Ahad, 22 Mac 2009

KERJA SEBAGAI SATU IBADAH

Manusia dijadikan oleh Allah dengan mempunyai beberapa tanggungjawab.Tanggungjawab manusia kepada Allah sebagai seorang hamba,tanggungjawab sebagai khalifah yang mentadbir bumi ini,tanggungjawab sebagai pekerja kepada majikan,tanggungjawab suami kepada isteri dan anak-anak dan tanggungjawab -tanggungjawab lain yang perlu dilaksanakan.Allah Taala telah menjadikan bumi ini sebagai tempat yang mudah untuk mencari rezeki sepertimana firman Allah dalam surah al-Mulk ayat 15 "Dialah yang menjadikan bumi mudah digunakan bagi kamu,maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya dan makanlah daripada rezeki yang dikurniakan Allah.(Ingatlah)kepada Allah jualah(tempat kembali kamu sesudah)dibangkitkan hidup semula."Berdasarkan kepada ayat ini Allah tidak pernah menghalang hambanya daripada bekerja untuk mencari rezeki bagi memenuhi keperluan dan kehendak kehidupan. Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda dengan maksudnya:"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bekerja."

Namun begitu masalah yang timbul pada hari ini muslim tidak menganggap tugas mencari rezeki ini sebagai satu ibadah.Bagi mereka ibadah itu hanyalah apabila mereka melakukan solat,puasa,pergi haji atau berzikir kepada Allah .Inilah gambaran ceteknya pengetahuan agama yang mereka miliki.Mereka perlu dan mesti memahami bahawa setiap perbuatan yang kita lakukan dengan niatnya kerana Allah Taala adalah ibadah walaupun kerja yang dilakukan itu tidak disebut di dalam al-Quran atau Sunnah secara khusus.Dalam kita mencari rezeki yang halal untuk nafkah anak dan isteri,pastikan rezeki yang kita perolehi itu ialah rezeki yang halal dan diberkati.Kita bangun seawal pagi dengan membersihkan diri,kemudian solat subuh dan lebih baik lagi kalau dapat solat subuh berjemaah dimasjid atau bersama keluarga.Sebelum keluar mencari rezeki,pastikan kita sudah memulakan kehidupan kita pada hari itu dengan ayat-ayat suci al-Quran.Keluar dengan niat yang suci kerana Allah,langkah kanan dan bertawakal kepada Allah serta berdoa semoga Allah memberkati usaha kita dan memudahkan urusan kita pada hari tersebut.Inilah antara langkah-langkah yang perlu kita ambil sebelum keluar bekerja atau mencari rezeki.

Semasa ditempat kerja pula,kita pastikan sampai dan masuk ketempat kerja mengikut masa yang telah ditetapkan kerana upah atau gaji kerja kita itu berdasarkan tempoh waktu kita bekerja.Apakah nilai rezeki yang kita dapat setiap bulan sekiranya masa kerja yang sepatutnya kita lakukan tidak mencukupi seperti upah yang dijanjikan kepada kita.Ada orang masuk kerja tepat tetapi keluar kerja cepat atau sebaliknya atau semasa tempoh kerja tersebut kita tidak bekerja bersungguh-sungguh sehingga memberi kesan yang tidak baik kepada majikan sedangkan upah yang dibayar tetap sama.Itu dari segi masa,mari kita lihat dari sudut lain pula iaitu dari segi amanah kerja yang diberi mestilah dilakukan seiring dengan amanah yang Allah berikan kepada kita.Janganlah pula kita terlalu sibuk dengan melakukan amanah kerja sehingga terabai solat kita kepada Allah Taala.Kerja yang dilakukan dengan meminggirkan hak Allah akan menyebabkan rezeki yang kita perolehi tidak diberkati oleh Allah Taala dan hati kita akan sentiasa menjadi gelisah dan keluh kesah.Kita mesti telus kepada manusia dan tulus kepada Allah Azzawajalla.

Begitu juga,janganlah sesekali kita menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah contohnya rasuah kita kata hadiah sedangkan ianya terang-terang adalah rasuah yang diharamkan Allah.Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud"Perasuah dan penerima rasuah kedua-duanya di dalam neraka".Bayangkan kalau rezeki haram ini sampai kedalam usus anak isteri kita dan mendarah daging dalam tubuh mereka sehingga menyebabkan dengan kerja haram kita itu mereka disambar api neraka nau'zubillah.Ingatlah sabda nabi yang bermaksud"Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram maka api nerakalah lebih layak baginya."Justeru apabila kita memikirkan dan menghisab semua ini,akan menginsafkan kita.Mungkin kerana punca inilah doa kita tidak dimakbulkan.Mungkin kerana inilah generasi kita juara dalam segala keruntuhan sehingga lemas tidak bernafas dek mencari habuan dunia tanpa mengira halam atau haram ,dosa atau pahala sehingga tenggelam dan lemas dengan lautan dunia yang tidak akan puas.Maka kembalilah pada Allah dan Rasulullah serta jadikanlah kerja kita satu ibadah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan