Ahad, 12 Julai 2009

Masjid Jamek Sultan Hisamuddin BBST

   Alhamdulillah,pada awal bulan Jun yang lalu saya telah mendapat surat pelantikan saya sebagai Nazir Masjid Sultan Hisamuddin Bandar Baru Salak Tinggi.Saya merasakan pelantikan ini adalah amanah yang amat besar kerana amanah untuk menguruskan rumah Allah.Saya amat bimbang jika kepercayaan ini tidak dapat dilaksanakan dengan baik.Saya cuba menanamkan keyakinan dalam diri saya dengan berbekalkan sedikit pengalaman sebagai setiausaha masjid dan ajk masjid  Jameatus Solehah pekan Dengkil untuk memacu kekuatan dan semangat sebagai pemimpin yang baru kepada masji ini.Saya amat bersyukur apabila saya memandang ajk masjid saya pada mesyuarat masjid kali pertama,saya sudah merasakan saya akan dibantu oleh sekumpulan profesional yang kebanyakan mereka pakar dalam bidang masing-masing.Ajk masjid ini terdiri daripada golongan yang keseluruhannya mempunyai sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda dalam bidang akademik dan agama,malah terdapat diantara mereka yang mempunyai sarjana dan sedang dalam proses kedoktoran.

  Sebenarnya,terdetik juga dihati kecil ini,siapalah aku kalau nak dibandingkan dengan mereka untuk menjadi nazir masjid ini.Tetapi saya  teringatkan kisah Rasulullah ketika melantik Usamah bin Zaid sebagai ketua peperangan bagi menghadapi Rom yang baru berusia 18 tahun ketika itu,membuatkan saya rasa yakin dengan pilihan Allah untuk diri saya berada ditempat ini.

Pada ketika ini sudah lebih sebulan saya memimpin masjid ini,alhamdulillah sudah terdapat sedikit perubahan yang sedang dan telah dibuat hasil kerjasama daripada ajk masjid yang ada.Antaranya dari segi dakwah,pendidikan,keceriaan dan pembangunan masjid.Saya amat berazam untuk menjadikan masjid ini seperti masjid di Singapura.Saya mendapati masjid di Singapura lebih terkehadapan daripada masjid-masjid kita di sini hasil daripada maklumat yang saya perolehi daripada wakil singapura yang dijemput khas dalam Konvesyen Masjid peringkat negeri Selangor yang lalu.Mereka telah menjadikan masjid tempat untuk melakukan semua aktiviti dan acara dengan berkonsepkan"rahmatan lil'alamin".Konsep ini telah berjaya mendekatkan semua golongan untuk pergi ke masjid tidak kira kanak-kanak,remaja,belia,wanita,orang kurang upaya dan golongan usia emas sehingga mereka berjaya menarik golongan bukan Islam untuk ke masjid.Berbeza dengan kita di sini yang menjadikan masjid tempat solat lima waktu sahaja atau datang ke masjid untuk solat Jumaat seminggu sekali sambil makan pisang.Begitu juga golongan yang datang ke masjid kita hari ni,ramai dikalangan yang sudah tua seolah olah masjid adalah tempat untuk orang tua sahaja,kemana perginya golongan remaja,pemuda dan belia kita?

Justeru saya telah merancang beberapa aktiviti untuk semua golongan di masjid ini antaranya:

1.Memperkasakan kuliah agama secara harian,mingguan dan bulanan serta seminar dan kursus.

2.Mewujudkan persatuan pemuda masjid untuk menyelaraskan semua aktiviti yang berkaitan dengan pemuda di bawah biro pemuda.

3.Memperbanyakkan program untuk wanita dengan membina kerjasama dengan NGO,Pejabat Agama Islam Daerah dan biro wanita dari persatuan-persatuan taman sekitar masjid ini.

4.Mewujudkan suasana yang selesa untuk kanak-kanak dengan mengadakan taman permainan kanak-kanak,taman asuhan kanak-kanak dan sebagainya.

5.Membina suasana yang menggalakkan pendidikan di masjid dengan mewujudkan perpustakaan dan talian internet secara terbuka kepada semua jemaah masjid.

6.Membangunkan keceriaan di sekitar dan di dalam masjid dengan membina taman-taman keceriaan.

7.Mengadakan tapak-tapak permainan seperti permainan sepak takraw,futsal atau bolatampar untuk menarik golongan muda mendekati masjid.

8.Membina tapak atau bangunan perniagaan untuk memberi peluang kepada golongan peniaga kecil berniaga dengan kadar sewa yang rendah dan berpatutan. 

9.Mewujudkan tabung-tabung kebajikan yang diambil 10% daripada  hasil kutipan hari Jumaat untuk disumbangkan kepada yang memerlukan dan sebagai ransangan pendidikan.

10.Mengemaskini perjalanan Badan khairat kematian masjid dan menyelenggara tanah perkuburan dengan baik.

Begitulah perancangan aktiviti yang sedang dan telah dilaksanakan di masjid ini.Saya juga berazam untuk merancang satu karnival masjid pada tahun depan dengan diisi pelbagai aktiviti yang menarik seperti Malam kesenian Islam,pertandingan sukan ,pameran dan gerai jualan serta kenduri sekampung.Semua ini tidak akan dapat dicapai dan dilaksanakan tanpa sokongan dan kerjasama daripada semua ajk masjid,ajk surau  dan penduduk sekitarnya.Semoga semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan Allah.Amin.....

1 ulasan:

  1. Salam.Ustaz..saya ingin belajar mengaji Al Quran secara bertalaqqi pada hari Sabti atau Ahad.Mohon berikan nama ustaz atau ustazah yang boleh saya hubungi segera di emel ini ajasha101@yahoo.com

    BalasPadam