Selasa, 2 Ogos 2011

RAHMAT RAMADHAN

Alhamdulillah kita telah diberi kesempatan sekali lagi dan dipanjangkan umur untuk bersama menikmati hidangan nikmat dan rahmat yang dijanjikan oleh Allah Taala dalam bulan yang penuh dengan keberkatan ini.Ramadhan adalah bulan tarbiyah,bulan mujahadah,bulan muhasabah dan bulan muraqabah.
Bulan Tarbiyah dan Mujahadah.
Pada bulan ini,kita cuba untuk mendidik nafsu atau jiwa kita supaya tunduk dan patuh kepada Allah Taala.Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Puasa itu adalah perisai."Ibnu Abdul Bar mengupas hadith ini dengan mengatakan bahawa puasa adalah pendinding kepada manusia daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh mencampakkan diri kita ke dalam api neraka.Kita pujuk hati dan anggota badan kita agar sentiasa patuh kepada perintah dan larangan Allah.Kita pelihara mata.lidah,telinga,tangan dan kaki kita daripada melakukan maksiat.Untuk memastikan semua pancaindera dan anggota badan kita terarah melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan,kita mesti memastikan hati kita bersih dan hampir dengan Allah.Justeru dalam bulan ini kita berpuasa dan ditambah pula dengan amalan-amalan lain seperti mendirikan solat sunat,membaca al-Quran,bersedekah,berzikir,berdoa dan berbagai lagi amalan baik yang mampu mengubat dan mendekatkan hati kita kepada Allah.Amat malang bagi orang Islam yang tidak mengambil peluang yang terhidang didepan mata kita umpama orang yang dihidang makanan yang lazat tetapi hanya berdiam diri dan melihat sepi.
Bulan Muraqabah dan Muhasabah.
Bulan ini juga kita kenali sebagai bulan muraqabah.Kita merasakan Allah sentiasa memerhati dan melihat perbuatan kita.Allah sentiasa mendengar perkataan yang dilontarkan oleh kita samada perkataan yang terbit dari lidah atau hati kita.Kita merasakan Allah sangat hampir dengan kita dari urat nadi kita sendiri sepertimana firman Allah Taala dalam surah ق ayat yang ke 16 yang bermaksud:"Dan sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya dan kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya."Inilah hasil puasa yang kita jalani iaitu mendapat ijazah taqwa kepada Allah Taala dengan menepati maksud taqwa yang di sebut oleh Ibnu Abbas bahawa taqwa itu ialah melakukan semua perintah Allah dan menjauhi semua laranganNya kerana hati dekat dengan Allah.Apabila kita berjaya memperolehi ijazah taqwa ini,kita akan merasakan nikmat beribadah,sentiasa menundukkan diri kepada Allah sebagai rasa ubudiyyah yang tinggi dan menginsafi bahawa kita tidak layak untuk menggunakan hukum selain hukum Allah bagi memastikan diri berada diatas jalan yang lurus.Bulan ini juga kita bermuhasabahlah dengan amal yang kita dah lakukan.Cubalah memperbaiki diri menjadi hamba Allah yang lebih taat dan patuh kepada Allah.Kita kena ingat segala perbuatan kita ini dicatat oleh malaikat Allah iaitu Raqib dan 'Atid dan segala amal kita akan dihisab dihadapan Allah.Firman Allah Taala yang bermaksud:"Tidak ada suatu kata yang diucapkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang selalu siap mencatat."(surah ق ayat 18)Oleh yang demikian gunalah kesempatan dalam bulan ini untuk kita bertaubat dan berazam tidak mengulangi dosa yang sama.
Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah Taala.
Semoga bulan ini kita dapat melakukan perubahan kepada yang lebih baik,membina keyakinan yang tinggi kepada Allah Rabbul Jalil serta berjaya meneruskan kekuatan dan momentum pada bulan ini kedalam kehidupan kita pada bulan-bulan yang lain.Kita tidak mahu hanya pada bulan ini kita hebat beribadah tetapi pada bulan yang lain kita culas dan malas.Pada bulan ini kita berjaya menewaskan nafu amarah tetapi pada bulan lain kita tunduk dan sujud pada nafsu sarakah dan pada bulan ini kita tunduk dan taat kepada Allah tetapi pada bulan lain kita jadi hamba Allah yang derhaka dan penuh dengan dosa.Sama-samalah kita mengejar bonus yangg sediakan ini.Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Apabila datang bulan Ramadhan dibuka pintu-pintu syurga,ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu para syaitan."Selamat berpuasa serta selamat menyambut aidilfitri,maaf zahir dan batin.