Rabu, 21 Julai 2010

KEPENTINGAN SOLAT

Ibadah Solat adalah satu ibadah yang telah diwahyukan oleh Allah kepada Rasulullah SAW secara lansung atau terus tanpa perantaraan Jibril a.s. sepertimana yang telah kita ketahui di dalam peristiwa Isra' dan Mikraj.Ini memberi petunjuk yang begitu jelas bahawa ibadah solat  adalah ibadah yang amat penting sehingga Allah Taala mengangkat Rasulullah SAW sendiri kelangit untuk mengambil kefardhuan solat seumpama seorang ketua memanggil pekerjanya ke dalam bilik untuk memberikan tugasan yang amat penting.

Oleh yang demikian kita telahpun memahami dan meyakini bahawa pengaruh atau kesan positif solat kepada kehidupan umat Islam terlalu besar terutama dalam membentuk jiwa, diri, akhlak mulia, sifat amanah, perpaduan dalam menuju keberkatan hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

 Betapa besar kepentingan dan hikmah solat kepada orang-orang Islam yang beriman, di antaranya ialah:

1)Solat Untuk Menyembah dan Mengingati Allah S.W.T.


Firman Allah S.W.T: Yang bermaksud:
”Sungguh aku ini Allah,tidak ada tuhan selain aku Dan dirikanlah solat itu semata-mata untuk mengingati Daku”.
(S. Thaha: 14).

Solat adalah pengabdian seorang hamba kepada Allah S.W.T. Berdasarkan maksud ayat ini solat adalah jalan bagaimana untuk kita sentiasa mengingati Allah Ta’ala.Tidak ada jalan lain untuk kita hamba yang beriman ini untuk berhubung dengan Allah melainkan dengan hanya menunaikan solat.Justeru,orang Islam yang tidak menunaikan solat sebenarnya adalah orang yang tidak mengakui Allah itu tuhan yang patut disembah.Malah mereka ini adalah golongan yang telah menipu terhadap pengakuan di dalam syahadah dan  ikrar mereka.Orang Islam yang mengingati Allah,maka Allah akan sentiasa mengingati mereka seperti firman Allah Taala yang bermaksud:

"Maka ingatlah kepadaKu ,Aku pun akan ingat kepadamu."(Ayat 152:Surah al-Baqarah)

2)Tanda pengabdian dan syukur kepada Allah Azzawajalla.

Solat juga merupakan tanda pengabdian dan syukur seorang hamba kepada Allah S.W.T. atas segala nikmat dan rahmat yang Allah kurniakan kepada kita. Firman-Nya:

Yang bermaksud:

”Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberimu(Muhammad saw) nikmat yang banyak. Maka laksanakan solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.(sebagai ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah)”. (S. Al-Kautsar: 1-2).

Sekiranya seorang muslim tidak melaksanakan solat,bagaimana cara dia mengucapkan syukur kepada Allah Taala.Adakah cukup sekadar mengungkap ucapan Alhamdulillah atau terima kasih Allah tanpa solat.Sesungguhnya orang yang meninggalkan solat adalah golongan yang kufur dengan nikmat Allah dan sombong seperti lagak Firaun dan Qarun.


3)Hikmah Solat Dalam Menghapus Dosa.
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

”Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat-solat itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar”. (HR Muslim).

Dosa yang dimaksudkan di sini adalah dosa-dosa kecil.Sebagai manusia biasa kita tidak akan terlepas dan bebas dari melakukan dosa.Mata kita mungkin telah terlihat perkara mungkar,lidah kita mungkin berkata sesuatu yang  tidak berhak diperkatakan,begitu juga kepada anggota-angota yang lain yang melakukan kemungkaran.Maka melalui solat ini tadi dengan izin dan rahmat Allah ,kita dapat meminta keampunan dan memadamkan dosa-dosa lalu.Sesuungguhnya orang yang tidak mengerjakan solat adalah golongan yang tidak bimbang dan takut dengan azab dan api neraka Allah. 

4)Sembahyang Mencegah Perbuatan Keji dan Mungkar
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:”…dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan kemungkaran”. (S. Al-Ankabuut: 45).

Inilah kesan kebaikan kepada orang yang benar-benar taat mendirikan solat yang ikhlas semata-mata kerana Allah Ta’ala.Kita mesti yakin bahawa solat yang ikhlas dan diterima Allah Taala itu  mampu menjadi benteng diri dari perbuatan keji, jahat, maksiat dan kemungkaran.Orang Islam yang tidak menunaikan solat amat mudah diperdaya oleh syaitan dan hawa nafsu untuk melakukan perkara keji dan mungkar.Sekiranya kita mengamati waktu-waktu solat yang telah diwajibkan kepada kita iaitu Subuh,Zohor,Asar,Maghrib dan Isyak akan menyebabkan kita merasakan tidak ada ruang untuk membuat kemungkaran kerana hampir setiap masa dan ketika kita mendekati  Allah Azzawajalla.

Muslimin dan muslimat sekalian,

Sesungguhnya amat banyak hikmah solat dalam kehidupan kita seharian.Selain hikmah yang disebutkan di atas solat juga mampu untuk mendidik umat Islam menjadi pengurus yang baik,mampu membentuk disiplin dan mencintai ilmu.Hikmah di atas belum lagi menyentuh berkenaan hikmah solat dari sudut sains dan kesihatan.Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang hikmah solat menurut sains dan kesihatan,rujuklah buku tulisan Dr.Danial Zainal Abidin yang bertajuk "Quran Saintifik: Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada teropong Sains." Wallahualam 

Selasa, 20 Julai 2010

JANGAN MEMPERMAINKAN UKUM ALLAH

Asslamulaikum.
Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah.

Mutakhir ini kita dipanaskan dengan isu mempermainkan hukum Allah Taala.Kedapatan umat Islam yang cuba memutarbelitkan hukum Allah kerana kejahilan dan kerapuhan iman mereka.Kita mungkin pernah mendengar segelintir umat Islam yang berkeyakinan sehingga mereka mengatakan dengan nada bersahaja “ minum arak ni kalau sedikit takpe” atau “main judi kalau ada lessen tu halal”.Keadaan ini menjadi lebih parah apabila terdapat pula daripada pemimpin dikalangan orang Islam yang mencadangkan supaya diberi lesen kepada kegiatan judi sempena bolasepak piala dunia yang akan berlansung dengan alasan untuk mengelakkan permainan judi yang tidak berlesen atau pada istilah mereka judi ‘haram’.Cadangan ini menjadi lebih mengarut apabila pihak kerajaan sendiri menerimanya dan melantik satu syarikat untuk mengendalikan ‘judi halal’ ini.

Wahai umat Islam marilah kita kembali kepada al-Quran.Apakah yang Allah sebut berkenaan dengan hukum judi ini?Rujuk firman Allah pada ayat 90,surah al-Maidah yang bermaksud “Wahai orang yang beriman!Bahawa sesungguhnya arak dan judi,pemujaan berhala,mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah(semata-mata(kotor)keji( dari perbuatan syaitan.Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”.Maka jelas kepada kita bahawa hukum Allah terhadap judi ini mutlak bahawa ianya adalah haram,tidak ada pengecualian sedikit atau banyak,berlesen atau tidak,haram tetap haram.

Saya teringat satu ketika dulu terdapat isu untuk menghalalkan pendedahan aurat.Isu ini dibangkitkan sehingga terdapat dikalangan golongan ini yang sanggup membahagikan aurat seperti najis iaitu aurat mughalazah,mutawasitah dan mukhafafah.Ini amat mengelirukan umat Islam dan membingungkan mereka demi semata-mata mencari jalan untuk merestui cara hidup mereka yang sebegitu rupanya atau mungkin mereka ini memang jahil dalam agama dan lemah iman atau mereka sebenarnya bangga mengikut cara hidup orang kafir dan ditambah pula tuntutan hawa nafsu sarakah mereka yang jahat dan keji.Walaubagaimanapun,kita mesti berwaspada dan berhati-hati dengan perbuatan dan percakapan kita kerana seseorang muslim itu boleh menjadi kafir atau murtad dengan tiga cara iaitu :
1. Melalui keyakinan.Contohnya apabila kita merasa ragu-ragu terhadap terhadap hukum Allah yang termaktub didalam al-Quran.
2. Melalui perkataan.Contohnya kita bercakap dengan menghina hukum Islam telah lapok dan tidak sesuai lagi digunakan zaman ini.
3. Melalui perbuatan iaitu apabila kita menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

Kesimpulannya,dari meja nazir kali ini sebenarnya ingin mengajak semua umat Islam kembali kepada hukum Allah Taala supaya kita mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat.Jangan sekali-kali kita mempermainkan hukum Allah atau tidak beriman dengan hukumnya kerana kita bimbang dan takut akan mendapat kemurkaan dan azab yang pedih daripada Allah Taala.Firman Allah Taala dalam surah an-Nahl,ayat 106 yang bermaksud “Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah dia beriman(maka baginya kemurkan dan azab daripada Allah) kecuali orang yang dipaksa(melakukan kufur)sedang hatinya tenang dengan iman,tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur,maka atas mereka tertimpa kemurkaan daripa Allah dan mereka mendapat azab yang besar.” Wallahualam.