Rabu, 11 Januari 2012



ADA APA DENGAN CINTA?
Kita dibekalkan oleh Allah Taala dengan akal untuk berfikir,dua tangan untuk
memegang,dua telinga untuk mendengar,dua mata untuk melihat dan dibekalkan hati
serta jiwa untuk membawa cinta.Cinta adalah satu kalimah yang sentiasa dan gemar
diungkap oleh manusia khususnya para remaja.Kalau dulu di zaman saya remaja,
cinta diungkap melalui surat,telefon atau disampaikan oleh orang perseorangan
tetapi di zaman sekarang cinta diluahkan melaui media yang lebih cepat dan laju
iaitu internet.Cinta ekspres ini sering tercipta dan terperangkap ketika remaja
menggunakan “Mukabuku” atau “Facebook” sebagai medium untuk berkomunikasi.Malah
bukan sahaja dikalangan remaja dan orang muda yang terjerat dengan cinta mukabuku ini,bahkan orang dewasa dan tua juga terlibat dalam masalah kontemperori ini.
Apa ukuran cinta?

Cintaku kepada Allah,Rasulullah saw dan Islam.
Sekiranya kita meneliti kepada graf di atas kita mesti mengakui bahawa seorang mukmin dan
hamba Allah mesti meletakkan cinta kepada Allah adalah kedudukan yang paling
tinggi.Ini adalah cinta hamba kepada penciptanya.Cinta yang lahir daripada rasa
ubudiyyah yang tinggi kepada Allah Rabbuljalil.Cinta yang terbit untuk
mendapatkan halawatuliman atau kemanisan iman sepertimana sabda Rasulullah saw
yang bermaksud: “Barang siapa yang ada padanya tiga syarat,ia dapat merasai
kemanisan Iman iaitu:1. Jika ia mencintai Allah dan RasulNya mengatasi kasihnya
pada yang lain.2.Jika ia mencintai seseorang,tidaklah ia mencintai melainkan kerana Allah dan 3.Jika ia benci kembali kepada kekufuran sebagaimana ia benci memasuki api neraka.” Rasulullah saw dan para sahabat baginda sanggup mengorbankan segala yang ada disisi mereka termasuk harta benda,keluarga,pangkat sehinggalah nyawa mereka.
Para sahabat Rasulullah saw telah menunjukkan contoh kecintaan dan pengorbanan yang tinggi dalam mencintai Rasulullah saw.Lihat sahaja dalam peperangan Uhud,para sahabat baginda sanggup menjadikan batang tubuh mereka sebagai benteng untuk melindungi Rasulullah saw.Para sahabat juga memperlihatkan kecintaan mereka kepada Islam dengan mereka sanggup
mengorbankan segala yang ada pada sisi mereka samada keluarga,harta dan
kedudukan mereka.Kisah mengenai Bilal bin Rabah,Keluarga Amar bin Yasir dan
Mus’ab bin Umair sentiasa didendangkan untuk dijadikan panduan.Kisah kecintaan
Abu Bakar kepada Rasulullah saw yang membenarkan setiap yang keluar dari mulut
Rasulullah saw dan menjadi peneman kepada baginda dalam peristiwa hijrah.Abu Bakar juga telah membuktikan kecintaannya kepada Islam apabila beliau sanggup menyerahkan seluruh hartanya kepada Islam dan ketika ditanya oleh Rasullah saw kepada beliau tentang apa
yang tinggal setelah beliau menyerahkan seluruh hartanya kepada Islam,maka
dijawab oleh beliau bahawa yang tinggal kepada disisi beliau hanyalah Allah dan
Rasulullah saw.Begitulah hebatnya kecintaan generasi sahabat kepada
Allah,Rasulullah saw dan Islam.Persoalannya “Bagaimana rasa cinta kita?”

Cintaku kepada dunia .
Mari kita tanya diri kita.Apa tujuan kita hidup di dalam dunia ini?Terdapat bermacam-macam jawapan yang mungkin dilontarkan oleh kita.Bagi golongan kafir dan sekutu mereka,mereka kan menjawab “Kita hidup di dalam dunia ini adalah untuk kehendak dan keperluan hidup di
dunia semata-mata,berseronok dan berhibur serta lakukan segala yang kita ingin lakukan.Disebut oleh Allah Taala dalam surah Muhammad ayat 12 yang bermaksud:
“…… dan (sebaliknya) orang-orang Yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.” Inilah kehidupan orang-orang kafir dan fasiq yang mencintai kehidupan
dunia semata-mata tanpa mempercayai kehidupan selepas mati.Mereka ini hidup semata-mata kerana ingin mengejar kehidupan dunia sehingga mereka menolak untuk menyembah Allah yang esa dan menolak Islam untuk hidup bersyariat.Mereka sibuk mengumpul harta kekayaan tanpa mengira halal atau haram,sibuk mengejar pangkat dan kedudukan sehingga sanggup zalim-menzalimi,menabur fitnah dan menindas orang lain.

Saya ingin berkongsi satu kisah mengenai Raja Rom iaitu Raja Hercules ketika menerima surat utusan daripada Rasulullah tahun keenam hijrah yang menyeru beliau menerima Islam.Raja Hercules tidak terus menjawab seruan Islam itu tetapi bertanya kepada pembesar-pembesar
beliau terlebih dahulu.Para pembesar beliau menjawab sekiranya Hercules menerima Islam maka mereka akan menjatuhkan Hercules daripada takhta dan menentangnya.Demi kecintaan Hercules kepada takhta,kedudukan dan harta kekayaannya,maka Hercules menolak seruan baginda kepada Islam.Begitulah juga hari ini,kumpulan manusia seperti Hercules tetap wujud dan berkembang kerana para musuh Allah telah berjaya menghilangkan rasa cinta kepada Allah dan Rasulullah saw daripada dada-dada mereka khususnya umat Islam dan kecintaan
mereka hanya pada dunia sahaja.Allah telah menyebut golongan di dalam al-Quran
sebagai golongan kebendaan atau “ dahriyyin.”Firman Allah Taala yang bermaksud:
“24. Dan mereka berkata: "Tiadalah hidup Yang lain selain daripada hidup
kita di dunia ini. kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah Yang
membinasakan kita melainkan edaran zaman. pada hal mereka tidak mempunyai
sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan
semata-mata.” Justeru itu marilah kita memilih untuk mencintai akhirat melebihi cinta
kita kepada dunia.Golongan yang benar-benar beriman mereka akan menginsafi
nilai hidup dunia ini dibandingkan akhirat.Firman Allah Taala dalam surah
al-An’am yang bermaksud: “32. Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan
permainan Yang sia-sia dan hiburan Yang melalaikan: dan Demi Sesungguhnya
negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang Yang bertaqwa. oleh itu,
tidakkah kamu mahu berfikir?Lantaran rendahnya nilai dunia dibandingkan dengan
akhirat,maka kehidupan dunia tidaklah sampai menghalang dan menyibukkan mereka
daripada melaksanakan tujuan dan matlamat mereka diciptakan Allah.Demikianlah
juga amaran dan kutukan Rasulullah saw kepada manusia akhir zaman bahawa kita akan ditimpa satu penyakit yang diberi nama al-wahnu iaitu penyakit mencintai dunia dengan cinta yang melampau dan takutkan kematian.Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Celakalah(orang yang hidupnya menjadi) hamba abdi dinar, Celakalah(orang yang hidupnya menjadi)
hamba abdi dirham, Celakalah(orang yang ) menjadi hamba kepada
pakaian.”(Riwayat Bukhari)

Cintaku kepada manusia.
Allah menciptakan manusia lelaki dan perempuan, berpuak-puak serta berbangsa-bangsa adalah untuk berkenal-kenalan.Allah Taala berfirman dalam al-Quran dalam surah al-Hujrat ayat yang ke 13 yang bermaksud:

13. "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam
pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)".
Allah Taala tidak memerintahkan kita mencintai manusia sehingga kita lupa kepada Allah dan mencintai manusia sehingga kita sanggup melakukan maksiat kepada Allah serta mencintai manusia sehingga sanggup meninggalkan Islam.Banyak kisah cinta diantara sesama manusia dihiasi dengan maksiat kepada Allah Taala.Kerana cinta manusia sanggup menggadai mahkota diri(maruah),kerana cinta manusia sanggup menggadai agama(murtad) dan kerana cinta manusia sanggup meninggalkan keluarga dan kerabat.Inilah bahana cinta yang tidak berlandaskan dan disulami dengan syariat.Kesan daripada cinta fasik ini maka berleluasalah kes buang bayi,pelacuran,pembunuhan,penagihan dadah dan banyak lagi kes jenayah yang
dimurkai oleh Allah Taala.Sedangkan agama memerintahkan cinta sesama manusia
mestilah kerana Allah.Cinta manusia hendaklah didasari syariat dan cinta sesama
manusia adalah untuk menyeru manusia kepada Allah,menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah manusia melakukan kemungkaran.
Demikianlah sepatutnya kita memahami nilai dan ukuran cinta kita sebagai
seorang hamba kepada Allah.Janganlah kita terpedaya dengan sogokan dan seruan
cinta yang dilaungkan oleh orang kafir yang berakhir dengan kemudharatan kepada
agama,masyarakat,keluarga dan individu.Bermuhasabalah…….