Selasa, 5 Februari 2013


                         CIRI-CIRI ORANG YANG MENCINTAI NABI MUHAMMAD SAW.

 

SETIAP tahun umat Islam menyambut meriah kehadiran 12 Rabiul Awal, iaitu tarikh yang dikaitkan dengan kelahiran Nabi Muhammad SAW. Pelbagai upacara akan diatur sempena hari itu yang dikenali sebagai Maulidur Rasul seperti perarakan, upacara marhaban dan ceramah.

Semuanya ini dilaksanakan demi untuk menggambarkan perasaan kasih dan sayang terhadap junjungan kita Nabi Muhammad SAW. Saban tahun apabila muncul 12 Rabiul Awal akan timbul juga polemik mengenai sambutan itu sama ada sunnah atau bidaah.

Pihak yang tidak bersetuju dengan sambutan Maulidur Rasul menyatakan ia termasuk amalan bidaah kerana tidak pernah dilaksanakan pada zaman Nabi SAW, sahabat atau zaman salafussoleh.

Malah, imam mazhab yang empat iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad juga tidak pernah menganjurkan sambutan Maulidur Rasul hingga timbul persoalan adakah mereka tidak mencintai Nabi Muhammad SAW seperti generasi sesudah mereka yang menganjurkan sambutan itu.

Mereka yang menyokong sambutan itu beranggapan ia adalah bidaah yang baik (hasanah) dan bertujuan mengagungkan baginda serta mencerminkan kasih sayang kepada baginda. Apatah lagi. tidak ada larangan khusus daripada Allah serta Rasul-Nya.

Menyambung polemik mengenai sambutan Maulidur Rasul bukan isu kerana yang penting ialah bagaimana tata cara sebenar untuk membuktikan kasih sayang serta keagungan kepada Nabi Muhammad SAW.

Mencintai Nabi Muhammad SAW adalah satu prinsip agama yang penting serta mendasar kerana seseorang itu tidak dianggap beriman sehingga dia benar-benar mencintai Nabi Muhammad SAW melebihi dirinya sendiri, kaum kerabat dan harta-bendanya.

Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah tempat tinggal yang kamu sukai (jika semua itu) menjadi perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang fasik (derhaka)." – (Surah al-Taubah, ayat 24)

Rasulullah berhak meraih cinta umatnya kerana baginda adalah makhluk yang paling mulia di sisi Allah, memiliki akhlak yang luhur dan jalan yang lurus, mengasihi umatnya, memberi petunjuk kepada umatnya, menyelamatkan umatnya dari neraka dan menjadi rahmat kepada seluruh alam.

Mencintai Nabi Muhammad SAW adalah kesan kesaksian kita bahawa Muhammad itu utusan Allah yang menjadi sebahagian daripada kalimah syahadah.

Orang yang benar-benar mencintai Rasulullah SAW memiliki ciri tertentu antaranya:

1- Mentauhidkan Allah. Hikmah utama diutusnya rasul termasuk Nabi Muhammad SAW adalah untuk menyeru manusia kembali kepada tauhid yang murni dan menentang syirik.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami telah mengutus di kalangan tiap-tiap umat seorang rasul (agar menyeru mereka). Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhi Taghut." – (Surah al-Nahl, ayat 36)

Untuk membuktikan kasih sayang kita kepada Nabi Muhammad SAW, hendaklah sekalian umat Islam menghindari amalan syirik dan mengikhlaskan ibadah hanya kepada Allah. Mentauhidkan Allah adalah bukti paling kukuh menunjukkan kita mencintai Nabi Muhammad SAW.

2. Mempelajari al-Quran, memahaminya, mengamalnya dan menyebarkan ajarannya. Antara tanda mencintai Rasulullah SAW adalah dengan memanfaatkan al-Quran yang menjadi mukjizatnya dalam segala aspek kehidupan kita.

Ibnu Mas'ud berkata: Janganlah seseorang menanyakan untuk dirinya, kecuali al-Quran. Apabila dia mencintai al-Quran, maka dia mencintai Allah dan Rasul-Nya.

Untuk merealisasikan makna mencintai al-Quran hendaklah kita mempelajari dan memahami isi kandungan dan beramal dengannya serta menyebarkan pengajaran yang terkandung dalamnya kepada seluruh umat manusia.

3. Mentaati Sunnah Nabi SAW, satu lagi tanda yang jelas menggambarkan perasaan sayang kita kepada Nabi Muhammad SAW dengan mengerjakan sunnahnya, mengikuti perkataan dan perbuatannya, menjalankan perintahnya dan menghindari larangannya.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik bagi kamu, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." – (Surah al-Ahzab, ayat 21)

4. Menyebarkan sunnah Nabi SAW. Mencintai Nabi SAW bukan sekadar hanya taat kepada sunnah baginda, tetapi hendaklah kita bersungguh menyampaikan serta mengajarnya untuk menyambung tugasan baginda. Jika kerja dakwah baginda tidak ada kesinambungan, pasti sunnahnya akan mati dan digantikan amalan yang bercanggah dengan syarak.

5. Sentiasa memuji dan mengingatinya. Mencintai Nabi Muhammad SAW, bermakna baginda sentiasa berada di hati kita. Oleh itu, kita hendaklah memperbanyakkan membaca serta mempelajari sejarah hidup baginda serta berusaha untuk menjadikan perjalanan hidup baginda sebagai cahaya menyuluh perjalanan kita.

6. Mencintai mereka yang dicintai Nabi SAW. Antara tanda cinta kepada Nabi SAW adalah mencintai mereka yang dicintai baginda seperti isteri-isterinya, ahli keluarga dan sahabatnya serta seluruh umat Islam yang berpegang teguh dengan ajaran baginda.

7. Membenci orang yang dibenci Nabi SAW. Hendaklah kita membenci serta menjauhkan diri daripada mereka yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya seperti golongan yang kufur kepada agama Allah dan mereka yang bergelumang dengan perbuatan bertentangan syarak.

8. Membela Nabi SAW daripada serangan golongan munafik. Dewasa ini kita melihat institusi kenabian, hukum-hakam Allah serta sunnah baginda sedang hebat diperlekehkan kelompok munafik.

Oleh itu, tanda kecintaan kita kepada Nabi Muhammad SAW adalah membantah hujah golongan itu dan membela baginda dengan memberi penjelasan kepada seluruh umat Islam terhadap isu batil yang dibangkitkan musuh Allah itu.

Demikianlah antara tanda yang menggambarkan hakikat sebenar mencintai Nabi Muhammad SAW. Jelas di sini mencintai Nabi SAW bukan satu perkara yang datang hanya setahun sekali. Mencintai Nabi Muhammad SAW adalah satu proses berterusan dan sentiasa perlu diberi perhatian setiap waktu dan ketika oleh seluruh umat Islam.