Rabu, 11 Januari 2012



ADA APA DENGAN CINTA?
Kita dibekalkan oleh Allah Taala dengan akal untuk berfikir,dua tangan untuk
memegang,dua telinga untuk mendengar,dua mata untuk melihat dan dibekalkan hati
serta jiwa untuk membawa cinta.Cinta adalah satu kalimah yang sentiasa dan gemar
diungkap oleh manusia khususnya para remaja.Kalau dulu di zaman saya remaja,
cinta diungkap melalui surat,telefon atau disampaikan oleh orang perseorangan
tetapi di zaman sekarang cinta diluahkan melaui media yang lebih cepat dan laju
iaitu internet.Cinta ekspres ini sering tercipta dan terperangkap ketika remaja
menggunakan “Mukabuku” atau “Facebook” sebagai medium untuk berkomunikasi.Malah
bukan sahaja dikalangan remaja dan orang muda yang terjerat dengan cinta mukabuku ini,bahkan orang dewasa dan tua juga terlibat dalam masalah kontemperori ini.
Apa ukuran cinta?

Cintaku kepada Allah,Rasulullah saw dan Islam.
Sekiranya kita meneliti kepada graf di atas kita mesti mengakui bahawa seorang mukmin dan
hamba Allah mesti meletakkan cinta kepada Allah adalah kedudukan yang paling
tinggi.Ini adalah cinta hamba kepada penciptanya.Cinta yang lahir daripada rasa
ubudiyyah yang tinggi kepada Allah Rabbuljalil.Cinta yang terbit untuk
mendapatkan halawatuliman atau kemanisan iman sepertimana sabda Rasulullah saw
yang bermaksud: “Barang siapa yang ada padanya tiga syarat,ia dapat merasai
kemanisan Iman iaitu:1. Jika ia mencintai Allah dan RasulNya mengatasi kasihnya
pada yang lain.2.Jika ia mencintai seseorang,tidaklah ia mencintai melainkan kerana Allah dan 3.Jika ia benci kembali kepada kekufuran sebagaimana ia benci memasuki api neraka.” Rasulullah saw dan para sahabat baginda sanggup mengorbankan segala yang ada disisi mereka termasuk harta benda,keluarga,pangkat sehinggalah nyawa mereka.
Para sahabat Rasulullah saw telah menunjukkan contoh kecintaan dan pengorbanan yang tinggi dalam mencintai Rasulullah saw.Lihat sahaja dalam peperangan Uhud,para sahabat baginda sanggup menjadikan batang tubuh mereka sebagai benteng untuk melindungi Rasulullah saw.Para sahabat juga memperlihatkan kecintaan mereka kepada Islam dengan mereka sanggup
mengorbankan segala yang ada pada sisi mereka samada keluarga,harta dan
kedudukan mereka.Kisah mengenai Bilal bin Rabah,Keluarga Amar bin Yasir dan
Mus’ab bin Umair sentiasa didendangkan untuk dijadikan panduan.Kisah kecintaan
Abu Bakar kepada Rasulullah saw yang membenarkan setiap yang keluar dari mulut
Rasulullah saw dan menjadi peneman kepada baginda dalam peristiwa hijrah.Abu Bakar juga telah membuktikan kecintaannya kepada Islam apabila beliau sanggup menyerahkan seluruh hartanya kepada Islam dan ketika ditanya oleh Rasullah saw kepada beliau tentang apa
yang tinggal setelah beliau menyerahkan seluruh hartanya kepada Islam,maka
dijawab oleh beliau bahawa yang tinggal kepada disisi beliau hanyalah Allah dan
Rasulullah saw.Begitulah hebatnya kecintaan generasi sahabat kepada
Allah,Rasulullah saw dan Islam.Persoalannya “Bagaimana rasa cinta kita?”

Cintaku kepada dunia .
Mari kita tanya diri kita.Apa tujuan kita hidup di dalam dunia ini?Terdapat bermacam-macam jawapan yang mungkin dilontarkan oleh kita.Bagi golongan kafir dan sekutu mereka,mereka kan menjawab “Kita hidup di dalam dunia ini adalah untuk kehendak dan keperluan hidup di
dunia semata-mata,berseronok dan berhibur serta lakukan segala yang kita ingin lakukan.Disebut oleh Allah Taala dalam surah Muhammad ayat 12 yang bermaksud:
“…… dan (sebaliknya) orang-orang Yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.” Inilah kehidupan orang-orang kafir dan fasiq yang mencintai kehidupan
dunia semata-mata tanpa mempercayai kehidupan selepas mati.Mereka ini hidup semata-mata kerana ingin mengejar kehidupan dunia sehingga mereka menolak untuk menyembah Allah yang esa dan menolak Islam untuk hidup bersyariat.Mereka sibuk mengumpul harta kekayaan tanpa mengira halal atau haram,sibuk mengejar pangkat dan kedudukan sehingga sanggup zalim-menzalimi,menabur fitnah dan menindas orang lain.

Saya ingin berkongsi satu kisah mengenai Raja Rom iaitu Raja Hercules ketika menerima surat utusan daripada Rasulullah tahun keenam hijrah yang menyeru beliau menerima Islam.Raja Hercules tidak terus menjawab seruan Islam itu tetapi bertanya kepada pembesar-pembesar
beliau terlebih dahulu.Para pembesar beliau menjawab sekiranya Hercules menerima Islam maka mereka akan menjatuhkan Hercules daripada takhta dan menentangnya.Demi kecintaan Hercules kepada takhta,kedudukan dan harta kekayaannya,maka Hercules menolak seruan baginda kepada Islam.Begitulah juga hari ini,kumpulan manusia seperti Hercules tetap wujud dan berkembang kerana para musuh Allah telah berjaya menghilangkan rasa cinta kepada Allah dan Rasulullah saw daripada dada-dada mereka khususnya umat Islam dan kecintaan
mereka hanya pada dunia sahaja.Allah telah menyebut golongan di dalam al-Quran
sebagai golongan kebendaan atau “ dahriyyin.”Firman Allah Taala yang bermaksud:
“24. Dan mereka berkata: "Tiadalah hidup Yang lain selain daripada hidup
kita di dunia ini. kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah Yang
membinasakan kita melainkan edaran zaman. pada hal mereka tidak mempunyai
sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan
semata-mata.” Justeru itu marilah kita memilih untuk mencintai akhirat melebihi cinta
kita kepada dunia.Golongan yang benar-benar beriman mereka akan menginsafi
nilai hidup dunia ini dibandingkan akhirat.Firman Allah Taala dalam surah
al-An’am yang bermaksud: “32. Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan
permainan Yang sia-sia dan hiburan Yang melalaikan: dan Demi Sesungguhnya
negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang Yang bertaqwa. oleh itu,
tidakkah kamu mahu berfikir?Lantaran rendahnya nilai dunia dibandingkan dengan
akhirat,maka kehidupan dunia tidaklah sampai menghalang dan menyibukkan mereka
daripada melaksanakan tujuan dan matlamat mereka diciptakan Allah.Demikianlah
juga amaran dan kutukan Rasulullah saw kepada manusia akhir zaman bahawa kita akan ditimpa satu penyakit yang diberi nama al-wahnu iaitu penyakit mencintai dunia dengan cinta yang melampau dan takutkan kematian.Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Celakalah(orang yang hidupnya menjadi) hamba abdi dinar, Celakalah(orang yang hidupnya menjadi)
hamba abdi dirham, Celakalah(orang yang ) menjadi hamba kepada
pakaian.”(Riwayat Bukhari)

Cintaku kepada manusia.
Allah menciptakan manusia lelaki dan perempuan, berpuak-puak serta berbangsa-bangsa adalah untuk berkenal-kenalan.Allah Taala berfirman dalam al-Quran dalam surah al-Hujrat ayat yang ke 13 yang bermaksud:

13. "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam
pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)".
Allah Taala tidak memerintahkan kita mencintai manusia sehingga kita lupa kepada Allah dan mencintai manusia sehingga kita sanggup melakukan maksiat kepada Allah serta mencintai manusia sehingga sanggup meninggalkan Islam.Banyak kisah cinta diantara sesama manusia dihiasi dengan maksiat kepada Allah Taala.Kerana cinta manusia sanggup menggadai mahkota diri(maruah),kerana cinta manusia sanggup menggadai agama(murtad) dan kerana cinta manusia sanggup meninggalkan keluarga dan kerabat.Inilah bahana cinta yang tidak berlandaskan dan disulami dengan syariat.Kesan daripada cinta fasik ini maka berleluasalah kes buang bayi,pelacuran,pembunuhan,penagihan dadah dan banyak lagi kes jenayah yang
dimurkai oleh Allah Taala.Sedangkan agama memerintahkan cinta sesama manusia
mestilah kerana Allah.Cinta manusia hendaklah didasari syariat dan cinta sesama
manusia adalah untuk menyeru manusia kepada Allah,menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah manusia melakukan kemungkaran.
Demikianlah sepatutnya kita memahami nilai dan ukuran cinta kita sebagai
seorang hamba kepada Allah.Janganlah kita terpedaya dengan sogokan dan seruan
cinta yang dilaungkan oleh orang kafir yang berakhir dengan kemudharatan kepada
agama,masyarakat,keluarga dan individu.Bermuhasabalah…….


Ahad, 25 Disember 2011

HIJRAH MEMBENTUK MODAL INSAN REMAJA MUSLIM

Selamat datang tahun baru 1433 Hijrah dan selamat menyambut tahun baru masihi 2012.Mari semua remaja bertanya kepada diri masing-masing, “Adakah saya sudah membuat perubahan pada diri sendiri sebagaimana yang saya azam dan janjikan pada tahun lepas?”Jawapannya ada pada diri adik-adik sendiri samaada sudah,sedang atau belum lagi.Abang ingin menyedarkan diri sendiri dan adik-adik akan kepentingan kita membuat perubahan di dalam diri kita daripada keadaan yang tidak baik kepada yang baik dan daripada yang baik kepada yang lebih baik. Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud:'Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.'

Maksud Hijrah.

Hijrah bermaksud perpindahan kepada hidup yang lebih baik, lebih maju, lebih mulia dan lebih bermakna serta berada pada lingkungan rahmat dan keredhaan dari Ilahi.Roh dan semangat hijrah Rasulullah saw mesti kita perhalusi dan kita dokong dalam kehidupan remaja kita pada hari ini.Kita merasakan kehidupan remaja hari ini sangat berhadapan dengan cabaran yang besar dan sukar.Terlalu banyak statistik dan angka yang menunjukkan salahlaku dan keruntuhan akhlak yang melibatkan remaja telah dipaparkan.Justeru perlu para remaja mengubah gaya hidup yang sonsang dan sesat kepada cara hidup Islam.Rasulullah saw telah bersabda dengan maksudnya:”Penghijrahan itu ialah sesiapa yang berhijrah daripada segala yang ditegah daripada melakukannya.”

Pembangunan Jiwa.

Untuk memastikan cita-cita tersebut tercapai, jiwa insan perlulah diisi dengan perasaan cintakan Allah dan Rasul serta cinta kepada kehidupan akhirat. Ini seterusnya akan dapat menyedarkan manusia tentang matlamat hidupnya di atas muka bumi ini. Dan di sini seluruh manusia perlu
memikul dua tanggungjawab utama iaitu selaku hamba Allah dan selaku khalifah Allah.Sebagai hamba Allah Taala,remaja mesti memahami tanggungjawab hamba iaitu “Kami dengar dan kami patuh.” Ini bersesuaian dengan firman Allah s.w.t di dalam surah Az-Zariat ayat 56 yang bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada Ku”. Mari kita koreksi diri dengan bertanya beberapa
soalan.Sejauhmana aku telah mematuhi perintah Allah Taala?Adakah aku telah menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang?Bagaimana keikhlasan diriku dalam beribadah kepada Allah?Apakah usaha aku untuk membina kekuatan jiwa dan hati?Semua persoalan ini mesti anda jawab dengan rendah hati dan jujur supaya anda dapat menilai tahap prestasi anda sebagai hamba Allah Taala. Oleh kerana pada hari ini para remaja tidak berjaya menyucikan jiwa supaya taat dan takut kepada Allah serta tidak mencintai Rasulullah saw dengan sepenuh hati,maka jangan harap kita akan dapat memperolehi kejayaan dunia dan akhirat.Ini telah dijelaskan oleh Allah Taala dalam surah An-Nur ayat 52 yang bermaksud” Dan sesiapa Yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang Yang beroleh kemenangan”.

Kesan daripada kelemahan dan kerosakan jiwa,remaja telah terlibat dengan kerosakan aqidah dan keruntuhan akhlak yang serius.Ini dibuktikan dengan statistik beberapa jenayah yang
melibatkan remaja Muslim dan orang Melayu seperti keterlibatan orang Melayu dalam penagihan dadah adalah melebihi daripada bangsa-bangsa lain iaitu jumlah penagih baru dikalangan orang Melayu melebihi 10,000 orang berbanding bangsa-bangsa lain seperti Cina yang 2000 orang dan India kurang dari 2000 orang.

Pembangunan Mental
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai
(tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.” Riwayat al-Bazzar

Pembangunan insan juga mestilah menitikberatkan pembangunan mental (akal). Akal manusia mestilah diisi dengan pelbagai jenis ilmu yang dianjurkan oleh Islam untuk mempelajarinya. Antara ilmu yang perlu dititikberatkan ialah ilmu berkenaan dengan Fardhu Ain seperti ilmu Tauhid, Feqah dan juga Tasawwuf serta ilmu-ilmu pengetahuan yang lain seperti ilmu
Sains dan Geografi.Justeru remaja tidak boleh membenarkan diri mereka berada dalam keadaan jahil atau tidak berilmu.Sekiranya kita yakin dengan Rasulullah SAW yang menunjukkan jalan bagi kita untuk menjadi umat yang disegani dan dihormati,maka sepatutnya remaja berlumba-lumba untuk mengejar dan menimba sebanyak mungkin ilmu khususnya ilmu agama.Sejarah telah membuktikan bahawa umat Islam menjadi umat yang hebat apabila kita menguasai pelbagai cabang ilmu sepertimana yang berlaku pada zaman kerajaan Umaiyah dan Abbasiyah. Ibnul Qoyyim menerangkan yang dimaksud ilmu adalah firman Allah, sabda Rasulullah,
dan penjelasan para sahabat. Atau dengan bahasa lain, ilmu yang wajib dipelajari oleh setiap hamba adalah bagaimana hamba mengenal Allah kemudian mentauhidkan-Nya dalam seluruh sifat yang khusus bagi Allah, mengenal Rasul-Nya, mengenal agama Islam ini dengan dalil-dalilnya, demikian pula tata cara shalat, dan ibadah-ibadah wajib yang lainnya sehingga tidaklah dia melakukan suatu ibadah kecuali telah dilandasi ilmu mengenai ibadah tersebut. Imam Mawardi juga menyatakan bahawa orang yang menganggap ilmu syarak itu tidak ada faedahnya
dipelajari dan lebih baik sahaja ditinggalkan, sebenarnya orang itu tenggelam dalam kesesatan dan jauh dan mendapat hidayat pertunjuk, serta ia termasuk dalam golongan yang kelima yang binasa.

Marilah kita meninggalkan segala sangkaan bodoh yang cuba diletakkan oleh musuh-musuh
Allah dalam minda kita bahawa untuk menjadi hebat,kita hanya perlu menjadi umat
Madiah(Materialis) iaitu umat yang hanya percaya kepada kebendaan dan harta.Cuba
kita lihat hari ini ,umat Islam khususnya remaja lebih banyak bercerita tentang mencari jalan untuk mengejar kekayaan,glamor,pangkat dan segalanya yang bersangkutan dengan keduniaan tetapi menyisihkan ilmu dan peradaban sehingga manusia akhirnya runtuh aqidah,berakhlak buruk dan tidak berperikamusiaan demi mengejar semua sangkaan itu.Sedangkan Allah telah berfirman dengan maksudnya”:Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan yang berilmu diantara kamu beberapa darjat.”Jelaslah kepada kita hanya dengan ilmu sahaja mampu mengubah manusia daripada kegelapan,kejahilan,kesesatan,kepalsuan dan kemunduran kepada cahaya Allah,kebijaksanaan,kebenaran dan kemajuan.Sedarlah remaja bahawa musuh-musuh
Allah khususnya Yahudi sentiasa berusaha untuk merosakkan remaja Muslim melalui hiburan,pendidikan,seks,sukan dan sebagainya.Janganlah kita menjadi orang yang bodoh dengan hanya mengikut telunjuk Yahudi yang menyesatkan.

Pembangunan Fizikal

Kita juga perlu dan wajar memiliki fizikal yang sihat untuk membina tamadun Islam selaras dengan tuntutan Allah s.w.t yang mahukan hamba-Nya menjadi khalifah di muka bumi ini. Tubuh yang sihat akan melahirkan akal yang sihat, seterusnya dapat merancang pelbagai
perkara untuk manfaat umat Islam sejagat.Kita hendaklah memastikan kandungan makanan yang diambil perlulah seimbang iaitu memenuhi segala keperluan seperti protein, karbohidrat, garam galian, vitamin dan sebagainya. Makanan yang akan diambil juga mestilah berpunca daripada sumber yang halal dan cara penyediaannya juga mestilah mengikut kehendak syarak.Allah telah memerintahkan hambanya supaya mencari dan memastikan makanan yang halal dan bersih sahaja masuk menjalar didalam tubuh anak adam sepertimana maksud firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah ayat 172 :“Wahai orang-orang yang beriman!
Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya.”

Oleh yang demikian,remaja mesti memastikansegala keperluan untuk membina fizikal yang diperolehi daripada ibubapa atauyang didapati sendiri adalah halal dan bersih.Ingatlah amaran nabi Muhammad saw dengan sabda Baginda yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram maka api neraka yang lebih layak baginya.”Begitu juga apabila
makanan yang haram membina daging dan mengalir di dalam darah kita maka Allah
Taala tidak akan mendengar doa dan memakbulkan doa yang panjatkan kepada Rabbul
Jalil.Ini bersandar kepada hadith daripada Rasulullah saw yang panjang yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:)………. Kemudian Baginda menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram? (Hadith riwayat al-lmam Muslim)

Untuk memastikan fizikal kita sihat,bukan sahaja bergantung kepada pemakanan tetapi remaja juga wajar terlibat dengan aktiviti riadhah.Oleh itu remaja wajib beriadhah atau melakukan aktiviti fizikal dengan mengikut kehendak syarak seperti menutup aurat,tidak bercampur secara bebas diantara lelaki dan perempuan dan seterusnya tidak mengabaikan kewajipan kepada Allah seperti solat lima waktu.

Kesimpulannya daripada yang telah kita bincangkan di atas tadi,kita perlu sedar bahawa untuk melahirkan diri remaja muslim yang dinamik dan berpotensi tinggi,maka perlulah mereka berjaya dengan mengubah diri dan membina diri yang seimbang dari sudut jiwa,mental dan
fizikal.Wassalam.

Khamis, 22 Disember 2011

SAYA WAJIB MEYAKINI BAHAWA MASA DEPAN ADALAH UNTUK ISLAM

Islam secara lafziyan mempunyai makna:-

1-Menundukkan wajah (Islam al wajhi)
“Siapakah yang terlebih baik agamanya dari orang yang menundukkan mukanya kepada Allah, sedang ia berbuat kebaikan dan mengikut agama Ibrahim yang lurus? Dan Allah telah mengangkat Ibrahim itu sebagai taulan/kesayangan
(-NYA)” (An-Nisaa’ 4:125)

2- Berserah diri (Istislam)
“Maka mengapa mereka mencari agama yang lain
selain agama Allah, padahal apa yang di langit dan di bumi berserah diri
kepada-Nya, (baik) dengan suka maupun terpaksa, dan hanya kepadanya mereka
dikembalikan.” (Aali ‘Imraan 3:83)
Islam adalah agama yang lengkap (hablum minallah wa hablum minan naas)

3- Suci, bersih (As-salaamah)

“Kecuali orang yang datang kehadirat Allah dengan hati yang suci (bersih)” (Asy-Syu‘araa’ 26:89)
Mereka yang jahil tentang Islam akan dimasukkan ke dalam neraka.

4- Selamat, sejahtera(As-salaam)

“Apabila telah datang kepada engkau orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami, maka ucapkanlah kepada mereka‘salaamun alaikum’ (kesejahteraaan ke atas kamu)” (Al-An‘aam 6:54)
Apabila bertemu sesame Islam ucapkanlah salam (Assalamualaikum w.w.)

5- Perdamaian (As-salmu)

“Maka janganlah kamu lemah dan
menyeru kepada perdamaian, sedang kamu orang tertinggi (akan menang), dan Allah
berserta kamu (menolong-mu) dan Dia tidak akan mengurangkan (pahala) amalanmu.”
(Muhammad 47:35)

Kita mesti yakin bahawa perjuangan berlandaskan Islam itu pasti mencapai kemenangan.
Di dalam al-Quraan Islam disebut sebagai deen.
“Sesungguhnya agama (deen) disisi Allah ialah Islam” (Aali ‘Imraan 3:19)
“Barangsiapa menuntut agama selain Islam maka tiadalah diterima daripadanya sedangkan ia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi” (Aali ‘Imraan 3:85)

Abul ‘Ala Maududi di dalam bukunya‘Prinsip-prinsip Islam’, deen mengandungi erti
sistem kehidupan yang menyeluruh termasuk ibadah, kemasyarakatan, politik dan
jihad. Islam mencakupi keseluruhan hidup dan Islam secara lengkap menyediakan
keperluan manusia untuk mengatur hidup yang mudah difahami yang konsekuensinya
bakal mengantar kepada kejayaan muslim.

MANHAJ ISLAM

1.Manhaj Islam yang yang selaras dengan kehendak fitrah manusia.
Maksudnya:
14. Tidakkah Allah Yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui
(segala-galanya)? sedang ia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha
mendalam PengetahuanNya.(al-Mulk:14)

2.Manhaj Islam bersifat Rabbani.
Maksudnya:
229. Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya;
dan sesiapa Yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah
orang-orang Yang zalim.(al-Baqarah:229)


3.Manhaj Islam bersifat Alamiyah(universal)
107. Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad),
melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.(al-Anbiya’:107)

4.Manhaj Islam bersifat Murunah(Fleksibel)
Maksudnya:
10. Dan (Katakanlah Wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu):
"Apa jua perkara ugama Yang kamu berselisihan padanya maka hukum
pemutusnya terserah kepada Allah; hakim Yang demikian kekuasaannya ialah Allah
Tuhanku; kepadaNyalah Aku berserah diri dan kepadaNyalah Aku rujuk kembali
(dalam Segala keadaan)".(al-Syura:10)

5.Manhaj Islam bersifat syumul atau menyeluruh.
138. (Katakanlah Wahai orang-orang Yang beriman: "Ugama Islam, Yang Kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah Yang mencorakkan seluruh kehidupan Kami Dengan corak Islam); dan siapakah Yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah Kami beribadat".(al-Baqarah:138)

SAYA MESTI HIDUP UNTUK ISLAM
Dalam dunia ini ada tiga kategori manusia.
1.Golongan yang hidup untuk dunia sahaja

29. Dan tentulah mereka akan berkata pula: "Tiadalah hidup Yang lain selain dari
hidup kita di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah
kita mati".(al-An ‘am:29)

2.Golongan yang sesat antara dunia dan akhirat

12.; dan (sebaliknya) orang-orang Yang kafir menikmati
kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang
ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal
mereka.(Muhammmad:12)

3.Golongan yang menganggap dunia adalah ladang tanaman untuk di akhirat.

32. Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan
Yang sia-sia dan hiburan Yang melalaikan: dan Demi Sesungguhnya negeri akhirat
itu lebih baik bagi orang-orang Yang bertaqwa. oleh itu, tidakkah kamu mahu
berfikir?(al-An ‘am:32)

PERSOALAN.
BAGAIMANAKAH CARA SAYA HIDUP UNTUK ISLAM?????
DISEDIAKAN OLEH:
YUSMI HANIFF BIN ARIFFIN AL-FARUQI
Yusmialfaruqi.blogspot
Rujukan:
1.Al-Quran
2-Apa ertinya saya menganut Islam oleh Imam Fathi Yakan.
3.Prinsip-Prinsip Islam oleh Imam Abul ‘Ala Maududi

Rabu, 2 November 2011

BERKORBAN BUKAN MUDAH




Assalamualaikum wrmt.wbrkth.
Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah
Taala.
Alhamdulillah dan selawat kepada Rasulullah saw kerana kita diberikan kekuatan
dan peluang untuk hidup dalam nikmat Iman dan Islam yang menjadi anugerah tidak
terbilang nilainya sehingga tidak boleh dijual beli.Bagi mempertahankan nikmat
Iman dan Islam ini kita wajib melakukan pengorbanan sebagaimana yang telah
dilakukan oleh Rasulullah saw dan umat Islam terdahulu sebagai juga bukti kita
mencintai Allah Taala.Cinta kita kepada Allah dan Rasulullah saw menuntut kita
melakukan pengorbanan.Manakala pengorbanan pula menuntut kita memenuhi beberapa
perkara:

1-Niat yang ikhlas kepada Allah Taala
Pengorbanan yang ikhlas kepada Allah Taala
tidak akan mengharapkan imbuhan dan balasan duniawi tetapi akan mengharapkan
keredhaan Ilahi.Pengorbanan yang ikhlas tidak mengharapkan keuntungan
kebendaan,pangkat dan kedudukan tetapi
mengharapkan keuntungan ukhrawi yang dijanjikan oleh Allah Taala iaitu syurga
yang abadi.Firman Allah Taala yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah telah membeli dari
orang-orang Yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka Dengan
(balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada
jalan Allah maka (di antara) mereka ada Yang membunuh dan terbunuh. (balasan
syurga Yang demikian ialah) sebagai janji Yang benar Yang ditetapkan oleh Allah
di Dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi Yang
lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah Dengan
jualan Yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli
(yang seperti itu) ialah kemenangan Yang besar.(at-Taubah:111)

2-Berani menghadapi cabaran dan ujian.
Seseorang yang ingin melakukan pengorbanan
disisi Allah Taala mestilah seseorang yang berani mengharungi dan mendepani
cabaran dan ujian.Menelusuri sejarah Rasulullah saw dan para sahabat dalam
menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi,mereka tidak pernah kering daripada
diuji oleh Allah dengan ujian yang mampu mengugat keimanan yang bertapak di
dalam dada.Rasulullah saw sendiri bukan sekadar diuji dengan penghinaan,diugut untuk dibunuh,dipulau dan
diejek sebagai orang gila dan ahli sihir tetapi baginda juga diuji dengan
ditawarkan berbagai tukaran kemewahan kekayaan,kekuasaan dan perempuan.Justeru
kita yang mengaku bersedia untuk berkorban segala-galanya mesti mempunyai
kekuatan untuk berhadapan dengan segala cabaran.Percayalah bahawa pada hari ini
kita di Malaysia tidaklah diuji seberat zaman Rasulullah saw dan para sahabat
tetapi hanya kebiasaannya segala yang kita miliki termasuk anak,isteri,keluarga
dan harta benda sahaja yang menghalang kita daripada melakukan pengorbanan
dalam agama yang kita cintai ini. Firman Allah Taala yang bermaksud: “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda Yang kamu usahakan,dan perniagaan Yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal
Yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara Yang kamu cintai
lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka
tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana
Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang Yang fasik
(derhaka).”(Surah at-Taubah:24).

3.Bersedia berkorban segala yang dimiliki.
Segala yang kita punya dan miliki samaada nyawa,masa,harta benda dan
pangkat serta kedudukan akan kita korbankan untuk agama.Saidina Abu Bakar
as-Siddiq,Saidina Umar al-Khatab,Saidina Uthman bin Affan dan Saidina Abdul
Rahman bin Auf telah mengorbankan dan menginfaq harta mereka untuk Allah dan
Islam contohnya ketika berlaku perang Tabuk.Manakala sahabat seperti Bilal bin
Rabah,Saidina Ali bin Abi Talib,Saidina Saad bin Muadz,Saidina Hamzah bin Abdul
Mutalib dan majoriti sahabat Rasulullah saw bersedia mati syahid di medan jihad
demi mempertahankan agama.Begitu juga terdapat beberapa orang sahabat yang
telah mengorbankan kedudukan dan keluarga mereka demi mempertahankan aqidah
mereka seperti Mus’ab bin Umair dan Suhaib
ar-Rumi.Kenapa mereka semua ini mampu bertindak melakukan pengorbanan yang
begitu besar ini?Jawapannya kerana mereka yakin dan percaya terhadap janji
Allah Taala di dalam surah as-Saff ayat 10 sehingga 13 yang bermaksud:
10. Wahai orang-orang Yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu
perniagaan Yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa Yang tidak terperi
sakitnya?
11. Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang
membela dan menegakkan ugama Allah Dengan harta benda dan diri kamu; Yang
demikian itulah Yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat
Yang sebenarnya).
12. (dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan
kamu ke Dalam taman-taman Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta
ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal Yang baik Dalam syurga " Adn
". itulah kemenangan Yang besar.
13. Dan ada lagi limpah kurnia Yang kamu sukai, Iaitu pertolongan dari
Allah dan kemenangan Yang cepat (Masa berlakunya). dan sampaikanlah berita Yang
mengembirakan itu kepada orang-orang Yang beriman.

4.Meningkatkan ketaqwaan.
Melalui pengorbanan yang
dilakukan dengan ikhlas kepada Allah Taala,kita akan memperolehi peningkatan
nilai ketaqwaan kepada Allah Azza Wajalla.Sepatutnya semakin banyak kita berkorban,semakin hampir diri kita kepadaNya bukan sebaliknya yang berlaku.Pada hari ini kita memerhatikan
kedapatan semakin banyak kita melakukan pengorbanan,semakin jauh kita dengan Allah dan semakin sombong serta angkuh dihadapan Allah sehingga kita lupa siapa
diri kita yang sebenar. Surah al-Hajj,ayat 37 yang bermaksud: “ Daging dan
darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada
Allah, tetapi Yang sampai kepadanya ialah amal Yang ikhlas Yang berdasarkan
taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu
supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. dan
sampaikanlah berita gembira (dengan balasan Yang sebaik-baiknya) kepada
orang-orang Yang berusaha supaya baik amalnya.

Demikianlah syarat-syarat yang mesti dipenuhi dan disertakan
apabila ingin melalui jalan-jalan
pengorbanan.Kesimpulannya tidak ada jalan mudah untuk kita memperolehi nikmat
pengorbanan melainkan setelah kita merentasi segala rintangan dan ujian.Sekian
wassalam.

Khamis, 29 September 2011

MERDEKAKAH KITA?

Baru-baru ini kita digemparkan dengan satu kenyataan seorang profesor yang mendakwa kita tidak pernah dijajah atau Inggeris datang kenegara kita hanya untuk membantu para sultan menguruskan negeri-negeri di Tanah Melayu.Apabila kita membaca kenyataan ini,maka kita tertanya-tanya samaada sejarah yang kita belajar dulu di sekolah bahawa kita telah dijajah sejak zaman Portugis,Belanda,Inggeris dan Jepun  iaitu selama 446 tahun adalah satu pembohongan atau hakikat sejarah yang mesti diakui.Namun begitu,kenyataan profesor ini disanggah dan dinafikan oleh banyak pakar sejarah,guru sejarah dan rakyat Malaysia sendiri.

Kita mengakui bahawa kita telah merdeka selama 54 tahun tetapi kita merasakan kemerdekaan yang kita kecapi hari ini adakah benar-benar telah membebaskan kita dari belenggu dan cengkaman penjajahan.Apakah maksud kemerdekaan? Menurut Kamus Dewan, merdeka membawa maksud bebas, lepas, berdiri sendiri dan tidak bergantung kepada orang lain.
Dalam hal ini, jika kita menelusuri data-data mengenai penglibatan remaja kita dalam masalah sosial sangat membimbangkan. Adakah ini mencerminkan ciri-ciri remaja dalam sebuah negara merdeka?
Remaja Islam sebenarnya mempunyai tempat yang tinggi dalam masyarakat dan negara.
Ini berdasarkan hak yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada setiap diri insan sebagaimana disebutkan di dalam al Quran yang bermaksud :
“Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami angkat mereka di dataran dan lautan, dan Kami beri rezeki mereka dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dari kebanyakan makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna”. (al Isra: ayat 70)

Bagi membincangkan perkara ini dengan lebih sempurna  marilah kita melihat dan meneliti isu-isu terkini yang melibatkan remaja dinegara kita khususnya yang melibatkan remaja muslim.

Penagihan Dadah dan Pil Ectasy


Sebanyak 45 peratus golongan penagih dadah didapati mula terlibat secara tidak aktif sewaktu zaman persekolahan.Menurut kajian yang telah dilakukan bahawa kebanyakan remaja yang terlibat dengan dadah 80% bermula dengan merokok,kemudian pil khayal,ganja dan akhirnya terjebak menjadi penagih tegar yang sukar untuk diselamatkan.Apa yang menyedihkan kita statistik yang saya perolehi pada tahun 2005 menunjukkan bahawa kebanyakan penagih adalah terdiri daripada orang Melayu yang beragama Islam.
PROFIL PENAGIH MENGIKUT BANGSA
BARU
BERULANG
JUMLAH
Melayu
10621
11723
22344
Pribumi Sabah
867
355
1222
Pribumi Sarawak
94
28
122
Cina
2000
3131
5131
India
1208
2020
3228
Lain-lain Bangsa
503
159
662
Warga Asing
96
3
99
15389
17419
32808

 Manakala pengambilan Pil ecstasy di kalangan remaja juga semakin membimbangkan. Ini berdasarkan kepada siri penangkapan remaja-remaja di pusat hiburan mendapati pil-pil ecstasy boleh didapati dengan mudah di sana.
Remaja harus menyedari bahawa pil ini sangat merbahaya dan merosakkan kesihatan individu yang mengambilnya.
Menurut Dr. Mazlan Mahmud, Pakar Perubatan Penagihan, Jabatan Psikiatri Hospital Muar, Johor (Utusan Malaysia, 2002) mengatakan, Pil ini mengandungi dadah amfetima yang boleh merencat bahagian otak yang mengawal nafsu makan.
Keadaan ini menyebabkan seseorang itu mengalami kurang selera makan. Selain daripada itu, Pil ecstasy juga akan menyebabkan seseorang menjadi lebih aktif pada peringkat awal pengambilan dan ini akan menyebabkan berat badan individu terbabit menurun mendadak.
Keadaan akan menjadi lebih teruk sekiranya individu tersebut berhenti daripada mengambil pil itu.
Dalam masa beberapa minggu selepas itu, individu tersebut akan menjadi letih, banyak tidur, berasa runsing, susah hati dan kuat makan.
Pada masa ini pula seseorang individu akan mengalami peningkatan berat badan secara mendadak dan keadaan ini akan mendorong individu itu mengambil pil ecstasy semula sehingga menyebabkannya terjebak dengan penagihan.
Untuk pengetahuan umum, Pil ecstasy juga boleh menyebabkan peningkatan perasaan seksual seseorang. Mereka akan berasa lebih seronok dan berahi.
Malah nafsu seks mereka boleh menjadi tidak terbatas iaitu mereka tidak berasa takut untuk melakukan seks secara rambang atau mendapat penyakit berjangkit.

Seks Bebas(Zina)

Jenayah ini berlaku kerana beberapa faktor antaranya ialah:
1- penyebaran teknologi maklumat yang begitu berleluasa serta ditambah pula dengan iman yang rapuh dalam diri para remaja islam pada hari ini.
Fenomena video lucah, serta bahan-bahan bacaan lucah begitu mudah didapati di pasaran.
Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga tidak kurang hebatnya. Harus disedari bahawa perlakuan seks bebas merupakan perbuatan yang diharamkan dalam Islam.
Oleh itu, di dalam Islam bagi mereka yang tidak dapat menahan keinginan, Islam menggalakkan umatnya menggunakan saluran lain seperti berkahwin atau berpuasa.
Fenomena seks bebas berlaku di mana-mana negara seluruh dunia. Di Amerika Syarikat misalnya dan juga negara-negara Barat lain, kajian menunjukkan satu daripada lima remaja melibatkan diri dalam hubungan seks sebelum mereka mencapai umur 15 tahun.
“Beberapa kajian yang dilakukan di negara ini juga menunjukkan 27 peratus daripada remaja kita hari ini mengadakan hubungan seks luar nikah”.
 Antara sebab-sebab lain mengapa remaja di negara ini terdorong terlibat dalam hubungan seks bebas ialah akibat permintaan dan `godaan’ yang lebih banyak dan kompleks berbanding remaja pada generasi lalu.
2-Pengaruh daripada rakan sebaya terutamanya di kalangan remaja lelaki juga merupakan faktor penyebab mengapa remaja terdorong melakukan hubungan seks tanpa tahu risikonya.
3- Pengaruh persekitaran yang begitu kondusif turut menggalakkan perlakuan seksual seperti itu. Kehidupan anak-anak yang terlalu terkongkong atau tidak rapat dengan ibu bapa atau keluarga, boleh menyebabkan anak-anak ingin meneroka sesuatu yang negatif.
4- kurangnya didikan agama juga menjadi punca utama mengapa mereka tidak dapat menahan diri daripada terjebak dalam kancah maksiat seperti ini.  Antara kesan-kesan mengamalkan seks bebas ialah kehamilan sehingga menyebabkan kes pembuangan bayi yang menjadi-jadi pada hari ini.


Jenayah

Walaupun Malaysia pada hari ini telah pun menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-54, namun timbul persoalan adakah negara kita sudah bebas sepenuhnya daripada kegiatan jenayah yang sememangnya tidak wujud lagi dalam sebuah negara yang merdeka.
Malahan kejadian jenayah di Malaysia pada hari ini semakin menjadi-jadi. Pembunuhan kejam berlaku di sana sini, samun, pecah rumah, rogol dan sebagainya.
Penglibatan para remaja dalam kegiatan jenayah juga sangat membimbangkan. Hasil kajian yang dibuat oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mengenai pembabitan remaja Melayu di ibu kota dalam kejadian jenayah sungguh mengejutkan.
Ini kerana remaja Melayu seakan menjadi jaguh dalam kebanyakan kategori jenayah yang berlaku di ibu negara sama ada yang dilapor atau tidak oleh media massa negara ini.
Kajian itu merumuskan bahawa remaja Melayu begitu lemah dan mudah terpengaruh dengan ajakan rakan-rakan sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk keseronokan.
Ini menunjukkan bahawa betapa rapuhnya iman remaja pada hari ini sehingga sanggup melakukan sesuatu di luar batasan kemanusiaan.

Remaja dan Idola Popular

Masyarakat Islam selalunya merujuk kepada junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w sebagai rujukan sama ada dari segi amalan, kelakuan atau dikatakan sebagai cara hidup.
Tanpa disedari mereka sebenarnya telah menjadikan junjungan mulia sebagai idola. Manakala kita sebagai masyarakat Islam Malaysia yang hidup dalam sebuah negara merdeka, tidak ramai yang menjadikan tokoh-tokoh pejuang negara sebagai idola.

Mengapakah kita tidak berminat untuk menjadi seperti mereka yang telah berjuang bermati-matian mempertahankan negara sehingga kita dapat melepaskan diri dari belenggu penjajahan sepertiTok Janggut,Tok Kenali,Tuan Guru Abdul Rahman Limbong,Doktor Burhanudin Helmy,Utaz Abu Bakar Bakir dan lain-lain lagi tokoh pejuang kemerdekaan yang menjadi syuhada' sebagai ikutan.
Apa yang berlaku dalam masyarakat kita khususnya remaja Islam masa kini meminati artis pujaan mereka dan sekaligus menjadikan artis tersebut sebagai idola mereka tanpa mengambil kira apakah sumbangan artis tersebut kepada negara dan agama.

Apakah nilai-nilai murni artis tersebut yang boleh dijadikan tauladan. Apa yang mereka tahu sekadar meminati nyanyian atau lakonan artis sahaja.
Begitu sempit pemikiran remaja Islam pada hari ini. Siapa sebenarnya yang layak menjadi idola kepada remaja-remaja ini? Tokoh korporat, negarawan, sasterawan, ahli sukan atau artis yang berada dalam lingkungan budaya popular?
Dalam hal ini, kita tidak boleh menyalahkan remaja Islam seratus peratus kerana jika diperhatikan sama ada di media cetak atau media elektronik, pendedahan mengenai perjuangan atau peranan cerdik pandai Islam, negarawan, sasterawan atau golongan ahli korporat kurang didedahkan.
Apa yang mendominasi media cetak dan elektronik masa kini adalah kehidupan golongan artis dan cerita-cerita hiburan semasa yang banyak melalaikan remaja dan mempengaruhi remaja untuk hidup dalam dunia glamour sebagai seorang artis.

Remaja dan Sambutan Kemerdekaan

Kuala Lumpur sememangnya menjadi tumpuan warga kota yang ingin menyambut detik-detik bersejarah menjelangnya 31 Ogos. Masing-masing begitu sabar menunggu detik 12 tengah malam yang menyaksikan kejayaan negara membebaskan diri daripada cengkaman penjajah.
Apabila tiba detik 12 malam, percikan bunga api pun dinyalakan, acara hiburan yang berbentuk konsert serta parti-parti anjuran individu atau kafe-kafe di ibukota mula beroperasi bagi memeriahkan lagi malam sambutan kemerdekaan.

Tidak cukup dengan itu ada yang mengadakan pesta seks, pesta arak, rempit, berkaraoke sampai pagi, berpeleseran, dan sebagainya. Siapa yang paling ramai terlibat? Sudah tentulah golongan remaja Islam.
Inilah senario yang berlaku saban tahun di Malaysia. Sungguh berlainan sekali dengan masyarakat zaman dulu yang menyaksikan percikan api peluru musuh, masyarakat kini menyaksikan percikan bunga api sebagai satu kejayaan.
Walau apapun sambutan yang dibuat, bagi masyarakat Malaysia masa kini, pengisian malam kemerdekaan mesti disertakan dengan acara hiburan.

Malahan acara hiburan begitu mendapat sambutan daripada pelbagai lapisan masyarakat, berbanding ceramah kemerdekaan atau menonton dokumentari berkaitan jerih perih penjajahan.
Bagi golongan remaja khususnya remaja Islam, itulah caranya mereka mengisi kemerdekaan yang dikecapi pada hari ini.
Golongan remaja Islam misalnya merupakan golongan yang paling ramai menunjukkan sokongannya terhadap program-program pengisian sambutan kemerdekaan seperti tadi.
Bagi mereka, itulah penghayatan erti kemerdekaan tanpa mengetahui bahawa sambutan kemerdekaan bukan sekadar laungan penuh semangat tetapi diri mereka juga perlu tampil dalam pakej lengkap sebagai anak bangsa yang merdeka.
Apa yang membimbangkan ialah jika anak-anak muda ini terus hanyut dibawa arus kealpaan dan terpengaruh dengan budaya asing, siapa yang akan mempertahankan negara suatu hari nanti?
Cara yang terbaik dalam menangani sesuatu masalah adalah dengan adanya gabungan beberapa faktor yang saling berkaitan antara satu sama lain.

Antara cara yang paling utama dalam menangani sesuatu masalah yang dianjurkan oleh Islam adalah melalui pengukuhan ikatan akidah.
Ikatan akidah menuntut kita supaya meyakini bahawa Tuhan sekalian alam ialah Allah S.W.T yang maha berkuasa ke atas makhluknya.
Segala perintah dan suruhan Tuhan wajib ditaati. Dia yang Maha Mengetahui. Melalui ikatan akidah juga, kita tahu dari mana kita datang, kenapa kita datang ke dunia ini dan ke mana akhirnya hidup ini.
Dengan cara ini, para remaja akan mampu menghadapi segala masalah atau segala cabaran dengan penuh bijaksana dan kesabaran kerana meyakini Allah berkuasa ke atas segala-galanya.
Selain itu, remaja harus sentiasa melakukan kegiatan kerohanian agar sentiasa tenang dan tenteram dalam hatinya.

Para remaja mestilah sentiasa mendirikan sembahyang, mendampingi al-Quran, berkunjung ke masjid agar dapat mendampingi orang yang terpuji akhlaknya, berpeluang mendekati orang yang berilmu dan mendengar ceramah agama.
Dengan ini remaja akan sentiasa ingat siapa diri mereka dan apa yang mereka harus lakukan untuk bekalan di masa depan. Dalam hal ini remaja perlu tahu bahawa ilmu keduniaan yang mereka miliki tidak akan menjamin seseorang itu terpelihara daripada anasir-anasir luar.
Pendidikan agama juga perlu seiring supaya perjalanan hidup seseorang individu muslim sentiasa terarah ke jalan yang diredhai Allah sw.t.
Remaja juga harus mencari mereka yang baik akhlaknya serta ilmunya untuk dijadikan model ikutan serta sumber rujukan untuk mendapatkan penyelesaian kepada masalah mereka.

Begitu juga apabila memilih kawan. Kawan sebenarnya memainkan peranan dalam hidup seseorang individu. Ini kerana jika seseorang itu silap memilih kawan, kemungkinan untuk seseorang itu terjerumus ke lembah kehinaan adalah lebih tinggi.
Kawan adalah orang yang kedua dalam hidup seseorang individu selepas ibu bapa. Lebih parah lagi apabila ada dikalangan remaja pada hari ini lebih percaya kepada kawan daripada ibu bapa sendiri.
Para remaja juga tidak boleh menjadikan tempat hiburan sebagai tempat untuk menyelesaikan masalah.
Ini kerana pada zaman moden ini, para remaja Islam khususnya lebih suka mencari ketenangan dan menyelesaikan masalah dengan mengunjungi kelab-kelab malam, dan kelab-kelab hiburan di sekitar ibu kota.
Remaja pada hari ini lebih selesa mengunjungi pusat hiburan daripada mengunjungi majlis agama atau masjid-masjid. Ini kerana mereka merasakan masjid itu hanyalah tempat untuk bersolat sahaja.
Mereka tidak mengetahui bahawa masjid merupakan tempat yang paling sesuai untuk bertafakur dan memohon petunjuk daripada Allah dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Kesimpulan
Menurut Prof. Dr. Sidek Baba, remaja pada hari ini harus insaf bahawa dalam proses Bina Negara kita berdepan dengan persaingan yang sengit.
Negara yang maju dan negara yang membangun, banyak ditentukan oleh kualiti diri remaja dan kualiti ilmunya, Remaja harus selalu bertanya apakah sumbangan dirinya terhadap negara, bukan hanya bertanya apakah sumbangan negara terhadap dirinya.Dan persoalan terakhir saya tinggalkan kepada muslimin dan muslimat untuk berfikir dan bermuhasabah...Merdekahkah kita?

















Selasa, 2 Ogos 2011

RAHMAT RAMADHAN

Alhamdulillah kita telah diberi kesempatan sekali lagi dan dipanjangkan umur untuk bersama menikmati hidangan nikmat dan rahmat yang dijanjikan oleh Allah Taala dalam bulan yang penuh dengan keberkatan ini.Ramadhan adalah bulan tarbiyah,bulan mujahadah,bulan muhasabah dan bulan muraqabah.
Bulan Tarbiyah dan Mujahadah.
Pada bulan ini,kita cuba untuk mendidik nafsu atau jiwa kita supaya tunduk dan patuh kepada Allah Taala.Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Puasa itu adalah perisai."Ibnu Abdul Bar mengupas hadith ini dengan mengatakan bahawa puasa adalah pendinding kepada manusia daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh mencampakkan diri kita ke dalam api neraka.Kita pujuk hati dan anggota badan kita agar sentiasa patuh kepada perintah dan larangan Allah.Kita pelihara mata.lidah,telinga,tangan dan kaki kita daripada melakukan maksiat.Untuk memastikan semua pancaindera dan anggota badan kita terarah melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan,kita mesti memastikan hati kita bersih dan hampir dengan Allah.Justeru dalam bulan ini kita berpuasa dan ditambah pula dengan amalan-amalan lain seperti mendirikan solat sunat,membaca al-Quran,bersedekah,berzikir,berdoa dan berbagai lagi amalan baik yang mampu mengubat dan mendekatkan hati kita kepada Allah.Amat malang bagi orang Islam yang tidak mengambil peluang yang terhidang didepan mata kita umpama orang yang dihidang makanan yang lazat tetapi hanya berdiam diri dan melihat sepi.
Bulan Muraqabah dan Muhasabah.
Bulan ini juga kita kenali sebagai bulan muraqabah.Kita merasakan Allah sentiasa memerhati dan melihat perbuatan kita.Allah sentiasa mendengar perkataan yang dilontarkan oleh kita samada perkataan yang terbit dari lidah atau hati kita.Kita merasakan Allah sangat hampir dengan kita dari urat nadi kita sendiri sepertimana firman Allah Taala dalam surah ق ayat yang ke 16 yang bermaksud:"Dan sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya dan kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya."Inilah hasil puasa yang kita jalani iaitu mendapat ijazah taqwa kepada Allah Taala dengan menepati maksud taqwa yang di sebut oleh Ibnu Abbas bahawa taqwa itu ialah melakukan semua perintah Allah dan menjauhi semua laranganNya kerana hati dekat dengan Allah.Apabila kita berjaya memperolehi ijazah taqwa ini,kita akan merasakan nikmat beribadah,sentiasa menundukkan diri kepada Allah sebagai rasa ubudiyyah yang tinggi dan menginsafi bahawa kita tidak layak untuk menggunakan hukum selain hukum Allah bagi memastikan diri berada diatas jalan yang lurus.Bulan ini juga kita bermuhasabahlah dengan amal yang kita dah lakukan.Cubalah memperbaiki diri menjadi hamba Allah yang lebih taat dan patuh kepada Allah.Kita kena ingat segala perbuatan kita ini dicatat oleh malaikat Allah iaitu Raqib dan 'Atid dan segala amal kita akan dihisab dihadapan Allah.Firman Allah Taala yang bermaksud:"Tidak ada suatu kata yang diucapkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang selalu siap mencatat."(surah ق ayat 18)Oleh yang demikian gunalah kesempatan dalam bulan ini untuk kita bertaubat dan berazam tidak mengulangi dosa yang sama.
Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah Taala.
Semoga bulan ini kita dapat melakukan perubahan kepada yang lebih baik,membina keyakinan yang tinggi kepada Allah Rabbul Jalil serta berjaya meneruskan kekuatan dan momentum pada bulan ini kedalam kehidupan kita pada bulan-bulan yang lain.Kita tidak mahu hanya pada bulan ini kita hebat beribadah tetapi pada bulan yang lain kita culas dan malas.Pada bulan ini kita berjaya menewaskan nafu amarah tetapi pada bulan lain kita tunduk dan sujud pada nafsu sarakah dan pada bulan ini kita tunduk dan taat kepada Allah tetapi pada bulan lain kita jadi hamba Allah yang derhaka dan penuh dengan dosa.Sama-samalah kita mengejar bonus yangg sediakan ini.Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Apabila datang bulan Ramadhan dibuka pintu-pintu syurga,ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu para syaitan."Selamat berpuasa serta selamat menyambut aidilfitri,maaf zahir dan batin.