Alhamdulillah sudah sampai kepenghujungnya peluang diberikan
oleh Allah Taala untuk saya dan para sahabat dari kalangan AJK untuk
menguruskan masjid ini.Dalam ruangan yang terakhir ini izinkan saya berbicara
soal kepimpinan dalam Islam bagi bermuhasabah dan mengingatkan diri saya dan
para sahabat Ajk dan pengurusan masjid yang bakal dilantik.
Apabila berbicara mengenai kepimpinan, Islam menentukan
bahawa bidangnya amat luas. Lebih tinggi bidang kepimpinannya lebih besar pula
tanggungjawabnya. Pemimpin tidak hanya memimpin di dalam sebuah negara, malah
pemimpin dalam Islam ialah setiap orang yang diberikan tanggungjawab dan amanah
untuk mengendalikan sesuatu urusan. Oleh kerana setiap orang mempunyai
tanggungjawab ini maka setiap orang itu mempunyai peranan memimpin. Contohnya
seorang bapa diberi tugas memimpin keluarganya, maka dia adalah pemimpin keluarganya atau seorang
nazir yang diberi tugas untuk menguruskan masjid,maka dia adalah pemimpin
kepada masyarakat disekelilingnya dan bertanggungjawab menguruskan masjid
dengan amanah dan berdedikasi. Begitu juga seorang ketua negara yang diberi
tugas memimpin rakyat di negaranya, maka ia adalah pemimpin rakyat di negaranya
serta mesti mengurustadbir Negara dengan menegakkan agama danmnguruskan urusan
dunia dengan berpandukan agama.
Kepimpinan Menurut Istilah Al-Quran
Dalam Al-Quran terdapat beberapa istilah yang diertikan
sebagai pemimpin atau yang secara langsung yang menyentuh hal ehwal kepimpinan,
antaranya :
1- Imam/Imamah
Merupakan satu jawatan yang berperanan sebagai penunjuk
jalan kepada sesuatu arah atau tempat atau memimpin dengan contoh teladan di
mana imam itu sendiri mesti melaksanakannya lebih awal dari orang yang
dipimpin. Contohnya dalam konteks kewajipan memimpin sembahyang, imam
mengangkat takbir dan makmum turut mengangkat takbir sebagaimana imam
bertakbir. Begitulah seterusnya dalam segala perbuatan mengerjakan sembahyang
itu dan semua perlakuan imam mestilah dituruti oleh makmum.Oleh itu imam
sebagai pemimpin ( leader ) dan makmum sebagai pengikut ( follower ).
2- Khalifah
Merupakan suatu jawatan bagi mengantikan seseorang atau
mengambil tempat mengikut atau meneruskan. Dalam sejarah kepimpinan Islam,
khalifah merupakan pengganti Rasulullah S.A.W dalam menerus, mengurus dan
mentadbir negara Islam.
Khalifah ialah sebagai pentadbir, penguasa, pengatur dan
pemakmur yang bertanggugnjawab mengatur kehidupan manusia di bumi dengan berdasarkan
kepada wahyu dan syariat Allah supaya kehidupan manusia itu teratur dan
mempunyai tujuan-tujuan hidup yang suci murni lagi mulia untuk mencapai
keredhaan allah. Manusia sebagai khalifah ( vicegerent ) yang merupakan wakil
Allah di bumi adalah berkewajipan mendirikan institusi kepimpinan yang diredhai
oleh Allah.
3- Amir Al-Mukminin
Merupakan suatu jawatan atau kedudukan dalam kepimpinan yang
bermaksud sebagai memberi arahan, pemberi tugas, pemerintah atau mengamanahkan
seseorang dengan tugas. Dalam sejarah pemerintahan islam, Amir Al Mukminin
merupakan pemerintah masyarakat atau ketua negara islam.
4-Uli Al-Amri
Merupakan suatu jawatan atau kedudukan dalam kepimpinan yang
menjalankan tugas dan amanah untuk mentadbir dan mengendalikan urusan dunia sesuai
dengan syariat Allah. Oleh sebab itu adalah menjadi kewajipan kepada rakyat
mematuhi apa yang diperintahkan oleh Uli Al Amri sebagaimana firman Allah dalam
surah An-Nisa’ ayat 59 yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah
dan taatlah kamu kepada Rasulullah S.A.W dan kepada Uli Al-Amri ( orang-orang
yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (
berselisihan ) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya
kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman
kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan
lebih elok pula kesudahannya.”
Selain daripada itu ada juga istilah yang dipakai bagi
maksud yang berkaitan dengan kepimpinan dalam sesuatu kumpulan kerohanian
seperti istilah: Mursyid ( penunjuk ), Syeikh ( Ketua ), dan Murabbi ( Pendidik
).
Objektif/Matlamat Kepimpinan
Pada asasnya matlamat kepimpinan adalah :
1-Untuk pengabdian/perhambaan diri kepada Allah. Firman
Allah dalam Surah Az-Zariyat ayat 56 yang bermaksud:
“Dan tidak Aku ( Allah ) ciptakan manusia melainkan untuk
mengabdikan diri kepada aku ( Allah ).
2- Untuk mencapai keredhaan, keberkatan dan rahmat dari
Allah serta RasulNya. Firman Allah dalam Surah At-Taubat ayat 62 yang
bermaksud:
“….Yang sepatutnya mereka cari ialah keredhaan dari Allah
dan RasulNya, sekirannya mereka adalah dari orang yang beriman”
3- Untuk mencapai kesempurnaan akhlak yang mulia. Firman
Allah dalam surah Al-Qalam ayat 4 yang bermaksud:
“Sesungguhnya engkau ( Muhammad ) mempunyai budi pekerti (
akhlak ) yang mulia"
Justeru dalam kita memilih pemimpin hendaklah memilih
pemimpin yang memiliki akhlak yang
mulia,adil iaitu tidak fasiq.Apakah maksud fasiq?Fasiq itu ialah orang berterusan
melakukan dosa kecil dan suka melakukan dosa besar serta cenderung melakukan
satu perbuatan atau tindakan yang boleh menjatuhkan maruah.
4-Untuk menyeru berbuat baik dan mencegah kejahatan.
Firman Allah Taala yang
bermaksud: “ Iaitu
mereka (umat Islam) Yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi
nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh
berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara Yang
mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan Segala urusan.(surah
al-Hajj:41)
5-Untuk mencapai kebahagian, kesenangan, kesejahteraan dan
keselamatan manusia sejagat dunia dan akhirat.
Kepimpinan Sejagat
Kepimpinan ( leadership ) nabi Muhammad S.A.W adalah contoh
ideal dan praktikal yang semestinya diikuti oleh seluruh umat. Baginda
diutuskan untuk membimbing seluruh umat, wilayah kepimpinan baginda meliputi
alam sejagat dan tidak dibatasi oleh sempada geografi serta tidak pula
dikhususkan oleh sesuatu bangsa, kebangsaan dan negara. Dengan demikian
kepimpinan baginda adalah bersifat sejagat. Firman Allah dalam Surah Saba’ ayat
28 yang bermaksud:
“dan tiadalah kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk
umat manusia seluruhnya sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada
orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar),
akan tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahui hakikat itu”
Kepimpinan Sebagai Tanggungjawab Dan Dugaan Bukan
kemuliaan
Menjadi seorang pemimpin, maka bertambah kewajipan
seseortang dan makin banyak soalannya dihadapan Allah. Oleh itu, pemimpin di
dalam Islam, bukanlah menjadi rebutan. Rasulullah S.A.W telah meletakkan
asas-asas supaya pemimpin itu tidak difahami sebagai kemuliaan dan keistimewaan
tetapi tanggungjawab. Meskipun semakin besar tanggungjawab,semakin besar pula
ganjaran baik yang disediakan Allah di hari akhirat kepada sesiapa yang
melaksanakan tanggungjawab itu. Namun jika tanggungjawab itu diabaikan,maka
besarlah risiko dan akibatnya di hari akhirat.
Oleh itu Rasulullah S.A.W sangat berhati-hati supaya
pemimpin itu berada di tangan orang yang kuat dari segi ketaatan kepada Allah,
kekuatan peribadi dan jasmani, kepintaran akal dan dihormati oleh rakyat.
Baginda berhati-hati supaya jangan pemimpin itu jatuh ke tangan orang yang
lemah syakhsiahnya sehingga ia lemah melawan nafsunya. Jika ia seorang yang
lemah melawan nafsunya sendiri, maka ia tidak dapat mematuhi Allah dan tidak
terselamat dari faKtor-faktor kehancuran seperti rasuah, maksiat dan lain-lain.
Abu Zar Al-Ghaffari meriwayatkan, saya berkata kepada
Rasulullah S.A.W Tidakkah Tuan hendak melantik saya untuk mengetuai sesuatu
urusan? Rasulullah S.A.W menepuk bahu saya dan berkata,” wahai Abu Zar, engkau
adalah lemah, sedangkan pemimpin itu suatu amanah. Di hari kiamat ia adalah
kehinaan dan penyesalan melainkan mereka yang mengambilnya dengan hak dan
menunaikan kewajipan yang ditentukan di dalamnya”.
Abu Zar bukanlah seorang yang tidak taat kepada Allah dan
dikuasai nafsu tetapi dia adalah seorang manusia yang lemah dalam mengambil
tindakan, dia adalah seorang yang lurus hati dan mempunyai kelemahan yang
menghalangnya bersikap tegas kepada kawan dan lawan. Itu pun dianggap oleh
Rasulullah S.A.W apatah lagi orang yang kalah di hadapan nafsu, jahil dan tidak
beramal.
Rasulullah S.A.W juga menetapkan dasar bahawa pemimpin itu
tidak diberikan kepada orang tidak berkelayakan yang meminta atau berusaha
dengan tipu daya supaya dia dijadikan pemimpin, kerana sikap seperti itu akan
menjadikan pemimpin itu satu rebutan dan lahir kegiatan serta
pengaruh-mempengaruhi yang menyebabkan pertimbangan yang betul untuk lantikan
menjadi kacau bilau dan menyeleweng. Oleh itu lantikan itu hendaklah dijalankan
dengan pertimbangan yang objektif dan dengan hasrat yang bersih dan suci.
Justeru dalam kepimpinan sesebuah negara, tegak atau
robohnya sesebuah negara, maju atau mundurnya peradaban manusia, timbul atau
tenggelamnya sesuatu bangsa adalah bergantung kepada baik atau buruk pentadbiran
dan kepimpinan yang dimiliki, Para pemimpin atau ketua yang telah dilantik
hendaklah melantik pembantu-pembantu yang jujur dan berkebolehan. Tanda-tanda
kejujurannya ialah sentiasa bersikap beriman dan tidak mengampu sehingga
membenarkan yang salah dan menyalahkan yang benar. Rasulullah S.A.W bersabda
yang bermaksud:
“Apabila Allah S.W.T menghendaki seseorang ketua itu menjadi
ketua yang baik, ia akan jadikan pembantunya itu bersikap benar. Jika ia lupa (
lupa kepada Allah dan menyeleweng dari kebenaran ) ia mengingatkannya. Jika ia
tidak lupa, ia memberi pertolongan dan bantuan kepada ketuanya itu. Jika Allah
menghendaki ketua itu menjadi ketua yang lain daripada itu, dijadikan
pembantunya seorang yang jahat, jika ia lupa tidak diingatkanya dan jika ia ingat
tidak dibantunya” ( diriwayatkan oleh Abu Daud ).
Oleh kerana tugas pemimpin itu berat dan luas, maka ganjaran
baik yang disediakan untuk pemimpin di akhirat yang menjalankan kewajipannya
adalah besar. Diantara tujuh orang yang disebut oleh Rasulullah S.A.W yang akan
mendapat perlindungan Allah ialah pemerintah yang adil yang diletakkan di
senarai yang pertama. Sebaliknya mereka yang menjadi pemimpin sedangkan dia
tidak memiliki ciri-ciri kepimpinan yang selayaknya dan tidak menjalankan
kewajipannya maka ia akan menerima balasan yang pedih.Seksaan Allah bertambah
berat lagi bagi sesiapa yang menjadikan kedudukannya sebagai pemimpin sebagai
jalan untuk kepentingan dirinya dan menipu orang-orang yang dipimpinnya.
Oleh kerana tugas pemimpin adalah besar dan tugas itu tidak
dapat dijalankan melainkan dari kerjasama orang yang dipimpinnya maka Allah
menentukan supaya orang yang dipimpin itu hendaklah mematuhi ketuanya di dalam
semua suruhan yang disukai atau tidak kecuali suruhan untuk melakukan maksiat dan
melanggar hukum-hukum Allah.
Sesungguhnya setiap orang itu mempunyai tugas-tugas
kepimpinan. Sebaik-baik kepimpinan ialah kepimpinan Rasulullah S.A.W kerana
kepimpinan baginda sentiasa berpandu kepada wahyu, syariat dan petunjuk Allah
dalam kepimpinan sejagat. Sebagai pemimpin sewajarnya bertanggungjawab
menyambung risalah baginda ke arah memakmur, memperbaiki, menegakkan keadilan,
mententeramkan serta berkesanggupan untuk meningkatkan ketinggian nilai dan
martabat seluruh umat manusia. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
“setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap
pemimpin itu bertanggungjawab mengenai apa yang dipimpinnya”(Riwayat Bukhari
dan Muslim)
Bagi pihak pengurusan Masjid Sultan Hisamudin BBST tahun
2008 hingga 2012,saya memohon ampun kepada Allah dan meminta maaf kepada semua
muslimin dan muslimat khususnya yang tinggal di kawasan Bandar Baru Salak
Tinggi ini di atas segala kekurangan,kelemahan dan kecacatan sepanjang saya
menguruskan masjid ini.Jutaan terima kasih saya kalungkan kepada semua ahli
jawatankuasa masjid ahli kariah yang sentiasa memberikan sokongan,sumbangan dan
kerjasama dalam menjayakan sebarang aktiviti dan program di masjid ini.Semoga
Allah membalas segala jasa kalian.Kita berdoa kepada Allah semoga pengurusan
masjid yang baru dapat meneruskan dan menambah baik segala aktiviti di masjid
ini.Jazakumullahu khairan kathira.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan