Ahad, 24 Mei 2009

MENDIDIK ANAK BANGSA,MATI KITA BERSAMA

Mendidik anak bangsaku

Tidak mati di sini

Tika kala mereka alpa ke mana

akan menapak

cita peribadi dan

hasrat ayah bonda

 

Mendidik anak bangsaku

bukan bagai membuai

waktu kecilmu untuk lena

tapi memerlukan ilmu dan

pengalaman penuh sabar

jika tidak, peluh menitis

sedang hasilnya terbang berkelana

 

Mendidik anak zaman ini

tidak mati di sini

tika kala awan hitam dari barat

berarak mengasak

lagu rindu remaja

dengan lipur budaya seberang,

menggerudi dengan kepulan dunhill dan heroin

ragam tempo dan dekadensi moral

 

Kekadang remajamu di persimpangan

kekadang haluanmu tidak kami temui

puas kami menguak belantara onak dan duri

berpulas dengan pendirian berbeza

demi nusa merdeka

terbawa arus globalisasi

lemas dalam maya tiada sempadan

 

Mendidikmu anak bangsaku

tidak mati di sini

biar berkedut kami pikul tugas ini

biar bertegang menghayun tangan dan kata

dipayungi panah segenap penjuru

demi meletakkan kamu pada paksi

tidak kami goyah

tidak kami sangsi

 

ini dunia kami

lantainya beralun ombak

dindingnya keliling berjeriji

lelangit tidak menjanjikan kerlipan bintang

namun mendidik anak bangsa

agar nilai cahaya bersepuh gemerlapan

hidup mati, kami bersama.

 


Ahad, 17 Mei 2009

Selsema Babi dan amaran Allah serta penyelamatnya.

 Hari ini dunia sekali lagi dikejutkan dengan ancaman wabak penyakit yang berbahaya iaitu wabak selsema babi atau dalam bahasa perubatannya dikenali sebagai Flu H1N1. Jika sebelum ini kita dikejutkan dengan pelbagai ancaman wabak penyakit seperti wabak selsema burung, denggi, JE, HIV dan chikungunnya.Hari ini dua orang pelajar di Malaysia yang baru pulang dari Amerika telah disahkan mengidap penyakit berbahaya ini.Penyakit ini amat membimbangkan kita di Malaysia kerana penyakit  ini amat memberhaya dan mudah berjangkit.Saya rasa perlu kita mengetahui Apa itu selsema babi? Begitu juga kita perlu lihat amaran Allah Taala akan binatang yang diharamkan ini.Dr.Danial Zainal Abidin juga  memberitahu dalam tulisannya bahawa babi diharamkan kerana tempat berkumpulnya pelbagai virus yang memberhaya.Saya juga terbaca satu  perkara  di dalam blog saudara Faisal Tehrani berkenaan penyelamat yang bakal Allah turunkan bagi kita di akhir zaman ini untuk berhadapan dengan semua masalah termasuk babi ini. 

Wabak Selsema Babi adalah kombinasi daripada tiga virus iaitu Virus Selsema Burung, Virus Selsema Manusia dan Virus Selsema Babi. Virus ini menyerang sistem pernafasan disebabkan oleh virus selsema jenis A (H1N1) yang mula dikesan sejak 1988. Sehingga kini seramai 159 orang disahkan meninggal dunia dan dianggarkan lebih 1,300 orang sebagai pengidap. Manakala negara-negara yang kini terlibat dengan wabak selsema babi ini ialah Mexico, Amerika Syarikat dan beberapa negara Asia.

Wabak ini dikatakan ia mudah berjangkit melalui sentuhan langsung dengan babi atau pemindahan virus selsema babi kepada manusia dan manusia sesama manusia. Antara kesan yang dapat dikenal pasti apabila seseorang itu terkena wabak ini ialah :
Apabila suhu badan melebihi 37.8 darjah celsius
Sakit badan 
Batuk 
Berhingus
Bersin 
Sesak nafas 
Hilang selera makan 
Muntah, dan cirit birit

Kini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi amaran kepada semua negara agar mengambil langkah tegas mengawal penularan wabak ini. Jika kita perhalusi ancaman ini, adakah ini sebagai peringatan daripada Allah SWT ? Di dalam al-Quran banyak memberi amaran kepada manusia yang mengkufuri dan melakukan maksiat kepada Allah SWT dengan pelbagai ancaman. Antara ancaman tersebut ada yang berbentuk kesengsaraan di dunia dan ada yang berbentuk kesengsaraan di akhirat. Di antara kesengsaraan di dunia ialah seperti bencana alam, peperangan, kemalangan, dan serangan wabak penyakit. Fikir sejenak…

Selain itu juga, di dalam al-Quran juga ada memperingati tentang pengharaman babi yang akan membinasakan kehidupan manusia. Justeru itu, timbul di sini persoalan yang perlu difikir bersama iaitu apakah perkaitan antara pengharaman babi dengan wabak yang dahsyat ini?. Benarkah virus boleh berubah dalam bentuk yang lebih bahaya pada babi?. Menurut pengkaji, kuman-kuman virus daripada babi ini mampu berubah menjadi lebih berbahaya dari semasa ke semasa.

Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah al- maidah : ayat 3 :

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan mati dipukul, dan mati jatuh, dan mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih, dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan) kamu mengundi nasib dengan anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik.”


Berdasarkan ayat tersebut, jelas bahawa Allah SWT mengharamkan sesuatu perkara mempunyai hikmah yang tertentu. Antaranya, bertujuan membuktikan perhambaan diri kepada Allah azza wa jalla dan menyelamatkan manusia daripada kerosakan. Menurut kajian saintis, memakan daging babi menyebabkan seseorang boleh dihinggapi hampir 70 jenis penyakit.


Yakinlah bahawa Islam adalah agama Allah yang benar, memenuhi keperluan fitrah setiap manusia. Oleh itu, pengharaman Islam terhadap babi, arak, zina, rasuah, judi dan sebagainya adalah untuk menjaga maslahah nyawa dan kehidupan manusia seluruhnya. Kalam ini mengharapkan adanya usaha yang terancang pihak kerajaan dalam menguatkuasakan pengharaman ke atas perkara-perkara yang jelas ditegah oleh Allah SWT.
Setakat ini ia menyerang 'yang muda' dan 'yang sihat' sahaja.

Ia juga boleh menyerang sesiapa sahaja meskipun bukan pemakan daging babi.

Lihat orang di sebelah anda, tidakkah anda gerun?

Sudah tiba masanya kita mengenal 'penyelamat' kita. 

Diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud bahawa Rasulullah saw bersabda, “Hari kiamat tidak akan terjadi sampai seorang lelaki daripada Ahlul-Baytku datang, yang namanya sama dengan namaku.”

Lihat Musnad Ahmad hadis nombor 376 dan Sunan Tirmidzi hadis 3231.

Sudahkah kita mengenal baginda penyelamat ini?

Datuk nenek kita sudah lama mengenalnya. Tetapi kita, kita selalu terlupa. Mari kita lihat sebuah kitab yang digunakan di pondok-pondok di Patani. Kitab berjudul Ksyful Ghaibiyah, karangan Syaikh Zainal Abidin Fatani dalam menyatakan silsilah penyelamat ini. Syaikh Zainal Abidin seorang sunni tentunya. Di sebutkan penyelamat ini daripada keturunan Saidina Ali, melalui Saidina Husein.

Sudahkah kita mengenalnya? Sudahkah? Sebelum wabak kejahatan menelan, sudahkah kita mengenal penawarnya?

Ahad, 10 Mei 2009

TAUBAT PENDUSTA

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Barangsiapa yang beristighfar dengan sebanyak-banyaknya, Allah SWT akan bebaskan mereka daripada sebarang kesusahan, akan mendapat rezeki yang tidak diduga daripada sumber itu serta mendapat jalan penyelesaian daripada sebarang kerunsingan."  
   
 
Orang yang tidak ditimpa runsing dalam kehidupannya, adalah merupakan suatu nikmat daripada Allah SWT. 

Berapa ramai manusia yang memiliki harta kekayaan yang banyak tetapi tidak sunyi daripada dilanda runsing. Kekadang kehidupan seseorang sederhana sahaja tetapi mereka aman daripada sebarang kerunsingan jiwa dan fikirannya. 

Jika berikhtiar menghilangkan kerunsingan dengan bukan jalan Allah SWT, seperti dengan berhibur yang melampau, maka usaha itu seperti menghilangkan gatal dengan menggaru akan hilang gatal sejenak. Dengan menggaru boleh menyebabkan calar berdarah bertukar jadi kudis. 

Apabila kuman yang menyebabkan kegatalan aktif semula, maka gatal akan muncul kembali malah lebih parah lagi dengan munculnya kudis akibat luka digaru. 

Fadilat beristighfar ialah Allah SWT akan memberi jalan penyelesaian daripada sebarang kesempitan, sama ada kesulitan hidup di dunia berbentuk kebendaan atau pemikiran dan perasaan. 

Fadilatnya lagi ialah dikurniakan rezeki daripada sumber yang tidak diduga. Lebih istimewa lagi jika rezeki datang mecurah pada saat amat diperlukan. 

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya aku seorang Nabi memohon ampun dosa (istighfar) kepada Allah SWT, setiap hari sebanyak 70 kali." 

Meskipun Nabi s.a.w. maksum (dikawal) dosa oleh Allah SWT, namun baginda tetap memohon ampun sebanyak 70 kali saban hari. 

Apakah tujuan Nabi s.a.w. mohon ampun kepada Allah SWT dalam keadaan maksum. Tujuannya ialah untuk mentarbiyah umatnya supaya tidak mengabaikan istighfar mohon supaya Tuhan ampuni dosanya. 

Jika Nabi s.a.w. yang maksum beristighfar 70 kali, umatnya sebagai insan biasa yang bergelumang dosa, secara logiknya mestilah mohon ampun kepada Allah SWT setiap hari lebih daripada yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. itu. 

Bagi Nabi s.a.w. yang maksum beristighfar itu bukanlah untuk mohon ampun dosa, tetapi istighfar Nabi s.a.w. ialah mohon ampun daripada perkara yang dikira silap. 

Ini kerana amalan baik bagi orang yang jujur (abrar) itu, masih dikira sesuatu yang buruk bagi golongan 'muqorrobin' seperti golongan para nabi itu. 

Contohnya, jika melakukan solat fardu didahului dan diiringi dengan solat rawatib, juga mendirikan solat malam tahjud empat rakaat dan tiga rakaat witir, jika boleh kekalkan sudah dikira termasuk golongan 'abrar'. 

Tetapi sekadar itu tidak layak bagi golongan para anbiya, ia dikira berdosa bagi golongn muqarrabin jika ibadatnya sekadar itu. 

Adapun istighfar yang sering diucapkan oleh Nabi s.a.w. seperti berikut: "Allahummaghfirli ma qaddamtu wama akhkhartu wama asrartu wama a'alantu wama Anta a'alamu bihi minni wa Antal muqaddimu wa Antal muakhkhir wa Anta 'ala kulli syai-in qadir." 

Ia bermaksud: �Wahai Tuhan, ampunilah dosaku yang terdahulu dan dosa kemudian yang belum dilakukan, dosa yang kulakukan secara sulit tersembunyi dan dosa yang kulakukan secara terbuka, sebanyak mana yang Engkau ketahui. Sesungguhnya atas Engkau Yang Berkuasa penuh atas segala sesuatu."
 

Seorang ulama bernama Fudhul bin Akhyar berkata mengenai istighfar katanya: "Bahawa minta ampun dalam keadaan tidak menghentikan daripada berbuat dosa itu adalah taubat seorang pendusta." 

Apabila seseorang beristighfar bererti dia mohon ampun kepada Allah SWT, apa ertinya dia mohon ampun kalau terus melakukan dosa maksiat. 

Sedangkan syarat taubat ialah insaf dan menyesal, bertekad untuk tidak melakukannya lagi. Sangat pembohong bagi seorang yang mohon ampun kepada Tuhan, tetapi tidak berhasrat uantuk meninggalkan dosa dan menyesalinya. 

Perbuatan itu umpama orang solat dengan memakai kain yang tercemar dengan najis, setelah dia sedar lalu digantinya dengan kain baru, sayangnya kain baru itu adalah kain curi. 

Dia tinggalkan dosa diganti dengan dosa yang lain pula. Apakah ertinya itu jika dia tidak sedar sedang menipu diri sendiri? 

Seorang wali besar yang masyhur dalam sejarah Islam, seorang wanita bernama Rabi'ah Al-'Adawiyyah berkata: "Sesungguhnya minta ampun bukan sekadar kerana berdosa, tetapi istighfar kerana kesalahan minta ampun daripada taubat yang tidak memenuhi syarat taubat itu." 

Ertinya adalah dianggap satu dosa bagi orang minta ampun (istighfar) dalam keadaan dia tetap melakukan dosa, kerana sepatutnya dia menyesal serta berazam untuk tidak lakukannya lagi. 

Beristighfar dalam keadaan demikian bererti dia sedang berdusta, seolah-olah mempermain-main dengan Allah SWT dengan istilah taubat. 

Bertaubat dalam suasana demikian lebih buruk daripada melakukan dosa yang sebenar, kerana taubat seperti itu merupakan suatu dosa yang perlu bertaubat semula kerana bertaubat yang menyalahi syarat taubat. Inilah taubat manusia pendusta terhadap Tuhan.TGNAA

Isnin, 4 Mei 2009

ISLAM VS REMPIT

Isu rempit adalah isu yang dah lama diperkatakan pada abad 21 ni.Kalau pada zaman saya remaja dulu dalam tahun 90 an isu bohjan dan bohsia amat popular diperkatakan sehingga para cendiakawan dan pemimpin buntu memikirkan bagaimana untuk mengatasi masalah ini.Namun bagi saya sudah lebih 15 tahun penyakit ini masih menjalar dalam dunia masyarakat Islam khususnya remaja malah ianya bertambah parah apabila penyakit ini ditambah pula dengan penyakit baru iaitu rempit.

Saya terdengar  di dalam radio IKIM ketika saya menuju ketempat kerja pagi ini membincangkan masalah rempit berdasarkan satu keratan akhbar yang mahu satu akta digubal bagi menangani masalah rempit ini.Satu undang-undang yang lebih keras sepatutnya diwujudkan seperti mengenakan penjara dan denda bukan sahaja kepada siperempit tetapi juga kepada ibu dan ayah siperempit yang bagi motor kat anak dia.Saya amat setuju dengan cadangan ini walaupu saya tak kenal siapa yang punya cadangan kerana kita dah terlalu lama memberi peluang dan ruang kepada mereka.Kononnya kita cuba melakukan pendekatan yang lembut,yang berpsikologi dan kena memahami jiwa remaja yang sedang kehausan nafsu adalah tidak berjaya sama sekali malah semakin parah.Rasulullah SAW pun ada mengajar kita dalam proses mendidik ini kita perlu kepada pendekatan lembut dan tegas.Lihat bagaimana baginda tunjuk kat kita cara nak didik anak solat.Mula-mula suruh buat,ajar mereka solat dan ibubapa juga solat ketika mereka berumur tujuh tahun.Kemudian kalau taknak buat juga ketika umur sepuluh tahun maka dipukul mereka dengan pukulan untuk mengajar.

Saya rasa penyakit ini kita kena tahu punca atau sebabnya macam penyakit kencing manis puncanya adalah makan gula berlebihan.Namun begitu kalau dah kena kencing manis ni nak berubat susah nak baik,jadi kalau boleh kita cegah sebelum kena seperti kata pepatah arab yang bermaksud "Mencegah lebih baik daripada berubat."Begitu juga dengan penyakit rempit ni.Mari kita lihat punca kepada penyakit ini iaitu :

1.Ibubapa

Saya lihat kebanyakan ibubapa hari ini banyak menunding jari kepada orang lain contohnya apabila anak-anak mereka melakukan kesilapan atau berakhlak buruk,mereka akan cepat-cepat menyalahkan kawan-kawan anak tersebut atau meletakkan kesilapan kepada  guru dan sekolah dengan menghemburkan kata-kata kurang menyenangkan seperti guru tak pandai didik anak dialah,sekolah bodohlah dan sebagainya.Namun mereka tidak mahu cermin muka sendiri dengan mempercayai satu telunjuk kita tunding kepada orang,terdapat empat lagi tunding kepada diri kita sendiri.Sebenarnya terdapat beberapa faktor yang ibubapa tidak berjaya mendidik anak-anak mereka supaya menjauhi budaya rempit ini iaitu:

  • Terlalu memanjakan anak-anak sehingga mengikut sahaja kehendak anak-anak dengan slogan "dulu aku orang susah tak dapat itu ini,sekarang apa anak aku nak,aku akan adakan".Nak motor ,belikan walaupun anak takde lesen.
  • Kurang kasih sayang.Hanya pandai melahirkan tetapi tidak memberi kasih sayang yang sewajarnya.Membiarkan kasih sayang diberi oleh' Mek Indon'  dengan pergi sebelum terbit matahari kemudian balik semua anak dah tidur.Ini adalah satu alasan bagi anak mencari keseronokan di luar tanpa batasan dan pemantauan daripada ibubapa.
  • Rezeki yang tidak halal dan bersih.Ibubapa menyuapkan sumber rezeki yang tidak bersih dan halal sehingga hati anak-anak menjadi keras dan sukar diluntur.Ini menyebabkan para pendidik menjadi pening apabila berdepan dengan anak-anak yang darah dagingnya dari sumber yang haram sehingga mencari pelbagai formula bagi berdepan dengan mereka.
  • Kurang didikan agama kerana ibubapa lebih tertumpu kepada soal-soal dunia dan kehidupan mereka lebih cenderung mengamalkan cara hidup barat.
  • Tidak menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak.

2. Diri sendiri.

  • Tidak mempunyai asas agama yang kukuh sehingga tidak mengetahui bahawa merempit itu adalah salah satu cara bunuh diri.
  • Lemah iman kerana terpengaruh dengan budaya negatif,selalu melakukan kemungkaran dan meninggalkan kewajipan agama khususnya solat.
  • Untuk membangga-bangga diri iaitu kononnya kalau boleh angkat motor sepanjang jalanraya maka dialah orang yang paling hebat dalam dunia tapi sebenarnya dialah orang yang paling bodoh dalam dunia.

3. Pengaruh media.

Memaparkan cerita-cerita yang meransang remaja untuk merempit.Memang kalau kita tanya pembuat drama atau filem tentang tujuan mereka mencipta drama dan filem yang berkisar tentang masalah remaja seperti rempit,bohsia dan bohjan adalah untuk menyedarkan masyarakat tetapi sebaliknya kesan-kesan negatif lebih banyak daripada positif sehingga remaja -remaja ini cuba meniru gaya mat-mat dan minah-minah rempit dalam cerita tersebut.

4. Kerajaan atau pemerintah.

Pemerintah mengambil pendekatan terlalu lembut dalam menangani masalah ini sehingga mereka merasakan terlalu berkuasa dan tidak mengapa sekiranya ditangkap pihak berkuasa.Sepatutnya kerajaan mesti mengadakan satu undang-undang yang menyediakan hukuman yang berat bagi siperempit ini kerana mereka ini bukan sahaja membahayakan diri mereka sendiri tetapi juga kepada pengguna jalanraya yang lain.Selain itu kerajaan sepatutnya membendung dan menghalang semua cerita-cerita negatif yang mampu menyumbang kepada lebih seriusnya kes ini.

    Saya rasa cukup sekadar ini kita bincangkan mengenai punca-punca kepada masalah ini.Saya amat mengalu-alukan kepada pembaca artikel ini untuk kita kongsikan cara bagaimana untuk mengatasi masalah ini.Fikirkanlah.............