
THABAT DEPANI CABARAN
Para
Sahabat yang dirahmati Allah Taala.
Alhamdulillah
segala puji dan syukur kita panjatkan kepada Allah Taala kerana kita masih lagi
diberikan kekuatan dan keizinan untuk
meneruskan kehidupan sebagai seorang khalifah dan hamba kepadaNya.Kita wajib
bersyukur kepadaNya juga kerana masih lagi istiqamah dan thabat dalam
perjuangan ini walaupun berdepan dengan pelbagai mehnah dan tribulasi.Kita tidak sepatutnya lupa untuk mengucapkan syukur kepada Allah
Rabbul Jalil selepas kita dianugerahkan kemenangan yang hebat dalam PRU yang
ke-13 baru-baru ini di Selangor.Pakatan Rakyat telah berjaya mengekalkan
kemenangan dengan menambah bilangan kerusi DUN daripada 36 kerusi kepada 44
kerusi.PAS pula telah berjaya menambah kerusi DUN daripada 8 kerusi kepada 15
kerusi.Kemenangan yang sangat manis dan amat bernilai bagi kita di Sepang ini
khususnya apabila PAS telah berjaya memenangi kerusi parlimen dan satu kerusi
DUN selepas 12 kali menemui kegagalan.
Sahabat-sahabat
yang dirahmati Allah.
Kemenangan
yang dikecapi ini perlu diperhalusi dan dinilai semula.Walaupun kita menang di
Selangor ini dengan cemerlang tetapi kita masih gagal menguasai kerajaan pusat
kerana kegagalan memenangi undi orang Melayu bahkan undi orang Melayu semakin
merosot. Pada keseluruhannya
purata undi Melayu dalam kawasan- kawasan yang ditandingi PAS di
Semenanjung menurun daripada 48.34% pada PRU 12 kepada 45.46% pada PRU 13
berbanding undi orang cina dengan purata undi Cina untuk PAS pula naik daripada
59.3% pada PRU 12 kepada 73.4% pada PRU 13, dengan
Selangor mencatatkan kenaikan yang menakjubkan daripada 42.9% pada PRU 12
kepada 70.3% pada PRU 13. Manakala purata undi dari
kaum India di semua negeri untuk PAS menurun daripada 63.5% pada
PRU 12 kepada 54.6% pada PRU 13.
“Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) perihal mereka
Dengan benar; Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda Yang beriman kepada
Tuhan mereka dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.”(Surah
al-Kahfi:ayat 13)
Pemuda mestilah mengukuhkan keimanan
dengan menambah pengetahuan mereka tentang aqidah.Hanya mereka yang memiliki
iman yang sempurna mampu untuk berdepan dengan cabaran dalam berjuang. Kalau kita cermati, sebagai seorang pejuang Islam yang
melalui jalan jihad ini, ada beberapa aral yang melintang dihadapan kita yang
menjadi penghalang bagi kita untuk memasak fikrah dan gerak kerja kita yang
suci. Kalau kita tidak waspada, perintang-perintang ini akan merosakkan dan mengikis habis iman kita atau paling tidak akan membuat
iman kita menjadi keruh dan tidak murni lagi akibat noda-noda dan racun yang
ditebarkannya. Perintang-perintang ini sangat beragam dan banyak sepertimana menurut Imam Ibnu Abi ‘Izz Al-Hanafi
kesemuanya itu bermuara pada dua hal yaitu: “Syubhat dan Syahwat”. (Lihat Syarh
Aqidah Thahawiyah, Ibnu Abi ‘Izz Al-Hanafi, hal: 339).Menurut Imam Ibnu Qayyim
Al-Jauziyah penyebab fitnah ini adalah lantaran lemahnya iman seseorang dan
sedikitnya ilmu yang dimilikinya disamping niat yang rusak dan gelora mengikuti
hawa nafsu yang membara dalam jiwanya. (Ighatsatul Lahfan 2/584).
Justeru fitnah syahwat yang terbentang
dihadapan kita terutama diera kemenangan ini berbentuk kebendaan yang mampu
merosakkan niat murni kita dan fitnah syubhat yang mampu merobek iman dan
memecahbelahkan ukhwah sesama kita perlu ditangani dengan bijak seumpama
seorang nelayan yang mengemudikan perahunya membelah lautan yang
bergelora.Firman Allah Taala yang bermaksud: “ Dia lah Yang telah mentakdirkan
adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu:
siapakah di antara kamu Yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas
amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat).”(surah
al-Mulk:2)
2.Menggunakan
petunjuk Allah
Seorang pejuang
Islam mesti menjadikan al-Quran sebagai petunjuk dan sunnah Nabi Muhammad saw
sebagai panduan yang sentiasa menerangi jalan perjuangannya.Apabila kita
beraqidah,berhukum,berhujah dan berakhlak mestilah dengan petunjuk yang
disediakan Allah.Oleh itu persiapan diri dan kesediaan kita untuk menyampaikan
petunjuk ini kepada masyarakat adalah sangat dituntut.Kita semestinya sedar
bahawa PAS bukan sahaja bersiasah tetapi juga berdakwah.Kita punya amanah yang
besar untuk membawa kehidupan anak muda hari ini kepada cara hidup yang
diredhai Allah.Kita harus menggunakan pelbagai pendekatan dakwah dengan dimensi
yang lebih segar dan menarik tanpa sedikit pun mencalari syariat.Ingatlah
pesanan Doktor Fathi Yakan bahawa “Pemuda adalah sebuah tenaga yang digunakan
untuk memakmur dan membangunkan alam,tetapi orang lain telah menggunakan mereka
untuk meruntuhkan umat manusia.Sesungguhnya dunia hari ini penuh sesak dengan
pemuda dan pemudi tetapi mereka hanyalah kosong,hanyut dan terbiar.”Justeru
jadikanlah diri kita pemuda PAS merupakan pasukan yang menghulurkan tangan
kepada generasi muda demi menyelamatkan mereka dari lemas dan dilautan dunia
yang bergelora.
3.Mengukuhkan
kesatuan hati,fikrah dan amal.
“Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan
keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan
Kami ialah Tuhan Yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; Kami tidak
sekali-kali akan menyembah Tuhan Yang lain dari padanya; jika Kami menyembah
Yang lainnya bermakna Kami memperkatakan dan mengakui sesuatu Yang jauh dari
kebenaran.”(Surah al-Kahfi:ayat 14)
Untuk
menjamin kemenangan yang dikecapi berada didalam genggaman kita penyatuan
hati,fikrah dan amal perlu ada kesinambungan sepertimana sebelum ini.Jangan ada
diantara kita yang mengambil sikap individualistik dan menangguk keuntungan
peribadi.Sikap ini jika diteruskan akan menyebabkan kehancuran dan keruntuhan
di dalam jamaah.Sepertimana kata As-Syahid Imam Hassan al-Bana bahawa ukhwah(Rukun
Bai’ah yang ketujuh) hendaklah dibina atas ikatan aqidah sesama petugas amal
Islami.Kita juga wajib menjaring segala bentuk pengaruh idea,prinsip mahupun
pengaruh individu yang berada di luar aqidah dan fikrah. Bagi mendepani segala
usaha musuh-musuh Islam yang ingin meleburkan gerakan Islam ini maka kita perlu
memiliki tiga bentuk hati seperti yang dinukilkan daripada Saidina Ali r.a.Hati
yang pertama ialah hati yang sentiasa bersih di dalam keyakinannya kepada
Allah,kedua ialah hati yang cekal dalam melaksanakan segala tuntutan dan
larangan agama dan yang ketiga ialah hati yang sentiasa lembut dan berkasih
sayang sesama saudara seaqidah.
Ikatan ini adalah ikatan yang simpulannya tidak boleh terungkai dengan
permasalahan dan perbezaan furu’ tetapi yang sentiasa diarahkan oleh
panduan Al-Quran dan Al-Sunnah.Segala
bentuk aktiviti untuk mengikat kesatuan ini perlu dilaksanakan seperti
usrah,tamrin dan diskusi.
4.Memainkan
peranan secara kolektif.
Ketika
kita meraikan kemenangan di dalam PRU ke 13 yang lepas,kita bersama mendabik
dada dan bergembira mengakui kejayaan ini.Dalam pada masa yang sama kita lupa
ketika para sahabat perjuangan bertungkus lumus di medan jihad dengan berkorban
masa,tenaga,harta dan sebagainya tetapi kita di mana?Kita mesti menginsafi
bahawa jalan yang kita lalui ini bukan mudah tetapi perlu kepada pengorbanan
secara kolektif daripada semua peringkat.Jangan kita sibuk bertanya sumbangan orang lain kepada perjuangan ini
tetapi tanyalah diri kita sendiri.
Islam bukanlah merupakan al-din untuk golongan al-mutafajirin
(golongan yang hanya melihat) ataupun al-mutaqa’idin (golongan yang
berpeluk tubuh) tetapi ianya bersifat haraki yang dinamik lagi produktif
untuk sentiasa melahirkan suatu natijah dan tidak bersifat jumud (beku).Ini
tidaklah bermakna kita mengharapkan kepada natijah yang cepat tetapi ianya
adalah merupakan satu rangsangan daya juang yang sentiasa mengharapkan
keredhaan Allah.
Firman Allah Taala:
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk
membela ugamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah
bangunan Yang tersusun kukuh.”(Surah as-Saff:ayat 4)
Apabila kemenangan Ikhwanul muslimin di Mesir
pada tahun 2012 menjadi realiti,ianya bukanlah satu kejayaan yang mudah tetapi
menuntut kepada perjuangan dan pengorbanan yang sangat panjang iaitu selama 84
tahun.Perjuangan yang diasaskan oleh as-Syahid Imam Hasan al-Bana sejak dari
tahun 1928 telah mewujudkan keterlibatan semua peringkat daripada golongan
ulamak,profesional,petani,buruh,pemuda dan muslimat.Namun kemenangan ini telah
dirobek dan dimusnahkan oleh kezaliman as-Sisi dalam sekelip mata dengan
menumpahkan lebih 5000 darah para syuhada’ pada 15 Ogos 2013 yang lalu.
Seterusnya ayat ini diakhiri dengan ikrar
yang mengikat kuat hati pemuda-pemuda tadi kepada Allah s.w.t. dengan syahadah
bahawa sesungguhnya Tuhan kami adalah Allah yang mencipta dan memiliki langit
dan bumi, dan kami sesungguhnya berikrar bahawa Dialah sahaja yang wajib
disembah dan ditaati perintahnya dan kami dengan syahadah ini membebaskan diri
kami dari sebarang kompromi dan ikatan dengan sesuatu yang tidak bersifat
rabbani. Ikrar ini adalah sebagai janji setia kita dengan Allah yang
bersifat aqad (ikatan) yang tidak boleh diingkari apatah lagi kalau
diputuskan. Keseluruhan tuntutan di atas adalah merupakan tugas yang dipikul
oleh golongan pemuda.
Tanggungjawab berat yang dipikul dalam era al-Shahwah
al-Islamiyah (kebangkitan Islam) ini memerlukan kepada golongan syabab tadi
melalui satu proses yang dikenali sebagai tajnid yang membawa erti
memperkemaskan pemuda tadi ibarat satu kumpulan junud (tentera). Proses
ini adalah proses memupuk kefahaman yang jelas, penyusunan yang rapi dan amal
yang mutawasil (berterusan) yang dibuat dalam bentuk penyusunan gerak
kerja secara bersama.
Kesimpulan
Para pemuda dalam PAS hari ini perlu
menyiapkan diri dengan pelbagai persiapan. Persiapan-persiapan tersebut
termasuklah dari segi kejiwaan, keilmuan, kebendaan serta gerakan. Konsep al-fahmu
(kefahaman) perlu dititik beratkan agar matlamat perjuangan ini jelas dan tidak
dipandu oleh nafsu, logik akal dan semangat semata-mata. Takbir
Allahuakbar!Allahuakbar!Allahuakbar!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan