Isnin, 9 September 2013

THABAT DEPANI CABARAN


THABAT DEPANI CABARAN
Para Sahabat yang dirahmati Allah Taala.
Alhamdulillah segala puji dan syukur kita panjatkan kepada Allah Taala kerana kita masih lagi diberikan kekuatan dan keizinan  untuk meneruskan kehidupan sebagai seorang khalifah dan hamba kepadaNya.Kita wajib bersyukur kepadaNya juga kerana masih lagi istiqamah dan thabat dalam perjuangan ini walaupun berdepan dengan pelbagai mehnah dan tribulasi.Kita  tidak sepatutnya  lupa untuk mengucapkan syukur kepada Allah Rabbul Jalil selepas kita dianugerahkan kemenangan yang hebat dalam PRU yang ke-13 baru-baru ini di Selangor.Pakatan Rakyat telah berjaya mengekalkan kemenangan dengan menambah bilangan kerusi DUN daripada 36 kerusi kepada 44 kerusi.PAS pula telah berjaya menambah kerusi DUN daripada 8 kerusi kepada 15 kerusi.Kemenangan yang sangat manis dan amat bernilai bagi kita di Sepang ini khususnya apabila PAS telah berjaya memenangi kerusi parlimen dan satu kerusi DUN selepas 12 kali menemui kegagalan.
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah.
Kemenangan yang dikecapi ini perlu diperhalusi dan dinilai semula.Walaupun kita menang di Selangor ini dengan cemerlang tetapi kita masih gagal menguasai kerajaan pusat kerana kegagalan memenangi undi orang Melayu bahkan undi orang Melayu semakin merosot. Pada keseluruhannya  purata  undi Melayu dalam kawasan- kawasan yang ditandingi PAS di Semenanjung menurun daripada 48.34%  pada PRU 12 kepada 45.46% pada PRU 13 berbanding undi orang cina dengan purata undi Cina untuk PAS pula naik daripada 59.3%  pada PRU 12  kepada  73.4%   pada PRU 13, dengan Selangor mencatatkan kenaikan yang menakjubkan  daripada 42.9% pada PRU 12 kepada 70.3% pada PRU 13. Manakala purata undi dari kaum India di semua negeri untuk PAS  menurun daripada 63.5%  pada PRU 12 kepada 54.6% pada PRU 13.
Rumusan yang boleh dibuat daripada data diatas ialah  undi dari kaum Melayu untuk PAS  menurun  2.9% dalam kawasan dipertandingkan di Semenanjung dan undi kaum Cina pula naik mendadak 14.1%  dalam PRU 13  ini.
Ini adalah satu data keputusan yang amat tidak menarik bagi PAS. Ini kerana sebagai sebuah Parti Islam, PAS sepatutnya  berjaya meningkatkan sokongan dari masyarakat Islam, tetapi apa yang  berlaku ialah sebaliknya, ia hanya berjaya meningkatkan sokongan yang mendadak dari masyarakat bukan Islam.Kita percaya keadaan ini berlaku kerana kita  kurang berjaya meyakinkan masyarakat Melayu/Islam bahawa kita mampu memainkan peranan yang berkesan untuk kepentingan Agama Islam dan bangsa Melayu.
 
 
Para sahabat sekalian,
Marilah kita rapatkan saf dan satukan fikrah untuk meneruskan kecemerlangan dan kemenangan ini.Saya tertarik untuk mengambil pengajaran dari al-Quran supaya kita lebih kuat dan thabat dalam mendepani sebarang cabaran demi mengekalkan kemenangan ini.Dalam ayat 13 dan 14 daripada surah al-Kahfi,Allah telah menggariskan kepada kita ciri-ciri pemuda al-Kahfi yang kental mempertahan keimanan mereka dengan kita mengambil iktibar.Ciri-ciri itu adalah seperti berikut:
1.Keimanan yang cekal
Firman Allah Taala yang bermaksud:
“Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) perihal mereka Dengan benar; Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda Yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.”(Surah al-Kahfi:ayat 13)
Pemuda mestilah mengukuhkan keimanan dengan menambah pengetahuan mereka tentang aqidah.Hanya mereka yang memiliki iman yang sempurna mampu untuk berdepan dengan cabaran dalam berjuang. Kalau kita cermati, sebagai seorang pejuang Islam yang melalui jalan jihad ini, ada beberapa aral yang melintang dihadapan kita yang menjadi penghalang bagi kita untuk memasak fikrah dan gerak kerja kita yang suci. Kalau kita tidak waspada, perintang-perintang ini akan merosakkan dan mengikis habis iman kita atau paling tidak akan membuat iman kita menjadi keruh dan tidak murni lagi akibat noda-noda dan racun yang ditebarkannya. Perintang-perintang ini sangat beragam dan banyak sepertimana menurut Imam Ibnu Abi ‘Izz Al-Hanafi kesemuanya itu bermuara pada dua hal yaitu: “Syubhat dan Syahwat”. (Lihat Syarh Aqidah Thahawiyah, Ibnu Abi ‘Izz Al-Hanafi, hal: 339).Menurut Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyah penyebab fitnah ini adalah lantaran lemahnya iman seseorang dan sedikitnya ilmu yang dimilikinya disamping niat yang rusak dan gelora mengikuti hawa nafsu yang membara dalam jiwanya. (Ighatsatul Lahfan 2/584).
 Justeru fitnah syahwat yang terbentang dihadapan kita terutama diera kemenangan ini berbentuk kebendaan yang mampu merosakkan niat murni kita dan fitnah syubhat yang mampu merobek iman dan memecahbelahkan ukhwah sesama kita perlu ditangani dengan bijak seumpama seorang nelayan yang mengemudikan perahunya membelah lautan yang bergelora.Firman Allah Taala yang bermaksud: “ Dia lah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu Yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat).”(surah al-Mulk:2)
2.Menggunakan petunjuk Allah
Seorang pejuang Islam mesti menjadikan al-Quran sebagai petunjuk dan sunnah Nabi Muhammad saw sebagai panduan yang sentiasa menerangi jalan perjuangannya.Apabila kita beraqidah,berhukum,berhujah dan berakhlak mestilah dengan petunjuk yang disediakan Allah.Oleh itu persiapan diri dan kesediaan kita untuk menyampaikan petunjuk ini kepada masyarakat adalah sangat dituntut.Kita semestinya sedar bahawa PAS bukan sahaja bersiasah tetapi juga berdakwah.Kita punya amanah yang besar untuk membawa kehidupan anak muda hari ini kepada cara hidup yang diredhai Allah.Kita harus menggunakan pelbagai pendekatan dakwah dengan dimensi yang lebih segar dan menarik tanpa sedikit pun mencalari syariat.Ingatlah pesanan Doktor Fathi Yakan bahawa “Pemuda adalah sebuah tenaga yang digunakan untuk memakmur dan membangunkan alam,tetapi orang lain telah menggunakan mereka untuk meruntuhkan umat manusia.Sesungguhnya dunia hari ini penuh sesak dengan pemuda dan pemudi tetapi mereka hanyalah kosong,hanyut dan terbiar.”Justeru jadikanlah diri kita pemuda PAS merupakan pasukan yang menghulurkan tangan kepada generasi muda demi menyelamatkan mereka dari lemas dan dilautan dunia yang bergelora.
 
 
3.Mengukuhkan kesatuan hati,fikrah dan amal.
Firman Allah Taala yang bermaksud:
Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan Kami ialah Tuhan Yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; Kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan Yang lain dari padanya; jika Kami menyembah Yang lainnya bermakna Kami memperkatakan dan mengakui sesuatu Yang jauh dari kebenaran.”(Surah al-Kahfi:ayat 14)
Untuk menjamin kemenangan yang dikecapi berada didalam genggaman kita penyatuan hati,fikrah dan amal perlu ada kesinambungan sepertimana sebelum ini.Jangan ada diantara kita yang mengambil sikap individualistik dan menangguk keuntungan peribadi.Sikap ini jika diteruskan akan menyebabkan kehancuran dan keruntuhan di dalam jamaah.Sepertimana kata As-Syahid Imam Hassan al-Bana bahawa ukhwah(Rukun Bai’ah yang ketujuh) hendaklah dibina atas ikatan aqidah sesama petugas amal Islami.Kita juga wajib menjaring segala bentuk pengaruh idea,prinsip mahupun pengaruh individu yang berada di luar aqidah dan fikrah. Bagi mendepani segala usaha musuh-musuh Islam yang ingin meleburkan gerakan Islam ini maka kita perlu memiliki tiga bentuk hati seperti yang dinukilkan daripada Saidina Ali r.a.Hati yang pertama ialah hati yang sentiasa bersih di dalam keyakinannya kepada Allah,kedua ialah hati yang cekal dalam melaksanakan segala tuntutan dan larangan agama dan yang ketiga ialah hati yang sentiasa lembut dan berkasih sayang sesama saudara seaqidah.
 Ikatan ini adalah ikatan yang simpulannya tidak boleh terungkai dengan permasalahan dan perbezaan furu’ tetapi yang sentiasa diarahkan oleh panduan Al-Quran dan Al-Sunnah.Segala bentuk aktiviti untuk mengikat kesatuan ini perlu dilaksanakan seperti usrah,tamrin dan diskusi.
4.Memainkan peranan secara kolektif.
Ketika kita meraikan kemenangan di dalam PRU ke 13 yang lepas,kita bersama mendabik dada dan bergembira mengakui kejayaan ini.Dalam pada masa yang sama kita lupa ketika para sahabat perjuangan bertungkus lumus di medan jihad dengan berkorban masa,tenaga,harta dan sebagainya tetapi kita di mana?Kita mesti menginsafi bahawa jalan yang kita lalui ini bukan mudah tetapi perlu kepada pengorbanan secara kolektif daripada semua peringkat.Jangan kita sibuk bertanya  sumbangan orang lain kepada perjuangan ini tetapi tanyalah diri kita sendiri.
 
Islam bukanlah merupakan al-din untuk golongan al-mutafajirin (golongan yang hanya melihat) ataupun al-mutaqa’idin (golongan yang berpeluk tubuh) tetapi ianya bersifat haraki yang dinamik lagi produktif untuk sentiasa melahirkan suatu natijah dan tidak bersifat jumud (beku).Ini tidaklah bermakna kita mengharapkan kepada natijah yang cepat tetapi ianya adalah merupakan satu rangsangan daya juang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah.
   Firman Allah Taala:
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk membela ugamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan Yang tersusun kukuh.”(Surah as-Saff:ayat 4)
Apabila kemenangan Ikhwanul muslimin di Mesir pada tahun 2012 menjadi realiti,ianya bukanlah satu kejayaan yang mudah tetapi menuntut kepada perjuangan dan pengorbanan yang sangat panjang iaitu selama 84 tahun.Perjuangan yang diasaskan oleh as-Syahid Imam Hasan al-Bana sejak dari tahun 1928 telah mewujudkan keterlibatan semua peringkat  daripada golongan ulamak,profesional,petani,buruh,pemuda dan muslimat.Namun kemenangan ini telah dirobek dan dimusnahkan oleh kezaliman as-Sisi dalam sekelip mata dengan menumpahkan lebih 5000 darah para syuhada’ pada 15 Ogos 2013 yang lalu.
Seterusnya ayat ini diakhiri dengan ikrar yang mengikat kuat hati pemuda-pemuda tadi kepada Allah s.w.t. dengan syahadah bahawa sesungguhnya Tuhan kami adalah Allah yang mencipta dan memiliki langit dan bumi, dan kami sesungguhnya berikrar bahawa Dialah sahaja yang wajib disembah dan ditaati perintahnya dan kami dengan syahadah ini membebaskan diri kami dari sebarang kompromi dan ikatan dengan sesuatu yang tidak bersifat rabbani. Ikrar ini adalah sebagai janji setia kita dengan Allah yang bersifat aqad (ikatan) yang tidak boleh diingkari apatah lagi kalau diputuskan. Keseluruhan tuntutan di atas adalah merupakan tugas yang dipikul oleh golongan pemuda.
Tanggungjawab berat yang dipikul dalam era al-Shahwah al-Islamiyah (kebangkitan Islam) ini memerlukan kepada golongan syabab tadi melalui satu proses yang dikenali sebagai tajnid yang membawa erti memperkemaskan pemuda tadi ibarat satu kumpulan junud (tentera). Proses ini adalah proses memupuk kefahaman yang jelas, penyusunan yang rapi dan amal yang mutawasil (berterusan) yang dibuat dalam bentuk penyusunan gerak kerja secara bersama.

Kesimpulan
Para pemuda dalam PAS hari ini perlu menyiapkan diri dengan pelbagai persiapan. Persiapan-persiapan tersebut termasuklah dari segi kejiwaan, keilmuan, kebendaan serta gerakan. Konsep al-fahmu (kefahaman) perlu dititik beratkan agar matlamat perjuangan ini jelas dan tidak dipandu oleh nafsu, logik akal dan semangat semata-mata. Takbir Allahuakbar!Allahuakbar!Allahuakbar!