Selasa, 20 April 2010

ISLAM DANCABARAN MASA KINI

Segala puj bagi Allah tuhan semesta alam,selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Islam adalah agama yang diredhai oleh Allah Taala.Seorang muslim yang beriman mestilah patuh dan taat kepada segala perintah dan larangan Allah Taala.Namun begitu ketaatan dan kepatuhan seorang mukmin itu tidak akan dibiarkan begitu sahaja oleh Allah Taala tanpa diuji dan dicabar.Oleh sebab itu,kita melihat sejak nabi Adam diciptakan,manusia telah diuji keimanan mereka dengan pelbagai ujian termasuklah nabi Adam sendiri telah diuji oleh Allah Taala sejauhmana kepatuhan dan ketaatan baginda terhadap suruhan dan larangan Allah Taala.Bagaimana pula kita hari ini?Apakah cabaran dan ujian yang kita perlu tempuh dalam kita mengharungi dunia yang moden dan global ini?Sesungguhnya  kita melihat Islam hari ini mesti mendepani cabaran yang begitu hebat sehingga kedapatan muslim atau mukmin yang telah kecundang  serta tewas dalam melalui ujian dan cabaran ini.Dari meja nazir kali ini,saya ingin membawa para muslumin dan muslimat merenung dan menghayati cabaran dalaman yang telah,sedang dan yang akan kita hadapi.


Secara ringkasnya cabaran dalaman yang kita sedang lalui sekarang ini ialah cabaran kejahilan umat tentang Islam dalam hubungan dengan akidah, syariat dan hidup rohaniah.Cabaran akidah yang saya maksudkan di sini ialah kegagalan umat Islam hari ini untuk memahami dan menghayati konsep tauhid.Terdapat golongan muslim yang tidak mengenal Allah sebagai pencipta sehingga membawa mereka menderhaka dan mengingkari Allah pencipta sekalian alam.Kedengkelan mereka terhadap perkara akidah ini juga,memberi peluang kepada musuh-musuh Allah untuk menanamkan keyakinan dihati-hati orang Islam dengan ideologi,fahaman,ajaran,pegangan dan aliran yang sesat lagi menyesatkan.Maka lahirlah golongan yang telah berpegang dengan fahaman sekularisma,liberalisma,femanisma dan bermacam lagi seperti yang telah diperkenalkan oleh orang yahudi dan krisrian.Tidak hanya datang fahaman dari orang musyrik tetapi aliran -aliran yang telah menghancurkan pegangan kita kepada Allah dan Rasulullah SAW yang telah dicipta sendiri  oleh orang Islam seperti aliran Muktazilah,Jabariah,Qadriah,Syiah,Murjiah dan berbagai lagi yang menyesatkan dan memecahbelahkan umat Islam.Ditambah lagi dengan wujudnya ajaran-ajaran sesat yang menghairankan dan mengelirukan umat Islam.Sesungguhnya semua ini akan merosakkan hubungan kita dengan Allah dan menyebabkan ramai muslim tergelincir dari akidah yang sebenar.  

 Dalam cabaran syariah hari ini,ramai dikalangan orang Islam yang meninggalkan segala yang diwajibakan dan melakukan segala yang dilarang atau yang diharamkan.Terdapat ramai orang Islam yang meninggalkan solat,tidak berpuasa di bulan Ramadhan,tidak menutup aurat,tidak membayar zakat dan terlihat dalam ciri-ciri orang perseorangan kita yang tidak mencerminkan ciri-ciri keperibadian Islam dengan mengamalkan perbuatan-perbuatan yang bercanggah dengan Islam seperti perjudian, perzinaan, kecurian, penganiayaan dan minum arak yang melibatkan harta, kehormatan diri, dan keamanan masyarakat dan rumah tangga. Keadaan ini akhirnya telah menimbulkan penyakit sosial yang lain dikalangan muslim antaranya ialah pelacuran,rogol,rasuah,buang dan bunuh anak,pecah amanah dan lain-lain lagi serta menimbulkan wabak penyakit yang mana Allah turunkan sebagai peringatan kepada manusia seperti AIDS,siflis,selsema burung,H1N1 dan sebagainya.


 Semua cabaran dalam bentuk akidah dan syariah adalah berpunca daripada kegagalan umat Islam memahami dan menghayati ajaran Islam yang sebenar.Kurangnya penghayatan ini juga menyebabkan orang Islam tidak berusaha untuk memantapkan rohani mereka.Amalan seperti membaca dan mentadabbur al-Quran, berzikir ,berfikir tentang ciptaan Allah,bangun malam beribadah,menghadiri majlis-majlis ilmu dan bersedekah telah cuba dilenyap dan dikikis dari kehidupan umat Islam.Amalan-amalan baik ini telah diganti dengan hiburan-hiburan yang melalaikan seperti nyanyian , filem dan internet yang berbaur lucah,seram dan ganas . Dalam hubungan ini juga kita boleh lihat kemerosotan dalam hubungan antara ibubapa dengan anak, suami dengan isteri, jiran dengan jiran, majikan dengan pekerja, ketua dengan anak buahnya, guru dengan muridnya, demikian seterusnya. Kemerosotan dan keruntuhan akhlak dalam kalangan para ahli hiburan juga yang kononnya menjadi contoh dan ikutan masyarakat Islam khususnya golongan muda merupakan fenomena yang sangat membimbangkan.

 Akirnya rumusan yang kita boleh buat ialah  semua cabaran ini tidak akan dapat kita depani dengan sempurna sekiranya kita masih lagi tidak berjaya melaksanakan perundangan Islam secara menyeluruh kerana berpunca daripada ketidakyakinan pemimpin dan masyarakat Islam terhadap undang-undang Allah yang mampu memelihara agama,harta,keturunan,akal dan maruah manusia.Percaya dan yakinlah kita semua umat Islam kepada dustur Ilahi iaitu al-Quran dan Sunnah Baginda Rasullullah SAW supaya kembali dan berpegang dengan kedua-duanya supaya kita tidak sesat dan mampu mendepani cabaran tersebut,insyaAllah.

Firman Allah Taala yang bermaksud: “Sesungguhnya kami telah menurunkan kepadamu(wahai Nabi Muhammad SAW) kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran,supaya kamu menghukum antara manusia menurut apa yang Allah Taala tunjukkan(melalui wahyunya) dan janganlah kamu menjadi pembela orang-orang yang khianat.” (surah an-Nisa’ ayat 105)  

Wallahualam.