Khamis, 29 September 2011

MERDEKAKAH KITA?

Baru-baru ini kita digemparkan dengan satu kenyataan seorang profesor yang mendakwa kita tidak pernah dijajah atau Inggeris datang kenegara kita hanya untuk membantu para sultan menguruskan negeri-negeri di Tanah Melayu.Apabila kita membaca kenyataan ini,maka kita tertanya-tanya samaada sejarah yang kita belajar dulu di sekolah bahawa kita telah dijajah sejak zaman Portugis,Belanda,Inggeris dan Jepun  iaitu selama 446 tahun adalah satu pembohongan atau hakikat sejarah yang mesti diakui.Namun begitu,kenyataan profesor ini disanggah dan dinafikan oleh banyak pakar sejarah,guru sejarah dan rakyat Malaysia sendiri.

Kita mengakui bahawa kita telah merdeka selama 54 tahun tetapi kita merasakan kemerdekaan yang kita kecapi hari ini adakah benar-benar telah membebaskan kita dari belenggu dan cengkaman penjajahan.Apakah maksud kemerdekaan? Menurut Kamus Dewan, merdeka membawa maksud bebas, lepas, berdiri sendiri dan tidak bergantung kepada orang lain.
Dalam hal ini, jika kita menelusuri data-data mengenai penglibatan remaja kita dalam masalah sosial sangat membimbangkan. Adakah ini mencerminkan ciri-ciri remaja dalam sebuah negara merdeka?
Remaja Islam sebenarnya mempunyai tempat yang tinggi dalam masyarakat dan negara.
Ini berdasarkan hak yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada setiap diri insan sebagaimana disebutkan di dalam al Quran yang bermaksud :
“Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami angkat mereka di dataran dan lautan, dan Kami beri rezeki mereka dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dari kebanyakan makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna”. (al Isra: ayat 70)

Bagi membincangkan perkara ini dengan lebih sempurna  marilah kita melihat dan meneliti isu-isu terkini yang melibatkan remaja dinegara kita khususnya yang melibatkan remaja muslim.

Penagihan Dadah dan Pil Ectasy


Sebanyak 45 peratus golongan penagih dadah didapati mula terlibat secara tidak aktif sewaktu zaman persekolahan.Menurut kajian yang telah dilakukan bahawa kebanyakan remaja yang terlibat dengan dadah 80% bermula dengan merokok,kemudian pil khayal,ganja dan akhirnya terjebak menjadi penagih tegar yang sukar untuk diselamatkan.Apa yang menyedihkan kita statistik yang saya perolehi pada tahun 2005 menunjukkan bahawa kebanyakan penagih adalah terdiri daripada orang Melayu yang beragama Islam.
PROFIL PENAGIH MENGIKUT BANGSA
BARU
BERULANG
JUMLAH
Melayu
10621
11723
22344
Pribumi Sabah
867
355
1222
Pribumi Sarawak
94
28
122
Cina
2000
3131
5131
India
1208
2020
3228
Lain-lain Bangsa
503
159
662
Warga Asing
96
3
99
15389
17419
32808

 Manakala pengambilan Pil ecstasy di kalangan remaja juga semakin membimbangkan. Ini berdasarkan kepada siri penangkapan remaja-remaja di pusat hiburan mendapati pil-pil ecstasy boleh didapati dengan mudah di sana.
Remaja harus menyedari bahawa pil ini sangat merbahaya dan merosakkan kesihatan individu yang mengambilnya.
Menurut Dr. Mazlan Mahmud, Pakar Perubatan Penagihan, Jabatan Psikiatri Hospital Muar, Johor (Utusan Malaysia, 2002) mengatakan, Pil ini mengandungi dadah amfetima yang boleh merencat bahagian otak yang mengawal nafsu makan.
Keadaan ini menyebabkan seseorang itu mengalami kurang selera makan. Selain daripada itu, Pil ecstasy juga akan menyebabkan seseorang menjadi lebih aktif pada peringkat awal pengambilan dan ini akan menyebabkan berat badan individu terbabit menurun mendadak.
Keadaan akan menjadi lebih teruk sekiranya individu tersebut berhenti daripada mengambil pil itu.
Dalam masa beberapa minggu selepas itu, individu tersebut akan menjadi letih, banyak tidur, berasa runsing, susah hati dan kuat makan.
Pada masa ini pula seseorang individu akan mengalami peningkatan berat badan secara mendadak dan keadaan ini akan mendorong individu itu mengambil pil ecstasy semula sehingga menyebabkannya terjebak dengan penagihan.
Untuk pengetahuan umum, Pil ecstasy juga boleh menyebabkan peningkatan perasaan seksual seseorang. Mereka akan berasa lebih seronok dan berahi.
Malah nafsu seks mereka boleh menjadi tidak terbatas iaitu mereka tidak berasa takut untuk melakukan seks secara rambang atau mendapat penyakit berjangkit.

Seks Bebas(Zina)

Jenayah ini berlaku kerana beberapa faktor antaranya ialah:
1- penyebaran teknologi maklumat yang begitu berleluasa serta ditambah pula dengan iman yang rapuh dalam diri para remaja islam pada hari ini.
Fenomena video lucah, serta bahan-bahan bacaan lucah begitu mudah didapati di pasaran.
Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga tidak kurang hebatnya. Harus disedari bahawa perlakuan seks bebas merupakan perbuatan yang diharamkan dalam Islam.
Oleh itu, di dalam Islam bagi mereka yang tidak dapat menahan keinginan, Islam menggalakkan umatnya menggunakan saluran lain seperti berkahwin atau berpuasa.
Fenomena seks bebas berlaku di mana-mana negara seluruh dunia. Di Amerika Syarikat misalnya dan juga negara-negara Barat lain, kajian menunjukkan satu daripada lima remaja melibatkan diri dalam hubungan seks sebelum mereka mencapai umur 15 tahun.
“Beberapa kajian yang dilakukan di negara ini juga menunjukkan 27 peratus daripada remaja kita hari ini mengadakan hubungan seks luar nikah”.
 Antara sebab-sebab lain mengapa remaja di negara ini terdorong terlibat dalam hubungan seks bebas ialah akibat permintaan dan `godaan’ yang lebih banyak dan kompleks berbanding remaja pada generasi lalu.
2-Pengaruh daripada rakan sebaya terutamanya di kalangan remaja lelaki juga merupakan faktor penyebab mengapa remaja terdorong melakukan hubungan seks tanpa tahu risikonya.
3- Pengaruh persekitaran yang begitu kondusif turut menggalakkan perlakuan seksual seperti itu. Kehidupan anak-anak yang terlalu terkongkong atau tidak rapat dengan ibu bapa atau keluarga, boleh menyebabkan anak-anak ingin meneroka sesuatu yang negatif.
4- kurangnya didikan agama juga menjadi punca utama mengapa mereka tidak dapat menahan diri daripada terjebak dalam kancah maksiat seperti ini.  Antara kesan-kesan mengamalkan seks bebas ialah kehamilan sehingga menyebabkan kes pembuangan bayi yang menjadi-jadi pada hari ini.


Jenayah

Walaupun Malaysia pada hari ini telah pun menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-54, namun timbul persoalan adakah negara kita sudah bebas sepenuhnya daripada kegiatan jenayah yang sememangnya tidak wujud lagi dalam sebuah negara yang merdeka.
Malahan kejadian jenayah di Malaysia pada hari ini semakin menjadi-jadi. Pembunuhan kejam berlaku di sana sini, samun, pecah rumah, rogol dan sebagainya.
Penglibatan para remaja dalam kegiatan jenayah juga sangat membimbangkan. Hasil kajian yang dibuat oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mengenai pembabitan remaja Melayu di ibu kota dalam kejadian jenayah sungguh mengejutkan.
Ini kerana remaja Melayu seakan menjadi jaguh dalam kebanyakan kategori jenayah yang berlaku di ibu negara sama ada yang dilapor atau tidak oleh media massa negara ini.
Kajian itu merumuskan bahawa remaja Melayu begitu lemah dan mudah terpengaruh dengan ajakan rakan-rakan sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk keseronokan.
Ini menunjukkan bahawa betapa rapuhnya iman remaja pada hari ini sehingga sanggup melakukan sesuatu di luar batasan kemanusiaan.

Remaja dan Idola Popular

Masyarakat Islam selalunya merujuk kepada junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w sebagai rujukan sama ada dari segi amalan, kelakuan atau dikatakan sebagai cara hidup.
Tanpa disedari mereka sebenarnya telah menjadikan junjungan mulia sebagai idola. Manakala kita sebagai masyarakat Islam Malaysia yang hidup dalam sebuah negara merdeka, tidak ramai yang menjadikan tokoh-tokoh pejuang negara sebagai idola.

Mengapakah kita tidak berminat untuk menjadi seperti mereka yang telah berjuang bermati-matian mempertahankan negara sehingga kita dapat melepaskan diri dari belenggu penjajahan sepertiTok Janggut,Tok Kenali,Tuan Guru Abdul Rahman Limbong,Doktor Burhanudin Helmy,Utaz Abu Bakar Bakir dan lain-lain lagi tokoh pejuang kemerdekaan yang menjadi syuhada' sebagai ikutan.
Apa yang berlaku dalam masyarakat kita khususnya remaja Islam masa kini meminati artis pujaan mereka dan sekaligus menjadikan artis tersebut sebagai idola mereka tanpa mengambil kira apakah sumbangan artis tersebut kepada negara dan agama.

Apakah nilai-nilai murni artis tersebut yang boleh dijadikan tauladan. Apa yang mereka tahu sekadar meminati nyanyian atau lakonan artis sahaja.
Begitu sempit pemikiran remaja Islam pada hari ini. Siapa sebenarnya yang layak menjadi idola kepada remaja-remaja ini? Tokoh korporat, negarawan, sasterawan, ahli sukan atau artis yang berada dalam lingkungan budaya popular?
Dalam hal ini, kita tidak boleh menyalahkan remaja Islam seratus peratus kerana jika diperhatikan sama ada di media cetak atau media elektronik, pendedahan mengenai perjuangan atau peranan cerdik pandai Islam, negarawan, sasterawan atau golongan ahli korporat kurang didedahkan.
Apa yang mendominasi media cetak dan elektronik masa kini adalah kehidupan golongan artis dan cerita-cerita hiburan semasa yang banyak melalaikan remaja dan mempengaruhi remaja untuk hidup dalam dunia glamour sebagai seorang artis.

Remaja dan Sambutan Kemerdekaan

Kuala Lumpur sememangnya menjadi tumpuan warga kota yang ingin menyambut detik-detik bersejarah menjelangnya 31 Ogos. Masing-masing begitu sabar menunggu detik 12 tengah malam yang menyaksikan kejayaan negara membebaskan diri daripada cengkaman penjajah.
Apabila tiba detik 12 malam, percikan bunga api pun dinyalakan, acara hiburan yang berbentuk konsert serta parti-parti anjuran individu atau kafe-kafe di ibukota mula beroperasi bagi memeriahkan lagi malam sambutan kemerdekaan.

Tidak cukup dengan itu ada yang mengadakan pesta seks, pesta arak, rempit, berkaraoke sampai pagi, berpeleseran, dan sebagainya. Siapa yang paling ramai terlibat? Sudah tentulah golongan remaja Islam.
Inilah senario yang berlaku saban tahun di Malaysia. Sungguh berlainan sekali dengan masyarakat zaman dulu yang menyaksikan percikan api peluru musuh, masyarakat kini menyaksikan percikan bunga api sebagai satu kejayaan.
Walau apapun sambutan yang dibuat, bagi masyarakat Malaysia masa kini, pengisian malam kemerdekaan mesti disertakan dengan acara hiburan.

Malahan acara hiburan begitu mendapat sambutan daripada pelbagai lapisan masyarakat, berbanding ceramah kemerdekaan atau menonton dokumentari berkaitan jerih perih penjajahan.
Bagi golongan remaja khususnya remaja Islam, itulah caranya mereka mengisi kemerdekaan yang dikecapi pada hari ini.
Golongan remaja Islam misalnya merupakan golongan yang paling ramai menunjukkan sokongannya terhadap program-program pengisian sambutan kemerdekaan seperti tadi.
Bagi mereka, itulah penghayatan erti kemerdekaan tanpa mengetahui bahawa sambutan kemerdekaan bukan sekadar laungan penuh semangat tetapi diri mereka juga perlu tampil dalam pakej lengkap sebagai anak bangsa yang merdeka.
Apa yang membimbangkan ialah jika anak-anak muda ini terus hanyut dibawa arus kealpaan dan terpengaruh dengan budaya asing, siapa yang akan mempertahankan negara suatu hari nanti?
Cara yang terbaik dalam menangani sesuatu masalah adalah dengan adanya gabungan beberapa faktor yang saling berkaitan antara satu sama lain.

Antara cara yang paling utama dalam menangani sesuatu masalah yang dianjurkan oleh Islam adalah melalui pengukuhan ikatan akidah.
Ikatan akidah menuntut kita supaya meyakini bahawa Tuhan sekalian alam ialah Allah S.W.T yang maha berkuasa ke atas makhluknya.
Segala perintah dan suruhan Tuhan wajib ditaati. Dia yang Maha Mengetahui. Melalui ikatan akidah juga, kita tahu dari mana kita datang, kenapa kita datang ke dunia ini dan ke mana akhirnya hidup ini.
Dengan cara ini, para remaja akan mampu menghadapi segala masalah atau segala cabaran dengan penuh bijaksana dan kesabaran kerana meyakini Allah berkuasa ke atas segala-galanya.
Selain itu, remaja harus sentiasa melakukan kegiatan kerohanian agar sentiasa tenang dan tenteram dalam hatinya.

Para remaja mestilah sentiasa mendirikan sembahyang, mendampingi al-Quran, berkunjung ke masjid agar dapat mendampingi orang yang terpuji akhlaknya, berpeluang mendekati orang yang berilmu dan mendengar ceramah agama.
Dengan ini remaja akan sentiasa ingat siapa diri mereka dan apa yang mereka harus lakukan untuk bekalan di masa depan. Dalam hal ini remaja perlu tahu bahawa ilmu keduniaan yang mereka miliki tidak akan menjamin seseorang itu terpelihara daripada anasir-anasir luar.
Pendidikan agama juga perlu seiring supaya perjalanan hidup seseorang individu muslim sentiasa terarah ke jalan yang diredhai Allah sw.t.
Remaja juga harus mencari mereka yang baik akhlaknya serta ilmunya untuk dijadikan model ikutan serta sumber rujukan untuk mendapatkan penyelesaian kepada masalah mereka.

Begitu juga apabila memilih kawan. Kawan sebenarnya memainkan peranan dalam hidup seseorang individu. Ini kerana jika seseorang itu silap memilih kawan, kemungkinan untuk seseorang itu terjerumus ke lembah kehinaan adalah lebih tinggi.
Kawan adalah orang yang kedua dalam hidup seseorang individu selepas ibu bapa. Lebih parah lagi apabila ada dikalangan remaja pada hari ini lebih percaya kepada kawan daripada ibu bapa sendiri.
Para remaja juga tidak boleh menjadikan tempat hiburan sebagai tempat untuk menyelesaikan masalah.
Ini kerana pada zaman moden ini, para remaja Islam khususnya lebih suka mencari ketenangan dan menyelesaikan masalah dengan mengunjungi kelab-kelab malam, dan kelab-kelab hiburan di sekitar ibu kota.
Remaja pada hari ini lebih selesa mengunjungi pusat hiburan daripada mengunjungi majlis agama atau masjid-masjid. Ini kerana mereka merasakan masjid itu hanyalah tempat untuk bersolat sahaja.
Mereka tidak mengetahui bahawa masjid merupakan tempat yang paling sesuai untuk bertafakur dan memohon petunjuk daripada Allah dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Kesimpulan
Menurut Prof. Dr. Sidek Baba, remaja pada hari ini harus insaf bahawa dalam proses Bina Negara kita berdepan dengan persaingan yang sengit.
Negara yang maju dan negara yang membangun, banyak ditentukan oleh kualiti diri remaja dan kualiti ilmunya, Remaja harus selalu bertanya apakah sumbangan dirinya terhadap negara, bukan hanya bertanya apakah sumbangan negara terhadap dirinya.Dan persoalan terakhir saya tinggalkan kepada muslimin dan muslimat untuk berfikir dan bermuhasabah...Merdekahkah kita?

















Tiada ulasan:

Catat Ulasan