Ahad, 22 Mac 2009

KERJA SEBAGAI SATU IBADAH

Manusia dijadikan oleh Allah dengan mempunyai beberapa tanggungjawab.Tanggungjawab manusia kepada Allah sebagai seorang hamba,tanggungjawab sebagai khalifah yang mentadbir bumi ini,tanggungjawab sebagai pekerja kepada majikan,tanggungjawab suami kepada isteri dan anak-anak dan tanggungjawab -tanggungjawab lain yang perlu dilaksanakan.Allah Taala telah menjadikan bumi ini sebagai tempat yang mudah untuk mencari rezeki sepertimana firman Allah dalam surah al-Mulk ayat 15 "Dialah yang menjadikan bumi mudah digunakan bagi kamu,maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya dan makanlah daripada rezeki yang dikurniakan Allah.(Ingatlah)kepada Allah jualah(tempat kembali kamu sesudah)dibangkitkan hidup semula."Berdasarkan kepada ayat ini Allah tidak pernah menghalang hambanya daripada bekerja untuk mencari rezeki bagi memenuhi keperluan dan kehendak kehidupan. Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda dengan maksudnya:"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bekerja."

Namun begitu masalah yang timbul pada hari ini muslim tidak menganggap tugas mencari rezeki ini sebagai satu ibadah.Bagi mereka ibadah itu hanyalah apabila mereka melakukan solat,puasa,pergi haji atau berzikir kepada Allah .Inilah gambaran ceteknya pengetahuan agama yang mereka miliki.Mereka perlu dan mesti memahami bahawa setiap perbuatan yang kita lakukan dengan niatnya kerana Allah Taala adalah ibadah walaupun kerja yang dilakukan itu tidak disebut di dalam al-Quran atau Sunnah secara khusus.Dalam kita mencari rezeki yang halal untuk nafkah anak dan isteri,pastikan rezeki yang kita perolehi itu ialah rezeki yang halal dan diberkati.Kita bangun seawal pagi dengan membersihkan diri,kemudian solat subuh dan lebih baik lagi kalau dapat solat subuh berjemaah dimasjid atau bersama keluarga.Sebelum keluar mencari rezeki,pastikan kita sudah memulakan kehidupan kita pada hari itu dengan ayat-ayat suci al-Quran.Keluar dengan niat yang suci kerana Allah,langkah kanan dan bertawakal kepada Allah serta berdoa semoga Allah memberkati usaha kita dan memudahkan urusan kita pada hari tersebut.Inilah antara langkah-langkah yang perlu kita ambil sebelum keluar bekerja atau mencari rezeki.

Semasa ditempat kerja pula,kita pastikan sampai dan masuk ketempat kerja mengikut masa yang telah ditetapkan kerana upah atau gaji kerja kita itu berdasarkan tempoh waktu kita bekerja.Apakah nilai rezeki yang kita dapat setiap bulan sekiranya masa kerja yang sepatutnya kita lakukan tidak mencukupi seperti upah yang dijanjikan kepada kita.Ada orang masuk kerja tepat tetapi keluar kerja cepat atau sebaliknya atau semasa tempoh kerja tersebut kita tidak bekerja bersungguh-sungguh sehingga memberi kesan yang tidak baik kepada majikan sedangkan upah yang dibayar tetap sama.Itu dari segi masa,mari kita lihat dari sudut lain pula iaitu dari segi amanah kerja yang diberi mestilah dilakukan seiring dengan amanah yang Allah berikan kepada kita.Janganlah pula kita terlalu sibuk dengan melakukan amanah kerja sehingga terabai solat kita kepada Allah Taala.Kerja yang dilakukan dengan meminggirkan hak Allah akan menyebabkan rezeki yang kita perolehi tidak diberkati oleh Allah Taala dan hati kita akan sentiasa menjadi gelisah dan keluh kesah.Kita mesti telus kepada manusia dan tulus kepada Allah Azzawajalla.

Begitu juga,janganlah sesekali kita menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah contohnya rasuah kita kata hadiah sedangkan ianya terang-terang adalah rasuah yang diharamkan Allah.Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud"Perasuah dan penerima rasuah kedua-duanya di dalam neraka".Bayangkan kalau rezeki haram ini sampai kedalam usus anak isteri kita dan mendarah daging dalam tubuh mereka sehingga menyebabkan dengan kerja haram kita itu mereka disambar api neraka nau'zubillah.Ingatlah sabda nabi yang bermaksud"Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram maka api nerakalah lebih layak baginya."Justeru apabila kita memikirkan dan menghisab semua ini,akan menginsafkan kita.Mungkin kerana punca inilah doa kita tidak dimakbulkan.Mungkin kerana inilah generasi kita juara dalam segala keruntuhan sehingga lemas tidak bernafas dek mencari habuan dunia tanpa mengira halam atau haram ,dosa atau pahala sehingga tenggelam dan lemas dengan lautan dunia yang tidak akan puas.Maka kembalilah pada Allah dan Rasulullah serta jadikanlah kerja kita satu ibadah.

Wasiat Al-Banna, Sebarkanlah Salam

"Berkenalanlah dengan saudara yang baru dikenali walaupun tidak meminta untuk berkenalan. Ini kerana asas gerakan dakwah adalah perkenalan dan berkasih-sayang". - Hasan al-Banna.

Gerakan dakwah Ikhwan Muslimin ditandai dengan kekuatan hubungan erat dan rasa persaudaraan sesama mereka. Ikhwan Muslimin tidak berhasrat memanjangkan pertengkaran sesama muslimin. Malah, mereka mahu berusaha keras untuk membendung hal-hal yang boleh merebakkan pertikaian dalam umat Islam. Dan, kalimah salam adalah kunci kepada perpaduan itu.

Pendek kata, hadis Rasulullah s.a.w yang meminta agar ucapan salam itu disebarkan memang dimanfaatkan oleh ahli-ahli ikhwan itu sendiri. Semangat asal dan ruh perpaduan itulah yang sentiasa menjadi ingatan kepada anggota ikhwan.
Pada akhir zaman ini, kita lihat bahawa ada kecenderungan untuk memberikan salam cuma kepada orang yang dikenali saja. Kepada mereka yang tidak dikenali, maka kita abaikan sahaja. Dan, hal inilah yang cuba disampaikan oleh Hasan al-Banna kepada pendokong gerakan Ikhwan Muslimin.

"Rasulullah s.a.w perintahkan kami 7 perkara: "Mengunjungi pesakit, menghantarkan jenazah, menjawab tahmid ke atas orang yang bersin, membantu orang lemah, membantu orang teraniaya, menyebarluaskan salam dan menepati sumpah." - (Hadis riwayat al-Bukhari)
Lihat anjuran agama yang mahukan umatnya menyebarluaskan salam itu. Semua ini tidak lari dan tidak jauh daripada sikap Islam yang mahu menjadi juara kepada perpaduan sejagat dan Islam sebagai faham yang membawa rahmat ke serata alam.
Jika dunia hari ini tidak aman, bererti bukanlah silap Islam. Malah, kesilapan itu berpunca daripada orang Islam yang tidak menyebarluaskan salam dan tidak mengikuti anjuran baginda s.a.w itu dengan bersungguh-sungguh. Islam dan orang Islam itu dua perkara yang berbeza.
Sinar Islam malap oleh sikap MusliminDiakui bahawa kelakukan buruk umat Islam menyebabkan Islam itu menjadi buruk gambarannya. Kata Syeikh Muhammad Abduh, "Al-Islam mahjuubun bil Muslimin - (Keindahan) Islam itu terhijab oleh (kelakuan) umat Islam."
Wasiat ke-9 Al-Banna ini tidak lari daripada seruan baginda Rasulullah s.a.w sendiri. Dalam hadis lain disebutkan:

Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w: "Apakah (amalan) Islam yang terbaik? Nabi berkata: "Engkau memberi makan dan memberi salam kepada orang yang engkau kenali dan kepada orang yang engkau tidak kenali." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sebenarnya, hal memberikan salam itu bukanlah satu-satunya cara mengukuhkan perpaduan. Ia perlu disusuli dengan amalan memberikan makanan kepada orang-ramai, menghidupkan amalan baik pada waktu malam dan sebagainya.
Daripada Abdullah bin Salam r.a katanya, Nabi s.a.w. bersabda: "Hai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berikan makanan, bersolatlah pada waktu malam sedang para manusia sedang tidur, maka engkau semua akan dapat memasuki syurga dengan selamat." - (lmam at-Tirmizi).
Maka, selain menyebarluaskan salam, Islam melihat hal menjawab salam itu juga termasuk dalam perkara yang mesti diberi perhatian yang bersungguh-sungguh oleh umat Islam.
"Dan apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balas penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah selalu menghitung tiap-tiap sesuatu." - (Surah an-Nisaa: 86)
'Budaya lepak' secara IslamBudaya lepak bukan budaya baru. Rasulullah s.a.w tidak suka mereka yang berada di tepian jalanan. Maka, baginda tegah para sahabat membuat pekerjaan yang sia-sia di tepi jalan itu. Tapi jika kita mahu berlepak-lepak juga, hendaklah kita melaksanakan 'hak-hak jalan' itu. Maka, termasuk dalam hak jalan itu ialah menjawab salam!
Dari Abi Sa'id Al-Khudriy r.a Rasulullah s.a.w bersabda: "Jauhilah duduk-duduk di pinggir jalan!" Sahabat berkata, "Ya Rasulullah, kami tidak boleh meninggalkan majlis kami ini dan juga bercakap-cakap dalamnya."
Rasulullah berkata, "Kalau enggan meninggalkannya, maka beri hak jalan itu." Sahabat bertanya, "Apakah hak jalan itu ya Rasulullah?" kata Rasulullah, "Tundukkan pandangan, singkirkan gangguan di jalan, jawablah salam dan melakukan amar ma'ruf nahi mungkar." (Muttafaq 'alaih).
Maka, perbuatan duduk di tepi jalan atau minum-minum petang di kedai kopi dan berbual-bual itu tergolong dalam istilah budaya lepak dalam masyarakat kita. Maka, hendaklah kita menunaikan hak-hak jalan di tempat kita sedang bersantai itu. Rasulullah cuba mengelakkan kita, tapi jika hendak melakukannya, maka hendaklah menunaikan hak jalan.
Kita lihat, dakwah Hasan al-Banna pun bermula di tempat lepak juga. Seperti yang kita ketahui, Al-Banna pun memulakan dakwah di kedai-kedai makan, kedai kopi, tempat di mana berkembangnya budaya lepak dengan begitu berleluasa. Ceramah dan khutbah di masjid saja tidak cukup menyekat arus kemungkaran dalam masyarakat.
Lebih ramai orang-orang yang memerlukan seruan dakwah, tetapi mereka sukar menuju ke masjid dengan sebab perawakannya yang menyebabkan mereka sendiri sukar menuju ke masjid.

Negara Islam terbina oleh masyarakat Islam bawahan yang perlu diislamkan sepenuhnya. Cabaran hari ini ialah bagaimana mahu mengislamkan orang Islam daripada sudut jiwanya, pemikirannya. Ini kerana, masih ramai orang Islam, tetapi sikap mereka seperti Yahudi, pemikiran mereka bukanlah pemikiran Islam dan akhlak mereka tidak mengikuti saranan nabi.
Sesungguhnya, Islam bermula daripada salah satu 99 nama Allah yang baik, iaitu As-Salaam. Daripada As-Salaam ini maka istilah Islam mendapatkan namanya. Maka, perbuatan menyebarkan salam ke serata alam inilah agenda Islam yang terutama dan Negara Islam terbina daripada masyarakat Islam yang benar-benar Islam.
Kita telah lama berdakwah di dalam Parlimen, mendakwahkan orang-orang atasan. Tapi, orang-orang bawahan tidak terkena tempias angin dakwah kerana dakwah cuma terhad di atas mimbar masjid, di khutbah-khutbah Jumaat dan di Parlimen.
Salam perlu disebarluaskan ke seluruh alam, lorong-lorong kecil, tempat anak-anak muda yang kering jiwanya akibat sudah lama hidup dibelenggu oleh faham kebendaan yang mengasuh mereka mengejar kemewahan. Fahri Abdullah al-Masri

Isnin, 16 Mac 2009

wasiat Hasan al-Banna-"Jauhi bicara aib orang lain"

"Jauhkan daripada membicarakan keaiban orang lain atau melukai mereka dalam bentuk apa pun dan jangan berbicara kecuali yang baik," kata Hasan al-Banna.

Imam Hasan al-Banna menyeru umat Islam, khasnya para da'ie agar menjaga lidah dan semua ini boleh dilakukan dengan meneropong kesilapan dan kelemahan diri mereka sendiri.
Apabila seseorang itu kerap bermuhasabah, meneropong kesilapan dirinya sendiri, mereka akan kurang membicarakan aib orang lain. Dengan ini, terciptalah dunia yang aman.
Bagaimanapun, perihal aib ini adalah termasuk dalam kategori aib peribadi. Namun, dalam hal salahlaku pemerintah yang melakukan kesilapan dalam pentadbirannya, maka hal ini tidaklah termasuk dalam perbincangan ini.
Ini kerana, perihal salahlaku pemerintah itu mestilah dicegah agar mudaratnya tidak akan melimpah ke atas masyarakat manusia seluruhnya.
Sepotong hadis Rasulullah s.a.w menyebutkan bahawa, "Barangsiapa yang menutup aib saudara Muslimnya, nescaya Allah s.w.t akan menutup keaibannya di akhirat kelak."
Jadi, inilah antara kaedah untuk menghalang rahsia dan aib kita didedahkan Tuhan di hari akhirat kelak.
Ada sebab-sebabnya kenapakah kita suka membuka rahsia keaiban orang lain. Kebanyakannya sikap ini bermula daripada perasaan dengki dan iri hati.
Lalu, meluap-luaplah perasaan untuk menjatuhkan maruah, imej dan reputasi orang lain di dalam kerjaya mereka misalnya.
Padahal, keaiban dan kelemahan seseorang itu memang berlaku dalam urusan Allah. Tuhan sendiri telah menyatakan bahawa manusia itu dicipta dalam serbu kekurangan dan mereka tidak sempurna.
"Wa khuliqal insanu dha'ifan - dan diciptakan manusia itu dalam keadaan daif."
Kita sendiri mesti ada kelemahan. Maka sebab itulah persaudaraan itu penting agar dengan itu kelemahan kita akan ditampung oleh kekuatan orang lain. Dan, kekuatan kita menampung kelemahan orang lain.
Tidak ada manusia yang sempurna di dunia ini. Apa yang menjadi masalah ialah manusia itu sendiri berasa dirinya cukup sempurna lalu dia angkuh dengan pemberian Tuhannya.
Maka jelaslah di sini bahawa bahaya lidah berpunca daripada hati yang tidak bersih, suka menghina orang lain kerana berasa dirinya sudah baik.
Sekali peristiwa, tersebutlah kisah di mana Tuhan mahu mencipta makhluk yang baru, iaitu Nabi Adam a.s. Pada ketika itu, diriwayatkan bahawa Iblis pada ketika itu digelar Azazil dan dia menjadi guru kepada para malaikat lantaran kelebihan ilmunya.
Iblis berasakan bahawa tiada orang yang boleh menandingi kesolehannya, kewarakannya dan ilmunya. Sehinggalah dengan tiba-tiba tercipta Adam a.s.
Ekoran cemburu, dengki dan iri hati itulah, maka Iblis sampai sanggup menghina Adam a.s dengan katanya, "Aku lebih baik daripadanya (Adam). Engkau ciptakan aku daripada api dan Engkau ciptakan dia daripada tanah!"
Demikianlah kata Iblis ketika dia diperintahkan Tuhan untuk sujud bersama-sama malaikat ke atas Adam a.s itu.
Jelas di sini. Ketika hati tidak bersih, jiwa dibalut rasa angkuh, maka lidah pun secara tidak langsung akan lebih mudah menghina orang lain.
Sedangkan, jelas wujud arahan di dalam al-Quran yang memerintahkan kita agar jangan hina orang lain. Ini kerana, mungkin yang dihina itu lebih baik daripada si penghina.
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu patuhilah larangan itu) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. [al-Hujurat: 11 - 12]
Perbaiki hubungan persaudaraanMaka, wasiat Hasan al-Banna yang ke-8 ini barangkali sumber, asas dan dasarnya digali daripada surah al-Hujurat yang merincikan nilai-nilai moral dan akhlak yang sepatutnya dijunjung dan diwarisi oleh umat Islam seluruhnya.
Dengan menjaga lidah, maka hubungan persaudaraan terpelihara. Ini kerana, masing-masing orang tidak akan mencederakan perasaan orang lain melalui kata-kata.
Dan, inilah sebenarnya yang diperjuangkan oleh Hasan al-Banna. Iaitu, mengembangkan rasa persaudaraan Islam sejagat. Dengan lidah persaudaraan terhakis dan melalui lidah jugalah ikatan persaudaraan kembali terjalin.
Hubungan ukhwah, perpaduan antara Islam ini jangan dilihat dari sudut yang kecil saja seperti hubungan kejiranan dan hubungan di tempat kerja semata-mata.
Yang lebih mustahak, ialah kita menyelami hasrat dan keinginan Imam Hasan al-Banna ini yang mahukan Islam itu menjadi 'ustaz' kepada alam ini. Pada tahap itu, umat Islam di dunia adalah murabbi, pengasuh dan pendidik di dunia.
Demikianlah tingginya cita-cita beliau itu. Jadi, hubungan ukhwah persaudaraan Islam ini tentunya bersifat menjelajah ke antara benua, merentas sempadan negara-negara Islam. Mungkin, yang lebih utama ialah bagaimanakah mahu membentuk ikatan persaudaraan antara pemimpin-pemimpin dan umat Islam seluruhnya.
Kita melihat, tiadanya kesepakatan antara Negara-negara Islam sendiri dalam isu Palestin yang ditindas. Umat Islam di Patani dan lain-lainnya.
Tapi, tiada pula percakaran dan pertengkaran yang besar-besar antara Negara-Negara Islam. Kalau pun ada, ia melibatkan kes perang Iraq dan Iran pada satu masa dahulu. Maka hendaknya persefahaman antara pemimpin negara Islam dapat dijalin bersama bagi menyatukan tindakan mereka pada masa hadapan.
Berkatalah yang baik-baik sahajaAkhirnya Hasan al-Banna berwasiat, jika kita ingin berbicara, maka pastikanlah bahawa isi dan inti percakapan itu cuma yang sarat terisi dengan kalimah yang baik-baik sahaja, menyeru ke arah kebaikan dan mengajak orang-ramai meninggalkan segala yang merosakkan amalan, fikiran dan jiwa dan anggota tubuh badan.
Baginda Rasulullah s.a.w bersabda, ".. sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka katakanlah hal-hal yang baik atau lebih baik diam sahaja." Apabila seseorang itu berdiam, dia akan terus-menerus berzikir, berwirid. Semua ini menunjukkan bahawa waktu seseorang Muslim itu sangat berharga dan setiap masa yang berlalu tidak digunakan ke arah yang tidak berfaedah.
Apabila berbicara, mereka mengungkapkan hal-hal yang baik-baik. Jika berdiam diri, mereka akan berzikir secara rahsia. _ Fahri Abdullah al-Masri

Selasa, 10 Mac 2009

Sambutan Maulidur Rasulullah SAW

Sambutan Maulidur Rasul ni kita sambut setiap tahun.Tidak ketinggalan di masjid tempat saya tinggal iaitu di Masjid Sultan Hisamudin BBST yang telah diadakan pada 6/3/2009 yang lalu.Kami telah menjemput Dr.Jamnul Azhar iaitu salah seorang panel rancangan Halaqah untuk menyampaikan ceramah.Buat pertama kali ceramah di masjid ini menggunakan LCD kerana doktor ingin menunjukkan gambar-gambar dari Palestin yang tidak pernah ditayangkan di mana-mana siaran televisyen.Dr. Jamnul menceritakan pengalaman beliau berada di sana selama 4 hari sebagai doktor sukarela bersama dengan angkasawan negara Dr. Syeikh Muzaffar dibawah naungan Dewan Pemuda Masjid Malaysia.Alhamdulillah sambutan ahli kariah amat membanggakan kerana jemaah yang datang sekitar 100 hingga 150 orang.

Berbetulan dengan tema tahun ni"WAHDAH PEMANGKIN KHAIRA UMMAH" ,memang patut sangat ceramah kali ini menyentuh berkenaan kesengsaraan yang berlaku di Palestin akibat daripada keadaan umat Islam yang tidak bersatu.Saya amat sedih dan pilu apabila melihat gambar-gambar yang ditayangkan oleh Dr. apabila ramai orang Islam Palestin yang telah putus kaki akibat dibom dan ditembak oleh Yahudi laknatullah.Saya juga terharu apabila Dr. menceritakan bagaimana semangat seorang kanak-kanak Palestin yang berumur 10 tahun yang telah putus kedua-dua kakinya,apabila ditanya perasaan kanak-kanak ini dia telah menjawab bahawa dengan putus kedua-dua kakinya Allah telah mengampunkan dosanya dan dia yakin bahawa kedua-dua kakinya telah sampai ke syurga.Bayangkan jawapan kanak-kanak ini yang baru berusia 10 tahun sedangkan kalau di negara kita kanak-kanak seperti ini mungkin masih sibuk bermain dan bercerita tentang Doremon atau rancangan Tom Tom Bak.Dalam gambar -gambar yang ditayangkan amat jelas menunjukkan kezaliman tentera Yahudi ini apabila sanggup membunuh ibu yang sedang menyusukan anak yang berumur 2 bulan bersama dengan anak yang disusukan dan menembak kanak-kanak yang lemah sehingga bersarang berpuluh-puluh biji peluru di dada mereka.Saya rasa ketika itu kalau ada seruan jihad untuk ke sana,mahu saja saya mendaftar kerana kezaliman yang berlaku di luar batasan kemanusiaan.

Para syuhada yang mati pula mengukir senyuman dan darah yamg mengalir pada tubuh syuhada berbau harum seharum kasturi walaupun setelah 10 hari mereka pergi mengadap Ilahi.Benarlah kalam Allah yang mengatakan mereka ini hidup di sisi Tuhan dan masuk syurga tanpa hisab.Alangkah baiknya kalau umat Islam bersatu menghadapi kekejaman Israel ini.Tidak perlu kita ke sana kerana memadai hanya umatArab yang tinggal sekeliling Palestin sahaja yang berjumlah beratus-ratus juta mampu untuk menjahanamkan umat zalim ini yang berjumlah sekitar 30 juta sahaja.Tetapi malangnya umat Arab sendiri berpecah.Lihat sahaja keegoan dan kejahilan pihak pemerintah Mesir yang menghalang bekalan makanan,perubatan dan doktor sukarela untuk memasuki Gaza melalui sempadan Mesir.Ramai dikalangan mereka yang cedera yang ingin dibawa masuk ke hospital yang berada disempadan Mesir yang hanya sejauh 500 meter dari sempadan syahid kerana tidak dibenarkan masuk ke Mesir.Inilah akibatnya apabila pemerintah Islam menjadi talibarut,khadam,kuli,balaci atau apa sahaja istilah yang sesuai kita tampal pada muka mereka kerana sanggup mengikut apa sahaja kehendak Yahudi walaupun mereka terpaksa melalui lubang biawak yang sempit dan gelap.
Semoga usaha murni Dr.Jamnul untuk membantu kanak-kanak yatim piatu Palestin di sana akan mendapat sokongan semua pihak.Saya difahamkan oleh beliau bahawa kita perlu berusaha untuk memerikan pendidikan kepada kanak-kanak tersebut dengan membawa balik mereka ini ke Malaysia.Pihak pemerintah Hamas mengatakan terdapat empat bidang yang kritikal sekarang ini iaitu bidang perubatan,kejururawatan,kejuteraan dan teknologi maklumat.Jika kita dapat memberi tempat kepada generasi Palestin ini untuk belajar di mana-mana IPTA di sini,saya rasa itu satu usaha yang amat baik dari kita sebagai saudara mereka selain menghulurkan bantuan dalam bentuk makanan,pakaian dan perubatan.Takbir Allahuakbar,Allalhuakbar,Allahuakbar.ISLAM PASTI GEMILANG......