ASSALAMUALAIKUM.
Hari ini kita sibuk memperkatakan berkenaan mempertahankan kalimah Allah.Ini adalah rentetan masyarakat Kristian di negara kita yang ingin berkongsi menggunakan kalimah yang mulia ini.Maka ramailah orang Melayu yang beragama Islam bangun menentang keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Majalah Herald Katolik menggunakan kalimah Allah.K ita telah melahirkan rasa kecewa dan marah melalui tulisan,tunjuk perasaan atau menghantar petisyen dan memo bantahan dengan sekeras-kerasnya terhadap keputusan ini.Namun ada juga yang berpendapat kita seharusnya membenarkan penggunaan kalimah Allah ini bagi agama lain berdasarkan pendapat ulamak seperti Al-Fadhil Dr.Yusuf al-Qardhawi dan Dr.Wahbah Zuhaili yang mengharuskan penggunaan kalimah Allah ini bagi agama kristian dan Yahudi.
Sebagai orang Islam yang memperjuangkan Islam saya merasakan sepatutnya kita bersatu dalam tindakan mempertahankan agama Allah bukan semata-mata mepertahankan kalimah Allah,tetapi lebih daripada itu iaitu sentiasa bersedia dalam satu barisan untuk menegakkan hukum Allah, melaksanakan perintah dan larangan Allah,memahami dan mengenal Allah Azza wajalla.Kita juga mesti bersatu menyusun langkah dan strategi untuk menyebarkan agama ini serta mempertahan kesuciannya daripada dinodai oleh pengaruh orang-orang kafir.Allah Taala berfirman yang bermaksud:"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berjuan dijalanNya dalam barisan yang teratur,mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh."(Surah as-Saff ayat 4).
Oleh sebab itu kita harus sedar dan insaf sebenarnya orang Islam di Malaysia hari ini semakin hari,semakin pudar kefahaman Islam dan semakin rendah mutu akidah dan akhlaknya.Mereka mampu bertempik dan menjerit marah dan ada yang sanggup membakar gereja tetapi adakah mereka yang melakukan semua ini sedar sebenarnya kita telah lama menggunakan cara hidup mereka,malah ada yang berbangga.Persoalannya,mengapa kita tidak merpertahan isi kandungan dalam kalimah Allah itu daripada kalimah itu sendiri?Sama-samalah kita bermuhasabah setiap tindakan yang kita telah ,sedang dan akan lakukan untuk menyekat setiap usaha untuk merosakkan agama Islam yang kita cintai ini dari semua sudut dan segi.Sekian,wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan