Ahad, 23 Ogos 2009

MADRASAH RAMADHAN

Assalamualaikum.

Alhamdulillah kita telah berada di dalam bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini.Di dalam bulan yang mulia ini marilah kita sama-sama memperbaiki  kualiti Iman dan taqwa yang terdapat di dalam diri kita.

Sabda Rasulullah saw.:


"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."

 

Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang bertahta di hati kita selama ini. Oleh itu, inilah masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata. Tetapi puasa adalah berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi manusia. Ini adalah jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap umat Islam. 


Nabi Muhammad saw pernah bersabda:

"Berjihadlah kamu dengan lapar dan dahaga kerana pahalanya seperti pahala mujahid di jalan Allah (fi sabilillah) dan sesungguhnya tiada amalan yang lebih diperkenankan oleh Allah selain menahan lapar dan dahaga"


Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Bulan Ramadhan ini adalah anugerah Allah sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hamba Nya. Allah tidak mensia-siakan keletihan umatnya yang berpuasa hinggakan tidur di waktu siang juga diberikan pahala. Begitu besarnya kasih sayang Allah pada kita. Oleh itu marilah bersama-sama kita menilai diri kita. Semoga tahun ini amalan kita akan semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. Insya Allah. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang menganiayai diri sendiri. 

Sabda Rasulullah saw:

"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu."

Justeru marilah kita sama-sama mempertingkat amalan kita pada bulan ini supaya madrasah ramadhan ini mampu mengubah kita menjadi hamba Allah yang lebih bertaqwa.Antara amalan-amalan yang boleh kita perbanyakkan pada bulan tarbiyah ini ialah:

  • Membaca Al-Quran dan memahami isi kandungannya.
  • Bangun malam beribadah kepada Allah dengan berusaha mencari Lailatulqadar iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan.
  • Bersedekah kerana nabi Muhammad SAW adalah orang yang paling banyak bersedekah pada bulan Ramadhan.
  • Beri'tikaf di masjid dengan solat sunat, berzikir,menghadiri tazkirah dan kuliah agama.
  • Memelihara lidah dan pancaindera kita daripada melakukan maksiat dan kemungkaran.
 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan