Isnin, 23 Ogos 2010

6 Wasiat Saidina Umar Al-Khattab

Suatu hari Umar Bin Khattab r.a. bertutur kepada sebahagian sahabatnya; 

"Aku berwasiat kepadamu enam perkara :

 

1-Jika engkau menemukan cela pada seseorang dan engkau mahu mencacinya, maka cacilah dirimu. 

Kerana, celamu lebih banyak darinya.

 

2-Bila engkau hendak memusuhi seseorang, maka musuhilah dahulu perutmu.

Kerana, tidak ada musuh yang lebih berbahaya terhadapmu selain perut.

 

3-Bila engkau hendak memuji seseorang, pujilah ALLAH swt! 

Kerana, tiada seorang manusia pun lebih banyak dalam memberi kepadamu dan lebih santun lembut kepadamu selain DIA.

 

4-Jika engkau ingin meninggalkan sesuatu, maka tinggalkanlah kesenangan dunia.

Sebab,andaikata engkau meninggalkannya, bererti engkau terpuji.

 

5-Bila engkau bersiap-siap untuk sesuatu, maka bersiaplah untuk mati. 

Kerana,jika engkau tidak bersiap untuk mati, engkau akan menderita, rugi penuh penyesalan. 

 

6-Bilamana engkau ingin menuntut sesuatu, maka tuntutlah Akhirat. 

Kerana, engkau tak akan memperolehnya kecuali denganmencarinya."

Selasa, 10 Ogos 2010

AHLAN YA RAMADHAN

Assalamulaikum Wrhm.Wbrkth.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah.
Firman Allah Taala dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”.

Segala puji bagi Allah yang telah memberi peluang untuk kita berada dibulan Ramadhan sekali lagi.Marilah kita mengambil peluang keemasan ini dengan memastikan Ramadhan pada tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun yang lalu.Bulan Ramadhan yang mulia ini mengandungi seribu rahmat dan keampunan daripada Allah sejajar dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Permulaanya rahmat,pertengahannya keampunan dan penghujungnya terlepas dari siksaan api neraka."

Bagi memperolehi rahmat,keampunan dan bebas dari neraka ini bukanlah sesuatu yang mudah dan hanya sekadar menghabiskan Ramadhan dengan tidur atau perkara-perkara yang lalai.Namun ia memerlukan usaha yang padu dan azam yang kuat serta memastikan diri kita menjadi pengurus nafsu yang terbaik.Kita mesti mendisiplinkan dan mendidik nafsu kita supaya patuh dan taat kepada perintah Allah.Memelihara perut supaya tidak makan dan minum pada waktu siang Ramadhan serta memelihara anggota pancaindera kita supaya tidak melihat,mendengar dan mengatakan sesuatu yang dilarang oleh Allah Taala.Manakala bagi siperokok pula,mereka hendaklah menjadikan Ramadhan permulaan yang baik untuk meninggalkan tabiat buruk ini.Sekiranya kita berjaya menjadi pentadbir dan pengurus nafsu yang baik maka kita akan berjaya memperolehi rahmat Allah seperti juga yang telah dijanjikan Allah dalam sabda Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Apabila datang Ramadhan,dibuka pintu-pintu syurga,ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu para syaitan."

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah.

Untuk mendapat keampunan Allah dan bebas dari api neraka Allah,kita hendaklah memastikan supaya puasa yang kita laksanakan ini bukan puasa ikut-ikutan, bukan puasa adat, bukan puasa supaya orang lain kata kita baik atau bukan puasa yang hanya melepaskan batuk ditangga.Namun puasa yang kita laksanakan ini adalah didasari dengan keimanan dan keikhlasan serta pengharapan kita kepada Allah Taala.Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah,maka Allah mengampunkan dosa-dosanya(dosa-dosa kecil) yang telah lalu.”Keikhlasan akan dinikmati apabila merasakan ibadah puasa itu adalah satu kewajipan yang dilakukan dengan ketaatan dan kesabaran sebagai seorang hamba Allah bukan satu bentuk paksaan.Keikhlasan juga akan diperolehi apabila ibadah ini djalani dengan dengan keilmuan dan kefahaman bukan ikutan dalam kejahilan.


Selain daripada itu,ibadah puasa ini juga mempunyai banyak hikmah dan kebihan antaranya ialah:
1)Mendidik diri kita menjadi manusia yang bersyukur.
2)Menanam sifat-sifat mahmudah seperti pemurah,penyabar,pemaaf dan lain-lain.
3)Memberikan kesihatan yang sempurna dan baik sekiranya mengikut kaedah yang betul.
4)Membuang sifat-sifat mazmumah seperti bakhil,pemarah,pengumpat dan lain-lain.
5)Dapat mendekatkan diri kita kepada Allah dengan solat sunat Tarawih,berzikir,membaca al-Quran ,bersedekah dan mendengar tazkirah Ramadhan.
6)Al-Quran telah diturunkan pada bulan ini sebagai petunjuk kepada manusia.
7)Disediakan Lailatul Qadar iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan.


Akhir kalam,saya sebagai Nazir Masjid Sultan Hisamudin Bandar Baru Salak Tinggi dan semua ahli jawatankuasa pengurusan masjid menucapkan selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.Kami memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat kesilapan,kesalahan dan kekurangan sepanjan kami mentadbir dan menguruskan masjid ini.Semoga kita berjaya menggenggam ijazah kelas pertama dalam madrasah Ramadhan kali ini dan diberikan peluang untuk bertemu Ramadhan yang akan datang.Wassalam