KUALA LUMPUR, 17 Mei: Tindakan kerajaan pusat meluluskan lesen judi semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 membuktikan bahawa Umno yang mendabik dada memperjuangkan Islam rupa-rupanya hanya bertopengkan Islam.
Dewan Ulamak PAS Pusat melalui satu kenyataan hari ini memberitahu, tindakan kerajaan atas alasan menyekat perjudian tanpa lesen itu juga turut memperlihatkan kedangkalan mereka dalam mengatasi isu tersebut.
"Adakah memadai untuk menghalang kemudaratan dengan cara memberikan lesen untuk melakukan kemudaratan tersebut umpama ingin menghalang orang yang mencuri dengan memberikan lesen kepada mereka untuk mencuri.
"Kelulusan judi ini juga memperlihatkan bahawa kerajaan hanya bertopengkan Islam demi wang, politik dan kerakusan kuasa semata-mata, " kenyataan itu dipetik.
Mengulas lanjut, pihak kerajaan berkemungkinan tidak segan silu meluluskan lesen judi tersebut demi untuk mencapai matlamat MEB bagi menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.
Namun katanya, jika itulah yang berlaku, bermakna dasar pemerintahan negara ini adalah sekular melalui cabang pragmatisme dan bukannya Islam sebagaimana yang mereka uar-uarkan bahawa negara ini adalah negara Islam.
"Di hadapan masyarakat, mereka menzahirkan bahawa mereka inginkan Islam dengan menganjurkan pelbagai program keislaman seperti forum, sambutan hari kebesaran Islam termasuk begitu vokal dalam isu larangan berpolitik dalam masjid tetapi dalam masa yang sama mereka tidak kisah untuk menghalalkan perkara yang haram di sisi Islam dengan memberikan alasan yang tidak logik," tegas kenyataan itu lagi.
Selain itu, mufti termasuk menteri di Jabatan Perdana Menteri turut dicabar menyatakan pendirian berhubung perkara ini dan tidak hanya berdiam diri.
"Mereka tidak seharus vokal dalam isu yang memihak kepada kerajaan semata-mata tetapi menikus dalam isu yang merosakkan umat Islam demi menjaga jawatan dan kuasa semata-mata, " katanya.
Pengertian halal katanya seolah olah dipermudahkan Umno BN dengan erti setiap yang berlesen itu adalah halal, manakala yang tidak berlesen adalah haram.
Sedangkan Islam mempunyai garis panduan jelas berhubung perkara halal dan haram termasuklah judi.
"Halal bagi mereka adalah kegiatan yang berlesen, adapun haram adalah kegiatan yang tidak diberikan lesen oleh mereka. Islam Hadhari yang sebelum ini dijadikan sebagai topeng untuk mengekalkan kuasa kini tenggelam kerana slogan tersebut hanya memakan diri dan merugikan mereka," tambahnya lagi.
Justeru, Dewan Ulamak PAS Pusat mendesak agar kerajaan menarik balik lesen yang diberikan kepada kumpulan Berjaya yang dimiliki Vincent Tan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan