Ahad, 10 Ogos 2014


RAPATKAN UKHUWAH,MANTAPKAN TARBIYAH

السلام عليكم ورحمة الله وبراكته

 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على اشرف الأنبياءوالمرسلين وعلى آله واصحابه اجمعين،

رب اشرحلي صدري ويسرلي أمري وحلل عقدة من لساني يفقه قولي

Para Sahabat yang dirahmati Allah Taala.

Kita panjatkan kesyukuran kepada Allah Taala dengan hidayah dan keizinannya kita berada di sini.Nikmat Iman dan Islam yang dikurniakan adalah setinggi-tinggi anugerah yang sangat bernilai sehingga memastikan  keberadaan kita disisiNya adalah  jaminan keuntungan duniawi dan ukhrawi.Nikmat perjuangan yang sedang dilalui oleh kita adalah sebaik-baik amalan dan ganjaran yang dikira oleh Allah Azzawajalla.Nikmat ukhuwah atas dasar aqidah dan redha Allah adalah jalan untuk mendapat kemanisan Iman.

Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua pemuda yang masih istiqamah dalam mengharungi badai perjuangan sehingga ke hari ini.Sesungguhnya usaha kita untuk mengekalkan kemenangan di Sepang ini adalah  satu usaha yang memerlukan kesungguhan yang tinggi,ukhuwah yang kukuh dan utuh serta tarbiyah yang mantap dan istiqamah.

 

Para Sahabat yang dirahmati Allah Taala.

Pemuda digambarkan sebagai seseorang yang sedang melalui satu peringkat tumbesaran di mana kekuatan fizikal, mental dan spiritual berada pada tahap yang paling optimum. Zaman ini merupakan satu peringkat seseorang manusia mampu mencari resolusi terbaik buat menangani masalah yang didepani.

Pemuda digambarkan sebagai unsur kekuatan dan menjadi tiang seri kepada pembangunan umat. Pemuda Islam bukan setakat mampu menghadapi gelodak cabaran namun terpikul dipundaknya risalah Islam yang merupakan risalah Nabi Muhammad S.A.W dan risalah Al-Quran .

Firman Allah :
Kami ceritakan kisah mereka kepadamu ( Muhammad ) dengan sebenarnya, maka sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan kepada mereka petunjuk. ( al- Kahfi : 13 )

Zaman permulaan Islam menggambarkan kepada kita peranan pemuda yang memiliki kekuatan aqidah dan ukhuwah  telah berjaya mengharungi tribulasi dan mehnah.Pemuda-pemuda seperti Abu Bakar,Ali,Zubair dan Zaid adalah mereka yang berdiri didepan Rasulullah SAW menjadi banteng dan kubu yang kuat kepada Islam.Generasi Rabbani yang lahir adalah daripada kecemerlangan dan kemantapan tarbiyah  Rasulullah SAW.

 

Rapatkan Ukhuwah

 

Mengambil  ibrah daripada sejarah Hudaibiyyah,memperlihatkan kekuatan ukhuwah para sahabat sehingga mereka telah berbaiah dihadapan Rasulullah SAW dan dibawah sepohon pokok yang bernama Ridhwan.Ukhuwah yang mebuatkan mereka berjanji taat setia untuk bersama membela kematian saidina Uthman sehingga ketitisan darah yang terakhir walaupun dengan bilangan mereka yang kecil.

Syarat-syarat Ukhuwah

a. Ukhwah yang dibina berlandaskan keihklasan kerana Allah swt. Ukhwah yang dibina berlandaskan keihklasan dan bebas dari sebarang elemen atau sifat kepentingan peribadi atau kerana kepentingan seseorang.

Imam Muslim telah meriwayatkan satu hadis di dalam sahihnya yang menceritakan soalan malaikat kepada seorang lelaki yang ingin menziarahi saudaranya di sebuah kampong.

Malaikat itu bertanya, “Ke mana kamu hendak pergi?”

Jawab lelaki itu, “Aku ingin menziarahi saudaraku di kampong ini”.

Malaikat itu bertanya lagi, “Adakah kamu mempunyai sebarang kepentingan di sana?”

Lelaki itu menjawab, “Tidak melainkan aku menyintainya kerana Allah.”

Kemudian malaikat itupun berkata, “Sesungguhnya aku adalah utusan Alah yang diutuskan oleh Allah kepadamu untuk menyatakan bahawa Allah menyintaimu sebagaimana sahabatmu keranaNya”.

b. Mestilah disertai dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah swt.
Seseorang Muslim itu mestilah memilih sahabatnya yang soleh dan bertaqwa supaya dapat membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada dirinya. Nabi Muhammad saw telah menjelaskan akan kepentingan memilih sahabat yang baik sebagaimana yang disabdakan Baginda yang bermaksud:

“Perumpamaan orang yang berkawan antara orang yang baik dengan orang yang jahat adalah seperti seseorang yang membawa minyak wangi dan seorang yang meniup dapur tukang besi. Orang yang membawa minyak wangi, mungkin dia akan memberikan kepadamu atau mungkin kamu akan membeli daripadanya dan mungkin kamu akan dapat bau yang harum daripadanya. Manakala orang yang meniup dapur tukang besi, mungkin beliau akan membakar pakaianmu, atau mungkin kamu akan mendapat bau yang tidak elok (daripada besi tersebut).”  (Muntafaq ‘Alaih)

Namun demikian, ia tidak beerti kita tidak boleh langsung berkomunikasi atau bersahabat amaada kepada golongan yang tidak baik atau kafir, tetapi di dalam konteks ini kita mestilah istiqomah agar tidak terjebak atau terpengaruh dengan sebarang keburukan. Sebaliknya kita yang menguasai situasi sebagai pendakwah. Contohilah ikan yang tidak masin isinya walaupun hidup di dasar lautan.

c. Mereka yang berukhuwwah mestilah melazimi diri dengan manhaj Islam.
Syarat yang seterusnya bagi mereka yang berukhwah ini mestilah melazimi diri mereka dengan peraturan ataupun manhaj Allah swt sebagaimana yang terdapat di dalam ajaran Islam. Sumber penyelesaian pertikaian ataupun masalah mesti dirujuk kepada al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah saw. Sebagaimana Sabda Nabi saw yang bermaksud:

“Dan dua orang lelaki yang berkasih sayang kerana Allah, berkumpul keranaNya dan berpisah keranaNya”.

Jika disoroti kepada perjalanan hidup para sahabat, apabila mereka bertemu mereka tidak berpisah sehinggalah salah seorang daripada mereka membaca Surah al-Asr dan mengucapkan salam sesama mereka. Ini adalah di antara contoh yang menunjukkan bahawa mereka nerkasih sayang berteraskan manhaj Islam dan di atas dasar keimanan serta amal soleh.

d. Mempraktikkan amalan nasihat-menasihati.
Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah swt di dalam Surah al-Asr:

“Demi masa, sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan pada kesabaran (di atas kepahitan kebenaran)”

e. Ukhuwwah yang melaksanakan konsep saling tolong menolong samada dalam susah atau senang.
Di dalam Islam, persaudaraan adalah sesuatu yang teramat penting sebagai asas kepada perjuangan. Rasulullah saw dan juga para sahabat telah menunjukkan contoh yang terbaik di dalam membantu dan menolong sesama mereka. Mereka saling lengkap-melengkapi tidak kira dalam masa Nabi berada di Mekah ataupun tatkala Islam berkuasa di Madinah. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

“Perumpamaan orang mukmin itu dalam perkara berkasih sayang dan saling cinta-menyintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggota tubunhnya berasa sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasai akan kesakitannya”  (Muntafaq ‘Alaih)

Untuk menjamin kemenangan yang dikecapi berada didalam genggaman kita penyatuan hati,fikrah dan amal perlu ada kesinambungan sepertimana sebelum ini.Jangan ada diantara kita yang mengambil sikap individualistik dan menangguk keuntungan peribadi.Sikap ini jika diteruskan akan menyebabkan kehancuran dan keruntuhan di dalam jamaah.Sepertimana kata As-Syahid Imam Hassan al-Bana bahawa ukhwah(Rukun Bai’ah yang ketujuh) hendaklah dibina atas ikatan aqidah sesama petugas amal Islami.Kita juga wajib menjaring segala bentuk pengaruh idea,prinsip mahupun pengaruh individu yang berada di luar aqidah dan fikrah. Bagi mendepani segala usaha musuh-musuh Islam yang ingin meleburkan gerakan Islam ini maka kita perlu memiliki tiga bentuk hati seperti yang dinukilkan daripada Saidina Ali r.a.Hati yang pertama ialah hati yang sentiasa bersih di dalam keyakinannya kepada Allah,kedua ialah hati yang cekal dalam melaksanakan segala tuntutan dan larangan agama dan yang ketiga ialah hati yang sentiasa lembut dan berkasih sayang sesama saudara seaqidah.

 Ikatan ini adalah ikatan yang simpulannya tidak boleh terungkai dengan permasalahan dan perbezaan furu’ tetapi yang sentiasa diarahkan oleh panduan Al-Quran dan Al-Sunnah.Segala bentuk aktiviti untuk mengikat kesatuan ini perlu dilaksanakan seperti usrah,tamrin dan diskusi.

 

Mantapkan Tarbiyyah

Tarbiyah berasal daripada perkataan Arab yang membawa erti penjagaan, pengasuhan dan pendidikan. Tarbiyah Islamiyah pula ialah penjagaan, pengasuhan dan pendidikan berasaskan sumber al-Quran al-Karim dan Sunnah Rasulullah SAW. Sumber-sumber ini adalah sumber-sumber rabbani. Dengan sumber inilah generasi sahabat dididik oleh Rasulullah SAW sehingga berjaya melahirkan generasi rabbani yang mendapat jolokan dan pujian daripada Allah seperti yang disebutkan di dalam al-Quran al-Karim :

“Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia. Kamu menyuruh berbuat kebaikan, melarang berbuat kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.” (Ali ‘Imran: 110)


Peranan Tarbiyah Islamiyah.

1.Membangun Jamaah
Tarbiyah memainkan peranan penting dan berkesan dalam kebangkitan, pembangunan dan kemajuan sesuatu jamaah. Maju atau mundur sesuatu jamaah bergantung kepada maju atau mundur tarbiyah jamaah tersebut. Oleh itu tarbiyah perlu diberi keutamaan dalam perancangan pembangunan sesuatu jamaah. Sejarah Rasulullah SAW sendiri menjelaskan bahawa tarbiyah menjadi faktor utama untuk membangunkan manusia yang mampu menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.Begitu juga dalam PAS tarbiyah adalah perkara yang sangat penting bagi menentukan jatuh dan bangunnya jamaah ini.Sekiranya tarbiyah gagal dalam diri setiap ahli harakah maka akan lahir kesan yang sangat buruk kepada mereka antaranya hati akan mati,tidak istiqamah dalam perjuangan,tidak memahami matlamat ,gagal menguasai ilmu, maklumat  serta isu dan rapuhnya ukhuwah.Justeru itu segala bentuk aktiviti untuk mengikat kesatuan ini perlu dilaksanakan seperti usrah,liqa fikri,dialog,tamrin dan diskusi.

 

2.Membentuk Hati Yang Soleh.
Baik buruk seseorang itu berpunca daripada hatinya. Tepat seperti yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW dalam hadithnya yang bermaksud: “Ketahuilah di dalam jasad manusia terdapat seketul daging, jika baik ketulan itu maka baiklah seluruh jasadnya, tetapi jika rosak maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah ia adalah hati.” Oleh itu membaiki dan merawat hati daripada sebarang penyakit perlu diberi keutamaan. Jiwa perlu dibersihkan daripada sebarang syirik dan sifat yang tercela seperti hasad, ‘ujub, takkabur, bakhil, cintakan dunia, menurut hawa nafsu dan sebagainya. Menurut Ibn Qaiyyim al-Jauzi, hati itu menjadi baik apabila ia mengenali Allah yang menciptanya, nama-Nya, sifat-Nya, perbuatan-Nya dan peraturan-Nya. Hati yang sihat akan mengutamakan keredaan Allah dan mencintai apa yang disukai Allah serta menjauhi segala tegahan dan perkara yang dimurkai-Nya.

 

 

3.Melahirkan Murabitun Yang Kompeten

Antara keperluan jamaah pada hari ini ialah tenaga pemuda murabitun.Pemuda yang sedia mewaqafkan dirinya sepenuh masa bersama jamaah.Penglibatan bersama Dewan Pemuda PAS hendaklah secara bersungguh-sungguh bukan hanya suam-suam kuku.

Islam bukanlah merupakan al-din untuk golongan al-mutafajirin (golongan yang hanya melihat) ataupun al-mutaqa’idin (golongan yang berpeluk tubuh) tetapi ianya bersifat haraki yang dinamik lagi produktif untuk sentiasa melahirkan suatu natijah dan tidak bersifat jumud (beku).Ini tidaklah bermakna kita mengharapkan kepada natijah yang cepat tetapi ianya adalah merupakan satu rangsangan daya juang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah.

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk membela ugamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan Yang tersusun kukuh.”(as-soff:4)

Suasana politik nasional pada hari ini turut  menuntut pemuda menyusun tenaga murabitun yang mampu menyumbang idea,tenaga dan kepakaran secara optimum.Dalam menyusun tenaga murabitun yang kompeten kita harus komited dalam sistem tarbiyah yang tersusun supaya dapat memastikan kemajuan Jamaah secara menyeluruh.

Justeru itu,sahabat-sahabat seperjuangan

Saya menyeru kepada semua warga anak muda PAS Malaysia khususnya  supaya bangkit berjuang untuk melakukan perubahan di Malaysia dan mengekalkan kemenangan di Sepang dan Selangor ini.Kita bangkit mengatur langkah untuk:

  • Memberi didikan agama,moral dan politik yang jelas kepada rakyat
  • Menghalang agenda dan aktiviti yang merosakkan agama,peribadi dan pemikiran
  • Menentang kezaliman,penindasan dan penderaan rakyat atas nama ekonomi,social dan politik
  • Menolak penipuan dan kepincangan dalam urusan pilihanraya dan sistem ekonomi negara.
     
     
    سيرو على بركة الله