Selasa, 2 Ogos 2011

RAHMAT RAMADHAN

Alhamdulillah kita telah diberi kesempatan sekali lagi dan dipanjangkan umur untuk bersama menikmati hidangan nikmat dan rahmat yang dijanjikan oleh Allah Taala dalam bulan yang penuh dengan keberkatan ini.Ramadhan adalah bulan tarbiyah,bulan mujahadah,bulan muhasabah dan bulan muraqabah.
Bulan Tarbiyah dan Mujahadah.
Pada bulan ini,kita cuba untuk mendidik nafsu atau jiwa kita supaya tunduk dan patuh kepada Allah Taala.Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Puasa itu adalah perisai."Ibnu Abdul Bar mengupas hadith ini dengan mengatakan bahawa puasa adalah pendinding kepada manusia daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh mencampakkan diri kita ke dalam api neraka.Kita pujuk hati dan anggota badan kita agar sentiasa patuh kepada perintah dan larangan Allah.Kita pelihara mata.lidah,telinga,tangan dan kaki kita daripada melakukan maksiat.Untuk memastikan semua pancaindera dan anggota badan kita terarah melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan,kita mesti memastikan hati kita bersih dan hampir dengan Allah.Justeru dalam bulan ini kita berpuasa dan ditambah pula dengan amalan-amalan lain seperti mendirikan solat sunat,membaca al-Quran,bersedekah,berzikir,berdoa dan berbagai lagi amalan baik yang mampu mengubat dan mendekatkan hati kita kepada Allah.Amat malang bagi orang Islam yang tidak mengambil peluang yang terhidang didepan mata kita umpama orang yang dihidang makanan yang lazat tetapi hanya berdiam diri dan melihat sepi.
Bulan Muraqabah dan Muhasabah.
Bulan ini juga kita kenali sebagai bulan muraqabah.Kita merasakan Allah sentiasa memerhati dan melihat perbuatan kita.Allah sentiasa mendengar perkataan yang dilontarkan oleh kita samada perkataan yang terbit dari lidah atau hati kita.Kita merasakan Allah sangat hampir dengan kita dari urat nadi kita sendiri sepertimana firman Allah Taala dalam surah ق ayat yang ke 16 yang bermaksud:"Dan sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya dan kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya."Inilah hasil puasa yang kita jalani iaitu mendapat ijazah taqwa kepada Allah Taala dengan menepati maksud taqwa yang di sebut oleh Ibnu Abbas bahawa taqwa itu ialah melakukan semua perintah Allah dan menjauhi semua laranganNya kerana hati dekat dengan Allah.Apabila kita berjaya memperolehi ijazah taqwa ini,kita akan merasakan nikmat beribadah,sentiasa menundukkan diri kepada Allah sebagai rasa ubudiyyah yang tinggi dan menginsafi bahawa kita tidak layak untuk menggunakan hukum selain hukum Allah bagi memastikan diri berada diatas jalan yang lurus.Bulan ini juga kita bermuhasabahlah dengan amal yang kita dah lakukan.Cubalah memperbaiki diri menjadi hamba Allah yang lebih taat dan patuh kepada Allah.Kita kena ingat segala perbuatan kita ini dicatat oleh malaikat Allah iaitu Raqib dan 'Atid dan segala amal kita akan dihisab dihadapan Allah.Firman Allah Taala yang bermaksud:"Tidak ada suatu kata yang diucapkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang selalu siap mencatat."(surah ق ayat 18)Oleh yang demikian gunalah kesempatan dalam bulan ini untuk kita bertaubat dan berazam tidak mengulangi dosa yang sama.
Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah Taala.
Semoga bulan ini kita dapat melakukan perubahan kepada yang lebih baik,membina keyakinan yang tinggi kepada Allah Rabbul Jalil serta berjaya meneruskan kekuatan dan momentum pada bulan ini kedalam kehidupan kita pada bulan-bulan yang lain.Kita tidak mahu hanya pada bulan ini kita hebat beribadah tetapi pada bulan yang lain kita culas dan malas.Pada bulan ini kita berjaya menewaskan nafu amarah tetapi pada bulan lain kita tunduk dan sujud pada nafsu sarakah dan pada bulan ini kita tunduk dan taat kepada Allah tetapi pada bulan lain kita jadi hamba Allah yang derhaka dan penuh dengan dosa.Sama-samalah kita mengejar bonus yangg sediakan ini.Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Apabila datang bulan Ramadhan dibuka pintu-pintu syurga,ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu para syaitan."Selamat berpuasa serta selamat menyambut aidilfitri,maaf zahir dan batin.

Isnin, 13 Jun 2011

CATATAN ISRAK MIKRAJ

Assalamualaikum wrhmt.wbrkth.


Sedar tak sedar kita telah pun berada dalam bulan Rejab.Mungkin kita sudah terlupa dengan peristiwa besar Isra' dan Mi'raj walaupun sudah saban tahun kita menyambutnya di surau-surau atau di masjid-masjid sekitar rumah kita.Begitulah keadaan kita sebagai manusia yang sentiasa lupa dan leka dengan kehidupan dunia yang melalaikan.Benarlah firman Allah Taala yang bermaksud:"Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan,kerana sesungguhnya memberi peringatan itu memberi kepada faedah orang yang beriman."(az-Zaariyaat:ayat 55)

Apabila kita membaca kisah ini,kita akan dapat memerhatikan kehebatan iman para sahabat dan kesabaran mereka dalam mempertahankan Islam yang mereka cintai.Semua orang boleh dan mampu berkata "aku beriman",tetapi persoalannnya ialah adakah kita benar-benar beriman?Atau pernahkah iman kita itu diuji oleh Allah dengan ujian yang hebat? Mampukah kita menjadi seperti Saidina Abu Bakar yang beriman dengan yakin dan bersungguh-sungguh dengan peristiwa ini walaupun orang lain meraguinya? Mampukah iman kita menolak segala sangkaan buruk kepada Allah dan Rasulullah saw yang didorong oleh nafsu dan disokong oleh Syaitan?Pernahkah dirampas harta kita, disiksa jasad serta emosi kita atau diancam nyawa kita semata-mata untuk mempertahankan aqidah yang mulia ini. Dalam hal ini Allah telah berfirman dengan maksudnya:"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata:" kami telah beriman." sedangkan mereka tidak diuji(dengan sesuatu cubaan)?(surah al -Ankabut:ayat 2)

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah.

Sabar adalah antara sifat yang perlu ada dalam diri seorang mukmin bagi sesiapa yang ingin mempertahankan dan memelihara iman mereka.Sifat sabar ini boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu:

1-Sabar ketika melaksanakan kewajipan dan perintah Allah Taala seperti sabar menunaikan ibadah solat,puasa,zakat dan ibadah-ibadah lain.
2-Sabar daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah Taala seperti menahan diri dari melakukan kemungkaran yang dilarang seperti zina,mencuri,mengumpat dan lain-lain kemaksiatan.
3-Sabar menghadapi segala musibah atau bencana yang diberikan kepada kita seperti kemiskinan,kematian,gagal dalam pelajaran atau kerjaya dan sebagainya.
4-Sabar semasa menguruskan nikmat dan kurniaan Allah kepada kita seperti kita sabar menguruskan kekayaan yang diperolehi supaya sentiasa membelanjakan harta kekayaan itu kepada jalan Allah Taala.

Pada zaman yang penuh dengan cabaran ini,terdapat orang muslim khususnya di negara kita ini yang gagal membina kesabaran dalam diri mereka sehingga kita dapati mereka tanpa segan silu dan rasa berdosa melakukan maksiat dan meninggalkan perintah Allah Taala.Kedapatan orang yang mengaku Islam tetapi berani berhujah menolak ketetapan dan hukum Allah Taala bahkan mereka pula berbangga hidup di bawah telunjuk orang kafir sehingga ada diantara mereka sanggup berkata"I tak nak hipokrit, I buat je apa I suka buat,lantaklah apa orang nak kata."Itulah antara dialog yang biasa kita dengar daripada orang yang mengaku Islam .Kadang-kadang kesabaran kita juga tergugat dengan ujian musibah daripada Allah seperti sakit dan kemiskinan sehingga tergamak kita menyalahkan takdir Allah Taala.Tidak kurang
juga yang mengaku semua nikmat,kejayaan,kekayaan,kedudukan dan kurniaan itu semua adalah hasil usaha dan titik peluh mereka sendiri tanpa ada hubung kait dengan rahmat,izin dan kehendak Allah sehingga mereka menjadi takabbur dan sombong.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah.

Dengan demikian itu,marilah kita sama-sama kembali kepada Allah Taala dalam kehidupan kita kerana kita mesti menyedari bahawa jaminan kehidupan di alam barzakh samaada kita aman disana atau disiksa,jaminan kehidupan kita semasa dibangkitkan samaada berwajah hitam atau putih,keadaan kita di padang Masyar samaada senang atau sukar ,surat amalan kita samaada diterima dengan tangan kanan atau kiri,ketika kita melalui titian sirat samaada selamat atau sebaliknya dan samaada kita akan dimasukkan ke dalam syurga atau neraka adalah bergantung kepada cara hidup kita pada hari ini.Sekiranya perjalanan hidup kita bersama dengan Islam,kita menegakkan Islam,kita mempertahan akidah Islam,kita berakhlak dengan akhlak Rasulullah saw dan berhukum dengan hukum Allah,Insyaallah dengan rahmat Allah Taala akan menjamin kehidupan yang lebih baik selepas kematian kita.Sesungguhnya bermula kehidupan kita yang sebenar sebagai hamba Allah adalah selepas kematian iaitu kita menuju kepada kehidupan yang lebih baik dan kekal abadi.

Firman Allah Taala yang bermaksud:"Barangsiapa yang mengambil selain Islam sebagai agama dalam kehidupan dunia ini,maka tidak diterima amalannya dan dia dihari akhirat nanti termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi".

Isnin, 4 April 2011

BAHAYA FITNAH

ASSALAMUALAIKUM WRMTULLAH WBKTH.

Hadis Huzaifah r.a katanya:
Aku telah mendengar Rasullullah s.a.w bersabda:
"Tidak masuk Syurga orang yang suka menabur fitnah".

HATI adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan nikmat paling agung diberikan Allah sebagai titik untuk menilai keikhlasan dan ketulusan. Di hati lahirnya niat yang menjadi penentu sesuatu amalan diterima sebagai pahala atau sebaliknya.

Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik supaya tidak rosak, sakit, buta, keras dan tidak mati bagi mengelak penyakit masyarakat yang berpunca daripada hati.Sebagaimana yang telah dipesan oleh baginda Rasulullah saw bahawa hatilah yang menentukan kebaikan kepada akhlak yang ditonjolkan.Sekiranya baik,bersih dan hampir hatinya dengan Allah,maka akan lahirlah akhlak yang mahmudah tetapi sekiranya hati jahat,kotor dan jauh dengan Allah maka lahirlah sifat mazmumah.

Kerosakan pada hati membawa kepada kerosakan seluruh nilai hidup pada diri seseorang individu. Penyakit hati yang menyerang kebanyakan kita ialah penyakit fitnah, sama ada menjadi penyebar atau mudah mempercayai fitnah.

Perbuatan fitnah adalah sebahagian perbuatan mengadu-domba yang mudah menyebabkan permusuhan dua pihak yang dikaitkan dengan fitnah berkenaan.

Masyarakat yang dipenuhi budaya fitnah akan hidup dalam keadaan gawat. Sebelah pihak sibuk menyebarkan fitnah dan sebelah pihak lagi terpaksa berusaha menangkis fitnah itu.

Natijah akibat perbuatan itu boleh mencetus persengketaan dan mungkin berakhir dengan tragedi kerugian harta benda dan nyawa. Individu yang suka menyebar fitnah sentiasa mencari kejadian atau berita boleh dijadikan bahan fitnah.
Dengan sedikit maklumat, berita itu terus disebarkan melalui pelbagai saluran yang merebak dengan mudah. Berita sensasi, terutama berkaitan individu ternama dan selebriti mudah mendapat perhatian khalayak.

Justeru, Allah memberi peringatan mengenai bahaya fitnah. Firman-Nya yang bermaksud: "Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhannya." (Surah al-Baqarah, ayat 191)

Apabila fitnah tersebar secara berleluasa, ia bermakna nilai agama sudah musnah dalam diri seseorang atau masyarakat. Islam bertegas tidak membenarkan sebarang bentuk fitnah biarpun untuk tujuan apa sekalipun.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud:"Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, berleluasa sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah." (Hadis riwayat Muslim)

Penyebaran fitnah mudah berlaku dalam era teknologi komunikasi moden sekarang. Kemudahan khidmat pesanan ringkas (SMS), laman web dan emel membolehkan penyebaran maklumat tanpa memerlukan bertemu secara berdepan, lebih mudah, cepat, meluas dan murah.

Teknologi yang sepatutnya digunakan untuk kebaikan disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah. Penyebaran fitnah melalui SMS yang berleluasa memaksa kerajaan menetapkan peraturan semua pemilik kad prabayar didaftarkan.

Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Wajib bagi Muslim menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah.

Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.

Firman Allah bermaksud:"Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan." (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Banyak pihak yang turut terbabit menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan, banyak yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu.

Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Pada masa sama, perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu.

Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu.

Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan.

Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:"Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah."(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti.

Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan "dengar khabar" mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang, maklumat yang belum sahih itu sudah hilang dan kemudian disebarkan seperti berita benar.

Dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang yang berkaitan cerita itu tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain. Menyebarkan berita benar tetap dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar.

Imam Ghazali dalam buku "Ihya Ulumuddin" menjelaskan perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak mahu diketahui orang lain dianggap sebagai perbuatan mengadu-domba dan fitnah.

Mengenai berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang berkaitan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud:"Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?’ Rasulullah bersabda lanjut: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah seperti dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud:"Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain." (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Justeru, setiap Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah.Perkara pertama perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan sumber berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita itu.Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian khalifah ketiga kerajaan Islam di Madinah iaitu Uthman Affan, yang berpunca daripada fitnah disebarkan kumpulan ekstremis agama.

Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada peperangan sesama Islam atau perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan zaman selepas itu.Fitnah juga meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah malah, sejarah juga telah membuktikan kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali kerana fitnah.Justeru marilah kita kembali kepada landasan Islam dalam kehidupan kita berhubung sesama manusia. Ubatlah penyakit hati kita dengan memperbanyakkan taubat,menuntut ilmu agama,memperbanyakkan amal soleh dan selalu berzikir kepada Allah.Jauhilah amalan fitnah yang mampu merosakkan agama,bangsa dan negara.

Ahad, 20 Februari 2011

FORUM "DIRIMU KEKASIH ALLAH"

Alhamdulillah...selesai sudah program Minggu Himpunan"Dirimu Kekasih Allah".Tahniah kepada semua yang terlibat menjayakan program yang penuh bermakna ini.Program yang julung kalinya diadakan di Bandar Baru Salak Tinggi ini dengan kerjasama Majis Perbandaran Sepang,Pejabat Agama Islam Daerah Sepang,Masjid Jamek Sultan Hisamudin,Persatuan Penduduk taman-taman sekitar BBST dan surau-surau sekitar BBST.Pada hemat saya program yang diisi dengan pelbagai aktiviti seperti pertandingan Perarakan MulidurRasul,pertandingan bercerita,syarahan,azan dan deklamasi sajak ini telah mampu memberi kesedaran serta keinsafan kepada penduduk tentang perjuangan Rasulullah saw dan para sahabat baginda.

Kemuncak dalam program ini iaitu Forum Perdana "Dirimu Kekasih Allah" dengan dibarisi oleh ahli panel yang hebat dan terkenal iaitu Yang Berbahagia Dato' Hassan Mahmud al-Hafiz dan Ustaz Zulkarnain Hamzah al-Hafiz telah mampu menarik ribuan ahli kariah ke masjid.Dalam forum ini,ahli panel telah menekankan betapa penting kita sebagai umat Islam hari ini berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah baginda Rasulullah saw.Punca utama keruntuhan umat Islam,kerosakan aqidah yang meruncing,keruntuhan akhlak yang membimbangkan serta perpecahan umat Islam yang menghinakan hari ini kerana kegagalan umat Islam menjadikan Rasulullah saw sebagai contoh dalam watak-watak kehidupan mereka.

Sebagaimana yang telah diutarakan oleh ustaz Zulkarnain Hamzah al Hafiz,bahawa umat Islam pada hari ini perlu ada golongan pejuang yang mendokong dan menyokong seperti pada zaman Rasulullah saw.Perlu ada golongan tua seperti Abu Bakar As-siddiq,golongan muda seperti Ali bin Abu Talib,golongan wanita seperti Siti Khadijah atau Asma' Abu Bakar,golongan orang kaya seperti Abdul Rahman bin Auf dan golongan agama seperti Abdullah bin Mas'ud.Corak penyampaian yang cukup menarik serta diselitkan dengan unsur-unsur kecindan oleh ustaz Zulkarnain dan Dato' Hassan Mahmod telah memberi keyakinan kepada saya selaku moderator pada malam itu bahawa segala yang disampaikan mampu mennyuntik semangat dan kefahaman yang jitu tentang Islam.

Marilah kita sama-sama mempertahankan Rasulullah saw dan Islam yang dibawa.Pastikanlah segala jiwa,jasad dan harta kita untuk Allah Rabbul Jalil.Pastikan setiap nafas yang disedut dan dihembus,setiap darah yang mengalir dan setiap nadi yang berdenyut untuk Islam yang tercinta dan dijunjung.Pastikanlah setiap generasi muda kita adalah askar-askar yang sedia berjihad dan syahid dijalan Allah Taala seperti kata pepatah:
"Jadilah benih yang bernas,
seribu tahun dijemur panas,
digetus digetas binatang buas,
tetap tumbuh mencetus tunas."
Semoga kita bertemu lagi dalam "Minggu Himpunan Dirimu Kekasih Allah" pada masa akan datang sekiranya diizinkan Allah.Akhirnya marilah kita kemaskan barisan jihad dengan kita hayati Firman Allah Taala yang bermaksud"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang pada jalanNya dalam satu barisan seperti satu bangunan yang kukuh"(as-Saff:4)

Selasa, 8 Februari 2011

BENARKAH KITA BERJUANG?
Wahai orang yang beriman ! Apa yang telah berlaku kepada kamu ?

Apabila kamu diseru , agar turun ke medan untuk memperjuangkan agama Allah swt. tiba - tiba kamu memberatkan papan punggung kamu ke permukaan bumi [ malas ]

Kenapa jadi begitu ? adakah kerana kamu lebih sayang kepada kehidupan dunia berbanding kehidupan akhirat ?

Ketahuilah ! sesungguhnya kehidupan dunia yang kamu dambakan itu , berbanding akhirat yang telah dijanjikan oleh Allah swt. adalah sangat kecil nilainya disisi Allah swt .

Jika sekiranya kamu lengah untuk menunaikan amanah perjuangan , nescaya kamu akan diazab oleh Allah swt dengan azab yang sangat pedih .

Maksud Firman Allah swt dari surah at Taubah . Ayat : 38 - 39

Seseketika dalam mengharungi perjuangan ini , alangkah kita duduk sejenak untuk menganalisa atau bermuhasabah diri . Memandang jauh ke dalam jiwa dengan menyelaminya secara jujur dan telus terhadap diri sendiri . Lalu kita ajukan pada diri satu soalan , benarkah kita berjuang ?

Berjuang yang dimaksudkan di sini ialah bekerja gigih dengan segala upaya dan daya malah mengambil segala ruang dan peluang untuk menjulang kalimah Allah swt sehingga ia mengatasi ideologi ciptaan manusia , meskipun terpaksa berhadapan dengan tribulasi dan implikasi yang mengancam kepentingan diri .

Atas alasan dan tujuan tersebut , kita menyertai jamaah Islam ini bagi memastikan aspirasi perjuangan suci itu dapat kita laksanakan secara lebih berkesan . Persoalannya , benarkah kita berjuang ?

Benarkah kita berjuang ? , kalau hanya mengisi borang dan mendaftar diri sebagai anggota jamaah Islam tetapi gagal untuk komited [ iltizam ] dengan segala aktiviti amal jamaei yang dianjurkan oleh jamaah . Kita hanya mampu mentarbiyah tetapi tidak boleh ditarbiyah . Mampu mengarah tetapi tidak boleh diarah . Mampu menegur tetapi tidak boleh ditegur .

Benarkah kita berjuang ? , dengan hanya semata - mata kerap menghadhiri ceramah - ceramah umum tetapi liat untuk hadir dan menekuni program - program khusus seperti usrah , liqa fikri , tamrin , mukhayyam dan pelbagai aktiviti spiritual seperti qiamulail , al mathurat dan zikrullah . Program ceramah dilihat lebih penting sebab kita dapat publisiti sedang usrah ni hanya dihadhiri oleh 10 orang , tidak glamour langsung !

Benarkah kita berjuang ? , apabila kita selalu sahaja gagal melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah digalaskan ke atas pundak kita sebagai pimpinan jamaah walau dimana peringkat posisi kepimpinan kita . Mesyuarat sering tidak hadhir dan kalau pun hadhir hanya dengan kepala kosong . Lebih malang , ada mesyuarat dalam mesyuarat dan ada mesyuarat selepas mesyuarat .

Benarkah kita berjuang ? , sedang banyak masa kita habiskan untuk bersahaja dan mengelamun dalam mengimpi kemenangan . Hanya pandai mengomel dan mengkritik kesalahan anggota jamaah yang lain tetapi kita sendiri hanya mampu berdiri di tepian gelanggang . Kerja kita tidak beres tetapi nak ambil kerja orang lain . Kalut tidak bertempat .

Benarkah kita berjuang ? , seringkali kita mengabaikan hak ukhuwwah atau persaudaraan Islam sesama anggota . Cepat berburuk sangka malah sedikit berbeza pendapat kita terus menyerang pemikiran dan peribadinya seolah - seolah ia adalah musuh tradisi perjuangan kita . Kita rasa hanya kita sahaja yang hebat , berilmu dan berpengalaman . Pintar berhujjah dan berdebat . Kita pandang sahabat pun hanya dengan sebelah mata , penuh rasa benci . Senyum dan bersalam hanya untuk bermuka - muka .

Benarkah kita berjuang ? , suka sangat kita dedahkan rahsia jamaah . Setiap bilah dan patah perkataan yang dibincang dalam mesyuarat kita tulis dalam blog atau web site . Kita jadikan ia bahan sensasi untuk melariskan web site kita jua dengan harapan orang kata kita berani menegakkan kebenaran dan berani melampirkan fakta . Hanya kita yang mahu mempertahankan Islam dan jamaahnya sedang orang lain adalah pengkhianat yang perlu ditumpaskan .

Benarkah kita berjuang ? , kerana wawasan dan sesuatu gagasan pemikiran itu dilahirkan oleh pemimpin atau anggota jamaah yang kita tidak suka , maka kita tolak mentah - mentah . Lebih malang kita kasar dalam menolak dan kita lancang dalam berbicara . Langsung kita tidak hiraukan adab ikhtilaf sebaliknya apa yang kita inginkan ialah bagaimana kita nak menang dan pandangan kita yang diterima pakai .

Benarkah kita berjuang ? , kita sanggup mencantas sahabat seperjuangan dengan cara yang tidak bermoral agar dia jatuh dan kita yang naik jadi pemimpin . Kita melobi habis kawasan dan negeri bagi memastikan kita atau calun pemimpin yang kita suka mencapai kemenangan . Soal mampu atau tidak , soleh atau tidak bukan lagi menjadi ukuran . Ukuran tepat ialah dia mesti dari team kita .

Benarkah kita berjuang ? , wala' atau taat setia kita telah berbelah bahagi , bukan lagi kepada pimpinan jamaah tetapi di sana ada individu berpengaruh dan ia berada di luar jamaah yang sangat kita kagum karektornya . Sedang pimpinan kita sendiri dilihat kolot dan tidak hebat . Kita tidak berdiri teguh di belakang pimpinan kita sebaliknya kita teguh berdiri dan menyokong pemimpin dari luar jamaah kita sendiri .

Benarkah kita berjuang ? , hubungan kita hanya terhad kepada golongan dan team kita . Dakwah kita tidak melebar kepada semua golongan termasuklah non muslim .Kita hanya hebat dalam gelanggang kita sendiri . Kita orang PAS ceramah pasal PAS dalam markas PAS kepada orang PAS , habis tu bila Islam ni nak lePAS ?

Benarkah kita berjuang ? , peribadi kita tidak melambangkan inspirasi perjuangan .Kita malu sipu nak jelaskan dasar perjuangan kerana keterlaluan mahu menjaga hati . Suara Islam mahu diliberalkan atas alasan orang belum memahami Islam . Penampilan diri juga dinuetralkan agar tidak dianggap fundamental .

Benarkah kita berjuang ? , kita banyak ketawa dan hidup dalam kemewahan . Kita tidak mampu menyelami kesusahan dan kepayahan yang dihadapi oleh para murabitun jamaah yang ikhlas berjuang , jauh sekali untuk rakyat yang terhimpit . Gaya hidup hampir menyerupai musuh malah meluka perasaan anggota jamaah sendiri

Benarkah kita berjuang ? , ibadah kita kurang . Hubungan kita dengan Allah swt jauh . Gagal solat berjamaah dan membaca al quran pada kekerapan yang lebih berbanding orang awam . Kehalusan budi dan ketulusan hati tidak kita dimiliki . Ucapan kita menampakkan kesombongan dan tindakan kita tidak berhemah . Suka pandang rendah pada orang lain jauh sekali mahu menghormati mereka .

Benarkah kita berjuang ? , kadang - kadang kita pun keliru mengenai konsep kepimpinan jamaah kita sendiri . Kita sebut kepimpinan ulama' tetapi kita tidak beradab dengan ulama' . maki hamun ulama' dan menista mereka menjadi kalimah yang meniti di bibir kita tanpa rasa bersalah apalagi berdosa .

Benarkah kita berjuang ? , kerana kita pun tidak jelas matlamat dan hala tuju perjuangan . jamaah kita ni gerakan Islam ke ? atau parti politik semata ? Slogan perjuangan pun gagal kita hayati . Matlamat kita , dustur kita , landasan kita , ikutan kita , cita - cita kita tidak mendarah daging dalam diri kita . malang , sering kita ni cakap lain tetapi tindakan kita lain pula .

Benarkah kita berjuang ? , banyak sungguh dosa kita . Makin berjuang makin tambah dosa . Dosa mengumpat , dosa mengutuk , dosa salah sangka , dosa mencantas , dosa memfitnah , dosa menipu , dosa tidak taat kepada pimpinan , dosa tidak tunai amanah perjuangan , dosa dedah rahsia jamaah , dosa khianat kepada sahabat seperjuangan , dosa hipokrit , dosa melukakan hati anggota jamaah , dosa dedahkan aib pimpinan dan anggota jamaah , dosa mata , dosa tangan , dosa kaki , dosa telinga , dosa mulut , dosa hati , dosa otak , dosa .... , dosa .... , dosa .....dan dosa .....

Ya Allah ! benarkah kita ni berjuang ? atau kita selama ini hanya bermain dan menambah beban dosa dalam perjuangan buat diri kita sendiri .

hayya bina nu'min saah ! ayuh kita kita bersimpuh seketika untuk kita merenung [ introspection ] jauh ke dalam jiwa kita . Terlebih dulu kita buangkan segala alasan membela diri , sikap menyalahkan orang lain dan rasa diri dipihak benar . Sebaliknya cari alasan untuk menyalahkan diri agar kita insaf , jangan bela diri supaya dirasa diri kita juga perlu dihukum dan kumpulkan rasa bersalah itu atas diri kita sendiri agar kita tidak angkuh untuk mengakui kesilapan sendiri .

Sahabat ku semua , marilah kita bermuhasabah agar kita dekat dengan Allah swt dan kita segera diberikan nusrahNya . Insyaallah , muhasabah ini akan memulihkan hubungan kita yang retak , perjuangan kita yang tergugat , dan kedudukan kita yang kian jauh dari Allah swt .

Masih banyak item untuk dipersoalkan pada diri kita dengan mulakan pertanyaanbenarkah kita berjuang ? semoga kita diridhai oleh Allah swt .

Selamat berjuang sahabat ku !

Isnin, 31 Januari 2011

SEMANGAT RASULULLAH SAW

Segala puji bagi Allah Taala,pencipta sekalian alam.Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita nabi Muhammad s.a.w.,penghulu sekalian nabi dan rasul.Alhamdulillah,kita telah pun memasuki bulan Rabiul Awal iaitu bulan kelahiran Rasulullah saw.Bersempena bulan ini marilah kita sama-sama mengingati semula perjuangan baginda sehingga baginda sanggup menggadaikan dan mempertaruhkan nyawanya hanya semata-mata ingin melihat Islam tersebar dengan jayanya.Adalah menjadi kewajipan kepada kita untuk mendidik diri dan keluarga kita supaya mencintai dan mengasihi Rasulullah saw sebagaimana sabdanya yang bermaksud yang bermaksud:"Didiklah anak-anak kamu dengan tiga perkara iaitu cintakan nabi kamu(Nabi Muhammad saw),dan ahli keluarganya serta membaca al-Quran."


Selain daripada itu,penulis kepada buku Fiqh Sirah iaitu Dr.Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti telah menyatakan bahawa menjadi satu kewajipan kepada kita untuk mempelajari sejarah perjalanan hidup Rasulullah saw dengan menyenaraikan beberapa tujuan iaitu:


1-Memahami peribadi nabi Muhammad saw menerusi penghidupan dan suasana kehidupan baginda sendiri.Ini bagi membuktikan bahawa nabi Muhammad saw bukan hanya seorang manusia yang mempunyai kebijaksanaan,malah baginda adalah Rasullullah yang menerima wahyu dan taufiq daripada Allah Taala.

2-Supaya manusia boleh mencontohi kehidupan Rasullullah saw yang unggul dalam segenap dan segi kehidupan supaya boleh dijadikan dasar-dasar hidup.

3-Mampu membantu manusia untuk memahami al-Quran dengan lebih mendalam.

4-Orang Islam dapat mengumpul seberapa banyak kebudayaan dan pengetahuan Islam yang sebenar.

5-Supaya dapat menjadi panduan kepada pendakwah,pendidik,pemimpin dan semua golongan dengan memahami kaedah dan methodogi yang digunapakai oleh baginda Rasulullah saw untuk menarik manusia kepada Islam.


Pada hari ini kita meninjau dan membuat kesimpulan,ramai dikalangan umat Islam yang melupakan atau melalaikan diri mereka daripada memahami perjuangan Rasulullah dan para sahabat baginda dalam menegakkan kalimah Allah.Anak-anak muda kita atau kita sendiri lebih mengetahui dan mengambil berat tentang kehidupan artis berbanding Kekasih kita nabi Muhammad saw.Alangkah malunya kita mengaku umat nabi Muhammad saw sedangkan kita tidak mengenalinya.Ingatlah adalah menjadi syarat bagi kita untuk dicintai oleh Allah

Rabu, 5 Januari 2011

SYARAT-SYARAT MELAKUKAN PERUBAHAN

Assalamualaikum.

Salam Maal Hijrah 1432 dan selamat menyambut tahun baru 2011 masihi.Saya percaya dan yakin saudara semua telahpun memulakan azam dan tekad yang baru untuk berubah.Atau mungkin kita masih terkial-kial melunaskan azam yang lalu yang belum kesampaian.Atau kita telah melupakan segala azam tersebut sehingga menjadi kubur yang tidak bernesan.Atau mungkin kita masih bergalumang dengan tingkahlaku yang buruk dan memalukan walaupun sudah berjuta kali bertekad dan berazam meninggalkan perbuatan keji tersebut.Aduh!Terasa pedih dan sakit sekali sekiranya kita hanya pandai bercakap,pandai bertekad atau pandai berniat tetapi tak pernah berusaha untuk merealisasikan segalanya sehingga mengundang kemurkaan Allah.Firman Allah Taala yang bermaksud:" Amat besar kebencian Allah sekiranya kamu memperkatakan sesuatu yang tidak kamu melakukannya."(Surah Saff:3).
Justeru itu saya ingin mengajak saudara semua untuk melihat dan meneliti syarat-syarat bagi memastikan kejayaan dapat dikecapi dalam azam untuk kita berubah pada tahun ini.Syarat-syaratnya adal seperti berikut:

1-Niat
Perubahan yang kita ingin lakukan hendaklah berniat untuk mendapatkan keredhaan Allah Taala,bukan kerana manusia,bukan kerana pangkat dan harta.Setiap perbuatan yang dilakukan kerana Allah akan mendapat bantuan dan pertolongan Allah.Begitu juga perbuatan itu akan menjadi ibadah yang mendapat pahala dan keberkatannya.
Firman Allah Taala yang bermaksud:"Padahal mereka tidak disuruh melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepadanya."(al-Baiyinah:5)

2-Memastikan perubahan yang dilakukan itu tidak menyalahi syariat yang telah digariskan oleh Al-Quran dan Sunnah baginda Rasulullah s.a.w.

3-Perubahan ini hendaklah dilakukan dengan penuh istiqamah dan bersungguh-sungguh bukan hanya angan-angan kosong yang meniti dibibir tapi tak kesampaian.Rasulullah bersabda yang bermaksud:"Sesungguhnya Allah menyukai salah seorang daripada kamu yang melakukan kerja dengan tekun."

4-Berani melakukan dan melaksanakan perubahan iaitu kita bersedia menghadapi sebarang risiko ketika melakukan perubahan.Kita boleh menyingkap sejarah yang berlaku kepada Rasulullah s.aw. yang berani berhadapan dengan risiko dibenci oleh kaumnya,dipulau,dicaci dan dihina serta diancam untuk dibunuh hanya kerana mengajak kaumnya membuat perubahan daripada menyembah berhala kepada menyembah Allah yang Esa dan meniggalkan perbuatan keji kepada akhlak yang terpuji.

5-Banyakkan berdoa kepada Allah memohon pertolongan dan kekuatan daripadaNya kerana doa adalah senjata yang paling utama bagi orang-orang yang beriman.

Oleh yang demikian,apabila kita dapat memenuhi syarat-syarat berikut,mudah-mudahan dengan izin Allah kita berjaya merealisasikan azam untuk berubah kepada yang lebih baik dan direhaiNya.Semoga Allah mempermudahkan urusan kita dan menyempurnakannya dengan baik Insyaallah.Amin.