الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ
لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ
لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ
وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا
بَعْدُ….فَيَا عِبَادَ اللهِ !
اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah !
Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan
Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri
dan juga sidang jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita
kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang
ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati
sekalian.
Firman Allah Taala dalam surah
at-Taubah ayat 25-26.
Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (wahai orang mukmin) di medan
peperangan yang banyak. Dan ingatlah peperangan Hunain iaitu di waktu kamu
merasa bangga kerana ramainya jumlahmu. Maka jumlah yang ramai itu tidak
memberi manfaat kepadamu sedikit pun. Dan bumi yang luas itu telah terasa
sempit olehmu kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai. Kemudian
Allah menurunkan ketenangan kepada rasulNya dan kepada orang-orang yang
beriman. Dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tidak melihatnya dan Allah
menimpakan bencana kepada orang-orang kafir. Dan demikianlah pembalasan kepada
orang-orang kafir.
Kita masih
berada di bulan Syawal yang turut merakamkan banyak peristiwa bersejarah kepada
umat Islam untuk dijadikan pengajaran dalam meneruskan perjuangan menegakkan
kalimah Allah di muka bumi ini. Bulan Syawal pernah menyaksikan berlakunya
peperangan Uhud, peperangan Ahzab dan peperangan Hunain pada zaman Rasulullah
s.a.w di mana peperangan ini meletus bukannya disebabkan Islam menghalalkan
keganasan tetapi sebaliknya semua peperangan ini berlaku bagi mempertahankan
diri daripada serangan musuh. Kuffar terlebih dahulu merancang untuk menyerang
sebelum tentera Islam terpaksa keluar untuk bertahan bagi memastikan agama
Allah terus tersebar tanpa sebarang sekatan dan gangguan. Pada hari ini kita
cuba mengambil beberapa pengajaran penting daripada peperangan Hunain yang
berlaku pada bulan Syawal tahun ke-8 hijrah iaitu selepas Pembukaan Kota Mekah.
Peperangan ini merupakan peperangan terakhir antara umat Islam dengan musyrikin
arab kerana selepas itu kebanyakan musyrikin Mekah memeluk Islam sehingga api permusuhan
selama ini dapat dipadamkan.
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Peperangan Hunain berlaku
apabila bani Hawazin dan Thaqif pimpinan Malik bin Auf yang tinggal di Taif
merancang untuk menyerang umat Islam. Bagi mengetahui secara lanjut tentang
persiapan mereka lalu Rasulullah s.a.w menghantar Abdullah bin Abi Hadrad
al-Aslamiy ke Taif untuk tinggal di tengah-tengah kaum tersebut bagi mengumpul
maklumat. Setelah itu dia pulang ke Mekah dan memberitahu tentang persiapan
bani Hawazin dan Thaqif dari segi kelengkapan senjata dan juga dengan bilangan
tentera antara 20 hingga 30 ribu orang bagi menyerang umat Islam. Pasukan
kuffar ini turut membawa bersama harta benda dan anak isteri mereka agar mereka
tidak lari dari medan perang kerana maksud peperangan ialah menjaga diri, harta
dan keluarga daripada serangan musuh. Di sini kita dapat lihat bagaimana
peperangan memerlukan kepada usaha dan perancangan yang rapi termasuk mencari
maklumat lengkap tentang jumlah dan persiapan musuh sehingga memungkinkan kita
mengetahui tentang tahap kekuatan dan kelemahan yang ada. Tugas pengintip
rahsia walau pun merbahaya tetapi perlu ada bagi mengumpul sebanyak mungkin
maklumat pihak lawan sebelum peperangan meletus. Ini berbeza dengan kebanyakan
negara umat Islam hari ini di mana mereka lebih banyak mengetahui dan mengintip
rahsia daripada pejuang Islam yang berjuang untuk menegakkan Islam dalam negara
sehingga melupakan mereka untuk mengetahui rahsia dan perancangan musuh Allah
yang sememangnya ingin menghancurkan Islam dan umatnya. Bilakah umat Islam akan
diberikan kemenangan jika kita saling bermusuhan sesama kita demi kepentingan
harta dan takhta sehingga melupakan kita kepada musuh yang nyata.
Rasulullah s.a.w bersama 12
ribu orang tentera muslimin iaitu 10 ribu dari Madinah dan 2 ribu dari Mekah
telah keluar menuju ke lembah Hunain.
Dalam peperangan ini disebabkan kekurangan
bekalan senjata maka Rasulullah s.a.w terpaksa meminjam senjata dan seratus
baju besi daripada Safwan bin Umaiyah yang belum Islam lagi pada masa itu. Pinjaman
yang terpaksa dibuat ini tidak menjatuhkan maruah umat Islam kerana Safwan
adalah seorang yang dipercayai dan dia agak lemah serta tidak mampu menguasai
umat Islam melalui senjata yang dipinjamkan itu. Ini berbeza dengan kebanyakan
negara umat Islam hari ini yang bukan sahaja terpaksa membeli senjata daripada
musuh tetapi turut mendapat tekanan kerana kekurangan pakar untuk menggunakan
senjata itu sehingga musuh senang menguasai negara melalui senjata yang dibeli
daripada mereka. Malah ada negara umat Islam yang terpaksa berlutut kepada
musuh dan dipermainkan olehnya apabila senjata yang dibeli tidak diserahkan
atas alasan yang tidak munasabah. Senjata yang dibeli juga lebih banyak
dihalakan kepada saudara seagama terutama pejuang Islam berbanding penggunaaanya
dalam menghentikan kezaliman musuh Islam. Sampai bilakah umat Islam terpaksa
menagih simpati daripada kepakaran musuh dalam pembinaan senjata sendiri. Kita
bukan mahu menghasilkan senjata untuk melakukan kerosakan di muka bumi
sebagaimana kuffar tetapi bertujuan untuk menjaga keamanan dunia yang terus
dirosakkan oleh tangan pengganas kuffar. Kita tidak mahu membiarkan tubuh umat
Islam terus dimamah oleh bom musuh, kepala mereka dipenggalkan oleh senjata
kuffar dan perut mereka diratah oleh lawan. Jangan biarkan senjata utama yang
ada pada umat Islam iaitu ilmu dan jihad semakin padam ditambah lagi senjata
zahir turut ketinggalan.
Sidang Jumaat yang diberkati
Allah,
Keesokan
harinya ketika tentera Islam di barisan hadapan pimpinan Khalid bin Walid sedang
bergerak mara, mereka diserbu dari arah kiri dan kanan disamping anak panah
yang menghujani mereka dari arah depan dan belakang. Serangan mengejut ini
menyebabkan kuda-kuda lari ketakutan begitu juga ramai tentera Islam yang
berundur ke belakang terutama dalam peperangan kali ini walau pun jumlah
tentera Islam agak ramai berbanding beberapa peperangan sebelum ini tetapi
kebanyakan mereka baru memeluk Islam dan tidak begitu tahan dengan ujian. Ini
memberi suatu pengajaran yang besar di mana jumlah yang ramai belum tentu dapat
mengalahkan musuh jika perjuangan tidak disertakan dengan keikhlasan kepada
Allah dan juga tidak tahan dengan ujian yang mendatang. Kebanyakan tentera
Islam merasakan mereka akan mendapat kemenangan dengan mudah kerana jumlahnya yang
ramai disamping mereka juga begitu terlalu memikirkan harta rampasan yang bakal
diperolehi sehingga melalaikan mereka daripada mengingati bahawa peperangan
yang disertai itu ialah untuk Islam bukannya untuk meraih harta dunia. Jumlah
umat Islam pada hari ini bukan sedikit tetapi kita diuji dengan kekalahan
kerana tidak kembali bersatu di bawah payung Islam. Contohnya jumlah yahudi di
Palestin hanya beberapa juta sedangkan umat Islam di negara arab sekelilingnya
berjumlah ratusan juta tetapi yahudi boleh terus mengganas kerana umat Islam
tidak bersatu memerangi mereka.
Ketika
suasana bertambah gawat dan cemas lalu Rasulullah s.a.w yang berada di
tengah-tengah tentera Islam yang sedang berundur ke belakang di mana Rasulullah
s.a.w terus mara ke arah musuh dan cuba menghadapi mereka secara bersendirian
tetapi dipegang oleh 2 orang sahabat yang lain kerana bimbang nyawa Rasulullah
akan terancam.Bagaimana dengan kita pula pada hari ini dalam membela dan
mencintai Rasulullah. Apakah perasaan dan tindakan kita apabila sekali lagi
Rasulullah dihina oleh orang Yahudi melalui filem mereka baru-baru ini yang
bertajuk “Innocence of Muslims”.Filem ini secara terang menyifatkan nabi
Muhammad saw sebagai gila perempuan.Dalam peperangan ini juga musuh turut
menyebarkan berita bohong bahawa nabi telah terbunuh di mana serangan saraf ini
melemahkan lagi semangat tentera Islam. Inilah bahayanya serangan saraf
terutama dalam sesuatu perangan kerana ia boleh mengalihkan tumpuan musuh dan
menghancurkan kesatuan sesama mereka. Kita umat Islam hari ini juga tidak
terlepas daripada serangan saraf yang dilancarkan oleh musuh dalam melunturkan
semangat jihad kita dan menghancurkan perpaduan umat Islam untuk kembali kepada
Islam.
Sidang Jumaat Jumaat yang
dikasihi sekalian,
Akhirnya apabila mendengar
jeritan Rasulullah s.a.w dan melihat keberanian baginda meluru ke arah musuh
telah menaikkan semangat tentera Islam yang benar-benar mahu berjuang iaitu
kira-kira 200 orang di mana kemaraan tentera Islam bagi kali kedua ini telah
berjaya menewaskan musuh yang ramai. Selepas itu tentera Islam turut mengepung
musuh di Taif dan kemudiannya kembali dengan tidak membunuh musuh yang telah
terkepung sebaliknya diiringi doa agar mereka memeluk Islam. Ini menunjukkan
bagaimana peperangan dalam Islam bukannya untuk membalas dendam tetapi ia
merupakan antara jalan dakwah apabila dilawan dengan kekerasan. Selepas itu
ramai puak Hawazin telah memeluk Islam yang membolehkan nabi membebaskan
tawanan perang daripada kalangan mereka. Inilah keindahan Islam yang meraikan
keadilan tidak sebagaimana yang dituduh oleh musuh yang mengatakan bahawa Islam
suatu agama yang menggalakkan keganasan. Kuffar lah yang sebenarnya ganas
kerana bertanggungjawab membunuh umat Islam kerana dendam sehingga ramai umat Islam yang terbunuh seperti di
Afghanistan,Iraq,Palestin dan yang terbaru di Rohingya. Firman Allah dalam ayat
41 surah at-Taubah :
Maksudnya : Pergilah kamu samada dalam keadaan ringan atau pun merasa
berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Demikian itu
adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.
بَارَكَ
اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا
فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ
تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ
لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ
وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ
التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan