harta atau ikut berjuang bersama nabi oleh musuh-musuh Allah menjadi sumber kekuatan dan panduan kepada kita.Kisah kekalahan tentera Islam dalam perang Uhud lantaran mengejar habuan dunia di depan mata dengan sanggup menggadaikan amanah dan tanggungjawab kepada perintah Allah dan Rasulullah SAW menjadi pengajaran yang sangat berharga kepada kita sebagai mujahid Islam.Semoga kita terselamat dari tipu daya syaitan yang ingin menyesatkan.

Wahai sahabatku pemuda.

Kedua:-Kekuatan dalam memahami sejarah perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW.
Pemuda-pemuda harus belajar,memahami dan menghayati sejarah hidup Rasulullah sebagai panduan di dalam berjuang dan urusan hidupnya.Mereka sepatutnya melihat sedalam-dalamnya kekuatan yang dimiliki oleh Rasulullah SAW dan generasi sahabat ,namun akibat kecuaian umat Islam suatu ketika dahulu, pemuda-pemuda lebih mengetahui sejarah
barat. Malah memalukan kerana mereka mengenali Napoleon lebih baik berbanding Nabi Muhammad S.A.W. Mereka tidak mengetahui melainkan kekejaman Islam dan terpesona dengan peradaban Barat.
Firman Allah Taala dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud:

“ Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat,
serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan
senang).”
Bermula nabi dibangkitkan sehinggalah nabi wafat,baginda tidak pernah berehat dari menyerahkan seluruh kehidupan baginda kepada menegakkan Islam.Sikap pengorbanan yang tinggi ini telah membawa kepada penyertaan Rasulullah SAW dalam 28 siri peperangan.Rasulullah SAW bukan sekadar memberi arahan dan melihat dari jauh peperangan yang berlaku tetapi Rasullullah SAW jugalah yang memimpin dan berada dalam barisan paling
hadapan .Begitulah sepatutnya yang wajar kita contohi,iaitu bukan hanya pandai memberikan
cadangan dan kritikan tetapi turut sama terlibat mendokong dan menggerakkan semua aktiviti serta program yang menuntut kebersamaan.

Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”(As-Saff:4)

Wahai sahabatku pemuda.

Ketiga: Kekuatan Bersatu Kerana Islam
Pemuda-pemuda Islam yang berkefahaman jitu dan sanggup bekerja untuk Islam seharusnya bertanggungjawab untuk saling bantu membantu sesama pekerja Islam dan sama-sama berusaha untuk mengembalikan keagungan Islam dan memenangai PRU 13 ini. Tugas ini amatlah berat dan cita-cita ini tidak akan tercapai sekiranya pemuda-pemuda Islam
bergerak secara bersendirian. Islam memerlukan pekerja yang bergerak secara berkumpulan dan jiwa pekerjanya diikat dengan tali kasih sayang dan ukhuwwah walaupun terdapat perbezaan corak kerja antara kelompok-kelompok Islam. Sekiranya UMNO mampu untuk bersatu menentang PAS,kenapakah petugas-petugas Islam tidak mampu berganding bahu dan saling bantu membantu serta bahu membahu untuk melaksanakan tanggungjawab siasah dan dakwah ini ?
Firman Allah yang bermaksud :

“Dan orang-orang kafir sebahagian mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain. Jika kamu ( orang-orang Islam ) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah itu,nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar.” ( al-Anfal : 73 )

Wahai pemuda-pemuda Islam jangan sampai kedapatan diantara kita yang sering memberi alasan dan sebab tidak turut serta dalam setiap aktiviti dan program yang dilaksanakan.Sebahagian kita sering memberi alasan pekerjaan,keluarga dan kekangan masa untuk tidak bersama.Ingatlah sekiranya kita memberi seribu alasan sedangkan saudara kita yang lain sibuk berhempas pulas pada setiap ketika berada di medan perjuangan.Persoalannya adilkah kita dan layakkah kita mendabik dada mengaku berjuang bersama tetapi tidak dalam
bekerja dan berkorban?
Firman Allah Taala yang bermaksud :

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda Yang kamu usahakan,dan perniagaan Yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal Yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara Yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang Yang fasik (derhaka).”(Surah at-Taubah:24)

Wahai sahabatku pemuda.

Keempat: Kekuatan Beramal Dengan Islam
Pohon yang rendang tidak bermanfaat seandainya tidak mengeluarkan buah. Begitulah perumpamaan seorang yang berilmu tetapi gagal beramal dengan ilmunya. Janganlah pemuda Islam menjadi bahan tempelakan Allah seperti Allah menempelak bangsa-bangsa terdahulu yang menerima kitab samawi dan mereka belajar tentangnya tetapi tidak dengan ajaran yang dipelajarinya.
Firman Allah yang bermaksud :
“Perumpamaan orang-orang yang dipikul ke atas mereka Kitab Taurat , kemudian
mereka tidak memikulnya (tidak beramal dengan kandungannya) adalah seperti
kaldai yang membawa kitab-kitab tebal. Amat buruklah perumpamaan kaum yang
mendustakan ayat-ayat Allah itu dan allah tidak memberi petunjuk kepada kaum
yang zalim.” ( al Jumu’ah : 5 )

Dakwah Islamiah lebih cepat tersebar melalui Qudwah yang baik yang terpancar melalui akhlak-akhlak dan perilaku umat muslimin. Seandainya pemuda Islam gagal untuk beramal dengan ajaran Islam yang telah dipelajari dan difahaminya, maka usaha penyebaran dakwah akan terbantut. Islam amat indah jika dibaca di dalam buku tetapi dek kerana kesilapan penganutnya
yang enggan beramal dengan ajaran Islam secara total maka tampaklah keburukan umat Islam.

Amat menyedihkan umat islam kini tatkala mendengar kata-kata seorang Barat yang baru menganut agama Islam ; “ Segala puji bagi Allah, Tuhan yang mengenalkan aku kepada Islam sebelum aku mengenali orang-orang Islam”. Dalam berhadapan dengan pilihanraya semakin hampir ini,kita disaran supaya mendekati masyarakat dengan mempamerkan nilai akhlak yang baik dan mulia.Menggunakan segala kemahiran yang dipunyai seperti kemahiran berkomunikasi,kepimpinan,teknologi atau sebagainya untuk merealisasikan misi dakwah dan siasah.Perlihatkan kepada mereka bahawa pemuda PAS adalah pemuda yang bersedia dan mampu untuk memimpin dan membimbing golongan muda sekiranya kita diberi mandat untuk memerintah.

Akhir kata inilah empat kekuatan yang mesti dilangsaikan oleh pemuda PAS untuk memastikan kemenangan PRU yang ke-13 ini. Kita sepatutnya memeriksa setiap kekuatan ini wujud di
dalam diri. Adakah semua tuntutan ini sudah dihadami dan ditunaikan ataupun sebaliknya?. Berbanggalah kita semua tatkala hari kemenangan Islam tiba dan kita merupakan penolong agama Allah.
Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Dan di hari itu bergembiralah orang-orang yang beriman dengan pertolongan Allah. Dia yang menolong sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Perkasa Lagi Maha Pengasih.”( ar- Rum : 4-5 )
Semoga kita menjadi batu bata kepada binaan Islam..pewaris Generasi Solahuddin al-Ayyubi…Takbir!!!!!!!