Khamis, 4 Februari 2010

RASULULLAH SAW PENYELAMAT UMMAT

Assalammualaikum.
Para muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian.
Insyaallah pada 12 Rabiulawal bersamaan dengan 26 Februari 2010 ini kita akan menyambut hari kelahiran junjungan besar kita baginda Rasulullah SAW.Kita sering melupakan baginda tetapi insan mulia ini sentiasa mengingati dan amat menyayangi kita semua. Ungkapan baginda sebelum pergi bertemu Kekasihnya, "Umatku... umatku...umatku..." meliputi semua manusia yang hidup semasa kerasulan baginda hinggalah bayi terakhir yang lahir sebelum hari kiamat. Kita termasuk golongan yang disebut baginda sebagai "ummati". Kita merupakan golongan yang sangat diambil berat oleh insan agung ini. Nabi Muhammad SAW menangis kerana kita. Menanggung penderitaan kerana kita. Darahnya yang mulia membasahi bumi kerana kasih baginda yang tak terhingga kepada kita, umatnya.
Firman Allah Taala yang bermaksud:
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, Yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman." (At-Taubah: 128)

Nabi Muhammad SAW sayang kita. Hebatnya kasih baginda kepada kita, baginda tak sanggup melihat umatnya terkapai-kapai tanpa pegangan. Terumbang-ambing tak kenal siapa Tuhan. Bergelumang dalam najis kemaksiatan dan kehancuran.

Baginda berkorban segala-galanya demi Islam. Untuk kebaikan umatnya. Namun,persoalannya apakah yang kita dah buat untuk baginda? Adakah kita telah membuat sekelumit jasa yang boleh membuat Rasulullah bangga dengan kita sebagai umat baginda? Cinta dan kasih baginda yang tak terhingga kepada kita, apakah kita telah membalas cintanya?

Allah SWT telah memberi kita tempoh semenjak baligh hingga mati untuk kita berkhidmat kepada Rasulullah SAW. Berselawat ke atas baginda. Menghidupkan sunnah-sunnah baginda. Menghayati sirah perjalanan hidup baginda. Mempertahankan baginda daripada cercaan kuffar laknatullah. Meneruskan perjuangan dakwah baginda serta memastikan kesinambungan risalah yang dibawa oleh baginda. Kita mahu jika Rasulullah masih bersama-sama dengan kita pada hari ini, baginda akan senyum melihat kita.

Firman Allah dalam Surah al-Anbiya' ayat 107:
"....dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. "

Kelahiran baginda membawa rahmat untuk sekalian alam. Kelahiran kekasih Allah ini bagaikan cahaya yang menyinari segenap alam. Menerangi manusia yang terkapai-kapai dalam kejahilan, memandu mereka kepada makrifatullah. Bayangkan betapa besarnya rahmat ini,sebesar rahmat seorang anak diketemukan dengan ibunya atau lebih besar lagi seperti rahmat seorang hamba dan makhluk diketemukan dengan Penciptanya.

Oleh yang demikian,marilah kita memahami,menghayati dan meneruskan tali-tali perjuangan dan pengorbanan Rasulullah SAW demi untuk melihat Islam segar tegak di bumi ini.Ketepikan semua kepentingan,kejahilan,kerosakan,kemungkaran dan perpecahan dikalangan kita dengan kembali merujuk kepada Allah dan RasulNya.Jangan biarkan musuh-musuh Islam terutamanya Yahudi laknatullah mentertawakan kita kerana kebodohan dan kedegilan kita.Takbir Allahuakbar!Allahuakbar!Allahuakbar.