Isnin, 13 Jun 2011

CATATAN ISRAK MIKRAJ

Assalamualaikum wrhmt.wbrkth.


Sedar tak sedar kita telah pun berada dalam bulan Rejab.Mungkin kita sudah terlupa dengan peristiwa besar Isra' dan Mi'raj walaupun sudah saban tahun kita menyambutnya di surau-surau atau di masjid-masjid sekitar rumah kita.Begitulah keadaan kita sebagai manusia yang sentiasa lupa dan leka dengan kehidupan dunia yang melalaikan.Benarlah firman Allah Taala yang bermaksud:"Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan,kerana sesungguhnya memberi peringatan itu memberi kepada faedah orang yang beriman."(az-Zaariyaat:ayat 55)

Apabila kita membaca kisah ini,kita akan dapat memerhatikan kehebatan iman para sahabat dan kesabaran mereka dalam mempertahankan Islam yang mereka cintai.Semua orang boleh dan mampu berkata "aku beriman",tetapi persoalannnya ialah adakah kita benar-benar beriman?Atau pernahkah iman kita itu diuji oleh Allah dengan ujian yang hebat? Mampukah kita menjadi seperti Saidina Abu Bakar yang beriman dengan yakin dan bersungguh-sungguh dengan peristiwa ini walaupun orang lain meraguinya? Mampukah iman kita menolak segala sangkaan buruk kepada Allah dan Rasulullah saw yang didorong oleh nafsu dan disokong oleh Syaitan?Pernahkah dirampas harta kita, disiksa jasad serta emosi kita atau diancam nyawa kita semata-mata untuk mempertahankan aqidah yang mulia ini. Dalam hal ini Allah telah berfirman dengan maksudnya:"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata:" kami telah beriman." sedangkan mereka tidak diuji(dengan sesuatu cubaan)?(surah al -Ankabut:ayat 2)

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah.

Sabar adalah antara sifat yang perlu ada dalam diri seorang mukmin bagi sesiapa yang ingin mempertahankan dan memelihara iman mereka.Sifat sabar ini boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu:

1-Sabar ketika melaksanakan kewajipan dan perintah Allah Taala seperti sabar menunaikan ibadah solat,puasa,zakat dan ibadah-ibadah lain.
2-Sabar daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah Taala seperti menahan diri dari melakukan kemungkaran yang dilarang seperti zina,mencuri,mengumpat dan lain-lain kemaksiatan.
3-Sabar menghadapi segala musibah atau bencana yang diberikan kepada kita seperti kemiskinan,kematian,gagal dalam pelajaran atau kerjaya dan sebagainya.
4-Sabar semasa menguruskan nikmat dan kurniaan Allah kepada kita seperti kita sabar menguruskan kekayaan yang diperolehi supaya sentiasa membelanjakan harta kekayaan itu kepada jalan Allah Taala.

Pada zaman yang penuh dengan cabaran ini,terdapat orang muslim khususnya di negara kita ini yang gagal membina kesabaran dalam diri mereka sehingga kita dapati mereka tanpa segan silu dan rasa berdosa melakukan maksiat dan meninggalkan perintah Allah Taala.Kedapatan orang yang mengaku Islam tetapi berani berhujah menolak ketetapan dan hukum Allah Taala bahkan mereka pula berbangga hidup di bawah telunjuk orang kafir sehingga ada diantara mereka sanggup berkata"I tak nak hipokrit, I buat je apa I suka buat,lantaklah apa orang nak kata."Itulah antara dialog yang biasa kita dengar daripada orang yang mengaku Islam .Kadang-kadang kesabaran kita juga tergugat dengan ujian musibah daripada Allah seperti sakit dan kemiskinan sehingga tergamak kita menyalahkan takdir Allah Taala.Tidak kurang
juga yang mengaku semua nikmat,kejayaan,kekayaan,kedudukan dan kurniaan itu semua adalah hasil usaha dan titik peluh mereka sendiri tanpa ada hubung kait dengan rahmat,izin dan kehendak Allah sehingga mereka menjadi takabbur dan sombong.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah.

Dengan demikian itu,marilah kita sama-sama kembali kepada Allah Taala dalam kehidupan kita kerana kita mesti menyedari bahawa jaminan kehidupan di alam barzakh samaada kita aman disana atau disiksa,jaminan kehidupan kita semasa dibangkitkan samaada berwajah hitam atau putih,keadaan kita di padang Masyar samaada senang atau sukar ,surat amalan kita samaada diterima dengan tangan kanan atau kiri,ketika kita melalui titian sirat samaada selamat atau sebaliknya dan samaada kita akan dimasukkan ke dalam syurga atau neraka adalah bergantung kepada cara hidup kita pada hari ini.Sekiranya perjalanan hidup kita bersama dengan Islam,kita menegakkan Islam,kita mempertahan akidah Islam,kita berakhlak dengan akhlak Rasulullah saw dan berhukum dengan hukum Allah,Insyaallah dengan rahmat Allah Taala akan menjamin kehidupan yang lebih baik selepas kematian kita.Sesungguhnya bermula kehidupan kita yang sebenar sebagai hamba Allah adalah selepas kematian iaitu kita menuju kepada kehidupan yang lebih baik dan kekal abadi.

Firman Allah Taala yang bermaksud:"Barangsiapa yang mengambil selain Islam sebagai agama dalam kehidupan dunia ini,maka tidak diterima amalannya dan dia dihari akhirat nanti termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi".