Isnin, 31 Ogos 2009

JOM TINGGALKAN MAKSIAT

Pihak masjid Sultan Hisamuddin BBST telah mengadakan kempen menampal poster "JOM TINGGALKAN MAKSIAT" dibeberapa premis termasuk Seven 11 pada hari Jumaat,28/8/2009,jam 3.30 petang.Pada peringkat awalnya pihak penguatkuasa JAIS PAID Sepang bersetuju untuk turut serta tetapi menarik diri d isaat-saat akhir kerana alasan yang tak munasabah.Saya sendiri dengan beberapa orang ajk telah memantau penjualan arak di seven 11,ternyata seven 11 di sini telah tidak menjual arak walaupun ada kedengaran dari penduduk di sini,terdapat penjualan arak sebelum ini.Kami juga sempat memberi nasihat kepada dua orang pekerja seven 11 berkenaan pengharaman arak dalam Islam.Kami juga cuba menampal beberapa poster yang sama di Hotel Empress tetapi telah dihalang berbuat demikian oleh pihak keselamatan hotel berkenaan.Mungkin semua maksiat yang disebut di dalam poster yang kami bawa iaitu arak,zina dan khalwat  berlaku di dalam hotel tersebut.Namun kami berjaya juga menampal poster di depan kawasan hotel iaitu di barisan kedai berhadapan dengan hotel.Operasi kami berakhir pada jam 4.30 petang. Saya menyeru kepada semua saudara muslimin dan muslimat bertindaklah memerangi kemungkaran yang berlaku di tempat tinggal kita,bukan hanya kita ini pandai memberikan pelbagai cadangan dan kritikan tetapi kosong dalam tindakan.

Isnin, 24 Ogos 2009

RAMADHAN AL-MUBARAK

Seringkali Ramadan dikaitkan dengan Mubarak- Ramadan al-Mubarak. Ia membawa maksud keberkatan. Jika ditinjau makna berkat di dalam al-Quran, ia membawa erti bertambah dan berkembang. 

 

Berkatnya bulan Ramadan apabila kebajikan dilakukan secara berganda-ganda dan pahala pun digandakan oleh Allah.

 

Allah itu berkat. Ayat: تَبَارَكَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ (al-A’raf:54) 

Quran itu berkat. وَهَذَا كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ مُبَارَكٌ فَاتَّبِعُوهُ وَاتَّقُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ (al-An’am:155) 

Malam Lailatul qadar itu berkat. إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ (al-Dukhan: 3) 

 

Ramadan itu berkat kerana ia bulan difardukan puasa, diturunkan al-Quran dan terdapat malam Lailatul Qadar. Bukan lailatul Kamdar. 

Manusia perihatin terhadap rezeki yang halal walau pun tidak semua. Di kalangan mereka yang prihatin terhadap rezeki yang halal, sebahagian sahaja yang prihatin terhadap keberkatan dalam rezeki. 

Rezeki yang berkat (bertambah dan berkembang) maksudnya bertambah amal kebajikan.

Bagaimana memperoleh rezeki yang berkat: 

 

1. Istigfar dan taubat kepada Allah SWT dari segala dosa.

 


Firman Allah SWT tentang Nabi Nuh SAW: 

َفقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا {10} يُرْسِلِ السَّمَآءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا {11} وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا {12} 

Maksudnya: “…Maka aku katakan kepada mereka: "Mohonlah ampun kepada Rabbmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun" nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.” (QS. Nuh: 10-12).

 

2. Berpagi-pagi dalam mencari rezeki: 

 

Sabda Nabi SAW: 

اَللّهُمَّ بَارِكْ ِلأُمَّتِي فِى بُكُوْرِهَا 

Maksudnya: "Ya Allah, berilah berkah untuk umatku di pagi harinya." (HR. Abu Daud dan At-Tirmidzi) .

 

3. Bertaqwa kepada Allah SWT: 

Firman Allah SWT: 

وَمَن يَتَّقِ اللهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا * وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لاَيَحْتَسِبُ 

Maksudnya: “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar. Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. . (QS. Ath-Thalaaq: 2-3). 

 

Firman Allah SWT: 

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى ءَامَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَآءِ وَاْلأَرْضِ وَلَكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ {96} 

Maksudnya: Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.” (QS. Al-A'raaf: 96). 

 

4. Menjauhi semua maksiat: 

Firman Allah SWT: 

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ {41} 

Maksudnya: Telah nampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). (QS. Ar-Ruum: 41). 

 

5. Tawakkal kepada Allah SWT: 

 

Pengertiannya: bergantungnya hati hanya kepada Allah SWT semata-mata. 

Firman Allah SWT: 

وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللهُ لِكُلِّ شَىْءٍ قَدْرًا {3} 

Maksudnya: Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) -Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (QS. Ath-Thalaq: 3). 

 

Dari 'Umar bin Khaththab r.a, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: 

لَوْ أَنَّكُمْ تَوَكَّلْتُمْ عَلَى اللهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقٌ الطَّيْرَ تَغْدُوْ خِمَاصًا وَتَعُوْدُ بِطَانًا. 

Maksudnya: Jika kalian bertawakkal kepada Allah SWT dengan sebenarnya, niscaya Dia SWT akan memberi rizki kepada kalian sebagaimana Dia memberi rizki kepada burung, ia berangkat di pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali dalam kondisi kenyang.” (HR. At-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Ahad, 23 Ogos 2009

MADRASAH RAMADHAN

Assalamualaikum.

Alhamdulillah kita telah berada di dalam bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini.Di dalam bulan yang mulia ini marilah kita sama-sama memperbaiki  kualiti Iman dan taqwa yang terdapat di dalam diri kita.

Sabda Rasulullah saw.:


"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."

 

Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang bertahta di hati kita selama ini. Oleh itu, inilah masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata. Tetapi puasa adalah berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi manusia. Ini adalah jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap umat Islam. 


Nabi Muhammad saw pernah bersabda:

"Berjihadlah kamu dengan lapar dan dahaga kerana pahalanya seperti pahala mujahid di jalan Allah (fi sabilillah) dan sesungguhnya tiada amalan yang lebih diperkenankan oleh Allah selain menahan lapar dan dahaga"


Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Bulan Ramadhan ini adalah anugerah Allah sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hamba Nya. Allah tidak mensia-siakan keletihan umatnya yang berpuasa hinggakan tidur di waktu siang juga diberikan pahala. Begitu besarnya kasih sayang Allah pada kita. Oleh itu marilah bersama-sama kita menilai diri kita. Semoga tahun ini amalan kita akan semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. Insya Allah. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang menganiayai diri sendiri. 

Sabda Rasulullah saw:

"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu."

Justeru marilah kita sama-sama mempertingkat amalan kita pada bulan ini supaya madrasah ramadhan ini mampu mengubah kita menjadi hamba Allah yang lebih bertaqwa.Antara amalan-amalan yang boleh kita perbanyakkan pada bulan tarbiyah ini ialah:

  • Membaca Al-Quran dan memahami isi kandungannya.
  • Bangun malam beribadah kepada Allah dengan berusaha mencari Lailatulqadar iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan.
  • Bersedekah kerana nabi Muhammad SAW adalah orang yang paling banyak bersedekah pada bulan Ramadhan.
  • Beri'tikaf di masjid dengan solat sunat, berzikir,menghadiri tazkirah dan kuliah agama.
  • Memelihara lidah dan pancaindera kita daripada melakukan maksiat dan kemungkaran.
 


Isnin, 17 Ogos 2009

PERSOALAN RAMADHAN-DIJAWAB DR.YUSOF AL-QARDHAWI

Adakah boleh ditetapkan awal Ramadhan melalui kiraan falak?

Dr. Yusof al-Qardhawi menyetujui pandangan Imam Taqiyuddin al-Subki, salah seorang ulama’ mazhab Syafie yang mengatakan bahawa apabila kiraan falak menyatakan kemustahilan dilihat anak bulan dengan pandangan mata, maka persaksian sesiapa yang mendakwa melihat anak bulan akan ditolak.

Beliau mengatakan bahawa ini juga adalah pandangan Syeikh Al-Azhar Muhammad Mustafa al-Maraghi dan pandangan seorang ulama’ hadis, Syeikh Syakir. Selain itu beliau juga membawakan kata-kata Ibnu Sarij yang mentafsirkan hadis: “Jika tidak jelas bagi kamu (cuaca buruk yang menghalang dari melihat anak bulan), maka taqdirkanlah” sebagai ‘jika tidak jelas bagi kamu, maka lakukanlah kiraan turun naik bulan.”

Dr. Yusof al-Qardhawi menyatakan bahawa kiraan falak boleh dijadikan sekurang-kurangnya sebagai hujah untuk menafikan awal Ramadhan. Dengan itu jika ahli falak mengatakan bahawa pada hujung hari ke 29 bulan Sya’ban, anak bulan mustahil akan kelihatan, maka tidaklah perlu dikumpulkan orang ramai dan dikeluarkan kos untuk meneropong anak bulan. Sebaliknya umat Islam hendaklah terus menyempurnakan 30 hari Sya’ban.

Beliau menguatkan hujahnya dengan sabda Rasulullah s.a.w.: “Kami kaum buta huruf yang tidak pandai mengira dan membaca.” Beliau menafsirkan hadis tersebut sebagai keadaan dan sebab kenapa di zaman Rasulullah s.a.w., awal Ramadhan ditentukan dengan melihat anak bulan.

Adapun hadis: “Berpuasalah apabila melihat anak bulan dan berbukalah apabila melihat anak bulan. Jika tidak jelas bagi kamu, sempurnakanlah 30 hari Sya’ban.” Beliau mentafsirkan hadis ini berdasarkan kaedah fiqh bahawa hadis ini menyatakan matlamat yang tetap dan wasilah yang boleh berubah. Matlamat yang tetap adalah penentuan awal Ramadhan. Wasilah yang berubah adalah persaksian anak bulan dengan menggunakan mata. Jika ada cara yang lebih baik dari persaksian mata, maka wasilah itu diterima. Kiraan falak di zaman ini sudah tentunya lebih tepat dan lebih baik dari persaksian mata.



Apakah hikmah puasa diwajibkan berdasarkan pusingan bulan (tahun hijrah) dan bukannya pusingan matahari (tahun Masehi)?

Dr. Yusof al-Qardhawi menerangkan bahawa di antara hikmah puasa tersebut diwajibkan berdasarkan pusingan bulan:

1. Tahun Islam diasaskan di atas pusingan bulan. Begitu juga hukum hakam yang lain seperti haul zakat, ibadah haji, iddah seorang wanita yang diceraikan suami dan sebagainya.

2. Ia lebih tobi’ie dan lebih mudah untuk dikira berdasarkan kemunculan bulan dan saiznya pada waktu malam.

3. Ramadhan kadang-kadang akan berselisih dengan musim panas atau musim sejuk atau musim-musim yang lain. Dengan itu seorang muslim kadang-kadang akan berpuasa pada waktu sejuk dan kadang-kadang pada waktu panas terik. Kadang-kadang di waktu yang siangnya panjang dan kadang-kadang di waktu siang pendek. Ia lebih seimbang dan mengukuhkan ketaatan seorang muslim kepada Tuhan dalam setiap keadaan.

Adakah puasa tetap sah jika seseorang melakukan maksiat ketika dia sedang berpuasa?

Dr. Yusof al-Qardhawi menolak pandangan Ibnu Hazm yang mengatakan bahawa maksiat akan membatalkan puasa seseorang seperti makan dan minum. Walau pun begitu beliau mengatakan bahawa maksiat yang dilakukan oleh seseorang yang berpuasa akan menghilangkan hasil yang diharapkan dari puasa tersebut.

Dengan itu yang terbaik adalah seseorang itu sentiasa berusaha untuk mencontohi puasa salafussoleh yang menjaga diri bukan sahaja dari makan dan minum tetapi sebaliknya dari perkara-perkara haram dan melalaikan.



Adakah wujud sebenarnya ‘waktu imsak’?

Dr. Yusof al-Qardhawi menyokong pandangan al-Hafiz Ibnu Hajar yang berkata: “Di antara bid’ah mungkar adalah apa yang dilakukan pada hari ini; iaitu dilaungkan azan sepertiga jam sebelum azan Subuh di dalam bulan Ramadhan dan dipadamkan api sebagai tanda haramnya makan dan minum bagi orang yang akan berpuasa. Mereka menyangka bahawa itu lebih berhati-hati di dalam ibadah. Tiada yang mengamalkan itu kecuali manusia-manusia awam (ulama’ tidak mengamalkannya). Cara berfikir sebegini juga telah menyebabkan mereka tidak azan kecuali setelah beberapa ketika selepas tenggelam matahari. Mereka melambatkan berbuka dan mengawalkan sahur. Dengan itu mereka melakukan amalan yang bercanggah dengan sunnah (melewatkan sahur dan menyegerakan berbuka).”

Dr. Yusof al-Qardhawi menegaskan bahawa ‘waktu imsak’ tersebut adalah suatu yang tidak perlu kerana ulama’ silam makan dan minum sehingga azan Subuh berkumandang.



Manakah yang lebih afdhal bagi seseorang yang musafir; berpuasa atau tidak berpuasa?

Dr. Yusof al-Qardhawi berpendapat bahawa seorang bermusafir boleh berbuka puasa walau pun perjalanan yang ditempuhi itu tidak memberikan apa-apa masyaqqah (keberatan dan beban) kepadanya. Ini kerana illah (sebab) diharuskan berbuka adalah perjalanan itu sendiri dan bukannya masyaqqah (keberatan dan beban).

Walau pun begitu yang manakah yang lebih afdhal?

Dr. Yusof al-Qardhawi merumuskan bahawa kaedah syara’ menyatakan bahawa mengambil rukhsah (keringanan) lebih afdhal dari tidak mengambilnya. Dengan itu seseorang yang bermusafir itu perlu untuk mengukur di manakah rukhsah (keringanan) bagi dirinya.

1. Jika beliau merasakan bahawa lebih ringan baginya untuk berpuasa bersama-sama orang Islam lain di dalam bulan Ramadhan lalu dia tidak perlu menggantikannya di luar bulan Ramadhan, maka afdhal baginya untuk berpuasa.

2. Jika beliau merasakan bahawa berbuka dan kemudian menggantikan puasa tersebut di luar Ramadhan lebih ringan, maka berbuka puasa lebih afdhal baginya.

Bilakah waktu berbuka bagi seseorang di dalam pesawat?

Dr. Yusof al-Qardhawi menegaskan bahawa waktu berbuka puasa bagi seseorang yang berada di dalam pesawat tidak sama dengan waktu berbuka puasa bagi mereka yang berada di atas daratan. Kesilapan sering dilakukan oleh peramugari dan juruterbang yang mengisytiharkan masuknya waktu Maghrib berdasarkan waktu di daratan.

Beliau mengatakan bahawa sebagaimana waktu Maghrib berbeza dari satu tempat berbanding tempat yang lain disebabkan oleh perbezaan kedudukan tempat tersebut (garis lintang dsb) di atas muka bumi, begitu juga waktu Maghrib berbeza berdasarkan ketinggian. Kemungkinan waktu Maghrib sudah masuk bagi penduduk satu-satu bandar , tetapi bagi penduduk yang tinggal di tempat tinggi di bandar yang sama masih lagi dapat melihat cahaya matahari dengan jelas.

Inilah juga fatwa Ibnu Abidin, salah seorang ulama’ mazhab Hanafi: “Sesiapa yang tinggal di kawasan yang tinggi seperti menara Iskandariah, beliau tidak boleh berbuka selagi tidak tenggelam matahari di tempatnya, manakala bagi penduduk negeri tersebut boleh berbuka jika matahari telah tenggelam di tempat mereka. Begitulah juga halnya dengan terbit matahari bagi sahur dan solat Subuh.”

Bilakah malam Lailatul Qadr?

Dr. Yusof al-Qardhawi mengatakan bahawa tidak ada pendapat yang pasti di dalam menentukan bilakah malam lailatul qadr. Al-Hafiz Ibnu Hajar mengatakan bahawa terdapat 46 pendapat ulama’ di dalam masalah ini.

Apa yang pasti ia adalah pada 10 malam yang terakhir dari bulan Ramadhan. Pendapat yang kuat adalah ia pada salah satu dari malam-malam ganjil dan kemungkinan tidak sama di antara satu tahun ke satu tahun berikutnya.

Jika Ramadhan tahun itu 30 hari, maknanya 10 malam terakhir itu bermula dari malam ke 21. Jika Ramadhan tahun itu 29 hari, maknanya 10 malam terakhir itu bermula dari malam ke 20.



Bolehkah zakat fitrah dikeluarkan di awal bulan Ramadhan (bukan sebelum solat Aidil Fitri seperti yang diamalkan oleh sebahagian umat Islam)?

Dr. Yusof al-Qardhawi mentarjihkan pandangan Imam Syafie di dalam masalah ini. Imam Syafie berkata: “Harus dikeluarkan zakat bermula dari awal bulan Ramadhan kerana illah (sebab) kewajipan zakat adalah puasa dan berbuka.”

Dr. Yusof al-Qardhawi juga menambah bahawa masyarakat pada hari ini jauh lebih luas dan lebih rumit dari masyarakat di zaman Rasulullah s.aw. Ditambah pula jika zakat itu dikutip dan diagihkan oleh badan kerajaan atau mana-mana badan swasta, sudah tentulah ia memerlukan masa untuk menguruskan pengagihannya agar ia betul-betul dapat memenuhi keperluan si penerima zakat di hari Raya nanti.



Bolehkah wang menggantikan beras atau gandum di dalam zakat fitrah?

Imam Ahmad, Imam Malik dan Imam Abu Hanifah tidak membenarkan beras atau gandum tersebut diganti dengan wang tunai. Dr. Yusof al-Qardhawi mentarjihkan pandangan Ibnu al-Munzir yang mengharuskannya.

Di antara hujah yang diberikan oleh Dr. Yusof al-Qardhawi:

1. Rasulullah s.a.w. mewajibkan zakat fitrah dikeluarkan dalam bentuk tanaman kerana itu adalah yang termudah pada masa itu kerana wang pada zaman itu tidak banyak dimiliki oleh orang ramai

2. Wang akan berubah nilainya dari masa ke semasa sedangkan sukatan makanan lebih mudah untuk diukur

Dengan itu Dr. Yusof al-Qardhawi merumuskan bahawa bentuk pengeluaran zakat yang paling afdhal bergantung kepada yang manakah yang mudah dan lebih memenuhi keperluan penerima zakat. Apa yang jelas adalah wang lebih memenuhi keperluan penerima zakat kerana kerana wang bukan sahaja dapat memenuhi keperluannya kepada makanan sahaja sebaliknya boleh digunakan untuk membeli pakaian, keperluan Ramadhan dan keperluan hari raya.

 (Dr. Yusof al-Qardhawi)